- 2.1KShare sekarang!
- Email29
- Facebook2.0K
- Share
*Sebelum kita bermula, Soscili dah ada group Facebook baru untuk kaji berita palsu! Kalau korang terbaca berita yang korang nak kita siasat, post dalam group ni dan kita akan carikan maklumat lebih.
Kecoh betul isu apabila Haji Hadi dan Sarawak Report putuskan untuk selesaikan masalah saman berkenaan dakwaan pemimpin PAS terima RM90 juta dari 1MDB. Baru semalam pulak, SPRM dah mulakan siasatan ke atas kes ni apabila 4 saksi yang terdiri dari ahli politik dan individu dari NGO dipanggil untuk membantu siasatan tersebut.
Tapi dengan berita-berita terkini yang masih sedang muncul, kitorang kat Soscili pun tertanya-tanya juga, kenapaaaah diorang selesaikan kes ni kat luar mahkamah? Bagi menjawab persoalan ni, ini BERKEMUNGKINAN 4 sebab kenapa PAS dan Sarawak Report bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah…
NOTA: Jawapan-jawapan di bawah hanyalah teori-teori sebab berkemungkinan semata-mata. Kami telah merujuk kepada sumber-sumber berita terkini serta juga dokumen-dokumen kes mahkamah yang boleh didapati secara terbuka, namun sebab-sebab ini tetap hanya merupakan teori-teori kami sendiri.
Kemungkinan 1: Kos guaman berjuta-juta, dapat bayaran balik ratus ribu je ?
Tahap kemungkinan: Sangat tinggi sebab dua-dua pihak memang mengaku kos tinggi. Dah matawang sana pulak Pound Sterling kan, mana tak pedihnya…
Pada 21 April 2017, DS Abdul Hadi Awang memulakan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown, Editor Sarawak Report (SR). Mahkamah juga menetapkan 12 hari perbicaraan bermula April 2017.
Setahun kemudian, ia dilaporkan pada 14 April 2018 bahawa Clare Newcastle Brown pula telah memfailkan permohonan membatalkan saman fitnah Haji Hadi atas alasan menakut-nakutkan saksi. Namun, tak sampai sebulan lepas tu pada 1 Mei 2018, Mahkamah Tinggi di London menolak permohonan Clare untuk mebatalkan saman fitnahnya terhadap Haji Hadi.
SR buat permohonan pembatalan ini kerana perbicaraan libel berkos tinggi di UK. Bermula perbicaraan pada tahun 2017 hingga Mei 2018 ni, SR dah mengeluarkan RM1,079,542 (200 ribu pound streling) untuk perbelanjaan pra-perbicaraan manakala Haji Hadi pula dah membayar RM1,647,651 (305,250 pound sterling). SR juga pernah diarah membayar keseluruhan kos RM 155,791 (28,900 pound) apabila Haji Hadi menang semua lima permohonan interlokutori.
Sedar atau tak, bermula dari 30 November 2016 hingga Jun 2018, PAS dah membayar lebih RM 2.1 juta kos atau yuran guaman. Jika kes ini diteruskan lagi, maka satu jumlah kewangan yang besar diperlukan lagi untuk menampung keperluan kos guaman. Sepanjang kes ni, PAS pernah mengusahakan kutipan sebanyak RM400,000 untuk membayar kos guaman yang masih berbaki untuk dibayar.
“Ia bukan murah untuk menghabiskan ratusan ribu, mungkin jutaan ringgit untuk menyelesaikan isu-isu kecil ini.” – Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, dipetik dari MalaysiaKini.
Kalau kita baca laporan-laporan ni, memang main juta-juta je, sama ada oleh pihak PAS mahu pun SR. Kedua-duanya juga mengakui bahawa mengejar kes-kes diorang tu kat mahkamah memang mahal dan berkos tinggi. Macam PAS dah berbelanja banyak, bayaran yang pernah mereka dapat balik pun lebih RM155 ribu je. SR pun dah lebih sejuta perbelanjaan tapi tak dapat apa-apa pampasan (yang kita tahu lah).
Kemungkinan 2: Dua-dua takut kalah kes saman masing-masing ¯\_(ツ)_/¯
Tahap kemungkinan: Sederhana. Hadi dah saman Clare, Clare pun dah saman Hadi balik. Agaknya memang kepala diorang dua-dua pun dah pening.
