4 wilayah di dunia yang ingin berpisah daripada negara mereka kerana rasa ‘ditindas’?

Kalau korang ingat, antara berita hangat tahun lepas adalah pengumuman British untuk keluar dari Kesatuan Eropah (Brexit). Macam-macam pandangan pakar di Malaysia yang keluar, antaranya kos melancong ke sana akan jadi lebih rendah. Seronoklah budak-budak yang suka travel ni.

Habis je Brexit, tahun ni muncul pulak berita pasal bangsa Kurdis dan Catalan yang masing-masing nak buat negara sendiri. Walaupun di sebalik keserabutan isu pelarian yang makin banyak kat dunia ni, tapi muncul juga kumpulan yang nak merdeka atau nak bentuk negara sendiri. Jadi kali ini, SOSCILI pun nak cuba faham tentang kenapa diorang nak merdeka. Kita mulakan dengan…

1. Bangsa Kurdis yang berjumlah puluhan juta masih ditindas di setiap negara

Di dunia memang banyak betul negara yang ada perkataan ‘stan’. Contohnya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyztan, Turkmenistan dan Pakistan. Perkataan stan adalah bahasa Parsi yang bermaksud tempat yang biasa digabungkan dengan nama bangsa. Contohnya,

Bangsa Afghan + stan = Afghanistan

Gohead Gostan pulak adalah dekat dengan negeri Setan”. Imej dari Youtube Kaizendra.

Begitu jugaklah matlamat bangsa Kurdis yang nak ada negara Kurdistan. Maknanya sekarang diorang tak ada negara lagi, tapi diorang tinggal kat mana?

Bangsa Kurdis duduk bertaburan dalam banyak negara

Bangsa Kurdis yang kini berjumlah lebih kurang 45 juta (lagi ramai dari penduduk Malaysia) bukanlah duduk berterabur sebab kena halau ke apa macam rakyat Syria dan Rohingya. Diorang ni kebanyakannya masih duduk dalam kawasan pergunungan Timur Anatolia yang berada bawah empayar Uthmaniyyah suatu masa dulu. Cumanya, lepas kerajaan Uthmaniyyah hancur, wilayah bawah empayar tu telah dibentuk semula dengan sempadan baru.

Bangsa ramai, tiada negara. Imej dari France 24.

Waktu pembentukan negara baru Republik Turki, Perjanjian Lausanne 1923 telah dibuat yang mana kawasan semenanjung Anatolia dimasukkan dalam Turki. Jadi sebahagian bangsa Kurdis duduk dalam Turki. Sebelum tu, bangsa Kurdis yang lain pulak ada yang termasuk dalam negara Iran, Iraq, Syria dan Armenia setelah garisan peta negara diperkenalkan melalui perjanjian Sykes-Picot 1916. Persempadanan ini membuatkan mereka jadi kaum minoriti kat negara-negara yang diduduki, jadi mudahlah ditindas. 

  • Nasib Kurdis di Iraq, diracun sehingga 5 ribu orang

Antara kes bangsa Kurdis yang paling popular bila perkampungan Kurdis di Iraq (Halabja) pernah diserang oleh kerajaan pimpinan Saddam Hussein dengan gas beracun. Hasilnya 5 ribu kanak-kanak dan wanita mati serta kehancuran rumah.

  • Nasib Kurdis di Turki, diberhentikan kerja secara beramai-ramai

Kalau di Turki pulak menurut Alon Ben-Meir, bangsa Kurdis di sana juga ada menerima nasib malang bila contohnya ada 14 ribu guru dan ilmuwan di sana yang diberhentikan. Sebabnya dikatakan ada kaitan dengan kumpulan dianggap pengganas, Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di Turki.

Kanak-kanak Kurdis mati kerana serangan senjata kimia. Imej dari Crim Watch.
  • Nasib Kurdis di Syria, tidak diiktiraf sebagai sebagai warganegara

Dalam laporan CNN, ramai bangsa Kurdis di Syria yang tidak dianggap rakyat (stateless) yang akhirnya tahun 2011 baru diorang dapat kewarganegaraan.

