Tragedi tawanan Penjara Pudu oleh sekumpulan banduan pada tahun 1986

Kalau cerita pasal filem tentang banduan dan penjara, mesti korang terbayangkan The Shawshank Redemption ataupun The Green Mile. Takpun bagi golongan 90s tu, mungkin korang pernah tengok siri Prison Break pasal adik-beradik yang cuba melepaskan diri daripada penjara. Time tu semua minat karakter Michael Scofield yang kekal hensem walaupun botak.

Imej dari arageek
Imej dari arageek

Mesti korang tak pelik bila dengar kes-kes banduan buat riot dalam penjara ni memang pernah berlaku. Tapi korang tau tak pada 30 tahun dulu, kes macam ni pernah berlaku kat Malaysia sendiri di penjara femes kita… Penjara Pudu!

Korang tau kan Penjara Pudu ni yang mana satu? Jangan konfius dengan stesen LRT Pudu ataupun Puduraya eh, tapi Penjara Pudu yang terletak dekat dengan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kalau korang naik monorel ke stesen IMBI, korang akan boleh lihat Penjara Pudu daripada atas, yang kini telah dikosongkan.

Penjara Pudu yang berbentuk X ni menyerupai Penjara Kindy Bogambia. Imej dari seram copy

Ok berbalik kepada kes prison break kita tadi… ianya diketuai oleh satu-satunya banduan yang melepaskan diri daripada Penjara Pudu… iaitu Jimmy Chua.

Mula-mula anggota polis, pastu pencen jadi penjenayah!

Jimmy Chua atau nama penuhnya Chua Chap Seng berasal daripada Singapura. Menurut keluarga Jimmy, dia ni waktu kecik jenis skema dan senyap je budaknya. Tapi jiran-jiran dan rakan sekerja kata Jimmy mula berubah semenjak kematian bapanya. Habis je sekolah, Jimmy jadik anggota polis (tapi tak lama sebab dia kena pecat) tapi tak lama lepas tu dia tak pernah dah melawat keluarga dia.

Jimmy didapati bersalah kerana memiliki senjata api serta mengetuai beberapa kumpulan-kumpulan haram, tapi lebih serius lagi sebab dia telah menembak mati Konstabel Mohd Yassin Bin Ismail pad 9 Febuari 8, 1984. 

Menurut Dr Geshina Ayu, seorang ahli kriminologi yang kena interview dalam liputan oleh dokumentari KES, Jimmy mungkin mempunyai personaliti jenis antisosial:

“Tingkah laku seorang antisocial personality yang paling utama dalam kes Jimmy Chua adalah dia tidak mengambil tanggungjawab atas kelakuannya. Setelah dia membunuh seorang polis, dia boleh menjalani kehidupan dia seperti biasa.” – Dr Geshina Ayu, Ahli Kriminologi.

Beberapa hari lepas Jimmy bunuh Konstabel Yassin, dia berjaya ditangkap oleh anggota Unit Risikan (D4 bahagian jenayah) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pihak polis dapat info yang Jimmy drive kereta Datsun Sunny yang dia curik, so beberapa pegawai yang meronda dalam van kat Bukit Bintang pun terserempak kereta Jimmy ni dan mula ikut senyap-senyap. Dorang kemudiannya mengepung dan menahan Jimmy dan rakan-rakan yang terkebil-kebil sebab tak sempat nak react.

Bukan calang-calang jugak la anggota polis kita kan. Tapi cerita tak habis kat situ je, sebab Jimmy mula start buat plan yang lain.

Jimmy Chua berjaya pujuk beberapa banduan lain untuk menawan Penjara Pudu

Oleh kerana ingin melepaskan diri daripada hukuman gantung sampai mati, Jimmy mengajak lima lagi banduan dalam Penjara Pudu untuk join sekali dia punya plan yang dia dah rancang baik punya. So macam mana dia execute?

Pada hari pertama, banduan-banduan ni masuk ke hospital penjara secara bergilir-gilir kononnya nak dapatkan rawatan. Tapi secara tiba-tiba dorang semua terus merempuh ke dalam hospital dengan mengacukan senjata kat kedua-dua mangsa tawanan. Menurut penjaga penjara Pudu tersebut, kumpulan banduan ni lengkap bersenjatakan besi tajam yang dipercayai diambil dalam tapak kasut dorang.

Hospital penjara inilah yang ditawan oleh penjenayah. Imej dari KES: Tebusan Penjara Pudu.

Dorang telah menahan dua pegawai perubatan dari Hospital Besar Kuala Lumpur yang sedang membuat pemeriksaan kat hospital penjara. Kedua-dua mangsa tebusan dikenali sebagai Doktor Radzi Jaffar dan Abdul Aziz Abdul Majid.

Dorang ni bukan je setakat mengancam nak cederakan tebusan, bahkan turut menuntut pelbagai permintaan kat kerajaan.

Lakonan semula bagaimana Jimmy Chua menawan hospital penjara Pudu. Imej dari KES: Tebusan Penjara Pudu.

Dorang mintak supaya dibebaskan, siap mintak media datang untuk interview tu

Masa tawanan ni lah  Jimmy Chua telah kemukan lima tuntutan kat kerajaan, iaitu:

  • Meminta tuduhan kesalahan dorang semua diringankan.
  • Meminta pihak berkuasa serahkan anggota polis yang menyumbat dorang ke dalam penjara
  • Meminta supaya pihak media dibenarkan masuk untuk menemuramah dorang sendiri
  • Meminta kerajaan temukan Jimmy dengan Timbalan Pengarah Penjara yang bertanggungjawab sebagai pegawai penyiasat kes dia dulu tu.

