- 1.2KShare sekarang!
- Email1
- Facebook1.2K
- Share
Pada hari ini, muzik merupakan satu benda yang penting. Tak kira masa bersenam, berhibur, dan macam-macam lagi. Semua tempat tak kira masa pasti akan ada alunan muzik, sebab ia dah jadi macam norma kehidupan manusia. Yang membezakan hanyalah genre-genre yang disukai tau pun tidak.
Bila nak bercerita pasal genre, mungkin ada yang pernah dengar tentang Jazz dan sebagainya. Tapi kita kenal ke tokoh-tokoh Jazz di Malaysia ni? Penyanyi yang kita kenal pun mestilah macam Jamal Abdillah, M. Nasir, Siti Nurhaliza dan ramai lagi. Kali ni kitorang nak ceritakan kat korang tentang seorang karyawan yang pernah menggegarkan dunia muzik negara suatu ketika dulu.
Nama diberi Alfonso Soliano, juga digelar Bapa Jazz Malaysia
Mungkin ada yang tak pernah langsung dengar nama dia ni, tapi hakikatnya Alfonso Soliano merupakan seorang legenda dalam muzik jazz di Malaysia. Ada kemungkinan juga dia adalah orang yang bertanggungjawab dalam meluaskan lagi genre jazz dalam negara kita, mana taknya, zaman dulu kita semua berpegang teguh dengan muzik tradisional kita semua kan.
Tapi, ada juga yang tertanya dari mana asalnya Alfonso ni, orang Sepanyol ke? Sejarah keluarga Soliano ni bermula sejak zaman British lagi, 64 ahli muzik dari Filipina telah dibawa masuk oleh British untuk membentuk Selangor State Band dan salah seorangnya adalah Rufino Soliano (ayah kepada Alfonso). Dari situ lah bermulanya legasi keluarga Soliano di bumi Malaya.
Alfonso dilahirkan di Singapura pada 25 Februari 1925, pada usianya 7 tahun, dia dah pun menjadi pemain piano profesional bersama dengan kumpulan Bangsawan Grand Jubilee dan perform dalam Opera Melayu (Malay Opera).
Namun, bermula pada zaman 1940-an, Alfonso lebih bergiat dengan muzik jazz dan pernah bermain di Kelab Selangor (sekarang dikenali sebagai Royal Selangor Club). Dari situ dia mula menaikkan lagi nama dia sebagai seorang pemuzik jazz yang disegani sehinggalah menjadi watak penting dalam Radio Malaya (sekarang dikenali sebagai Radio Televisyen Malaysia).
Penampilan Alfonso dalam Radio Malaya telah mengubah lanskapnya tersendiri apabila dia menggubah banyak lagu untuk bagi orang ramai dengar. Ini termasuk lagu-lagu tradisional asli menjadi kontemporari, benda tu sangat mindblown pada masa tu sebab bukan senang nak gubah lagu-lagu asli ni.
Dalam pada itu, dia juga bertanggungjawab dalam menolong pemuzik-pemuzik di Radio Malaya untuk belajar muzik menggunakan jiwa mereka. Setiap satu komponen penting dalam muzik seperti membaca skor muzik dari not demi not, irama demi irama. Hingga satu tahap tu, sebuah orkestra pertama negara telah tercipta! Ia dikenali sebagai Orkes Radio Malaya.
Dua tahun je masa yang diambil Alfonso untuk menubuhkan sebuah orkestra sejak dia bermula! Pada 2 Disember 1959, orkestra pertama negara yang dipimpin Alfonso melakukan debutnya di Dewan Tunku Abdul Rahman (sekarang dikenali sebagai Malaysia Tourism Information Centre) di Kuala Lumpur. Ia dikenali sebagai Malam Irama Melayu.
“Masa dulu-dulu, kita ambil mudah sahaja benda ni. Sebagai kanak-kanak, kita hanya ikut ke mana sahaja ayah pergi. Namun sekarang, apabila saya tengok kembali apa yang dilakukannya, saya sangat menghargai segala dan dalam masa yang sama boleh nampak betapa besarnya kerja yang dia buat dahulu,” Isabella Soliano, anak perempuan Alfonso Soliano, petikan dari New Straits Times
Benda ni buat kitorang rasa terharu gila kot, seorang genius muzik telah mengubah segalanya hingga kan ia dapat pengaruh industri muzik sekarang ni. Sampaikan event tu pun digelar Malam Irama Melayu walaupun Alfonso bukanlah seorang kaum Melayu.
Menulis skor lagu untuk filem pertama P. Ramlee dan juga Negaraku
Untuk pengetahuan korang, Alfonso juga merupakan orang yang terlibat secara langsung dalam pembikinan filem pertama yang dibintangi seniman P. Ramlee iaitu Chinta (1948). Filem yang dikeluarkan oleh Shaw Brothers dan diarahkan oleh pengarah legenda B. S. Rajhans tu dikira sebagai titik permulaan penglibatan P. Ramlee di layar perak.
Peranan yang dipegang oleh Alfonso pula adalah sebagai pengarah muzik bagi filem itu sendiri. Dipendekkan cerita, dia juga secara tak langsung merupakan sebab terlahirnya seorang seniman emas iaitu P. Ramlee. Walaupun watak yang dipegang oleh P. Ramlee tu bukan lah hero tapi kira bagus lah tu kan.
Alfonso juga merupakan orang yang bertanggungjawab menulis skor lagu untuk Negaraku tau! Semua tu terjadi selepas permintaan daripada Perdana Menteri pertama kita, Tunku Abdul Rahman supaya lagu kebangsaan dicipta sebelum Malaysia diisytihar merdeka. Kalau korang nak tahu lebih lanjut pasal benda ni, boleh klik di sini.
Kehebatan Alfonso Soliano bukan hanya setakat dalam persembahan dia sahaja, sumbangan dia dalam muzik juga tak boleh disangkal. Yang paling besar dan boleh kita tengok adalah Orkes RTM tu sendiri, pada 1961 orkestra itu telah di rebrand tetapi Alfonso masih dikekalkan sebagai pengasas awal kumpulan muzik tu.
Banyak anugerah telah diterima mereka dan salah satunya adalah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kumpulan orkestra tempatan paling lama wujud di Malaysia!
Sudah lama tiada tapi masih diingati
Sudah lama tiada tapi masih diingati. Mungkin itu ungkapan terbaik yang boleh diucapkan, sebab apa tau, segala perkara yang telah dilakukan oleh Alfonso boleh dianggap sebagai titik perubahan lanskap muzik negara. Mana taknya, ramai seniman legenda pun bermula bersama-sama Alfonso.
Nama Alfonso Soliano tu sendiri cukup gah sampaikan walaupun kita semua telah kehilangan dia, tetapi legasi dia masih lagi kuat sehinggakan pemuzik jazz terhebat tanah air berkumpul untuk membuat album sempena 25 tahun pemergian mendiang. Ia diketuai sendiri oleh cucunya bernama Rachel Guerzo.
Album yang diberi nama Alfonso 25 tu boleh didengari di platform Youtube, korang search je Alfonso 25 dan nikmati lagu-lagu yang mempunyai aura-aura legenda jazz negara iaitu Alfonso Soliano. Maybe budak-budak kalau dengar dorang rasa tak best lah kot, tapi kalau korang ni pencinta muzik pasti korang akan enjoy lagu-lagu yang mendayu tu.
Teruskan menyokong industri muzik tempatan, kalau bukan kita yang sokong, siapa lagi kan.
- 1.2KShare sekarang!
- Email1
- Facebook1.2K
- Share