Insan bukan Melayu ni habiskan separuh hidupnya mengkaji seni budaya Melayu

Selain dari cuti umum, tarikh 16 September sebenarnya cukup bermakna untuk kita semua, kerana 56 tahun dulu dah terbentuknya sebuah negara bernama Malaysia. Bagaimanapun, walaupun kita semua berkongsi selera yang sama, dengan makan – nasi lemak, kuetiau dan roti canai, tak dapat dinafikan masih ada persoalan tentang sejauh mana kita mengenali antara satu sama lain.

Jadinya, bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia tahun ini, Allianz Malaysia Berhad mengetengahkan enam orang personaliti yang datang dari pelbagai latar belakang. Empat siri video ini menunjukkan mereka saling mengenali antara satu sama lain, berkongsi tentang saat paling indah dalam hidup mereka dan apa yang menyatukan kita semua.

Nak tahu siapa dan apa yang mereka ni bualkan? Jom kita mula dengan…

1. Veteran tentera dan jurugambar yang mengharumkan nama negara dengan cara masing-masing

Dato’ Arshad Raji dan Haymasuthan. Imej dari Allianz Malaysia Berhad.

Nama Brigadier General (Bersara) Dato’ Mohd Arshad Mohd Raji memang tak asing lagi di media Malaysia sekarang ni. Pernah berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 32 tahun, Dato’ Arshad terkenal dengan kelantangannya dalam isu perpaduan dan kebajikan anggota keselamatan di negara ini.

Bermula sebagai pegawai Rejimen Melayu Diraja pada tahun 1965, Dato’ Arshad dah diberikan pelbagai tanggungjawab oleh ATM, sehingga dia dilantik mengetuai Kontinjen Malaysia untuk Pengaman PBB di Kemboja pada Mac 1992. Tugas utama kontinjen tu bukan nak berperang, sebaliknya membantu pihak-pihak yang berperang di Kemboja supaya mengekalkan genjatan sejata.

“Kami pergi ke sana untuk menjaga keamanan. Dalam misi keamanan kami tidak boleh membawa senjata. Mereka menerima kami dengan hati terbuka, kerana kami datang tanpa senjata…” – Dato’ Arshad.

Misi kontinjen Dato’ Arshad akhirnya tamat pada 4 Julai 1993 dan penglibatan Malaysia tu mendapat pujian dari PBB. Lebih mengharukan, Raja Kemboja, Raja Norodom Sihanouk siap bagi surat penghargaan kepada Malaysia.

Perang saudara di Kemboja. Imej dari Alchetron.

Lepas bersara pada tahun 1998, Dato’ Arshad dan rakan-rakan seperjuangan tubuhkan pula satu NGO yang dikenali sebagai Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) pada 2007. Persatuan yang disertai oleh veteran tentera dan polis ni bercita-cita untuk menjadikan setiap warganegara Malaysia bangga tanpa mengira kepelbagaian kaum, budaya dan agama.

Kalau Dato’ Arshad mengharumkan nama negara dalam misi keamanannya, apa yang dilakukan oleh seorang jurugambar, Haymasuthan Periasamy ni tak kurang juga hebatnya. Kekurangan pendengaran dan bisu tak menghalang Hayma dari mewakili Malaysia dalam temasya Abilimpik Antarabangsa (Abilimpik) di Perancis pada 2016.

Abilimpik ni sebenarnya adalah pertandingan kemahiran pekerjaan dan vokasional yang direka khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) bertaraf Olimpik. Kisah kejayaan Hayma bermula lepas dia kagumkan para juri, bila dia cuma gunakan cermin solekan sebagai alat ganti lampu!

“Pada masa itu saya menyikat rambut sambil melihat cermin dan terus terfikir bahawa lampu dan cermin boleh menghasilkan pantulan.” – Katanya dipetik dari Kosmo.

Hayma dan pingatnya. Imej dari Abilympics Malaysia.

Bukan je kreatif, anak kelahiran Kuantan ni juga berjaya siapkan sesi fotografinya satu jam lebih awal dari masa yang ditetapkan. Disebabkan daya kreatif dan cara yang tak disangka tu, Hayma dah memenangi PINGAT EMAS dalam kategori Fotografi Studio. Kini Hayma bekerja sebagai jurugambar bebas dan bersedia nak mengharumkan nama Malaysia sekali lagi dalam Abilimpik 2020 di Moscow, Rusia pada tahun depan.