Korang kena tahu dalam kes mahkamah di antara Hadi Awang dan SR ni – kedua-dua belah pihak saling saman-menyaman. Maksudnya kedua-dua diorang akan ada keberangkalian untuk disaman – bahasa mudahnya kena bayar dendalah kalau kalah. Jadi, salah satu kebarangkalian yang logik dalam kes ni – kedua-dua pihak takut kalah, dan mungkin sebab benda ni diorang setuju untuk settlekan kes ni kat luar mahkamah.
Meh kita tengok, sebab musabab SR patut takut kalau-kalau diorang kalah. Salah satu sebab yang logik – hari tu geng-geng SR ni kalah dalam peringkat interlokutori. Bagi yang tak tahu – peringkat interlokutori ni adalah peringkat pra-perbicaraan. Peringkat ni tak menang apa-apa pun lagi, baru nak masuk ke peringkat perbicaraan.
Kemenangan ni sebabkan PAS yakin gila diorang akan menang perbicaraan (walaupun akhirnya settle luar mahkamah). Datuk Takiyuddin Hassan yang jadi lawyer kepada Hadi Awang percaya – 70 peratus saman fitnah terhadap artikel PAS terima RM90 juta akan berpihak kepada Abdul Hadi. So, boleh jadi SR takut diorang boleh kalah sebab benda-benda ni.
Untuk PAS pulak, diorang agaknya pun bimbang dengan tuntutan balas Clare terhadap Hadi, di mana Clare mendakwa bahawa Hadi telah bersekongkol dengan mantan PM Najib Razak untuk mencemar kredibiliti dan nama dia serta laman web SR yang dimilikinya.
Tambah-tambahan lagi, Clare juga mendakwa bahawa Hadi telah menerbit beberapa siri artikel yang mempunyai unsur pergangguan di laman web Malaysia Today, milik anak muridnya, Raja Petra Kamaruddin. Jadi, hakim di Mahkamah Tinggi London pun telah membenarkan Clare memfailkan kedua-dua tuntutan balasnya terhadap Hadi, dan kesemua kes saman itu sepatutnya berlangsung pada masa yang sama, iaitu pada April 2019 bulan depan.
Namun, kalau saman balik Clare ke atas Hadi bukan sebab utama kes ni diselesaikan kat luar mahkamah, kemungkinan seterusnya adalah…
Kemungkinan 3: PAS tak kisah pun sebab dakwaan SR tu takda kesan kat pengundi ?️
Tahap kemungkinan: Mungkin ye, mungkin tak. Teori ni berdasarkan petikan-petikan kata daripada pihak-pihak yang pernah bercakap pasal kes ni.
“Mungkin pada masa itu, fitnah tersebut boleh menjejaskan PAS kerana pilihan raya, jadi mereka terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap (Clare Rewcastle) Brown. Tetapi sekarang, ia sudah ‘game over’.” – Annuar Musa, dipetik dari Malay Mail.
Kalau kita ambik apa yang dikatakan oleh Annuar Musa beberapa hari yang lepas, ia boleh dipercayai bahawa kes saman fitnah yang difailkan oleh Hadi terhadap Clare Rewcastle Brown pada tahun 2017 itu bertujuan untuk bersihkan nama PAS sebelum pilihan raya umum ke-14 yang akan datang. Memang ikut kata Hadi sendiri pula pada bulan April 2017 masa mula-mulanya kes saman tu, tujuan diorang adalah untuk “menjaga maruah PAS yang tercalar“.
Sebab ye la, kalau diorang risau pasal kesan yang artikel tu boleh ada pada keputusan PRU14, kita boleh paham la kenapa diorang nak saman SR masa tu. Tambah-tambah lagi, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga telah menerangkan keputusan untuk menarik balik kes saman terhadap SR dengan mengatakan yang walaupun artikel SR itu tidak diturunkan, artikel itu tidak pernah mendatangkan apa-apa kesan terhadap PAS.
“Kalau kita lihat keputusan PRU14 dahulu, Kelantan kita kekal dan kita dapat Terengganu. Ia membukti bahawa berita fitnah itu tidak mempengaruhi pengundi.” – Tuan Ibrahim Tuan Man, dipetik dari Astro Awani.
