Jenayah & Undang-undang

Apa asal usul dan fungsi JASA? Serta 3 agensi yang pernah dibubarkan sebelum ini

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 23 Mei 2018 dan telah diubah suai mengikut perkembangan semasa. 

UPDATE 09/11/2020: Dalam pelbagai reaksi tentang Belanjawan 2021, nampaknya ada satu peruntukan yang menarik ramai pihak. Ia adalah tentang peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang sebelum ini telah dibubarkan.

________________________

Setelah kesemua 13 Menteri mengangkat sumpah, mesyuarat pertama kabinet menteri yang diketuai Tun Mahathir dah diadakan pada 23 Mei 2018. Lama jugak nak tunggu ya! Tapi, apa-apa pun, orang kita sangat mengikuti perlantikan kabinet menteri kali ni sampai gambar hari pertama masuk office pun ramai yang share.

Harapnya kabinet ni berfungsi. Imej dari Astro Awani.

Kembali kepada mesyuarat tadi. Nampaknya, lepas mesyuarat kabinet tersebut ada press conference diadakan oleh Tun Mahathir. Ada beberapa perkara yang disentuh termasuk pemotongan gaji menteri sebanyak 10 peratus, harga minyak yang kekal serta pengguguran pegawai kerajaan yang dipilih berdasarkan political award. Apa yang menjadi perhatian juga adalah pembubaran empat agensi atau jawatankuasa kerajaan termasuk SPAD, JKKP, JASA dan Majlis Professor Negara (MPN).

Jadi kali ni, kita akan pergi satu persatu pasal empat agensi dan apa fungsi mereka sebelum dibubarkan ni….

1) SPAD ambil fungsi lembaga pelesenan dan pernah melantik pengerusi kontroversi

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) adalah salah satu organisasi yang akan dibubarkan. Malah, segala tugas yang ada dalam SPAD pula akan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan. Sebabnya, Tun M kata dia nak pastikan agensi atau jabatan yang tak relevan ni tak membebankan kerajaan baru.

Wah, kerajaan baru? Siapa sangka, kan. Imej dari NST

“Kita sedang menilai projek mana yang harus ditamatkan, mana yang perlu diteruskan dan mana yang boleh ditangguhkan,” – PM Tun Mahathir, dipetik dari Astro Awani.

Usaha tu juga dibuat sebab Tun M, malah kita semua boleh nampak ada banyak unsur politik mempengaruhi organisasi-organisasi ni sampai boleh dipergunakan oleh pentadbiran yang lepas.

“Kebanyakan institusi ini bukan sebahagian daripada kerajaan, dan sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan, semua ini (institusi) akan dibubarkan,” – PM Tun Mahathir, dipetik dari The Star.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Nampak gah, tapi apa sebenarnya function diorang ni? Imej dari beritadaily.com

SPAD ditubuhkan semasa pentadbiran bekas PM Najib Razak, iaitu pada 3 Jun 2010 lepas dapat kelulusan Parlimen pada Mei 2010. Berdasarkan enakmen Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, SPAD mengambil alih fungsi Lembaga Pelesenan Kenderaan Komersil, Jabatan Keretapi dan fungsi pelesenan kenderaan pelancongan Kementerian Pelancongan di Malaysia. Ia juga mengawal selia dan menguatkuasakan semua perkara berkaitan dengan pengangkutan awam darat.

SPAD juga ada bidang kuasa ke atas Semenanjung Malaysia. Diorang ni ada kuasa untuk mengaudit, menyiasat, mengkompaun, menggantung dan juga membatalkan lesen pengendali. Malah, diorang juga boleh merampas dan melelong kenderaan untuk kesalahan yang berkaitan dengan penggunaan kenderaan yang menyalahi undang-undang.

