- 2.6KShare sekarang!
- Email57
- Facebook2.5K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 9 Ogos 2019
UPDATE 6/1/2020: #WorldWarIII atau Perang Dunia Ketiga dilaporkan tengah trending di media sosial. Ini berpunca dari kematian Jeneral Qasem Soleiman, Ketua Tentera ‘Iran Quds Force’. Kematiannya berlaku sewaktu serangan udara US di Lapangan Terbang Baghdad.
Di Iran pula, bendera merah telah dinaikkan di Holy Dome Masjid Jamkaran yang membawa simbol ‘peperangan akan tiba’. Pemimpin-pemimpin besar Iran juga memberi respon terhadap kematian ini untuk membalas dendam kepada US. Tapi sejauh manakah besarnya tentera Iran?
Turki ada kekuatan tentera terbesar dalam kalangan dunia Islam
Menurut Global Firepower (GFP) Index, Turki adalah negara ke-9 dunia dalam kekuatan tentera. Maka, dalam kalangan negara Islam mengikut OIC, Turki adalah negara pertama terkuat tenteranya dalam dunia Islam.
Kalau korang nak tau GFP Index ni melihat beberapa faktor termasuk kualiti senjata, kebolehan peluru berpandu, latihan, pakatan dengan negara lain, tenaga manusia dan kekuatan industri pertahanan tempatan.
Apa yang menarik, dalam hal pertahanan Turki, ia sering membuat kejutan kepada dunia. Pada Julai 2019, Turki dah membeli dan menerima peluru berpandu canggih S-400 buatan Rusia. Ini dah menimbulkan rasa sangsi Amerika Syarikat kerana peluru berpandu yang menggunakan sistem buatan Rusia tu berada dalam kawasan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Kalau korang nak tau, Rusia bukanlah negara NATO, tapi Turki ya. Jadi, risaulah ahli aktif NATO, Turki guna sistem ketenteraan musuh NATO iaitu Rusia.
Amerika juga takut, bila nak set up senjata ni nanti akan guna jurutera Rusia yang dalam masa sama akan ambil kesempatan terhadap kawasan NATO dan jet Amerika. Bila sebut pasal Rusia dan Turki ni, dulu juga Turki mengejutkan Rusia pada tahun 2015 apabila menembak jatuh pesawat Rusia di sempadan Syria. Ia dah menimbulkan ketegangan antara dua negara.
Begitulah dramatiknya dunia ketenteraan Turki…
Berbalik kepada GFP Index, Turki dilaporkan mempunyai kakitangan tentera seramai lebih kurang 735,000. Ini adalah 0.9% dari jumlah rakyat Turki yang berjumlah 81,257,239. Bawah ni pula adalah senarai lainnya.
- Jumlah kekuatan kapal terbang: 1,067 unit termasuk jet, helikopter, pengangkutan dan lain-lain
- Jumlah kekuatan darat: 3,200 kereta kebal tempur, 9,500 kenderaan perang berperisai, 1,120 artileri yang digerakkan sendiri, 1,272 artileri menunda, 350 projektor roket
- Jumlah aset tentera laut: 194 termasuk kapal, kapal selam dan lain-lain
- Bajet ketenteraan: USD 8,600,000,000
Diikuti Mesir, Iran, PAKISTAN dan Indonesia…
Selepas kekuatan tentera Turki, senarai ke bawah menunjukkan beberapa negara Islam yang berada di atas Malaysia. Kami terangkan secara ringkas…
2) Mesir
Dalam kalangan negara Arab dan Afrika, Mesir adalah negara paling kuat ketenteraannya. Ini diperkuatkan lagi sejak rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik, Dr. Morsi. Presiden Mesir sekarang adalah Abdul Fatteh Al-sisi (seorang jeneral tentera).
Di bawah pemerintahannya, orang dalam ketenteraan dapat buat banyak perniagaan yang lumayan. Itu belum lagi syarikat-syarikat yang ada hubungan dengan tentera mendapat pengecualian cukai dan kemudahan membuat pinjaman. Dalam satu analisis juga ada bagitau bahawa 40% ekonomi Mesir dikawal oleh tentera.