Masuk hari kedua tawanan, sekumpulan banduan ni telah minta permintaan baru dan gugurkan permintaan dorang yang lama.

“Permintaan pertama, dia minta supaya kerajaan bawak mereka dan tebusan keluar dari penjara. Bila semuanya dah selamat dan selesai mereka akan lepaskan tawanan…” – Ridzwan Jaafar, adik Dr Radzi, dipetik daripada dokumentari KES.

Permintaan kedua ialah dorang minta untuk berjumpa dengan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang masa tu jawatan tersebut disandang oleh Megat Junid. Tapi segala tuntutan dorang semua tu tak dilayan oleh kerajaan. Sebaliknya, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri mula mengatur strategi untuk menyelesaikan tragedi tawanan tersebut.

Pelbagai strategi mula diatur untuk membebaskan tahanan

“ …waktu tu Tun Mahathir selaku Perdana Menteri ada cakap kalau boleh jangan ada tumpahan darah dan kalau boleh jangan ada siapa-siapa yang dicederakan..” – Datuk Zaman Khan, Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah. Dipetik dari KES, program dokumentari.

So untuk elakkan pertumpahan darah berlaku, kerajaan pun menjalankan sesi pujukan dengan banduan tersebut. Masa sesi dijalankan, polis turut bawak ahli keluarga banduan (ibu, isteri dan anak) untuk turut serta.

“…salah satu cara kita berunding dengan penjenayah ni ialah bawa ahli keluarga mereka sekali. Tapi banduan tersebut tak mahu (tak nak berjumpa keluarganya)..” – Datuk Zaman Khan, Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah. Dipetik dari KES, program dokumentari.

Datuk Ibrahim Mohamed selaku Pengarah Jabatan Penjara Malaysia telah menjalankan rundingan dengan sekumpulan banduan tersebut dan hasil dari pujukan tersebut, ada yang mula berlembut hati.

“…seorang penjenayah telah bekerjasama dengan polis. Dia bagitahu yang pintu nak ke hospital tu dibuka dan sorang je yang jaga kat pintu tu. Dan cuma sorang je yang kawal Dr Radzi. Yang lain tengah baring-baring berehat.” – Datuk Zaman Khan, Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah

Datuk Zaman Khan, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Imej dari singa laut metro

Krisis tebusan Penjara Pudu berakhir tanpa pertumpahan darah

Setelah enam hari menjalankan rundingan dengan sekumpulan banduan tersebut tapi masih jugak takde penyelesaian, akhirnya kerajaan mengambil tindakan untuk menghantar anggota Unit Tindakan Khas untuk menyerbu hospital penjara.

Tapi apa yang membuatkan kitaorang salute dengan anggota UTK ni, dorang berjaya memberkas kesemua banduan dalam masa satu minit je tanpa menggunakan sebarang tembakan pun. Wahhhhh..

“Keadaan tebusan cukup lemah ketika itu. Dr. Radzi Jaafar terbaring lesu tidak sedarkan diri. Seorang lagi tebusan, Abdul Aziz Abdul Majid pula menggigil-gigil ketakutan sambil merayu-rayu minta dilepaskan.”- Sarjan Mejar Jipa Langob, anggota UTK. Dipetik dari Utusan.

Menurut kenyataan Sarjan Mejar Jipa lagi, keadaan kat klinik penjara tu dah macam kubu pertahanan kecik sebab semua meja dah diterbalikkan supaya ia boleh dijadikan benteng utama bagi menghalang serangan pihak berkuasa. Segala perabot-perabot pulak dorang dah letak kat pintu dan tingkap untuk menghalang laluan.

“…walaupun kesemua banduan dikatakan semakin keletihan setelah masuk hari keenam drama penawanan, namun, hakikatnya mereka masih agresif untuk melawan serangan pihak berkuasa.”-Sarjan Mejar Jipa Langob, anggota UTK. Dipetik dari Utusan.

Mungkin banduan ni panik bila dikepung Komando UTK, so terdapat salah sorang tu berani mengelar lehernya sendiri dengan gunting tajam untuk mengelak dari ditangkap. Namun diatas ketangkasan anggota UTK, dia sempat diselamatkan.

Jimmy Chua dan lima lagi banduan yang lain berjaya diberkas. Imej dari sejarahkini.

Tambah Jipa lagi, bukan setakat tu je, tapi ada jugak yang mengacah-acah kononnya nak cederakan komando UTK dengan senjata yang dorang ada (gunting dan perkakas perubatan yang dah diasah tajam). Tapi komandor UTK sikit pun tak terpedaya dengan tindakan dorang tu.

Akhirnya, kedua-dua tawanan pun berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Dan ia merupakan satu tragedi kat Penjara Pudu yang mungkin tak kan dilupakan oleh masyarakat Malaysia.

Pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia

Wartawan dan polis memenuhi di luar Penjara Pudu. Screenshot dari youtube

Akhirnya, sia-sia je tindakan Jimmy Chua dan pengikutnya menawan penjara sebab akhirnya dorang pun berjaya diberkas dan ditambah pulak kesalahan dengan tuduhan Akta Penculikan 1961 yang bawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Dorang ni bukan je buat kekacauan kat penjara tapi turut menawan tahanan selama enam hari dengan bersenjatakan besi tajam. Moga kejadian seperti ni merupakan kejadian pertama dan terakhir kat Malaysia.

About Irma Musliana 73 Articles
Saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan :)