Makna tersirat 7 Wasiat Raja-Raja Melayu & kisah perjanjian antara rakyat dan raja

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 8 September 2017. 

Ketika seluruh negara-negara di dunia ini memiliki hanya seorang raja, tetapi ia tidak bagi Malaysia. Sebabnya, kita ada sejarah beraja yang unik bila sembilan negeri di negara ini masih kekal di bawah payung naungan Raja/Sultan. Institusi Raja telah wujud sejak lebih enam abad lalu di negara ini. Istilah ‘Kerajaan’ itu sendiri berasal dari perkataan Sanskrit ‘Ke-Raja-An’ iaitu bermaksud rakyat yang tertakluk kepada seorang Raja Pemerintah.

Setelah kita mencapai kemerdekaan pada 1957, institusi raja di negara ini mula dikenali sebagai institusi Raja Berperlembagaan. Hal ini terbukti apabila 10% dari perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah tentang  berkaitan dengan raja.

“Persekutuan Tanah Melayu ketika menghadapi opsyen menggubal Perlembagaan Merdeka tidak sekadar mengekalkan tradisi beraja di peringkat negeri malah telah memperkenalkan satu lagi lapisan pemerintahan beraja dalam sistem Persekutuan, dengan mewujudkan seorang Ketua Utama Negara bergelar Yang di-Pertuan Agong;

____

Raja kepada seluruh Persekutuan. Secara harfiahnya gelaran tersebut bermaksud Dia Yang Terulung Dalam Kalangan Kami, iaitu primus inter pares.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Raja-raja, para pembesar Melayu & pegawai British di Mesyuarat Pertama Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu (Durbar). Imej dari Arkib Negara.

Bagaimanapun pada tahun 2009, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah (sekarang Sultan Perak) telah mengingatkan rakyat negara ini (khususnya orang Melayu) tentang ‘7 Wasiat Raja-Raja Melayu’. Tujuh wasiat inilah yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika rakyat bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Mengenangkan perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba

Jika kita menyelusuri Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin), telah diterapkan usaha mendidik rakyat supaya sentiasa taat kepada raja seperti mana yang dipersetujui dalam waadat (perjanjian) antara Demang Lebar Daun (seorang rakyat) dengan Sang Sapurba (raja).

Perjanjian antara Demang Lebar Daun & Sang Sapurba. Imej dari Projek Dialog.

Perjanjian ini menjadi asas taat setia orang Melayu kepada raja mereka. Menurut perjanjian, keturunan Demang Lebar Daun (orang Melayu) harus taat dan setia kepada raja mereka, walau dizalimi sekalipun. Dalam masa sama, keturunan Sang Sapurba (raja Melayu) juga berjanji yang mereka tidak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walaupun dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan kalau nak dihukum mati, ia harus mengikut hukum Syarak.

Tapi, Demang Lebar Daun juga memberikan syarat jika anak cucu raja mengubah waadat itu, maka anak cucunya juga boleh berbuat demikian.

“Islam telah membawa Raja Melayu kepada konsep murni, muafakat dan adil. Konsep adil dapat ditafsirkan sebagai menepati semangat perjanjian antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan ‘magna carta’ Melayu bertuankan Raja bersandarkan konsep keadilan yang dibayangkan dengan kata-kata ‘Raja Adil – Raja disembah’.” – Titah Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak (sekarang Sultan Perak).

Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Imej dari mimbarkata.blogspot

Dalam waktu yang sama, Sultan Nazrin juga mengingatkan para pemimpin untuk ambil pengajaran dan iktibar dengan kejatuhan empayar Melaka. Ia kerana, kejatuhan itu berlaku akibat raja dan pemimpin yang mula hilang pedoman bila berada dalam kegembiraan dan keasyikan. Oleh itu, tidak kira dari kalangan orang atasan mahupun rakyat biasa, kita semua bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing.