  • Nasib Kurdis di Iran, kem pelarian dibuka namun masih ada pembunuhan besar-besaran

Menurut Human Right Watch, Iran pernah je buka kem pelarian untuk Kurdis Iraq yang lari dari kerajaan Iraq bawah Saddam Hussein dulu. Tapi, nasib bangsa Kurdis di Iran pulak taklah baik sangat. Waktu Khomeini jadi pemerintah, ada juga kampung-kampung Kurdis Iran diserang yang membunuh 10 ribu orang menurut Amnesty International.

Tapi dalam keadaan bangsa diorang yang tak berapa nak OK di setiap negara ni, macam mana pulak boleh ada kuasa nak buat negara sendiri?

Pemimpin Kurdis di Iraq membangkitkan semula semangat untuk ada negara

Waktu Perang Teluk 1990-991, peperangan telah berlaku antara gabungan tentera yang diketuai US menentang Kerajaan Iraq bawah Saddam Hussein. Waktu ni Iraq cuba menawan Kuwait. Kawasan Utara Iraq yang ada bangsa Kurdis telah ditetapkan sebagai no fly zone maknanya kapal terbang perang tak boleh lalu. Jadinya, kawasan diorang tenang dan stabil walaupun kawasan lain tengah berperang. Peluang ni telah menyebabkan orang Kurdis Iraq boleh urus kerajaan sendiri (autonomi).

Pada tahun 1992, gabungan parti  orang Kurdis Iraq berjaya mewujudkan parlimen dan pemilihan presiden di kawasan diorang tinggal. Akhirnya, terbentuklah Kurdish Regional Goverment (KRG). KRG ada parlimen, tentera, sempadan dan polisi tersendiri. Diorang lagi bertambah power, bila tentera diorang (Peshmerga) bantu US untuk gulingkan Saddam Hussein. Bila kuasa baru naik, jadi KRG dan parlimen Kurdis telah diiktiraf oleh kerajaan Iraq yang baru.

Mana KRG? Imej dari Al Jazeera.
Walaupun dibenarkan menguruskan negara sendiri, banyak janji yang diberi tidak ditepati

Lepas Saddam Hussein dah digulingkan, Iraq telah dibentuk semula dengan perlembagaan baru yang melibatkan bangsa Kurdis Iraq. Dari situ diorang dah dapat pengiktirafan untuk urus kerajaan sendiri walaupun masih dalam negara Iraq. Tapi, nampaknya banyak perjanjian yang tak ditepati. Contohnya janji untuk bagi dana setiap tahun kepada kawasan Iraq Kurdistan tak diberi.

Najib jugak yang jadi meme. Gambar dari Facebook.

Masoud Barzani (Presiden Iraq Kurdistan) adalah antara orang penting yang nak bentuk negara Kurdistan bermula di Iraq. Dia juga adalah penerima Atlantic Award 2011 di Rome atas sebab mempromosi keamanan dan toleransi agama. Menurut Aziz Ahmad, pimpinan Iraqi Kurdis pernah pergi ke US bagi menyatakan hasrat untuk kemerdekaan. Tapi, US minta tangguh dulu untuk pertahankan Iraq dari Islamic State (IS). Maka, tentera diorang bertarung melawan IS hinggalah berjaya dikalahkan. So, ni peluang untuk dapatkan kemerdekaan.

Jadi nampaknya, masih tak ada apa. Masoud Barzani pun umum untuk buat referendum di kawasan Kurdis di Iraq untuk menentukan rakyat undi untuk jadi negara atau tidak. Keputusannya, rakyat Kurdis di Iraq dengan peratusan 93% memilih untuk merdeka.

2. Sebuah ‘kerajaan’ di Sepanyol tuntut kemerdekaan kerana kekayaan mereka dieksploitasi negara

Apa perasaan korang bila ekonomi daerah korang menyumbang banyak untuk negara, tapi apa yang kita dapat balik tak setimpal? Itulah perasaan sebahagian warga Catalonia (bangsa Catalan) yang memilih untuk keluar dari Sepanyol. Korang mungkin terkejut kalau kelab bola Barcelona dalam kawasan Catalonia ni dah tak main dalam La Liga. Jom perlahan-perlahan kita menyelami kisah warga Catalonia yang nak keluar Sepanyol ni.

Catalonia ada kerajaan sendiri walaupun masih dalam negara Sepanyol

Sepanyol dulu bukanlah terus ada macam sekarang. Diorang pun ada kisah kerajaan-kerajaan kecil yang berperang jugak. Macam kawasan Catalonia ni dulu bawah pemerintahan anak kepada Permaisuri Aragon dan Count of Barcelona. Tapi, bila berlaku perang (The War of the Spanish Succession) terjadi yang menjatuhkan banyak kerajaan yang ada kat rantau tu termasuk Catalonia pada tahun 1714. Jadinya terbentuk satu negara besar yang dipanggil Sepanyol.

Pemerintah-pemerintah yang seterusnya ada cuba-cubalah nak bawa masuk bahasa Spanish dan undang-undang diorang kat kawasan Catalonia ni tapi nampaknya macam tak berjaya. Jadi pemerintah tangguhkan dan tubuhkan balik kerajaan bangsa Catalan (Generalitat). Akhirnya, sampailah satu masa Jeneral Francisco Franco menyerang kerajaan Catalan (Battle of Ebro 1938) yang membunuh 3 500 orang sebelum menguasai tempat tu. Jadi hilanglah kuasa untuk mengurus kerjaan sendiri.

Patutlah serang Catalonia. Imej dari AZ Quote.
Catalonia menyumbang banyak sumber ekonomi kepada Sepanyol

Pada tahun 1977, Catalonia telah diberi autonomi semula sebagai kerajaan sendiri tapi masih bawah Sepanyol. Dari segi ekonomi memang banyak fulus sebab kawasan ni terlibat dengan perdagangan barangan macam tekstil. Bayangkan diorang punya ekonomi ni menyumbang 19% dari ekonomi Sepanyol.

Apa yang menarik, katakanlah diorang jadi negara, pendapatan kasar negara diorang adalah $314 billion. Pendapatan ni menjadikan diorang negara ke-34 yang mempunyai ekonomi terbesar di dunia. Satu lagi, kalau bandingkan pendapatan per kapita (purata pendapatan seorang) di Catalonia dan Malaysia memang jauh. Menurut CEIC Data, pendapatan per kapita kita 9,390.47 USD. Catalonia pulak,

“Pendapatan per kapita (purata pendapat seorang) adalah 35,000 USD, yang mana menjadikannya lebih kaya dari Korea Selatan, Israel atau Itali” – Petikan dari Telegraph.

Kawasan Catalonia yang cantik lagi menggiurkan. Imej dari Admission Table.
Undang-undang Sepanyol kata tak ada dasar sah untuk mengiktiraf Catalonia sebagai negara sendiri dalam Sepanyol

Semangat untuk merdeka ni makin membara bila kerajaan Sepanyol menggubal undang-undang pada Julai 2011 yang menyatakan bahawa tak ada dasar yang sah untuk mengiktiraf Catalonia sebagai sebuah negara di dalam Sepanyol. Tambah pulak bila Sepanyol ada krisis ekonomi yang mana Catalonia pulak yang terpaksa back up kawasan lain yang miskin.

Presiden Catalonia adalah seorang bekas wartawan dan college drop-out!

Catalonia ni memang ada ahli parlimen dan presiden sendiri. Presiden diorang sekarang ni adalah Carles Puidgemont. Dilaporkan dia dah jadi wartawan sejak umur 16 tahun dan apabila masuk universiti dia sambung bidang falsafah Catalan. Tapi dia tak habis belajar dan terus sambung jadi wartawan sepenuh masa. Akhirnya, dia pun terlibat dengan politik yang pro kepada kemerdekaan Catalonia.

Mark Zuckerberg pun tak habis belajar. Imej dari Barcelona Metropolitan.

Pada tahun 2016, dia telah diundi menjadi Presiden Catalonia. Apa yang mengejutkan, dia menjadi Presiden Catalonia pertama yang tak isytihar sumpah setia kepada perlembagaan Sepanyol dan Raja Felipe VI, Raja Sepanyol sekarang. Dia nilah yang telah mengetuai referendum untuk Catalonia merdeka dari Sepanyol

Referendum Catalonia telah mencederakan ratusan orang termasuklah polis

Pada 1 Oktober 2017, referendum ni telah pun berlangsung yang melibatkan 2.5 juta pengundi. Walaupun dah diberi amaran untuk tak diteruskan oleh kerajaan tapi diorang tetap teruskan. Keputusan undian menunjukkan 90% memilih untuk merdeka. Tapi masa undian tu, berlaku pertempuran antara polis kerajaan dengan warga Catalonia yang turun mengundi menyebabkan ratusan kecederaan melibatkan kedua-dua pihak.

