- 85Share sekarang!
- Email6
- Facebook79
- Share
Bolasepak merupakan sukan yang paling popular di Malaysia, ia mempunyai ramai peminat dari semua lapisan masyarakat lebih-lebih lagi liga bolasepak eropah seperti Liga Perdana Inggeris kerana mereka menyajikan pengalaman menonton bolasepak yang mengasyikkan. Dalam pada itu, Malaysia juga tidak kurang hebat apabila negara kita sendiri ada pemain-pemain yang bagus dan boleh menunjukkan persembahan yang sangat menarik.
Kita boleh tengok pada zaman 60-an hingga kini, terdapat ramai penyerang tempatan yang hebat pernah menampilkan diri dalam kancah bolasepak negara. Tetapi, masih ada yang mengatakan negara kita tidak mempunyai bakat atau penyerang yang boleh membawa Malaysia pergi jauh dalam arena bolasepak dunia.
Oleh itu, ini merupakan senarai 6 penyerang terbaik sepanjang zaman yang Malaysia pernah ada (senarai mengikut pilihan kami, jika ada cadangan lain amatlah dialu-alukan untuk komen), mungkin ada yang korang tak pernah dengar pun nama dorang ni.
6. Khalid Jamlus, penyerang yang agak nakal di dalam dan luar padang
Nama yang pertama ni mungkin budak-budak pun dah kenal disebabkan berita sensasi tahun lepas bila dia mengambil keputusan untuk menjual kasut emas yang dimenanginya pada 2002 hingga menarik perhatian media tempatan. Khalid Jamlus, seorang penyerang yang sangat digeruni pihak lawan semasa era kebangkitan kembali bolasepak Malaysia selepas insiden liga tempatan dipalit isu rasuah besar-besaran.
Orang menggelar Khalid Jamlus sebagai seorang yang nakal disebabkan kehidupan luar bolasepaknya, tetapi itu semua tidak mencemarkan aksinya dalam padang. Mempunyai kelebihan yang hebat di udara dan juga naluri penyerang yang berbisa, sehinggakan dia merangkul anugerah Kasut Emas Liga Perdana 1 pada 2002 selepas menjaringkan 17 gol sekaligus membantu Perak FA menjuarai liga pada masa itu.
Dia juga merupakan salah seorang pemain bintang yang memenangi ‘treble’ bersama Selangor FA disamping rakan senegara Amri Yahyah dan penyerang lagenda Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy. Itu merupakan kali terakhir Selangor memenangi treble dan kali terakhir juga mereka memenangi Liga Malaysia.
Khalid Jamlus juga dikatakan dirisik oleh Eintrachrt Frankfurt (kelab bolasepak di Jerman) bersama-sama dengan Akmal Rizal, tetapi tidak mempunyai rezeki untuk mendapatkan kontrak di situ. Kira orang luar pun memang nampak lah bakat dia ni, sampai orang Jerman pun nak cuba dapatkan dia.
5. Dollah Salleh, pemain yang menghantui pasukan Korea Selatan
Mungkin ramai antara kita hanya mengenali Dollah Salleh sebagai seorang jurulatih tempatan yang hebat, ia disebabkan pelbagai piala telah dimenanginya semasa menjadi jurulatih Pahang FA dan dia juga pernah membawa Malaysia pergi ke final Piala AFF Suzuki 2014 tetapi kalah di tangan Thailand. Tapi tahu tak korang yang Dollah Salleh pernah menjadi bintang bolasepak negara semasa era 80-an.
Dollah Salleh merupakan seorang penyerang yang amat digeruni tak kira di peringkat liga tempatan mahu pun antarabangsa. Dianggap sebagai lagenda Selangor FA apabila membantu kelab itu memenangi 3 gelaran liga bersama-sama dengan Zainal Abidin Hassan, tapi Dollah menunjukkan aksi yang lebih cemerlang semasa berada di Pahang FA apabila berjaya mendapatkan treble pada musim 1992.
Kalau kita nak cerita yang antarabangsa pula, Dollah Salleh ni boleh dikatakan amat digeruni oleh pasukan Korea Selatan sebab bila Malaysia berdepan dengan Korea Selatan je Dollah pasti akan score. Sebagai contoh, dia menjaringkan gol semasa bertemu Korea Selatan pada perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka dan juga menjaringkan gol jarak jauh yang cantik menggunakan kaki kirinya semasa Kelayakan Piala Dunia 1986.