Dalam kata lain, raja dan rakyat saling melengkapi sebagai mana apa yang telah disumpahkan oleh Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Konsep ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’ itu juga bermaksud, kuasa-kuasa raja yang ada adalah – tanpa mengambil atau menafikan hak-hak rakyat jelata demi menaungi kesejahteraan ramai.

“Seperti dipetik dan dinasihatkan dengan indah dalam naskhah agung Sejarah Melayu lagi, bahawa: ‘Raja-Raja itu, jikalau bagaimana sekalipun tahunya, seandai tiada muafakat dengan segala pegawai, tiadalah akan sentosa kerajaannya’. Pada helaian yang lain pula dimadahkan: ‘Raja itu umpama pohon, manakala rakyat pula ibarat akarnya’.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Mungkin ramai yang masih ingat, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V (Sultan Kelantan) dulu pernah menyamar jadi ‘orang biasa’ untuk membantu mangsa banjir. Imej dari Astro Awani.

Oleh itu, adalah baik untuk kita membincangkan isi kandungan wasiat ini:

Wasiat Raja-Raja Melayu, tetap dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan

7 Wasiat Raja-Raja Melayu itu adalah:

  1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu  junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
  4. Kami kekalkan dan kami JAMIN KERAJAAN DAN KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini.
  5. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
  6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu  untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Imej dari Jabatan Penerangan Malaysia.

Jika kita menilai setiap satu isi kandungan wasiat tersebut dan membandingkannya dengan Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati yang ianya langsung tidak bercanggah. Perkara ini penting, sebabnya Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen teragung di negara ini. Berikut adalah apa yang boleh disenaraikan:

Wasiat 1: Nama negara sebagai Persekutuan Tanah Melayu (selepas itu Malaysia)

Hal ini disebut dalam Perkara 1 yang menyatakan nama negara adalah ‘Persekutuan Tanah Melayu’ sebelum ditukar kepada ‘ Malaysia’ pada 1963. Dalam erti kata lain, Raja-Raja Melayu dah mewasiatkan bumi dan langit yang kita junjung ini dengan nama Persekutuan Tanah Melayu, dan kini telah mewasiatkan pula Malaysia yang diamanahkan untuk kita semua menjaganya.

“Persekutuan dinamai Malaysia dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Inggeris.” – Perkara 1, Perlembagaan Persekutuan.

Setem Merdeka. Imej dari duacongkak.wordpress

Wasiat 2: Tanah Rizab Melayu

Ia terdapat dalam Perkara 89 dan 90 Perlembagaan Persekutuan, tentang Tanah Simpanan Melayu.

“Mana-mana tanah di sesuatu negeri yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu.” – Perkara 89, Perlembagaan Persekutuan.

Masyarakat Melayu zaman dulu. Imej dari Delcampe.

Mengikut undang-undang, Tanah Rizab Melayu tak boleh dijual atau dibeli oleh orang bukan Melayu kerana ia dikhaskan untuk orang Melayu mengikut peraturan-peraturan setiap negeri. Malah, takrifan Melayu di setiap negeri itu juga berbeza (boleh rujuk fail PDF).

Bagaimanapun, saiz Tanah Rizab Melayu dikatakan semakin menurun disebabkan pembangunan melalui pengambilan tanah untuk pembinaan prasarana terutamanya lebuh raya. Apa yang merunsingkan lagi adalah, pengambilan tanah ini nampaknya tak diganti semula seperti mana yang ditetapkan di bawah Perkara 89. Kerana itulah, ada desakan dari pelbagai pihak supaya tanah ini diganti oleh pihak kerajaan negeri.

Imej dari buletinonline.net

Wasiat 3: Penubuhan Rejimen Askar Melayu

Hal ini terdapat dalam Perkara 41, mengenai kedudukan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Jika kita telusuri sejarah, Rejimen Askar Melayu diasaskan pada 1 Mac 1933 apabila 25 orang pemuda Melayu dah diambil berkhidmat untuk menubuhkan Skuad Percubaan Rejimen Askar Melayu di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Tentera Port Dickson, Negeri Sembilan beberapa bulan sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua. Imej dari Kosmo.