“Pada majlis penutup (Abilimpik 2016) dan upacara pengkalungan pingat, saya terkejut memenangi pingat emas. Nama saya terpampang dan bendera Malaysia dikibarkan.” – Hayma.

Hayma (dua dari kanan) disambut meriah atas kemenangannya. Imej dari Metro.

Kedua-dua mereka ini dah buktikan, walau apa pun kerjaya dan had keupayaan diri, mereka masih mampu mengharumkan nama negara. Lebih menarik, Allianz dah bawa mereka berdua ni berborak dan berkongsi pengalaman. Korang boleh tontonnya di sini:

Di samping itu…

2. Dua orang kacukan, yang merindui kenangan bersama ayah mereka

Eddin dan Zakri. Imej dari Allianz Malaysia Berhad.

Kisah dua orang personaliti ni juga sangat menarik, sebab kedua-duanya ada darah kacukan. Eddin Khoo Bu-Eng, seorang penyair, sejarawan, penterjemah dan aktivis budaya mempunyai darah kacukan Cina Peranakan (dari bapanya) dan Tamil, Sri Lanka (dari ibunya).

Menurut Eddin, sejak dari kecil lagi dia dah dibesarkan dalam keadaan yang cukup terbuka. Ini kerana, dia sendiri dijaga oleh seorang wanita Melayu dan sebab itulah di rumah, orang memanggilnya sebagai Din. Malah, nama Eddin tu sendiri datang dari perkataan Arab – ‘Ad-Din’, yang bermaksud cara hidup (way of life).

Eddin bersama ibunya dan mendiang ayahnya. Imej dari Astro Awani.

Eddin sangat cintakan seni budaya, sampaikan dia menghabiskan separuh hidupnya dalam mengenali budaya dan seni Melayu. Kini, Eddin melalui pertubuhan budaya yang diasaskannya – PUSAKA, berusaha mengekalkan dan menyokong seni budaya persembahan Malaysia seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Main Puteri, Kuda Kepang dan banyak lagi yang semakin hilang di arus zaman.

Kecekalan graduan Pengajian Islam ni sebenarnya cukup luar biasa, dan baginya apa dia kecapi hari ini adalah atas didikan bapanya sendiri. Sehingga ke hari ini, Eddin masih merindui saat-saat indah bersama mendiang bapanya.

“Saya kehilangan ayah saya dua bulan lepas, masih susah untuk menerima kenyataan itu. Kami sangat rapat dan saya sangat berminat dengan kerja-kerjanya…” – Eddin.

Eddin bersama Dalang Wayang Kulit Kelantan. Imej dari Astro Awani.

Berkongsi kisah yang hampir sama, CEO Allianz Malaysia BerhadZakri Khir juga rupa-rupanya ada darah kacukan Melayu (dari bapanya) dan Cina (dari ibunya). Menurut Zakri, masa kecil dulu, dia selalu pergi ke rumah jirannya yang berbangsa Tamil, Sri Lanka dan selalu juga bersarapan di sana. Kerana itu sampai ke hari ini, sarapannya mesti tosai dan idli.

Walaupun dah hampir 30 tahun terlibat dalam industri insurans, Zakri sebenarnya pernah juga terfikir nak jadi cikgu, sebab dia minat sangat dengan sejarah. Korang boleh nampak macam mana Zakri sukakan sejarah, bila pada tahun lepas dia bawa kakitangannya di Allianz Malaysia Berhad melawat beberapa tempat bersejarah di sekitar Kuala Lumpur.

Zakri juga terlibat dalam banyak program yang mempromisikan perpaduan. Baginya, Hari Malaysia patut disambut dengan lebih meriah lagi dari Hari Merdeka, kerana tarikh tu yang sangat penting untuk negara ni.

Zakri sedang beri penerangan tentang sejarah Malaysia kepada kakitangan Allianz Malaysia Berhad semasa lawatan ‘History on Wheels’ bersempena sambutan Hari Malaysia syarikat itu pada tahun lepas. Imej dari BH Online.

