- 2.2KShare sekarang!
- Email9
- Facebook2.2K
- Share
Baru-baru ni, satu Malaysia kecoh bila seekor ular sawa yang dijumpai di Pulau Pinang dipercayai paling panjang di dunia. Berita ni dah dilaporkan oleh portal antarabangsa termasuklah The Guardian, BBC, dan Newsweek.
Ular dari spesis Python reticulatus ini dilaporkan sepanjang 7.5 meter dan seberat 250 kg. Punyalah panjang sampai enam orang pegawai JPAM dikerahkan untuk menangkap sehingga mengambil masa lebih kurang 30 minit.
Malangnya ular betina tersebut didapati mati secara mengejut setelah bertelur pada 10 April lalu sebelum sempat diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara. Mengikut pegawai perhubungan awam JPAM, kematian tersebut mungkin disebabkan kerana ular tu bunuh diri:
“Mungkin dia membunuh diri. Mungkin dia berasa terancam jadi dia membunuh dirinya sendiri ” – Shazree Mustapha, Pegawai Perhubungan Awam JPAM. Dipetik dari The Guardian.
Hahh dah kenapa pulak. Bila kitorang mula-mula dengar kenyataan ni, nak tergelak pun ada. Takkanlah ular tu tertekan sangat dengan keadaan ekonomi negara sampai bunuh dirit kot. Tapi kitorang cuba buat research sendiri, dan kitorang dapati…
Ehh, haiwan pun memang boleh depress dan bunuh diri rupanya
“Haiwan tak boleh bunuh diri sebab mereka tidak mampu merancang. Segala yang berkaitan dengan tingkah laku kita adalah semula jadi ataupun dipelajari. Kita mempunyai lobus frontal untuk fungsi kognisi yang lebih tinggi.” – Dr. David Sands, psikologist haiwan, dipetik oleh Hopes&Fears.
Dan ada juga yang mengatakan ianya mungkin boleh berlaku:
“…haiwan boleh jadi depressed bila dinafikan hak kebebasan ataupun interaksi sosial, ruang fizikal, dan penjagaan yang sepatutnya. Saya tak ragu-ragu yang kebanyakan haiwan yang dikurung dalam kilang ternakan lebih rela memilih maut daripada hidup yang sengsara.” – Nathan Runkle, pejuang hak haiwan, dipetik oleh Hopes&Fears
Secara saintifik, perkara ini masih lagi belum disahkan sepenuhnya. Tapi dari segi cerita-cerita yang keluar, memang ada kes haiwan bunuh diri contohnya kes 61 ekor ikan paus telah mendamparkan diri mereka di pantai tanpa tau apa sebabnya. Ada jugak beruang di China yang mogok lapar sehingga mati akibat tak tahan akibat dikurung oleh kandang kecil.
Macam mana pulak dengan ular? Terdapat banyak cerita tentang ular yang memakan diri sendiri dalam keadaan tertekan (jangan klik kalau tak suka tengok benda-benda geli), contohnya suhu yang tak sesuai bagi ular yang berdarah sejuk.
Tapi kan, bagi kes ular sawa kat Penang tadi, takde pulak dia makan ekor sendiri. Jadi mungkin ada sebab yang lain dia mati…
Ada kemungkinan ular kat Malaysia ni mati sebab layanan yang teruk
Biasanya setelah JPAM atau Bomba berjaya menangkap ular, ianya akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri ataupun melepaskannya di kawasan hutan yang jauh dari kediaman penduduk bagi memelihara habitan tersebut (contohnya satu kes tahun 2014 yang tak berapa dapat liputan meluas).
Namun, ada yang mengatakan ular ini mungkin mati disebabkan tekanan sewaktu ditangkap oleh pihak berkuasa. Gambar yang ditunjukkan oleh laman Yahoo Australia menunjukkan pegawai menendang dan menolak ular sawa tersebut dengan kasut but mereka.
Menurut Presiden Sahabat Alam Malaysia, sepatutnya ular tersebut dilepaskan ke hutan terus, jangan simpan lama-lama:
“Adalah tidak masuk akal untuk jabatan itu menjaga ular tersebut selama tiga hari dan menjadikannya tontonan awam. Semestinya ia telah memberi tekanan kepada ular itu.” – S.M. Mohd Idris, Presiden Sahabat Alam Malaysia, dipetik dari mStar.com.my
Namun kenyataan ini dibalas kembali oleh JPAM yang mengatakan tugas melepaskan ular ke hutan ini adalah bagi Jabatan Perhilitan, bukannya JPAM.
Macam mana pun, ular tersebut dah pun mati dan telurnya dibakar dalam insinerator :(
Sebab tu kita kena lindungi haiwan kita!
Tak lama selepas kes ular sawa ni dihebahkan, keluar pulak berita pasal buaya yang membaham manusia (jangan klik kalau lemah semangat). Ada komen yang mengatakan haiwan-haiwan ni tak boleh disalahkan sebab itu memang kawasan mereka! Mungkin itulah yang terjadi kepada ular sawa ni bila dia mula mencari habitat yang sesuai untuk dihidupi.
Jadi apa yang korang boleh buat untuk menjadikan hal kebajikan haiwan ni lebih terjaga? Korang boleh hubungi NGO seperti WWF Malaysia ataupun APE Malaysia yang pernah kami ceritakan dulu.
APE Malaysia contohnya, menawarkan program pendidikan yang mengajar budak-budak sekolah akan pentingnya menjaga ekosistem kita, APE Malaysia juga ada program volunteering di mana korang boleh membantu pekerja zoo, mendekati haiwan terancam, malah bawak satu famili datang melawat.
Semoga kes ular sawa kali ni menjadi peringatan kepada kita agar lebih peka!
- 2.2KShare sekarang!
- Email9
- Facebook2.2K
- Share