Perkara ni jadi bila adanya desakan dari orang kenamaan Melayu seperti Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Raja Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau). Dengan tertubuhnya skuad ini, maka berlakulah detik permulaan sejarah Angkatan Tentera Malaysia dengan penubuhan Tentera Darat Diraja Malaysia.

“Pegawai Memerintah yang pertama merupakan Leftenan Kolonel GMC Bruce MC manakala orang Melayu pertama memegang jawatan tersebut yang juga Pegawai Memerintah ke-13 ialah Leftenan Kolonel Tengku Ahmad Burhanuddin (1960-1961)

_____

Sementara Sarjan Mejar Rejimen (SMR) Melayu pertama ialah Pegawai Waran 1 Ahmad (1953-1954). Panji-panji pertama batalion itu telah dianugerahkan oleh Sir Henry Gurney di Taiping, Perak pada 12 Februari 1939.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Wasiat 4: Mengekalkan kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu

Hal ini pula terdapat dalam banyak Perkara-Perkara Pelembagaan Persekutuan seperti di Perkara – 32, 38, 39, 70, 71, 159 dan 181.

“Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif (hak istimewa), kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.” – Perkara 181, Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, kita juga kena faham dengan sistem kerajaan yang diamalkan di Malaysia. Ini kerana, kita mengamalkan sistem pengasingan kuasa di antara kuasa legislatif (perundangan), eksekutif (pentadbiran) dan judisiari (kehakiman), di mana Yang Di-Pertuan Agong mengimbangi ketiga-tiga kuasa ini.

Imej dari slideshare.net

“…kita mengamalkan sistem pengasingan kuasa. Parlimen hanya ada hak untuk meluluskan undang-undang. Kemudian ada badan eksekutif, ia diketuai oleh kabinet….eksekutif hanya mempunyai satu tugas iaitu menguatkuasakan undang-undang yang sudah diluluskan.

_______

Tetapi bila timbul masalah tentang tafsiran undang-undang, hanya bahagian kehakiman ada hak membuat keputusan. Dalam hal ini, jika timbul masalah, kena pergi ke mahkamah. Mahkamah akan tetapkan takrifnya.” – Prof Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim. Sejarawan Negara. Katanya kepada SOSCILI.

Cepat-cepat nak tafsir apa ni? Imej dari Giphy.

Wasiat 5: Islam adalah Agama Persekutuan

Islam sebagai Agama Persekutuan termaktub dalam Perkara – 3(1), 11(2), 11(4), 12(2), dan 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.” – Perkara 3 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, Raja-Raja setiap negeri adalah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing. Tapi, bagi negeri yang tak beraja, maka YDP Agong adalah Ketua Agama Islam untuk negeri berkenaan. Seperti yang kita tahu, perkara yang berkaitan hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Solat sunat Aidilfitri bersama Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke-4, Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin (tengah). Turut kelihatan (di sebelah kiri) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein. Imej dari Astro Awani.

Mengikut kajian, mahkamah pernah mentafsirkan beberapa kali tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

  1. Islam dalam perlembagaan hanya terbatas kepada soal-soal upacara dan seumpamanya. Ia diputuskan oleh Ketua Hakim Negara pada 1988.
  2. Kedudukan Islam adalah tinggi dan mengatasi agama-agama lain. Diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2000.

“Tafsiran yang diberikan oleh Hashim Yeop Sani (1973) menjelaskan bahawa Perkara 3 itu sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama negara ialah Islam.

____

Maka, mana-mana tafsiran yang mewujudkan satu percanggahan di antara dokumen ciptaan manusia (perlembagaan) dengan perintah Allah (al-Quran dan as-Sunnah), maka tafsiran itu tidak boleh dipakai.” – Dipetik dari jurnal tulisan Nazri Muslim dan Ahmad Hidayat Buang.

Wasiat 6: Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan

Hal ini ditetapkan dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Disebabkan dengan apa yang telah ditetapkan itu, maka realitinya bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa dominan, bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan bahasa lambang bangsa warga Malaysia. Oleh itu, kedudukannya kena dihormati.