Beberapa hari lepas tu, berlaku pula himpunan di Barcelona yang menentang Catalonia yang cuba untuk berpisah dari Sepanyol. Himpunan yang melibatkan ratusan ribu orang tu juga adalah anjuran orang Catalonia yang pro kepada penyatuan dengan Sepanyol.

Bukan semua orang Catalonia setuju nak merdeka. Imej dari The Guardian.

3. Timor Leste nak merdeka tapi berlaku perang dengan Indonesia

Kurdistan dan Catalonia adalah isu terbaru yang semuanya berlaku jauh dari negara kita. Satu kat Arab dan satu lagi kat Eropah. Sebenarnya ada je contoh terdekat di Asia Tenggara yang pernah buat referendum macam dua kawasan tadi. Korang mesti tak tahu kan?

Pulau Timor Timur merupakan kawasan jajahan Portugal walaupun Indonesia telah merdeka

Di Indonesia ni, ada satu pulau yang dinamakan sebagai Pulau Timor. Menurut sejarah, Pulau Timor ni dah mula dijajah oleh Portugal pada 1520 lagi. Pada tahun 1651, Belanda pulak datang tawan pulau tu dari arah barat. Jadi berlaku pertembungan Belanda dan Portugal yang menyebabkan perjanjian berlaku. Bahagian Timor Barat bagi pada Belanda dan Timor timur bagi pada Portugal.

Waktu kemerdekaan Indonesia 1945, kawasan Timor Timur tak dimasukkan sekali dalam negara Indonesia kerana masih lagi berada bawah pemerintahan Portugal. Lama lepas tu, berlaku April Revolution pada tahun 1975 di Portugal yang menjadikan negara tu menerima demokrasi. Jadi polisi pun berubah di mana negara jajahan mereka akan dibebaskan.

Bagi yang tak tahu mana negara jiran kita ni. Imej dari Bill’s Excellent Adventures.

Rakyat Timor Timur waktu tu tak nak sertai Indonesia kerana perbezaan budaya. Pada tahun 1975, Perdana Menteri mereka dari parti FRETILIN kemudiannya mengumumkan kemerdekaan Timor Timur sebagai Demokratik Republik Timor Timur.

Bila isytihar merdeka, Indonesia mula hantar tentera

Indonesia telah menghantar pasukan untuk menawan Timor Timur atas alasan yang ianya kawasan negaranya. Alasan lain, Indonesia telah menyerang Timor Timur dengan bantuan US sebab parti FRETILIN yang memerintah kawasan tu berfahaman Marxist.

Jadinya, berlakulah perang saudara yang mengakibatkan kematian lebih 200 ribu populasi di kawasan tu. Hinggalah pemerintah Indonesia bertukar tangan dari Suharto kepada Bacharudin Jusof Habibie, barulah Indonesia bagi peluang kepada Timor Timur menentukan masa depannya. Sama ada ingin duduk dalam Indonesia dengan kuasa autonomi atau merdeka sepenuhnya.

Antara kematian di Timor Leste. Imej dari Global Research.
Negara baru Republik Demokratik Timor Leste

Pada tahun 1999, referendum telah dibuat setelah Portugal bersetuju untuk membenarkan rakyat Timor Timur membuat undian untuk menentukan masa depan negaranya. Referendum kemudiannya diuruskan oleh PBB yang melibatkan lebih kurang 450 000 orang pengundi. Keputusan referendum telah memihak kepada kemerdekaan apabila 78.5% undian diterima.

Secara rasminya, negara baru tersebut dinamakan sebagai Republik Demokratik Timor Leste. Leste tu adalah bahasa Portugis yang bermaksud timur. Jadi maksudnya Timor Timur.

4. Malaysia juga tak terlepas dengan isu pemisahan wilayah?

Itulah kisah negara terdekat kita yang akhirnya dapat jugak kemerdekaan. Tapi isu macam ni kadang-kadang timbul jugak kat Malaysia. Biasanya cadangan untuk Sabah dan Sarawak dipisahkan semula dari Malaysia. Macam-macam hujah yang timbul contohnya Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963 diakatakan tak sah. Ada juga yang mengetengahkan idea kalau berpisah, Sabah dan Sarawak akan lebih maju dari sekarang.