Dollah bukan hebat sebagai pemain sahaja, dia juga merupakan individu yang bertanggungjawab memimpin Selangor FA untuk memenangi treble pada 2005 sebagai jurulatih sekaligus membuatkan Dollah antara orang yang rare sebab pernah memenangi treble sebagai pemain dan jurulatih. Betul hebat orang Dollah ni, tapi still ramai yang lebih mengidolakan pemain bolasepak luar negara.
4. James Wong, wira Malaysia dalam kelayakan Olimpik 1980
Satu nama yang masih lagi gah diperkatakan sehingga kini, James Wong, seorang penyerang yang dianggap sebagai wira Malaysia ketika kelayakan Olimpik 1980. Dia telah menjaringkan gol kemenangan menentang Korea Selatan, sekaligus menjadikan skuad bola sepak negara layak ke Olimpik 1980 di Russia secara merit.
Akan tetapi, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa mereka memboikot Olimpik 1980 disebabkan pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. Perkara itu meranapkan impian semua pemain dan peminat untuk melihat skuad bola sepak negara beraksi di pentas Olimpik. Ia juga membuatkan James Wong sendiri sedih dan terkilan dengan kerajaan apabila menyatukan sukan dengan politik.
Untuk pengetahuan semua orang, James Wong memulakan kariernya sebagai penjaga gol dan hanya bermain sebagai penyerang selepas berpeluang mengisi kekosongan posisi tersebut apabila semua penyerang mengalami kecederaan. Dia memanfaatkan peluang itu dengan menjaringkan banyak gol sehingga dipanggil untuk menyertai Sabah.
“Pengalaman terbaik saya adalah apabila dapat bermain untuk pasukan negeri dan juga negara. Ada juga masa di mana saya menjaringkan gol dan memenangi liga, tapi itu semua hanyalah sebagai sagu hati sahaja. Saya sentiasa berasa bangga apabila saya berpeluang untuk menyarung jersi pasukan negeri dan kebangsaan di atas padang,” – James Wong, bekas penyerang negara, petikan dari Hello Sabah
Dari jadi penjaga gol sampai tiba-tiba jadi penyerang, dapat jaringkan gol kemenangan lawan Korea Selatan pula tu, memang padu James Wong ni.
3. Zainal Abidin Hassan, pemain utiliti yang menjaringkan gol terbanyak
Memang senarai ni untuk penyerang sahaja, tapi ada sorang pemain yang layak berada dalam senarai ni walaupun posisi dia bukan sebagai penyerang utama. Zainal Abidin Hassan, merupakan seorang pemain yang telah diiktiraf oleh Globe Soccer Awards selepas tersenarai dalam ‘World Top 10 Highest International Goalscorers’.
Dia telah menjaringkan 78 gol dalam 138 penampilan bersama skuad kebangsaan, itu menempatkan dia pada nombor 7 dalam senarai itu. Zainal amat dikenali dengan kekuatan fizikalnya dan kelebihan dia sebagai pemain utiliti di mana dia boleh bermain di semua posisi dalam padang kecuali penjaga gol.
Zainal telah memenangi tiga kejuaraan liga, dua Piala FA dan empat Piala Malaysia sepanjang kariernya sebagai pemain. Dengan seorang yang bukan pun penyerang utama, segala pencapaian yang telah dicapai oleh Zainal seakan-akan hanya cerita dongeng tetapi itu semua sudah dibuktikan oleh dia yang benda macam ni bukan perkara yang mustahil.
2. Allahyarham Ghani Minhat, raja bola yang semakin dilupakan
Sebelum muncul nama seperti Mokhtar Dahari, kita sudah ada Ghani Minhat yang digelar sebagai Raja Bola Negara pada era 50-an. Ghani merupakan salah seorang lagenda yang pernah bermain untuk Selangor FA dan juga Negeri Sembilan FA, diwar-warkan sebagai pemain negara yang paling berbakat ketika eranya bermain sehingga dipancing oleh pelbagai pasukan dari Eropah.
Mungkin ada sesetengah rakaman masih lagi tersimpan yang membolehkan kita semua melihat cara permainan lagenda kita ini, tetapi kalau tak dapat tengok pun kehebatan Ghani Minhat ni, dia telah pun diiktiraf oleh semua pemain-pemain lagenda Malaysia sebagai Raja Bola. Dikatakan dia mempunyai kelebihan untuk menggunakan kedua belah kakinya semasa bermain, itu juga merupakan salah satu kelebihan yang jarang dimiliki oleh pemain bolasepak pada hari ini.