Bunyi macam biasa je kan? Tapi ada juga kontroversi, iaitu bila Isa Samad yang letak jawatan dari FELDA kemudiannya dilantik oleh Najib Razak sebagai Pemangku Pengerusi SPAD. Perkara ni menimbulkan persoalan dan kemarahan pelbagai pihak sebab Isa Samad yang sebelum tu jadi Pengerusi FELDA bukan je gagal membangunkan FELDA, malah terlibat dengan pelbagai skandal politik wang.

Pakai baju SPRM pun masih ada sinyummm. Imej dari utusan

Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) pun pernah bersuara, kata SPAD sepatutnya dipimpin oleh seseorang yang bebas tuduhan salah laku dan juga mengambil bahagian daripada bidang politik.

“Berdasarkan apa yang sedang dihadapai Felda Global Ventures Holdings (FGV) Bhd, saya rasa ini satu keadaan yang sangat-sangat tidak baik, bukan sahaja kepada SPAD malah kepada semua  industri,”

Apabila beliau letak jawatan serta merta ketika syarikat FGV hadapi masalah dan meloncat ke SPAD, ini layak saya katakan suatu sikap yang tidak bertanggungjawab,” – Timbalan Pengerusi PERS1M, Kamarudin Mohd Hussain kepada FMT.

Diorang semua berpendapat yang pelantikan Isa Samad tu takkan bawa perubahan pun kepada SPAD dan industri teksi. 

Selain tu juga, kalau korang ingatlah kes sebelum PRU 14 baru-baru ni di mana lebih 67,000 pemandu teksi seluruh negara menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia, oleh SPAD. Kad tu pula bernilai RM800 untuk pembelian petrol atau gas asli (NGV) di stesen minyak Petronas. Dalam event yang sama juga, nama Isa Samad selaku Pemangku Pengerusi SPAD disebut, dan terus di ‘boo’ oleh ribuan pemandu teksi dalam dewan tu.

Sebulan sebelum PRU14, bekas PM Najib memperkenalkan Kad Bantuan Teksi 1M. Imej dari Malaysia Kini

Kad bantuan untuk pemandu teksi tu kemudiannya diagihkan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, dan melibatkan dana sebanyak RM53.6 juta. Masa tu pemandu teksi yang berebut-rebut nak dapatkan tiket, sampai 30 orang mengalami kecederaan.

_______

PERKEMBANGAN: Kerajaan PH kemudiannya menubuhkan satu agensi baru yang dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Dari SPAD kepada APAD.

 

2) Kerajaan mansuhkan JKKKP, tapi ada lagi JKKK?

Apa beza JKKKP dengan JKKK? Sebelum apa-apa, JKKK ni adalah singkatan untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Tapi tiba-tiba ada pulak JKKKP, kenapa tambah ‘P’ pulak ni?

Sebenarnya dua jawatankuasa ni ada tugas yang hampir sama, tapi ditubuhkan oleh dua kerajaan yang berbeza. JKKK ditubuhkan oleh kerajaan negeri, manakala JKKKP ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan. Sebab itulah ia jadi JKKKP – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan.

Tempat mesyuarat tak rasmi JKKK. Imej dari penmerahpress.com

JKKKP ni mula diwujudkan pada tahun 2008, khusus kat negeri-negeri yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) masa tu. Antara alasannya, kerajaan pusat susah nak laksanakan program-program kat peringkat tempatan, sebab JKKK yang sedia ada dilantik oleh PR.

Tapi, perlu diingat yang JKKK dan JKKKP ni tak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) bawah FELDA dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

Tapi dalam masa sama, JKKKP ni dapat kritikan sebab ia tak ubah macam klon JKKK dari kerajaan BN kat negeri yang ditadbir oleh PR.

“…penubuhan JKKKP yang sama tugas dengan JKKK, ia menambah peruntukan kewangan kerajaan sehingga menyebabkan tiada peruntukan kepada guru-guru sementara…

ini bererti kerajaan persekutuan BN telah menghabiskan wang rakyat sebanyak RM137.8 juta untuk jawatankuasa ‘klon’ ini demi kepentingan politik BN.” – Dipetik dari Roketkini (14 Des 2011).