Sama seperti Eddin, orang yang telah membentuk diri Zakri adalah arwah bapanya, yang telah pergi hampir 12 tahun lalu.

“Ayah saya suka membaca di atas katil. Bila dia pulang ke rumah, saya selalu baring di sebelahnya dan berbual. Itu antara perkara yang saya amat rindui.” – Zakri.

Sebenarnya, banyak lagi yang mereka berdua ni borakkan, dari sejarah keluarga sampailah ke detik paling membanggakan dalam hidup. Korang boleh tahu semua tu dengan lebih lanjut di sini:

Kisah seterusnya tak kurang juga hebatnya…

3. Wartawan dan anak muda berhenti sekolah ni berkongsikan cinta mereka terhadap pendidikan

Nades dan Miri. Imej dari Allianz Malaysia Berhad.

Pada yang dah berdekad baca surat khabar, terutamanya yang umur-umur veteran tu, mesti mereka pernah dengar nama R. Nadeswaran, atau lebih dikenali sebagai ‘Citizen Nades’. Korang mungkin tak berapa dengar nama Miri binti Adek, tapi tu tak bermakna yang kisahnya tak memberi inspirasi.

Dalam video ini, Nadeswaran dan Miri menekankan kepentingan pendidikan bila ditanya tentang saat yang paling membanggakan dalam hidup mereka. Nadeswaran beritahu, dia secara peribadi hanya tamat belajar dari universiti pada umur 46 tahun.

“Saya menamatkan pelajaran pada tahap Senior Cambridge (SPM). Saya sudah bekerja… tak pernah terfikir untuk sambung belajar di universiti.

Satu pagi selepas saya bangun tidur, saya memberitahu isteri saya – saya perlu berubah. Saya tidak boleh dapat kerja lain, kalau saya berhenti kerja sebagai wartawan.” – Nadeswaran.

Nades masa menerima Anugerah Wartawan pada tahun 1982. Imej dari The Nut Graph.

Lepas tu, Nades jumpa institut yang tawarkan program sambilan untuk pelajar dewasa, sebelum dia pergi ke UK untuk siapkan sarjana mudanya. Masa tu dia berjanji dengan dirinya, yang dia tak akan balik tanpa ijazah – paling kurang pun kelas kedua atas. Nampaknya, Nades dah dapat lebih dari tu, bila dia juga dapat anugerah esei terbaik dari universiti.

Lepas tamat belajar pada 1996, Nades terus jadi wartawan yang cukup lantang, sampaikan ada juga ahli-ahli politik yang tidak berapa senang dengannya. Antara skandal-skandal yang dia pernah bongkarkan adalah seperti kontroversi PFKZ dan pusat sukan negara di London yang jadi projek gajah putih. Tapi, perkara yang mula-mula menaikkan kerjayanya tak ada kaitan dengan politik.

Masa buat liputan nahas kapal terbang pada tahun 1976, Nades masa tu terjumpa seorang bayi dan dia pun cepat-cepat ambil bajunya, balut bayi tu dan bawanya ke hospital. Lepas balik ke pejabat pada pukul 3 pagi, editor beritahu supaya gunakan gambar dia dengan bayi tu dan jadikannya sebagai cerita muka depan surat khabar. Masa itulah, Nades mulakan kerjayanya sebagai wartawan sepenuh masa.

Nades dan bukunya – Curi-Curi Malaysia:The Stories Behind the Stories. Imej dari Malay Mail.

Bagi Miri pula, saat paling membanggakan dalam hidupnya adalah bila dia dianugerahkan sebagai pelajar terbaik, sebab bukan mudah nak kecapi kejayaan tu. Dia sebenarnya berhenti sekolah masa umur 14 tahun, kerana isu peribadi dan keluarga.

Tapi berganjak umur 20 tahun, dia jumpa SOLS Academy of Innovation, sebuah NGO yang sudi beri pendidikan kepadanya dan beri peluang untuknya sambung belajar. Bukan je lepas tu dia jadi pelajar terbaik, tapi sekarang ni dia dah jadi seorang guru bahasa Inggeris.