“Kita main untuk negara, kita kena disiplinkan diri kita. Kalau kita tak boleh disiplinkan diri kita, apa kalau kata kita pergi sana (perlawanan luar negara) untuk makan angin saja ke? Sungguh pun kita pergi main bola, tapi itu adalah tugas besar,” Tan Sri Ghani Minhat, Raja Bola Malaysia, dipetik dari RTM
Semasa menyarung jersi Selangor, dia telah menolong Selangor memenangi 6 Piala Malaysia, dia juga membantu skuad kebangsaan untuk memenangi Pestabola Merdeka pada 1958, meraih pingat emas di Sukan SEAP 1961 dan yang paling hebat ialah meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1962. Dia kira mentor kepada generasi emas Malaysia yang berjaya membawa Malaysia layak ke Olimpik 1980, jadi perlu lah kita semua percaya bahawa tidak mustahil untuk pasukan kebangsaan kita dapat mencapai apa yang dicapai oleh lagenda-lagenda sebelum ini.
1. Allahyarham Mokhtar Dahari, digelar sebagai lipas kudung di atas padang
Kalau sebut je nama dia confirm semua kenal, itu lah lagenda Mokhtar Dahari. Seorang yang terkenal dengan kepantasan yang luar biasa hingga menyukarkan pihak lawan untuk menahan serangan yang dilakukan oleh nya, itu menyebabkan ramai yang mengidolakan Mokhtar Dahari sehingga kini.
Mokhtar Dahari merupakan anak jati Selangor, sampaikan dia sanggup menolak pelawaan dari Arsenal semata-mata ingin kekal bermain dan berbakti di Selangor. Perkara itu terjadi apabila dia telah menjaringkan dua gol ketika Malaysia mengalahkan Arsenal pada 1975 di Stadium Merdeka. Dalam pada itu, dia telah menjaringkan sebanyak 177 gol dalam 375 penampilan bersama Selangor dan juga telah menjaringkan 125 gol dalam 167 penampilan (termasuk dalam perlawanan tidak rasmi) bersama Malaysia.
Untuk Piala Malaysia je, dia dah pun menang 10 kali sepanjang kariernya. Dia juga telah membantu Malaysia untuk mendapatkan gangsa di Asian Games 1974 di Tehran dan juga memenangi emas dua kali berturut-turut di Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur dan 1979 di Jakarta. Disebabkan perkara itu, dia mendapat gelaran yang masih lagi disebut hingga sekarang iaitu ‘Supermokh’.
Dia bukan lah orang yang kaya, dia pun masih melakukan kerja lain semasa dia bermain bola sepak. Senang cerita, dia bermain bukan untuk duit dan itu perkara yang paling susah untuk kita lihat pada pemain zaman sekarang.
‘Honorable mention’ kepada penyerang negara yang hebat tetapi tidak tersenarai
Sebenarnya ramai penyerang Malaysia yang hebat, tetapi tidak cukup untuk kami pilih sebagai 6 yang terbaik sebab senarai tu je pun kitorang dah susah nak tentukan siapa nombor satu. Ini merupakan ‘honorable mention’ kepada penyerang yang memang layak digelar penyerang yang berbisa buat Malaysia.
Safee Sali, merupakan hero buat Malaysia pada Piala AFF Suzuki 2010. Skuad kebangsaan berjaya menjuarai pertandingan itu dengan Safee Sali dinobat sebagai pemenang kasut emas selepas menjaringkan 5 gol sepanjang pertandingan berlangsung, dia kemudiannya digelar Super Safee selepas kejayaan itu oleh kerana itu merupakan pertama kali Malaysia memenangi Piala Aff Suzuki dalam sejarah.
Azman Adnan, penyerang mantap Selangor yang membuatkan pihak lawan gerun. Pada era awal tahun 2000, nama penyerang ni memang tak boleh hilang di bibir peminat bola sepak tempatan disebabkan kelincahan dan kehebatannya di hadapan gol. Memenangi pelbagai piala bersama Selangor sampaikan tiada yang mampu menyaingi pencapaian kelab itu.
Hairuddin Omar, siapa je tak kenal dengan Hai-O ni. Seorang penyerang ‘botak’ yang hebat, walaupun posisinya adalah penyerang tapi dia boleh bermain di posisi tengah juga. Pernah memenangi Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
Amri Yahyah, lebih dikenali sebagai wak am oleh penyokong Selangor. Satu-satunya pemain Malaysia yang pernah gol semasa lawan dengan Manchester United dan Barcelona.
- 85Share sekarang!
- Email6
- Facebook79
- Share