Contoh carta organisasi JKKK yang dilantik negeri. Imej dari jkkkbatu4.blogspot

Tempoh perkhidmatan diorang ni pulak selama 2 tahun. Sesiapa yang jadi Pengerusi JKKK/JKKKP ni, secara automatik akan jadi Ketua Kampung. Jadinya, kat sesebuah kampung tu, kemungkinan akan ada dua Ketua Kampung – satu wakil dari negeri dan satu lagi wakil dari Persekutuan.

“…di Kelantan iaitu di sebelah pihak dipanggil ‘penghulu PAS’ dan di pihak yang lain dipanggil ‘penghulu BN’. Namun, kedua-dua penghulu ini tetap memiliki bidang tugas yang secara relatifnya adalah sama.” – Dipetik dari jurnal tulisan Mohd Izzuddin Ramli.

Kalau dah jadi JKKK/JKKKP ni, elaun mesti ada. Untuk JKKKP dan JKKK (yang sama dengan kerajaan pusat), elaun diorang dibayar oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Macam kat bawah:

Imej dari KKLW

Manakala, JKKK yang bukan dalam kerajaan pusat (negeri Pakatan Rakyat) pulak dibayar oleh kerajaan negeri masing-masing. Contohnya macam kat Selangor elaun Pengerusi JKKK (RM 1,200) dan kat Pulau Pinang pulak – Pengerusi JKKK (RM 700).

Sebenarnya pelantikan JKKKP ni dah pun dibantah dulu oleh kerajaan negeri Selangor. Sebabnya, ia didakwa bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Negeri, yang kata kuasa untuk tubuhkan jawatankuasa macam ni cuma ada untuk kerajaan negeri.

“…peranan JKKKP bukan sahaja tidak diiktiraf, malah ia antara punca yang akan menyebabkan berlakunya pecah belah di kalangan masyarakat setempat.” – Shuhaimi Shafiei, ADUN Sri Muda. Dipetik dari Selangorkini (14 Des 2013).

Siapa tengok sitkom ni? Imej dari Youtube.

Tapi nampaknya, JKKKP dah tak ada lagi lepas PRU-14 ni. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dah pun umumkan yang ianya akan dibubarkan.

“Kita sudah ada pegawai kerajaan yang boleh jalankan tugas. Kita tidak akan beri ganjaran kepada JKKKP kerana kita tidak mahu amalkan politik seperti kerajaan terdahulu.” – Kata Dr Mahathir, dipetik dari Sinar Harian.

Jadinya, sesiapa yang dah dilantik jadi anggota JKKKP tu, tak lama lagi hilanglah jawatan. Maka yang kekal hanyalah JKKK yang dilantik oleh kerajaan negeri.

3) JASA pernah didakwa menjadi jabatan propaganda UMNO/BN

Semalam ucap tahniah, esoknya dibubarkan. Imej dari JASA.

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ini ada jabatan yang dinaik taraf dari Badan Hal Ehwal Khas (BHEK) yang ditubuhkan selepas PRU 1958. BHEK ini ditubuhkan untuk memelihara dan mempertahankan kestabilan politik, agama dan Kerajaan. Pada tahun 1960, BHEK bertukar jadi Cawangan Hal Ehwal Khas (CHEK) bawah Jabatan Perkhidmatan Penerangan.

Pada Mac 2000, mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan penubuhan Jabatan baru yang dinaik taraf dari CHEK kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JHEK). Pada tahun 2004, singkatan JHEK ditukar menjadi JASA.