Gambaran tak puas hati kumpulan yang nak berpisah. Imej dari Pengayau.

Pada zaman Facebook ni, lagilah mudah orang nak sebar macam-macam pendapat dan idea. Salah satunya kemunculan page yang dipanggil Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang masih aktif sampai sekarang. Menurut The Star, kumpulan ni dipelopori oleh Doris Yapp Kim Youn yang tak tinggal di Malaysia pun. Dia juga dipercayai ada contact dengan NGO yang ada di Sabah untuk mengumpul sokongan.

“NGO ini menjelajah kawasan sekitar dengan membawa petisyen supaya menyokong pemisahan” – Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, Pesuruhjaya Polis Sabah, petikan dari The Star.

Allahyarham Adenan Satem (Ketua Menteri Sarawak) pernah ulas isu ni dengan mengatakan idea ni hanyalah idea minoriti sahaja. Selain tu, PM Najib menegaskan yang orang Sabah dan Sarawak sentiasa ada hak tertentu kecuali satu perkara…

“Apa yang penting, jika mereka fikir ada hak tertentu seperti royalti dan kuasa yang perlu dibincangkan, kita boleh runding tetapi untuk bawa Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia… kita tidak akan benarkan sama sekali.” – Najib Razak, petikan dari Berita Harian.

Tapi, kadang-kadang keadaan dikeruhkan pulak dengan perbalahan antara menteri. Contohnya pada tahun ini, Nazri Aziz menggelar menteri Sarawak ‘setahun jagung’ atas isu yang melibatkan cukai pelancongan. Kenyataan ini kemudiannya dibidas kembali oleh Ketua Pemuda BN Sarawak, dan Khairy Jamaluddin pula menyatakan ia harus diselesaikan secara elok.

Ada sebabnya mereka memberontak, jadi perlunya persefahaman antara kesemua pihak

Kalau kita renung balik, mungkin ada banyak sebab kenapa sesuatu kumpulan ni nak keluar dari negara asal. Macam kes bangsa Kurdis ni, diorang macam selalu je kena tindas sebab jadi  bangsa minoriti dalam banyak negara. Untuk warga Catalonia pulak, diorang rasa macam dipergunakan bila ekonomi dia je yang banyak menyumbang tapi pulangan pada tempat diorang tak setimpal.

Keadaan di negara kita mungkinlah tak seteruk itu, tapi ada jugak sekumpulan penduduk Sabah dan Sarawak yang rasa diorang tak maju walaupun sumber asli banyak. Contohnya dana daripada Kerajaan Persekutuan yang telah diseleweng oleh individu di Kementerian Air Sabah pada tahun lepas.

SPRM membuat rampasan terbesar mereka pada waktu itu, dengan jumlah aset hampir RM200 juta. Gambar daripada Borneo Post Online.

Ada pemimpin yang mengatakan perkara ni dah berlaku sejak zaman Tun Mahathir lagi, malah Tun M sendiri pulak mula keluarkan kenyataan untuk bantu Sabah Sarawak kembali, dan meneliti semula Perjanjian Malaysia 1963.

Tapi walau apapun perbalahan dan permainan pemimpin dan ahli politik, apa yang kita boleh buat adalah mengenali sesama sendiri dengan lebih baik. Macam mana tu? Kalau takde kawan daripada Sabah dan Sarawak, mungkin kita boleh baca lagi banyak artikel daripada… Borneo Post Online? Sebab kadang-kadang berita positif macam usaha Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) untuk menggalakkan inovasi di Sarawak senang terlepas pandang, dan kita akan dengar perkara-perkara negatif je.

Tiga tokoh Sabah dan Sarawak yang terlibat dengan pembentukan Malaysia. Klik pada gambar untuk baca.

Pastinya ramai yang lebih inginkan perpaduan daripada perpecahan. Jadi mungkin langkah pertama yang kita perlu lakukan adalah cuba fahamkan dengan lebih mendalam tentang latar belakang masing-masing, daripada nilai-nilai yang dipegang, budaya, keadaan sosioekonomi, dan macam-macam lagi.

(P.S: SOSCILI pun mengalu-alukan freelancer dari Sabah, Sarawak, dan semua ceruk di Malaysia. Jadi kalau korang minat menulis dan nak buat duit lebih, boleh apply kat sini!)

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT