fbpx
November 23, 2024

Wabak Smallpox: Gerakan anti-vaksin yang menentang Akta Vaksin pada abad ke-19

Beberapa hari lepas, Malaysia telah menerima vaksin Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos pada 21 Februari 2021 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia merupakan sinar baharu bagi rakyat Malaysia supaya kita semua dapat hidup macam biasa.

“Satu sinar baharu, medan perjuangan baharu dan berbeza dengan strategi tambahan untuk memerangi virus, memberikan sinar harapan.” – Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, petikan dari Astro Awani.

Alamak one world? Ini mesti agenda Yahudi ni. Imej dari JKJAV.

Namun, semasa Malaysia menerima berita gembira mengenai ketibaan bekalan vaksin ini, terdapat satu titik nila yang telah merosakkan susu belanga iaitu golongan anti-vaksin. Banyak anggapan buruk yang dilontarkan oleh mereka seperti vaksin ada babi, ada mikrocip, dan mengatakan ini semua agenda Yahudi.

Kalau korang nak tahu, gerakan anti-vaksin bukan baru-baru ni je kerana ia sudah muncul sejak abad ke-19 lagi. Masa tu gerakan anti-vaksin untuk penyakit cacar (smallpox) di U.K. Kalau nak tahu lebih lanjut, mari ikuti kisah menarik ini.

Vaksin smallpox yang dianggap tak mengikut hukum agama Kristian

Dulu, siapa ambil vaksin, korang dianggap keluar agama. Imej dari Intriguing History.

Pada abad ke-18, wabak epidemik penyakit cacar (smallpox) telah menghantui penduduk Eropah serta telah membunuh seramai 400,00 orang Eropah setiap tahun. Bukan itu sahaja, ia juga mencatatkan kematian seramai 300-500 juta orang penduduk dunia dan kematian dari kalangan kanak-kanak adalah tinggi.

Sebenarnya, asal-usul penyakit cacar ini masih menjadi misteri tapi bukti awal penyakit cacar telah dijumpai pada muka mumia Firaun Ramses V yang meninggal pada tahun 1157 SM. Ia juga dikatakan wabak cacar pertama yang tercatat pada tahun 1350 S.M., semasa Perang Mesir-Het.

Kalau korang tak tahu lagi apa itu penyakit cacar (smallpox), ia merupakan penyakit yang menyebabkan bintik-bintik berwarna merah muncul di muka, tangan dan lengan bawah serta di bahagian badan. Ia juga terbahagi kepada dua iaitu variola minor dan variola major.

Edward Jenner menjalankan kajian vaksin untuk penyakit cacar. Imej dari Wikipedia.

Kisahnya bermula pada tahun 1798 apabila seorang saintis, Edward Jenner berjaya melaksanakan satu kajian vaksin iaitu satu dos jangkitan cacar yang ringan memberi perlindungan dari penyakit cacar. Awal-awal tu kajian vaksin Edward meraih kejayaan tetapi dia juga mendapat kritikan dari masyarakat.

Hal ini kerana vaksin penyakit cacar ini dianggap berbahaya dan tidak elok untuk kanak-kanak bagi golongan ibu bapa. Ada juga penentang berkata vaksin ini sebenarnya tidak mengikut hukum agama Kristian kerana bersumberkan haiwan.

Selain itu, terdapat juga segelintir masyarakat yang mempunyai sikap skeptikal terhadap kajian vaksin Edward. Majoriti dari mereka tidak mahu mengambil vaksin kerana mereka percaya ia diibaratkan seperti melanggar hak kebebasan hidup. Konflik anti-vaksin juga semakin teruk apabila kerajaan memberitahu tentang kebaikan mengambil vaksin.

Entahnye, merepek je. Imej dari Meme Creator.

Disebabkan segelintir masyarakat menjadi anti-vaksin, Kerajaan U.K telah mengeluarkan Akta Vaksin 1853 iaitu melaksanakan suntikan vaksin mandatori bermula dari bayi berumur 3 bulan ke atas. Terdapat juga akta pada tahun 1867 yang menyuruh semua orang mengambil suntikan vaksin pada usia 14 tahun dan hukuman diberikan jika menolak vaksin.

Undang-undang vaksin ini telah ditentang oleh ramai orang kerana mereka ingin menuntut hak menjaga tubuh badan mereka dari vaksin. Ia juga ditambah dengan khabar angin mengenai kematian disebabkan vaksin dan penindasan haiwan menyebabkan ramai orang menentang vaksin.