JASA ini ada beberapa fungsi termasuk:

  1. Penyediaan maklumat dan analisis politik
  2. Pengurus maklumat dan persepsi
  3. Pemudah cara bagi parti siasah dan Pertubuhan Bukan Kerajaan
  4. Memperjelas dan mendidik golongan sasar terhadap dasar-dasar Kerajaan dan isu-isu semasa

Ada beberapa fungsi lain yang korang boleh klik sini. Bila korang baca fungsi tu, korang rasa perlu ke tak perlu? Itu ikut pendapat masing-masing. Di arena politik, isu melibatkan JASA pernah dinaikkan oleh Tan Hong Pin (ADUN Mengkibol) pada tahun 2014. Dia mempertikaikan fungsi JASA dengan 1,046 kakitangan yang hanya menjadi Jabatan Propaganda UMNO/BN walaupun menerima peruntukan dianggarkan RM74 juta.

Isu lain melibatkan JASA disebut oleh Dr Wan Azizah pada tahun 2017 di Dewan Rakyat (ketua pembangkang waktu tu). Dia mempertikaikan mengenai gaji Ketua Pengarah JASA yang mencecah RM20,592 sebulan. Ianya lebih tinggi berbanding gaji Menteri Komunikasi & Mutimedia waktu itu yang bernilai RM14,907.20 sebulan.

Pada tahun 2017 juga, Rafizi Ramli waktu jadi Ahli Parlimen Pandan pernah mencadangkan supaya jabatan pertama dalam perkhidmatan awam yang patut dihapuskan serta-merta ialah JASA.

Imej dari Onsizzle.

Wang yang diterima JASA ketika itu berjumlah RM22.9 juta yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk 4,400 pelajar cemerlang di universiti tempatan sebagai biasiswa. Walaupun fungsi JASA banyak dipertikaikan serta bajet yang terlalu banyak diperuntukan, nampaknya JASA tetap diteruskan dengan mendapat dana yang lebih banyak tiap tahun. Pada pembentangan bajet 2018, JASA menerima peruntukan sebanyak RM30 juta berbanding RM22.9 juta pada tahun 2017 (meningkat 31.1 peratus).

Pada 25 April 2018, Ketua Pengarah JASA sejak 2015, Puad Zarkashi meletakkan jawatan. Dia memilih untuk letak jawatan sebab berpendapat sistem pemilihan calon untuk bertanding PRU dalam UMNO sudah rosak. Dia juga ada sebut bagaimana dia berjuang dalam JASA…

“Memang sistem kita rosak sehingga calon tidak bermoral dipilih. Calon yang tidak membantu parti juga terpilih. Walaupun mempertahankan kerajaan melalui JASA seperti tidak berbaloi tetapi meletakan jawatan adalah langkah terbaik.“- Puad Zarkashi, petikan dari Malaysia Kini.

JASAmu dikenang. Imej dari Mynewshub.

Jadi dengan kenyataan atas ni, terbukti yang JASA digunakakan untuk mempertahankan kerajaan. Sebab itulah, JASA pernah melakukan jelajah ke IPTA seluruh negara bagi menerangkan isu derma RM2.6 bilion, isu 1MDB, isu TPPA dan isu tuntutan Bersih kepada mahasiswa. Mereka mahu mahasiswa betul-betul faham isu dan jangan mudah terpengaruh dengan media sosial.

Akhirnya, JASA tak lagi boleh dipertahankan. Tun Mahathir dah mengumumkan JASA bakal dihapuskan termasuk tiga agensi lain yang kami sebut dalam artikel ini.

“Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi  nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.”- Tun Mahathir, petikan dari Malaysiakini.

__________

PERKEMBANGAN: Melalui Belanjawan 2021, nampaknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) ingin menghidupkan kembali JASA. Malah, dengan peruntukan yang cukup besar dari sebelumnya, iaitu sebanyak RM4 juta di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua sebanyak RM81.5 juta di bawah dasar baru. Ia menjadikan nilainya sebanyak RM85.5 juta.