“Saya bermula dari kosong – tidak tahu bahasa Inggeris, tiada keyakinan, kosong. Beberapa tahun kemudian, saya ditawarkan untuk menjadi seorang guru…

Saya ingat saya hanya mampu menjadi seorang tukang cuci, tapi bila saya dewasa, saya sedar betapa pentingnya pendidikan. Itulah saat yang paling saya banggakan.” – Miri.

Miri (dua dari kiri) masa jadi belajar di SOLS Academy dan sekarang jadi guru di sana. Imej dari Star2.

Apa yang menyedihkan, cerita Miri berhenti sekolah ni sebenarnya satu perkara normal di kalangan anak-anak Orang Asli di Malaysia. Kajian dari UKM pada 2013 mendapati, setiap 100 orang anak-anak Orang Asli yang masuk ke Darjah 1, hanya enam orang yang akan sampai ke Tingkatan 5.

Dalam satu lagi laporan dari Malaysiakini, didapati pendaftaran anak-anak Orang Asli di sekolah dah menurun sejak tahun lepas. Mereka juga dikatakan selalu dibuli oleh rakan sekelas.

Bagaimanapun, kisah Miri dah menunjukkan kepada kita – dengan kesungguhan dan bantuan, sesiapa pun dalam mana-mana komuniti boleh mencapai potensi diri untuk memperbaiki diri mereka. Malah, mereka sendiri nanti akan berbakti kepada masyarakat.

Dan seterusnya…

Soalan terakhir yang semuanya fikir dalam-dalam… untuk Malaysia

“Apakah yang perlu dilindungi di Malaysia dan mengapa?”

Inilah bahagian yang betul-betul menarik untuk kesemua personaliti. Keenam-enam mereka ambil masa untuk fikir dalam-dalam sebelum bagi jawapan. Tapi bila dah ada jawapan, semuanya bagi jawapan yang berbeza-beza.

Mula dengan Dato’ Arshad dan Hayma, veteran tentera tu dengan jelas kata, kita kena lindungi keharmonian kaum. Hayma juga beri jawapan yang agak sama iaitu melindungi kepelbagaian bahasa dan bahasa ibunda setiap masyarakat di Malaysia. Dalam masa sama, dia turut tekankan pentingnya penguasaan Bahasa Malaysia untuk setiap anggota masyarakat.

Bagi Nades pula, apa yang dia nak kita kena lindungi adalah alam sekitar, sebab katanya:

“Atas nama pembangunan, alam sekitar kita semakin dijejaskan. Sehingga haiwan liar seperti harimau terpaksa keluar dan muncul di atas jalan dan lebuh raya…. Kita perlu melindunginya (alam sekitar).” – Nadeswaran.

Manakala untuk Miri, sebagai seorang Orang Asli, dia nak melindungi budaya bangsanya, kerana ia semakin pupus ditelan zaman. Malah, dia berharap suatu hari nanti dia dapat membuka sebuah pusat yang mana generasi baru dapat belajar dan tahu tentang budaya Orang Asli.

Masyarakat Temiar. Imej dari u/albertshinji.

Bagi Eddin dan Zakri pula, kedua-duanya ada pandangan berbeza. Zakri mahu melindungi kepelbagaian yang ada di negara ini. Manakala, Eddin mahu kita semua saling mengingati tradisi dan budaya kita. Korang boleh tahu lebih lagi tentang apa yang mereka kata di video akhir ni:

Allianz Malaysia Berhad juga nak melindungi apa yang mereka panggil sebagai aset terbesar Malaysia iaitu korang semua – rakyat yang panggil negara ini sebagai tanah air. Kerana itulah mereka nak kita semua bukan saja faham tentang setiap keunikan Malaysia, tapi juga kepelbagaian yang menjadikan siapa kita sekarang ini.

Dengan adanya siri video ini, diharapkan ia menunjukkan walaupun kita mempunyai latar belakang, adat dan budaya yang berbeza, ia tak menghalang kita semua dari berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk melindungi Malaysia.

Akhirnya, seperti mana yang Dato’ Arshad kata:

“Hari Malaysia akan menjelang, mudah-mudahan seluruh rakyat Malaysia boleh bersatu di bawah bendera Jalur Gemilang.” – Dato’ Arshad.