Kalau kita tengok pula pilihan raya kecil Cameron Highlands beberapa minggu lepas, ramai yang berkata bahawa kemenangan BN itu adalah hasil kerjasama UMNO dengan PAS. Ini menunjukkan bahawa faktor pilihan raya mungkin sudah bukan lagi menjadi isu yang merisaukan bagi PAS, dan kerana itu, diorang telah berputus untuk menarik balik kes saman diorang terhadap SR.
Tapi kalau ni bukan sebabnya kes saman tu disetelkan luar mahkamah jugak, hanya tertinggal satu lagi kemungkinan iaitu…
Kemungkinan 4: Dakwaan SR terhadap PAS adalah betul…? ?
Tahap kemungkinan: Kitorang takleh cakap ni berkemungkinan atau tidak, kang takut kena saman pulak.
Sebabnya Sarawak Report sudah mendakwa yang ia ada bukti lengkap menunjukkan bahawa PAS betul-betul terima dana 1MDB daripada UMNO tu. Dari tahun lepas lagi, Clare Rewcastle Brown ada kata yang dia telah mendapat lebih banyak bukti yang tunjukkan PAS sebenarnya memang ada terima duit sebanyak RM90 juta.
“… RM90 juta secara luas diperkirakan telah mengalir ke dalam jawatan tertinggi PAS dalam beberapa bulan kebelakangan ini,”- Dipetik dari Sarawak Report
Lepas tu, ada gak rakaman audio dari Nik Abduh yang kata PAS ni sememangnya ada terima duit daripada UMNO. Audio ni pun turut jadi bukti untuk kes saman ni. Apa yang boleh buat PAS tambah takut – baru-baru ni ada saksi yang katakan diorang dengar secara berhadapan apabila Nik Abduh kata yang dia memang tahu PAS terima duit daripada UMNO.
Pada awal-awalnya Nik Abduh telah cuba menafikan bahawa rakaman audio tu mengandungi ucapannya mengaku yang penyaluran wang telah berlaku daripada UMNO kepada PAS. Namun, peguam Hadi di London telah kemudiannya memberitahu Mahkamah Tinggi kat situ bahawa rakaman itu adalah tulen, walaupun dia juga berkata percakapan Nik Abduh hanyalah disalah faham.
Walaubagaimanapun, saksi bernama Muhammad Atiullah yang mendakwa dia berada di situ waktu kejadian rakaman tersebut juga berkata terdapat “lebih 40 saksi hidup terhadap pengakuan Nik Abduh menerima duit UMNO“. Beberapa hari lepas isu rakaman audio tu muncul kembali, SPRM pulak membuat kenyataan akan menyiasat dakwaan wang 1MDB dimasukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin PAS dan digunakan untuk membeli kereta-kereta mewah, nombor plet VIP, serta sebuah rumah banglo.
Namun, kerana siasatan ini baru saja bermula, kitorang tak boleh nak cakap sama ada ia merupakan sebabnya atau bukan Hadi menarik balik kes saman fitnahnya terhadap SR. Jadi buat masa sekarang, kitorang kat Soscili pun terpaksa lah #husnuzon sehingga SPRM telah tamat dengan siasatannya dan kita dapat tahu apa yang diorang dapat jumpa. Ee, seronok pulak tunggu cerita-cerita terkini keluar kat berita.
Drama politik Malaysia nampaknya memang tak akan membosankan
Tak kira sama ada korang penyokong PH, BN, ataupun PAS, satu benda yang korang mesti tahu, adalah akan adaaa je benda baru berlaku setiap minggu. Kalau minggu lepas kitorang tak akan sangka bahawa DS Abdul Hadi Awang akan gugurkan kes saman fitnahnya terhadap Sarawak Report dan Clare Rewcastle Brown, agaknya kitorang memang takkan tahu apa pula akan berlaku pada minggu depan pula.
Tapi kalau kitorang tak boleh tahu semua benda dengan sepenuhnya pun, kitorang mesti ada benda-benda yang kita syak sendiri. Jadi dengan itu, kitorang nak tanya…
- 2.1KShare sekarang!
- Email29
- Facebook2.0K
- Share