4) Majlis Professor Negara yang ahlinya merupakan pemikir negara

Kalau korang nak tahu, Majlis Professor Negara (MPN) ditubuhkan pada tahun 2010. Bagi manusia yang dah bergelar Professor kat negara ni, dia secara automatik akan menjadi ahli MPN. Apabila dah masuk MPN ni – seseorang professor tu boleh pilih untuk join mana-mana kluster yang dia suka. Ada 14 kluster semuanya…kluster ni macam pengkhususan lah. Ada kluster sejarah, matematik, pertanian dan bla bla bla.

Penubuhan MPN ni ada empat objektif utama;

  • Menyumbangkan input kepakaran dari segi akademik dan profesional dalam pelbagai bidang, untuk kegunaan advokasi awam khususnya dalam memperkukuh asas penggubalan dasar negara serta pelaksanaan program yang dirancang.
  • Memberi sumbangan dalam bentuk khidmat nasihat dan pemikiran baharu dan terkini untuk meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai bidang pada peringkat nasional dan antarabangsa.
  • Menjadi penjaga atau pemegang amanah, dalam meningkatkan keunggulan dan integriti ilmiah serta profesional para profesor negara.
  • Memberi peluang kepada ilmuwan elit ini memberi sumbangan kepakaran masing-masing sebagai balasan kepada segala kemudahan, bantuan serta nikmat kesejahteraan yang mereka nikmati selama ini.

Agak-agaknya professor ni diorang jemput tak? Imej dari Giphy

Kalau korang buat carian kat pak cik Google – korang akan lihat diorang selalu puji Barisan Nasional masa masih jadi kerajaan dulu. Tak pun, diorang punyalah optimis dengan semua keputusan kerajaan. Selepas Pakatan Harapan menang pulak, ada seorang ahlinya cadangkan supaya Program Permata yang sering dikaitkan dengan Rosmah diteruskan.

“Walaupun program itu dikaitkan dengan isteri bekas perdana menteri dahulu, kita harus lihat projek itu satu projek yang murni iaitu projek pendidikan mencari bakat anak-anak dan digilap bakatnya.” – Prof Datuk Teo Kok Seong, dipetik dari FMT

Comelnya budak-budak Permata ni. Imej dari NST

Seperti yang kebanyakan korang dah tahu, MPN telah dibubarkan oleh Perdana Menteri kita. Menurut Tun Mahathir  matlamat asal penubuhan Majlis Profesor Negara bertujuan untuk memberi maklumat berguna kepada kerajaan tetapi sebaliknya sudah disalahgunakan untuk menyokong agenda kerajaan semata-mata. Tun Mahathir juga kata dia yang kerajaan dah tak perlukan mereka, kerana kerajaan sekarang dah ada kepintaran yang diperlukan.

Nama Majlis Professor Negara ni gempak kot, yalah siapa je tak rasa hormat kalau dengar perkataan professor. Semua orang tahu maksud professor tu orang bijak. Tapi tulah, kebijakan seseorang tu tak bermaksud dia tak akan digunakan sebagai alat politikan? Kalau kerajaan baru ni nak buat majlis baru, kita harap majlis tu lebih bebaslahkan.

PERKEMBANGAN: Walaupun dibuburkan, MPN kemudiannya masih lagi beroperasi sebagai badan bebas tanpa ada kaitan dengan kerajaan.

Ketirisan wang berkurang, rakyat diutamakan

Imej dari FMT.

Nampaknya, langkah pembubaran agensi ini bukanlah suka-suka, sebab kerajaan PH kata ia sebagai langkah untuk mengurangkan perbelanjaan kewangan negara. Beberapa siasatan terhadap isu berkaitan 1MDB pun sedang berjalan dengan rampasan yang dianggarkan berjuta ringgit. Mudah-mudahan segala ketirisan yang berlaku sebelum ini dapat dikurangkan serta kewangan negara yang akan datang lebih mengutamakan rakyat.

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend