Rotan pelajar sikit pun dah kecoh, dulu PELAJAR BERSERBAN siap kena buang

UPDATE 26/6/2019: Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah kat Skudai dah dirotan oleh seorang guru lelaki. Kes ni terjadi kerana pelajar tersebut memanggil guru tadi sebagai pondan. Sebuah video yang yang menunjukkan ibu pelajar tu minta penjelasan guru tersebut dah tular di media sosial. Isu ni dah mendapat perhatian ramai termasuk Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Pendidikan. Kes ni sedang disiasat oleh pihak polis. Tapi, apa yang menarik adalah kenyataan Teo Nie Ching bahawa pelajar perempuan tak boleh dirotan mengikut peraturan.

Kejadian ni dah mengingatkan kita kepada kes Cikgu Azizan dulu…


Hampir semua dari kita dah dengar tentang kes yang melibatkan seorang cikgu bernama Cikgu Azizan. Cikgu Azizan dah didakwa di Mahkamah Majistret Seremban selepas dituduh mencederakan seorang murid darjah lima. Murid yang ditampar tu dikatakan dah buat kesalahan disiplin termasuk hidu gam dan buli pelajar lain.

Tapi nampaknya tindakan Cikgu Azizan tu dapat sokongan kuat dari orang ramai dan netizen. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pun bagi sokongan moral kepada Cikgu Azizan. Kat media sosial pulak, muncul #pray4cikguazizan, sebagai tanda sokongan dan solidariti kepadanya.

Penyokong-penyokong Cikgu Azizan berkumpul depan mahkamah. Imej dari BH Online.

Akhirnya pada 19/12/2017, mahkamah putuskan Cikgu Azizan dilepaskan tanpa dibebaskan. Hal ni jadi lepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tarik balik pertuduhan kes tu. Maksud dilepas tanpa dibebaskan ni adalah tertuduh hanya dilepaskan daripada kes, tapi tak dibebaskan dari tuduhan, kalau ada bukti baru atau AGC kembalikan pertuduhan. Kes ni akan didakwa lagi.

“Saya takkan berdendam apa-apa, profesional, saya akan bekerja macam biasa. Semua anak-anak murid adalah anak-anak saya.” – Cikgu Azizan, dipetik dari Astro Awani.

Tapi tak lama lepas tu, keluarga pelajar yang ditampar tu nak saman pulak Cikgu Azizan, atas dakwaan dah mencederakan anak diorang. Tapi dalam satu laporan lain pula kata, keluarga tu masih belum bercadang nak saman. Nampaknya cerita Cikgu Azizan ni pun masih belum habis lagi.

Kalau cikgu macam ni, rasa-rasa nak saman tak? Imej dari warta.my

Sebenarnya, ini bukan kali pertama kita dengar pasal kes melibatkan cikgu dan murid ni. Sebelum ni, kita juga ada dengar pasal guru-guru yang dikenakan tindakan undang-undang dan juga guru-guru yang diserang ibu bapa pelajar.

Kes saman cikgu banyak jadi kat kawasan bandar

Kerjaya sebagai seorang cikgu ni bukannya mudah, sebabnya tugas seorang cikgu bukan hanya ajar mengira dan membaca. Tapi ia sebenarnya lebih dari itu. Itu belum lagi dengan tindakan ibu bapa yang serahkan tanggungjawab mereka sepenuhnya kepada cikgu. Diorang ingat cikgu takde keluarga ke?

Dengan zaman yang berkembang moden dan terus menuju kemajuan ni, kita tak terlepas juga dari dengar berita-berita yang tak baik terhadap guru. Sebabnya, keselamatan jadi guru ni bukannya terjamin sangat. Kes-kes macam ibu bapa serang guru tu selalu juga kita dengar:

  1. Seorang cikgu kat Pasir Mas cedera kat pipi lepas ditampar oleh bapa seorang murid yang dakwa guru tu tampar anaknya. (2011)
  2. Dua orang cikgu cedera kena serang dengan bapa dan kawan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin di Kuching, Sarawak. (2011)
  3. Seorang bapa di Melaka dah bertindak menampar dan menghamburkan kata-kata kesat kepada seorang cikgu kerana sebelum tu menampar anaknya. (2016)
  4. Seorang bapa buat laporan polis dengan dakwa ada cikgu pukul kepala anaknya dengan buku teks. (2017)
Imej dari dpliipgkbm.blogspot

Berikut adalah antara kes-kes yang mungkin kita pernah dengar. Tapi sebenarnya ada juga kes ibu bapa saman cikgu. Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), kes saman cikgu ni kebanyakannya jadi kat bandar berbanding dengan luar bandar. 

“Sebagai contoh daerah saya, Pahang, ada kira-kira 3,000 guru, tidak ada kes dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakannya membabitkan kawasan bandar besar yang ibu bapa dilihat ‘over-protective’ dan terlalu mendengar nasihat peguam.” – Kamarozaman Abd Razak, Presiden NUTP. Dipetik dari Harian Metro.

Bagaimanapun, pihak Kementerian Pendidikan ada kata yang diorang akan bagi perlindungan dan perhatian penuh kepada mana-mana cikgu yang disaman oleh ibu bapa. Tapi dalam waktu sama, kita juga tak boleh nafikan ada juga kes-kes jenayah yang melibatkan guru. Macam kes dadah, cabul, salah guna kuasa dan sebagainya. Tapi itu cerita lain dan biarlah pihak berkuasa yang siasat.

Seorang guru yang didakwa Julai lepas. Imej dari BH Online.

Berbalik pada perkara yang kita nak cerita ni, sebenarnya setiap tindakan dan hukuman yang boleh dikenakan kepada pelajar, dah pun termaktub dalam undang-undang dan peraturan.

Hukuman menampar dan mencubit pelajar sebenarnya dilarang sama sekali

Kalau kita nak bincang pasal undang-undang dan peraturan disiplin yang diamalkan kat sekolah-sekolah Malaysia ni, kita ada tiga rujukan utama iaitu:

  1. Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, peraturan yang dibuat berdasarkan kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 116, Ordinan Pelajaran 1957. (Lebih mudah dikenali sebagai Peraturan 1959)
  2. Buku-buku panduan pengurusan disiplin yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
  3. Surat-surat Pekeliling Ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia secara berkala.
Cer teka ni dari cerita apa? Imej dari inibilikmakencik.blogspot

Kalau kita tengok pada Peraturan 1959, ada beberapa perkara penting yang ditekankan. Antaranya ialah:

  1. Guru besar adalah orang yang bertanggungjawab ke atas disiplin sekolah.
  2. Guru besar boleh wakilkan kuasanya kepada guru lain untuk tindakan disiplin (guru disiplin).
  3. Guru besar ada kuasa untuk gantung atau buang sekolah seseorang pelajar yang buat kesalahan disiplin.

Selain dari peraturan ni, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga keluarkan beberapa buku panduan yang jadi garis panduan untuk uruskan disiplin sekolah. Tapi ia masih lagi berdasarkan Peraturan 1959. Rujukan seterusnya pula adalah pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan dari masa ke semasa. (klik sini untuk semak)

Contoh surat pekeliling ikhtisas. Klik imej untuk baca.

Seperti yang kita ceritakan tadi, antara isu yang dibangkitkan ibu bapa adalah pasal hukuman disiplin yang dijalankan kat sekolah. Sebenarnya kalau diikutkan, hanya ada beberapa jenis hukuman yang dibenarkan macam: buang sekolah/gantung sekolah, hukuman rotan, penahanan dan amaran.

Gantung sekolah atau buang sekolah selalunya dikenakan kepada pelajar yang ada masalah disiplin serius dan tak dapat dikawal lagi. Hukuman rotan pula diperuntukkan dalam Peraturan 1959, untuk kesalahan-kesalahan tertentu. 

“…dijalankan dengan menggunakan rotan ringan dan pukulan rotan hanya boleh dibuat pada tapak tangan atau di bahagian punggung yang berlapik. Hukuman rotan ke atas pelajar perempuan dilarang secara nyata dalam Peraturan 1959.” – Panduan Hukuman Salah Laku Murid.

Cikgu kena tahu peraturan ni. Imej dari dpliipgkbm.blogspot

Jadinya jelas kat sini yang tak adanya hukuman tampar, cubit, tumbuk atau sebagainya untuk mendisiplinkan pelajar. 

“Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Kadang-kadang tu, ada juga peraturan sekolah yang dicabar di mahkamah

Ini mungkin agak menarik untuk kita bincangkan. Sebabnya, sebelum ni ada kes yang melibatkan pertembungan antara peraturan sekolah dan peraturan KPM. Sebagai contoh dalam kes Mahkamah Persekutuan pada tahun 2006, ada  seorang guru besar ni dah bertindak buang tiga pelajar sebab pakai serban kat sekolah.

Sebenarnya kes ni dah jadi sembilan tahun sebelum tu (1997), apabila tiga orang pelajar tu diarahkan supaya tanggalkan serban dan pakai songkok. Tapi diorang ni tak nak dan tetap nak pakai serban. Akhirnya, guru besar pun ambil keputusan buang ketiga-tiga diorang ni atas alasan pakai serban kat sekolah.

Mior Atiqulrahman Ishak (kiri), Syed Abdullah Khaliq & Syed Ahmad Syukuur Dihya dibuang sekolah sebab pakai serban. Imej dari Utusan Malaysia.

Tak puas hati dengan tindakan guru besar, kes ni kemudiannya dibawa ke mahkamah dan dibicarakan. Pada 10 November 1997, Mahkamah Tinggi, Seremban buat keputusan yang guru besar tak ada kuasa untuk buang sekolah hanya kerana semata-mata pakai serban.

“Guru besar tiada kuasa melarang semua murid memakai serban. Guru besar sudah melampaui kuasanya dengan menentukan dasar atau polisi berkenaan pakaian seragam sekolah yang haknya terletak pada Kementerian Pendidikan sahaja.” – Dipetik dari buku: Undang-undang untuk Pengetua dan Guru Besar.

Tapi bila kes ni dibawa ke Mahkamah Rayuan, nampaknya Mahkamah Rayuan tolak keputusan Mahkamah Tinggi. Sampailah akhirnya kes ni dibawa ke Mahkamah Persekutuan, dengan menyaksikan Mahkamah Persekutuan akhirnya kekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pelajar-pelajar itu dilarang memakai serban sebagai sebahagian daripada pakaian seragam sekolah. Mereka tidak dilarang memakainya pada masa yang lain. Malahan, di sekolah, mereka tidak dilarang memakai serban ketika bersolat.

Patutkah mereka dibenarkan memakai jubah semasa bermain bola sepak kerana amalan Rasulullah ialah memakai jubah?” – Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed, dipetik dari Utusan Malaysia.

Laporan Utusan Malaysia – 13/07/2006. Imej dari Undang-undang untuk Pengetua dan Guru Besar.

Jadinya, apa yang jadi persoalan kat sini, masih lagi berlakunya percanggahan peraturan di antara sekolah dan KPM. Sehinggakan kes-kes ini perlu diselesaikan di Mahkamah.

“Panduan tindakan kepada pelajar-pelajar yang bermasalah memang sedia ada.. Jika guru-guu mengikut SOP, itu agak selamat…” – Ramlan Mohamad, pesara guru. Katanya kepada SOSCILI.

Ada kajian yang kata cikgu juga jadi punca masalah disiplin pelajar

Pasal kes ibu bapa serang cikgu ni bukan perkara baru tapi dah lama jadi. Jangan kata ibu bapa je yang serang, kes pelajar belasah cikgu pun ada. Sebab itulah ada kalanya tindakan ibu bapa yang terlalu melindungi anak ni dah menyebabkan kerja cikgu makin susah sekarang ni.

“…kebanyakan ibu bapa yang kaya dan berada sangat memanjakan anak-anak mereka serta melimpahkan segala kemewahan kepada mereka. Oleh kerana terlalu dimanjakan dan mendapat apa sahaja yang mereka inginkan di rumah, sifat ini akan terbawa-bawa sehingga ke sekolah.” – Dipetik dari jurnal tulisan Nasrul Hisyam Nor Muhamad & Zarina A Rashid.