“Kita tidak memerlukan undang-undang baharu (untuk memartabatkan Bahasa Melayu) kerana sudah pun wujud ketinggian kedudukan bahasa di bawah Perlembagaan serta beberapa akta seperti Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan serta Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.

____

Majlis ini perlu diberi imuniti untuk mendaulat, memperkasa, mengangkat, memelihara, membimbing dan melatih jiwa bangsa Malaysia melalui bahasa kebangsaan.” – Prof Dr Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM). Dipetik dari Utusan Malaysia.

Cintailah Bahasa Kebangsaan kita. Imej dari triadkillerpie.blogspot
Wasiat 7: Kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain

Hal ini pula terdapat dalam Perkara 153 dan 38(5) Perlembagaan Persekutuan.

“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.” – Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.

Imej dari pmptsbg2.blogspot

Perkara ini juga selalunya dikaitkan dengan konsep ‘Kontrak Sosial dan ‘Ketuanan Melayu’. Tapi benar ke adanya konsep-konsep ini?

Konsep ‘Kontrak Sosial’ dan ‘Ketuanan Melayu’, sebenarnya bukan konsep undang-undang

Hal tentang hak istimewa orang Melayu, memang satu perkara yang sensitif. Malah, sesiapa yang mempersoalkannya atau mencadangkan supaya ianya dihapuskan daripada perlembagaan, secara perundangannya itu dianggap sebagai satu hasutan. Tapi, ada juga pihak yang mentafsirkan perkara ini sebagai kontrak sosial dan ketuanan Melayu.

Klik imej untuk baca lebih lanjut.

Menurut Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengerusi Panel Perunding Perpaduan Ummah Majlis Dakwah Negara (PPPU-MDN), konsep kontrak sosial dan ketuanan Melayu sebenarnya bukan konsep undang-undang dan tak ada peranan dalam mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri.

Menurutnya, konsep Ketuanan Melayu adalah suatu keadaan yang ada hubungan dengan kedaulatan, kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu sebelum 1957. Ia bermaksud raja-raja memberikan perlindungan kepada rakyatnya iaitu orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu tentang hak-hak mereka. Seperti, bahasa Melayu, adat resam orang Melayu dan hal ehwal agama Islam.

“Semua hak dan unsur yang tersebut telah pun diambil kira dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan konsep Perlembagaan Negara merupakan Raja dalam Perlembagaan iaitu yang disifatkan sebagai ‘Constitutional Monarchy’. Segala hak istimewa orang Melayu dilindungi mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri.

____

Konsep Ketuanan Melayu tidak ada peranan lagi berhubung dengan Perlembagaan kerana ia bukanlah konsep undang-undang.” – Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengerusi PPPU-MDN. Perlembagaan Malaysia: Peranan dan Bidang Kuasa Raja-Raja.

Ermm..okey. Imej dari Giphy.

Berkenaan dengan konsep Kontrak Sosial pula, ada pihak yang kata ia muncul dalam tahun 1980-an iaitu merujuk pada isi persetujuan antara UMNO, MCA dan MIC masa mereka mula-mula berunding dengan pihak Raja-Raja Melayu dan British untuk mencapai kemerdekaan. Walaupun begitu, menurut Abdul Aziz tak ada sesiapa yang betul-betul tahu sejarah dari mana perkataan tu datang.

“Ada keraguan sama ada perkataan ‘kontrak sosial’ wujud sewaktu perundingan untuk mencapai kemerdekaan. Wakil-wakil kaum dan parti politik, Raja-Raja Melayu dan British tidak pernah mengaitkan perundingan mereka dengan konsep kontrak sosial dan konsep dan perkataan itu tidak disebut oleh sesiapa.” – Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengerusi PPPU-MDN. Perlembagaan Malaysia: Peranan dan Bidang Kuasa Raja-Raja.