Menurut GFP Index, bilangan tentera mereka adalah seramai 920, 000 dengan 1,092 aset udara, 2,160 kereta kebal perang dan 319 aset tentera laut.
3) Iran
Bila sebut pasal kententeraan Iran, ia mengingatkan kita bahawa negara ni pernah terlibat dengan Perang Iran-Iraq dari tahun 1980-1988. Negara ni juga sering dikaitkan dengan program dan senjata nuklear hingga selalu dikenakan sekatan di peringkat antarabangsa.
Menurut GFP Index, Iran adalah negara ke-14 dunia dalam kekuatan ketenteraan beberapa tangga di atas Israel dan Korea Utara. Dari populasi rakyat berjumlah lebih 83 juta, 1.1% atau 873,000 orang adalah tentera sama ada aktif atau pun simpanan. Sebanyak 509 unit kapal terbang tentera, 1,634 kereta kebal perang, 1,900 pelancar roket dan 398 aset tentera laut.
Sekali pun sering dikenakan sekatan dan bajet ketenteraan yang rendah berbanding pesaingnya di Timur Tengah iaitu Arab Saudi dan Israel. Iran mempunyai cara tersendiri dalam menyaingi musuhnya. Dilaporkan Iran memberi bantuan ketenteraan kepada pakatan dan proksinya di negara tertentu. Contohnya macam pemberontak Houthi di Yaman, Hezbollah di Lubnan dan Islamic Jihad di Palestin. Ia bertujuan untuk menekan musuhnya di rantau itu.
4) Pakistan
Seperti yang disebut kat awal-awal artikel ni, Pakistan adalah salah satu negara yang dicadangkan oleh Tun M untuk bergabung bagi membina semula tamadun Islam. Apa yang menarik dari segi ketenteraan, negara ni juga ada kekuatannya yang luar biasa.
Berita mengenai ketenteraan Pakistan juga dah menghangatkan politik antarabangsa pada tahun ni. Bagi yang tak perasan, pada Februari 2019, tentera Pakistan dah menembak jatuh dua jet perang milik India di dalam kawasan Kashmir yang dikawal Pakistan. Peristiwa ni dah menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara namun, ia taklah sampai mencetuskan peperangan.
Menurut GFP Index, negara ni mempunyai 1,204,000 tentera iaitu 0.6% dari keseluruhan rakyatnya. Manakala jumlah kapal terbang perangnya iaitu 1,342 dan 2,200 unit kereta kebal tempur serta 197 aset tentera udara.
5) Indonesia
Tentera Indonesia pernah terlibat dengan peristiwa Ganyang Malaysia. Suatu peristiwa konfrontasi negara Indonesia terhadap pembentukan Malaysia. Tentera Indonesia juga mempunyai sejarah mahu menawan negara yang ingin merdeka seperti Timor Leste. Pertempuran berlaku yang menyebabkan kematian melibatkan 200 ribu populasi.
Tapi itu tentera Indonesia dahulu. Sekarang tiada lagi isu antara tentera Indonesia dengan negara jiran. Kekuatan tentera Indonesia atau Tentera Nasional Indonesia (TNI) nampaknya ada kedudukannya yang tinggi juga. Malah ia lebih teratas dari kita Malaysia dan Singapura. Kekuatannya berada dalam ranking ke-16 dunia menurut GFP Index.
Jumlah tenteranya termasuk yang aktif dan simpanan adalah lebih kurang 800,000 iaitu 0.3% dari rakyatnya. Manakala jumlah kekuatan kapal terbang tentera berjumlah 451, kereta kebal tempur sebanyak 315 dan 221 aset tentera laut.
Dan Malaysia pula berada di tangga…
Menurut GFP Index 2019, kekuatan ketenteraan Malaysia berada di ranking ke-41 dunia. Dalam kalangan negara-negara Islam, kita berada pada kedudukan ke-8 selepas Arab Saudi dan Algeria. Kira 10 teratas jugalah ye.
Macam yang disebut sebelum ni, GFP Index turut menjadikan faktor latihan dan pakatan dengan negara lain sebagai kunci dalam menentukan ranking. Dalam bab latihan dan pakatan ni memang menarik lagi-lagi dengan kuasa besar. Tentera kita ada buat latihan ketenteraan bersama dengan tentera US. Begitu juga, tentera kita tak melepaskan peluang dengan melakukan latihan ketenteraan dengan China. Bersama negara-negara Komanwel dan UK juga kita ada buat latihan bersama.
Dalam persenjataan, Malaysia baru je beli dari US, dron Insitu ScanEagle buatan Boeing sebanyak 12 unit dengan kos USD19,329,334. Dron ni dilaporkan akan digunakan bagi memantau kawasan Laut Cina Selatan terutamanya aktiviti yang dilakukan China. Pada tahun ni juga, Tentera Udara Malaysia dah merancang untuk beli pesawat tempur terpakai dari Kuwait. Ia dilakukan sementara menunggu pembelian pesawat baru dalam tempoh 10-15 tahun akan datang.
Kita pun tau, diperingkat antarabangsa, nama tentera kita pernah menjadi kebanggaan lagi-lagi dalam Operasi Black Hawk Down menyelamatkan tentera US di Somalia. Menurut PBB, Malaysia adalah negara Asia ke-8 yang terbanyak pernah menghantar pasukan tentera sebagai Tentera Pengaman PBB di serata dunia. Terbukti memang tentera Malaysia banyak terlibat dalam beberapa misi keamanan PBB. Bermula tahun 1960 di Congo, seterusnya di Namibia, Kemboja, Somalia, Bosnia Herzegovina, Timur Timor, Ethiopia dan Timor Leste pada tahun 2006.
Itulah secara ringkas mengenai kehebatan tentera kita yang boleh ditulis dalam ni. Kalau nak tengok apa yang tercatat dalam GFP Index 2019. kami keluarkan senarainya. Dilaporkan Malaysia mempunyai tentera seramai 410,000 orang sama ada aktif dan simpanan. Iaitu 1.3% dari populasi rakyat Malaysia.
- Jumlah kekuatan kapal terbang: 187 unit termasuk jet, helikopter, pengangkutan dan lain-lain
- Jumlah kekuatan darat: 74 kereta kebal tempur, 1,460 kenderaan perang berperisai, 29 artileri yang digerakkan sendiri, 211 artileri menunda, 54 pelancar roket
- Jumlah aset tentera laut: 61 termasuk kapal, kapal selam dan lain-lain
- Bajet ketenteraan: USD 4,700,000,000
Industri pertahanan Malaysia juga perlu diperkembangkan lagi demi kekuatan dan kestabilan
Sebelum ini, Tun M dah pun melawat Turki. Banyak perkara dan perancangan yang menjadi perhatian media dan kita semua. Antara yang menjadi buah mulut adalah…Presiden Turki, Erdogan mempelawa lebih banyak syarikat Malaysia untuk melabur di Turki terutamanya dalam industri pertahanan.
Perkara mengenai pertahanan ni memang banyak kali diulang dalam pertemuan bersama Turki. Idea Tun M agar gabungan tiga negara Islam iaitu Malaysia-Turki-Pakistan sebagai jalan untuk menyatukan dunia Islam juga dikaitkan dengan kerjasama ketenteraan.
Dalam bab senjata, latihann dan pakatan memang terbukti kita ada kekuatan tersendiri. Cumanya, dalam bab kekuatan industri pertahanan, negara kita masih belum mampu bersaing seperti yang ditulis oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong. Jadinya, kesanggupan Turki untuk memindahkan tekonologi dan membantu menaikkan taraf industri pertahanan Malaysia perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Dalam GPF Index, kekuatan industri pertahanan juga dijadikan faktor untuk menentukan kekuatan tentera sesuatu negara. Mungkin ramai tak sedar bahawa industri pertahanan yang baik akan menaikkan lagi pendapatan negara dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Cadangan agar kerajaan menyediakan geran kepada syarikat pertahanan tempatan untuk membuat penyelidikan senjata dan mempromosinya ke luar negara perlu juga diambil perhatian. Ia juga mampu mencungkil bakat baru rakyat Malaysia dalam industri ini. Jika, industri pertahanan Malaysia semakin maju dan berkembang, negara luar pasti gerun dan melakukan lebih banyak kerjasama dengan Malaysia seperti yang dibuktikan oleh industri pertahanan Turki.
- 2.6KShare sekarang!
- Email57
- Facebook2.5K
- Share