Dalam waktu yang sama, ada kajian yang kata cikgu juga sebenarnya bertanggungjawab dengan timbulnya masalah disiplin pelajar.  Menurut buku – Profesion Keguruan: Peranan Etika Kerja dalam Mendisiplinkan Pelajar, tulisan Alis Puteh, ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan cikgu jadi punca masalah disiplin pelajar.

Imej dari Giphy.

Antaranya adalah cara pengajaran cikgu yang tak menarik, sampai membuatkan pelajar lebih suka untuk ponteng sekolah. Cikgu yang suka berleter juga boleh jadi punca masalah yang sama.

“Satu lagi sifat guru yang tidak di­sukai pelajar adalah mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar semasa memarahi mereka. Perlakuan itu akan menimbulkan kebencian pelajar terhadap guru dan seterusnya menyebabkan mereka tidak suka untuk datang ke sekolah.” – Ulasan buku di Utusan Malaysia.

Jadinya, penulis buku ni ada senaraikan beberapa cara yang cikgu boleh buat untuk elakkan pelajar dari masalah disiplin:

  1. Perkenalkan cara pengajaran yang menarik dan pastikan pelajar faham apa yang diajar.
  2. Cikgu mesti ada hubungan baik dengan setiap pelajar, tak kira diorang tu pandai atau kurang pandai.
  3. Cikgu sekalipun tak boleh ada sikap pilih kasih antara pelajar.
Ni pun masalah jugak. Imej dari ceriteracintabalqis.blogspot

Dalam kajian buku ni juga, penulisnya mendapati yang masalah kita dan Singapura tak jauh beza. Cuma kat Singapura, ia lebih melibatkan arus pemodenan.

“Kesan ketara daripada arus pemodenan (di Singapura) yang menjadikan ibu bapa lebih berpelajaran adalah mereka bersikap kritikal dan membuat tuntutan berlebihan kepada sekolah dan guru.

Jika guru mengenakan hukuman terhadap anak-anak kerana masalah disiplin, ibu bapa cenderung untuk tidak menyokong tindakan tersebut.” – Ulasan buku di Utusan Malaysia.

Cikgu juga manusia biasa dan kadang-kadang akan beremosi

Dari apa yang kita dapat ni, tak mungkin untuk kita nak menyalahkan cikgu seratus peratus. Sebabnya, semua pihak sebenarnya ada tanggungjawab mendidik masyarakat. Macam juga kes cikgu yang kadang-kadang tu ‘terlepas tangan’ dalam mengajar pelajar. Pokoknya, kita juga mesti terima dan sedar yang cikgu juga manusia biasa dan ada kalanya beremosi.

“Guru manusia biasa ada perasaan dan emosi.. kadang-kadang tidak dapat mengawal, hasil dari provokasi pelajar-pelajar yang biadap…

Pengalaman saya sebagai guru disiplin. Menampar pelajar hingga penjaga nak buat laporan polis..saya mohon maaf dan selesai begitu saja.. Memotong seluar pelajar hingga ke lutut… Penjaga minta ganti rugi.. Saya bayar harga seluar tersebut…” – Ramlan Mohamad, pesara guru. Katanya kepada SOSCILI.

Kesian dia~~~ Imej dari ohbulan.com

Dalam waktu yang sama menurut cikgu Ramlan, pihak cikgu disiplin boleh berkerjasama dengan pihak kaunseling dalam menjaga disiplin pelajar. Tapi mungkin cuma pendekatannya yang agak berbeza.

“…tugas guru agak mencabar dalam pengurusan manusia yang berbagai latar belakang keluarga, juga sosio ekonomi. Pihak sekolah, PIBG dan masyarakat setempat perlu bergabung untuk memastikan masalah sebegini tidak berulang lagi.” – Ramlan Mohamad, pesara guru. Katanya kepada SOSCILI.

Guru pendidikan khas, Saudah Alias berbincang dengan pasangan kembar yang menghadapi masalah pendengaran. Imej dari Astro Awani.

Kesimpulannya, jasa seorang guru bukan satu perkara yang boleh dipadamkan. Merekalah yang dah mendidik kita dengan segala ilmu yang ada. Siapa kita pada hari ini? Ia berasal dari ilmu seorang cikgu.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

– Usman Awang, dipetik dari sajak: Guru Oh Guru.

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.