Matahari tidak terbenam? Ini cara ulama selesaikan isu puasa di negara ‘midnight sun’

*Artikel ini pernah diterbitkan pada 15 April 2021*

Korang tahu kan, sekarang dah masuk bulan Ramadhan, jadi kita semua kena berpuasalah. Jangan tak puasa pula atau menjadi geng plastik hitam. Bukan apa, takut nanti sedap-sedap makan masa tengahari, tahu-tahu kena serbu dengan majlis agama.

Haaa…jangan jadi macam ni lak:

Satu lagi, korang yang tak puasa ni lembik la. Nak tahu kenapa? Kita di Malaysia ni waktu berpuasa cuma 13 jam ke 14 jam sahaja. Korang belum tengok lagi negara-negara luar sana yang berpuasa lebih dari waktu puasa kita. Sebut pasal waktu berpuasa, korang tahu tak, kita ni pernah ada fatwa waktu berpuasa untuk umat Islam di negara yang mempunyai fenomena midnight sun? Kepada yang tak tahu, midnight sun ialah…

Fenomena matahari tegak di langit walaupun pada waktu tengah malam

Ni tengah malam tau tapi nampak macam petang. Imej dari Visit Norway.

Kami tahu yang korang pun pening, apa benda fenomena midnight sun ni? Kenapa sampai keluar fatwa berpuasa untuk negara yang ada fenomena ni? Takpe, meh le baca dulu, nanti korang faham la.

Midnight sun adalah fenomena semula jadi yang berlaku pada musim panas di selatan Lingkaran Antartika dan utara Lingkaran Artik. Apa yang menarik, korang dapat melihat matahari tegak di langit dari siang sampai malam. Maksudnya, walaupun pada waktu malam, korang boleh nampak matahari.

Tak percaya? Mari tengok video ni:

Kalau korang nak tahu, setiap kawasan mempunyai perbezaan tarikh berlakunya fenomena midnight sun. Mari lihat senarai kawasan serta tarikh berlakunya fenomena itu:

  1. Bodø, Norway (memang namanya bodo okay!) (tarikh: 4 Jun – 8 Julai).
  2. Pulau Lofoten, Norway (tarikh: 28 Mei – 14 Julai).
  3. Harstad, Norway (tarikh: 25 Mei – 18 Julai).
  4. Vesterålen (tarikh: 22 Mei – 1 Julai).
  5. Tromsø, Norway (tarikh: 20 Mei – 22 Julai).
  6. Svalbard, Norway (tarikh: 20 April –  22 Ogos).
  7. Kawasan Lingkaran Artik (tarikh: 12 Jun – 1 Julai).

Selalunya, ramai orang akan bercuti ke kawasan-kawasan yang kami senaraikan di atas ketika berlakunya fenomena midnight sun. Hal ini kerana mereka nak ambil gambar dan video timelapse pemandangan midnight sun, tu je!

Habistu, kalau fenomena midnight sun ni berlaku, pagi atau malam sama saja kan. Jadi, macam mana orang Islam di sana menjalankan ibadah puasa? Sebab dalam Islam kata, kita kena berpuasa dari terbit fajar sidik sehingga terbenam matahari.

Takkan nak puasa 24 jam. Imej dari giphy.

Haaa…tak payah pening kepala kerana…

Mereka mengikut apa yang difatwakan oleh Ijma Ulama

Masjid ni dapat gelaran Midnight Sun Mosque sebab di sini sering berlaku midnight sun. Imej dari Iqra’.

Macam kami sebut di atas, jika berlakunya fenomena midnight sun, matahari akan tegak selama 24 jam tau. Habistu takkan nak puasa 24 jam tanpa berbuka dan sahur?

Haaa…rupa-rupanya mereka ni telah diberikan beberapa syarat atau cara untuk berpuasa jika mereka berada di kawasan midnight sun.

Pertama, mereka dibenarkan berpuasa, bersolat terawih, berbuka puasa dan bersahur mengikut waktu Makkah. Contohnya, kalau Makkah waktu maghribnya pukul 6.39 petang, maka mereka juga akan berbuka pada pukul 6.39 petang.

Kedua, mereka juga dibenarkan mengikut waktu berpuasa di kawasan terdekat yang tidak mempunyai fenomena midnight sun. Contohnya, kalau ada kawasan terdekatnya tiada fenomena itu, jadi mereka boleh ikut waktu berpuasa kawasan itu.

Kedua-dua pendapat di atas merupakan persetujuan dari para ulama iaitu:

  • Sheikh Muhammad Abduh.
  • Sheikh Jad al-Haq.
  • Sheikh Abdul Latif Hamzah.
  • Sheikh Said Tantawi.
  • Sheikh Ali Jumuah.
  • Sheikh Mustafa al-Zarqa’.
Semua ulama bersatu dalam perkara ini! Imej dari giphy.

Selain itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sudah mengeluarkan fatwa mengenai perkara ini. Mereka di sana perlu berpuasa seperti biasa mengikut waktu terbit dan tenggelam matahari. Walaupun siang dan malamnya sama sahaja tapi waktu pagi serta malam masih ada.

Perkara ini sebenarnya berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan waktu solat itu dilakukan pada watu siang dan malam.

Firman Allah S.W.T:

“Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).” – Surah Al- Isra’, ayat ke 78.

Firman Allah S.W.T lagi:

“Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” – Surah Al-Nisa, ayat ke 103.

Kedua-dua firman di atas sebenarnya berkait rapat dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru Bin al-‘As. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Waktu Zohor adalah ketika matahari tergelincir. Iaitu bila bayang seseorang sama dengan ketinggiannya. Waktu asar adalah selagimana matahari tidak kekuningan. Waktu solat Maghrib selagimana mega tidak hilang.

___

Waktu solat Isyak pula berpanjangan sehingga sebahagian tengah malam. Dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar dan berpanjangan selagimana matahati tidak terbit. Jika matahari sudah terbit maka berhenti bersolat. Kerana pada waktu itu, matahari terbit di antara dua tanduk Syaitan.” – Riwayat Muslim (1419).

Oh ye, Sheikh Mustafa al-Zarqa’ (ulama yang kami sebut di atas) turut memberi hujah mengenai isu ini:

“Yang paling penting adalah menjaga maqasid syariat dalam menentukan waktu solat dan juga waktu berpuasa agar ia tidak menjadi satu taklifan yang tidak  mampu dilakukan. Dan juga menyerlahkan maksud syariat itu tanpa ada pengurangan padanya.” – Sheikh Mustafa al-Zarqa’, dipetik dari laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Waktu berbuka puasa di Burj Khalifa yang sangat unik

Punyalah tinggi Burj Khalifa ni sampai ada perbezaan waktu berpuasa. Imej dari terralonginqua.

Sebenarnya, selain dari fatwa waktu berpuasa di negara yang ada fenomena midnight sun ni, kita juga ada perkara menarik lain — Waktu berpuasa di Burj Khalifa berbeza mengikut tingkat. Korang baca pun macam pelik, tapi benda memang betul-betul berlaku.

Jabatan Hal Ehwal Islam dan Aktiviti Amal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menetapkan tempoh berpuasa penduduk yang tinggal antara tingkat 60 dan aras 120 adalah empat minit lebih lama berbanding kawasan lain di Dubai. Sesiapa yang tinggal di tingkat 121 dan ke atas pula perlu berpuasa enam minit lebih lama manakala waktu solat subuh adalah tiga minit lebih awal.

Agak-agaknya en, mesti ada banyak lagi waktu berpuasa yang unik di setiap negara atau kawasan?