Jadi, disebabkan penentangan inilah munculnya…..

Gerakan anti-vaksin bagi melawan akta vaksin dari kerajaan

Gambar ini menunjukkan Edward dan anti-vaksin. Imej dari The Conversation.

Selepas Kerajaan U.K menggubal akta vaksin, terdapat sebilangan masyarakat menubuhkan the Anti Vaccination League dan the Anti-Compulsory Vaccination League bagi melawan mandatori vaksin yang dilaksanakan oleh Kerajaan U.K. Penubuhan gerakan anti-vaksin ini juga menyebabkan munculnya jurnal-jurnal mengenai anti-vaksin.

Bandar Leicester merupakan pusat kegiatan anti vaksin dan banyak demonstrasi anti-vaksin dilaksanakan. Dalam surat khabar tempatan mereka ada menceritakan mengenai suasana demonstrasi itu:

Sebilangan masyarakat besar berkumpul sambil membawa sepanduk, untuk mengawal seorang ibu muda dan dua lelaki, yang semuanya telah memutuskan untuk menyerahkan diri kepada polis dan menjalani hukuman penjara sebelum memilih untuk anak-anak mereka diberi vaksin… Ketiganya dihadiri oleh ramai orang … kemarahan mereka semakin membara ketika mereka memasuki pintu sel polis. – petikan dari Archives of Diseases in Childhood.

Demonstrasi Leicester pada Mac 1885 adalah salah satu demonstrasi anti-vaksin yang paling terkenal. Seramai 80,000-100,000 anti-vaksin yang menyertai demonstrasi sambil membawa sepanduk, keranda, dan patung menyerupai Edward Jenner.

Harapnya tiada demo menentang vaksin COVID-19. Imej dari giphy.

Disebabkan demonstrasi itu, sebuah kumpulan kajian vaksin terancang ditubuhkan bagi mengkaji vaksin secara terperinci. Pada 1886, mereka telah mengisytiharkan bahawa vaksin sememangnya dapat menyembuhkan penyakit cacar dan mereka juga menyarankan supaya hukuman terhadap anti-vaksin dimansuhkan.

Oleh itu, hukuman dalam akta vaksin dihapuskan pada 1898 dan sesiapa yang tidak mahu mengambilnya lebih-lebih lagi golongan ibu bapa yang ada anak, boleh mengambil sijil pengecualian.

Vaksin COVID-19 selamat digunakan dan tiada paksaan

KJ ada menyatakan tentang tiada paksaan suntikan vaksin. Imej dari Astro Awani.

Seperti yang korang tahu, terdapat aktivis atau golongan yang cuba menyebarkan berita palsu mengenai bahaya vaksin terhadap manusia. Ada yang menyatakan vaksin COVID-19 merupakan sebuah agenda yang dilaksanakan bagi menghapuskan sebilangan besar penduduk dunia. Ada juga menganggap vaksin itu mempunyai mikrocip yang boleh mengawal minda penduduk dunia.

Sebenarnya suntikan vaksin ini tiada paksaan pun kerana ia dijalankan secara sukarela. Hal ini dapat dibuktikan dengan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin iaitu tiada mana-mana pihak dipaksa untuk menerima vaksin. Beliau juga bertegas supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba untuk menakut-nakutkan orang dengan info palsu.

“Tidak ada sesiapa yang dipaksa untuk terima vaksin COVID-19 kerana ia dijalankan secara sukarela. Saya harap aktivis tidak menakut-nakutkan mana mana masyarakat dengan kenyataan palsu.” – Khairy Jamaluddin, petikan dari Astro Awani.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr. Rohaizat Yon turut menyatakan vaksin COVID-19 selamat digunakan tiada mikrocip didalamnya. Kaedah Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin selamat digunakan.
“mRNA adalah sangat kecil, kita tidak boleh memasukkan mikrocip di dalamnya dan juga ia tidak berinteraksi dengan genom manusia.” – Datuk Dr. Rohaizat Yon, petikan dari Malaysiakini.
Jadi, korang yang tengah baca ni, walaupun ramai doktor sudah buktikan tentang keberkesanan dan keselamatan vaksin, adakah korang masih percaya dengan anti-vaksin?

 

 

Share via
Send this to a friend