Tapi, apa yang dapat disimpulkan sekarang adalah masyarakat umum memang dah terima konsep kontrak sosial. Oleh itu, menurut Abdul Aziz apa yang penting, kita menghormati dan tak mempertikaikan peruntukan perlembagaan yang telah wujud lebih setengah abad.

“Kontrak sosial yang disebutkan oleh pelbagai pihak diberi erti timbal balas ‘quid pro quo’ iaitu tolak ansur dalam perundingan kemerdekaan. Perlu diingat bahawa ‘quid pro quo’ atau timbal balas tidak relevan dalam perundingan itu, bagi perkara-perkara berikut oleh sebab sebelum merdeka dan diiktiraf oleh kerajaan British.

____

Dalam perundingan kemerdekaan adalah dipersetujui bahawa perkara-perkara berikut diiktiraf dan dijadikan peruntukan Perlembagaan.” – Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengerusi PPPU-MDN. Perlembagaan Malaysia: Peranan dan Bidang Kuasa Raja-Raja.

Tunku Abdul Rahman & Tun Tan Siew Sin dalam satu majlis makan malam. Imej dari The Star.

Untuk tahu dengan lebih panjang tentang isu ini, boleh baca kat sini (fail PDF). Tapi, setelah kita bincang panjang lebar tentang wasiat ini. Masih ada masalah yang dihadapi oleh para pengkaji.

Kajian dapati dokumen asal wasiat ini masih belum dijumpai

Berdasarkan sumber, wasiat ini disampaikan ketika Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan untuk membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957. Tapi nampaknya, Dr Mohd Fauzi Shaffie, Pengurus Besar Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) dalam kajiannnya mendapati, usaha mencari dokumen asal wasiat itu masih lagi tak berjaya.

“…saya gagal menemui naskhah asal seperti yang dikhabarkan oleh sebaran-sebaran tersebut. Apa yang saya dapati daripada Arkib Negara Malaysia sebagai naskhah paling awal adalah naskhah berupa poster bersaiz A4 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan pada tahun 2010 tetapi tidak ada rujukan kepada dokumen asal,

____

dan tidak ada gambar dokumen asal yang tertulis padanya tujuh wasiat dan tertera padanya tandatangan-tandatangan Raja-Raja Melayu. Tertera pada poster tersebut ‘Wasiat Raja-Raja Melayu dan Pemimpin-Pemimpin yang diperbuat semasa merdeka pada 31 Ogos 1957′.” – Dr. Mohd Fauzi Shaffie, Pengurus Besar IKSIM. Dipetik dari kertas kerja Menyusur Akar Wasiat 7.

Antara yang dijumpai di ruang siber. Imej dari kembarapolitik.blogspot

Menurut Dr Fauzi lagi, tidak ada sebarang laporan akhbar mengenai wasiat ini dari sekitar tarikh 3 Ogos sehingga dua minggu selepasnya (seperti mana laporan yang kata ia disampaikan pada 5 Ogos 1957). Apa yang berlaku masa tarikh 5 Ogos itu adalah majlis tandatangan Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Raja-Raja Melayu dan Sir Donald MacGillivary (Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu).

Oleh itu, kitorang ada menghubungi Dr Fauzi untuk tahu status pencarian dokumen asal wasiat ini. Tapi nampaknya keputusan masih sama iaitu masih lagi belum dijumpai. Tapi usaha ini masih lagi diteruskan.

Raja-Raja Melayu bergambar dengan Sir Donald MacGillivary selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kemerdekaan, pada 5 Ogos 1957. Imej dari indahnyaislam.my

Bagaimanapun, apa yang dapat difahami adalah kandungan wasiat ini semuanya selaras dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peringatan Raja-Raja supaya wasiat ini dijaga dengan baik

7 Wasiat Raja-Raja Melayu ini adalah ingatan dan amanah Raja-Raja Melayu untuk rakyatnya khususnya orang Melayu supya menjaga dengan baik semua wasiat itu dengan baik. Semua wasiat ini juga dah dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai persetujuan dan rujukan utama pemerintahan.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.