- 209Share sekarang!
- Email4
- Facebook205
- Share
Semua orang tahu tentang mukjizat paling agung yang diturunkan untuk semua umat manusia sebagai panduan dan pegangan hidup. Ayat-ayat yang terkandung dalam Al-Quran jugak lengkap dan menyeluruh. Kalau dikaji, ternyata susunan ayat Al-Quran itu sangat indah dari segi bahasa dan penceritaannya.
Umat Islam mengakui Al-Quran sebagai kitab suci dan mereka diwajibkan untuk menghormati serta melindunginya. Ia jugak terkandung dalam salah satu Rukun Iman yang semua umat Islam kena percaya tentang kewujudannya.
Al-Quran ada peraturan penerbitannya tersendiri ?
Baru-baru ni ada satu kenyataan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan cukai untuk setiap salinan Al-Quran yang diterbitkan. Reaksi dari kenyataan itu, ramai penerbit tempatan bagitahu yang cukai tersebut sebenarnya tak patut dikenakan untuk salinan naskhah Al-Quran. Ia disebabkan cukai yang dikenakan adalah cukai yang tak dibenarkan oleh kerajaan.
Tapi, untuk pastikan Al-Quran tu boleh dipasarkan, ia kena patuhi peraturan penerbitan yang dah termaktub dalam peraturan KDN sendiri. Maksudnya, ia dengan persetujuan kerajaan jugak lah kan?
Sebenarnya, setiap naskhah Al-Quran yang diterbitkan ada peraturan tersendiri yang setiap penerbit kena ikut dan peniaga kena betul-betul pastikan. Tak boleh sebarangan diedarkan dengan sesuka hati. Menurut Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran dari KDN sendiri, semua bentuk cetakan ataupun penerbitan yang mengandungi ayat Al-Quran walaupun cuma ada satu juzuk, ia perlu dapatkan kelulusan daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).
Dan, daripada hal tu, setiap keluaran dan cetakan yang dihasilkan tu mestilah mengikuti prosedur yang ditetapkan. Maksud prosedur kat sini adalah penerbitan ataupun peniaga yang nak edarkan cetakan tersebut sebelum tu mestilah berlesen dan kalau takde lesen kena mohon lesen pencetakan sebelum buat edaran di mana-mana kedai ataupun untuk pihak luar. (Boleh klik sini untuk cara-cara nak mohon lesen tu).
Selain tu, bagi orang yang nak cetak Al-Quran sendiri dan nak edarkan Al-Quran yang dia hasilkan, orang yang terlibat tu mestilah kena rujuk syarikat-syarikat yang dah diberi kelulusan lesen oleh LPPPQ. Contohnya, kalau korang nak ada salinan Al-Quran yang korang tulis sendiri, korang kena cetak dan terbit Al-Quran tu menerusi syarikat yang ada lesen sah.
Dalam Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986, ia juga dah tetapkan prosedur yang terkandung dalam Seksyen 5(1) yang memberi tanggungjawab kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran untuk bagi kelulusan kepada syarikat yang berlesen je.
“Tiada seorang pun boleh mencetak atau membantu dalam pencetakan, atau menerbitkan atau membantu dalam penerbitan, sesuatu teks Al-Qur’an tanpa suatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga, dan Lembaga boleh,
menurut budi bicara mutlaknya, memberikan lesen itu, enggan memberikan lesen itu, atau membatalkan lesen itu, atau memberikan lesen itu tertakluk kepada syarat yang diendorskan pada lesen itu” – Seksyen 5(1), Akta 326, Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
Jadinya, setiap helaian yang mengandungi ayat Al-Quran yang diedarkan, kenalah pastikan dari mana puncanya sebab takut ia merupakan agenda untuk menyesatkan orang Islam. Sebab tu lah peraturannya agak ketat dan rumit sikit sebab nak pastikan kitab suci kita tak dipermainkan.
Tapi, apa yang jadi isu sekarang ni, pengenalan pelekat hologram untuk pengesahan penerbitan Al-Quran yang telah disahkan tu mahal untuk setiap satu terbitan ditambah lagi dengan kos proses menerbitkan senaskhah Al-Quran. Jadinya, penerbit tempatan ni pun rasa tak senang duduk, sebab kosnya yang menelan belanja agak mahal. Malah, ia dianggap sama macam cukai tambahan.
Sebelum ni, tak perlu hologram, ada perakuan cop pruf akhir dah buktikan keaslian Al-Quran
Sebelum tu, untuk setiap Al-Quran yang nak diterbitkan dan diedar, Al-Quran tu mestilah melalui proses bacaan pruf yang dah ditetapkan LPPPQ dari KDN supaya dapat diketahui ketulenan dan Al-Quran tu tak mengandungi apa-apa kesalahan.
Dan garis panduan yang ditetapkan tu memang dah diperuntukkan di bawah Seksyen 6 dalam Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986. Dalam prosedur tersebut, mana-mana penerbit Al-Quran perlu melibatkan dua panel perundingan yang bertauliah dan diiktiraf. Tapi dengan adanya dua panel ni, ia jadi macam bebanan bagi penerbit sebab diaorang kena tampung kos bayaran untuk panel tu.
“Yuran bagi mereka yang dipanggil ini juga merupakan kos tambahan bagi kami,” – Penerbit tempatan, sumber dari FMT.
Walaubagaimanapun, KDN bagitahu yang diorang tak pernah kenakan yuran bacaan pruf untuk dua panel tu. Tapi yang dikenakan tu adalah merangkumi bayaran pemprosesan bagi setiap pruf akhir yang dikemukakan.
Dan kitaorang pun ceklah dalam garis panduan pruf akhir tu, dan bayaran tersebut sebenarnya merangkumi kesemua proses untuk menerbitkan al-quran. Tapi kos besar kat situ adalah kos pruf akhir. Sebenarnya, kos keseluruhan untuk pruf akhir tu ditanggung kerajaan sendiri.
“Bayaran fi pemprosesan yang dikenakan kepada penerbit sebanyak RM1,500 hanya 8.3% daripada kos semakan. Baki 91.7% kos semakan ditanggung kerajaan,” – Kementerian Dalam Negeri, sumber dari FMT.
Dan ia menelan kos yang banyak sebab semakan yang dibuat untuk setiap satu al-Quran tu bukannya mudah. Panel yang bertauliah kena cek setiap satu ayat, baris dan huruf dalam al-Quran tu. Satu per satu ye. Korang sanggup tak?
Pruf akhir tu sebenarnya sangat penting untuk pastikan takde apa-apa kesalahan dalam Al-Quran yang diterbitkan tu. Kegagalan mendapatkan semakan akhir dan patuhi garis panduan tu lah yang menyebabkan Al-Quran boleh dirampas. Dan sebelum ni, banyak Al-Quran dah dirampas yang bertulisan rumi, dan menurut garis panduan pruf akhir tu memang Al-Quran yang ditulis dalam bahasa lain selain bahasa Arab adalah tak dibenarkan.
Bukan je Al-Quran versi cetakan yang perlukan semakan pruf akhir, Al-Quran dalam bentuk digital, melalui talian internet dan Al-Quran melalui aplikasi yang dimuat turun jugak perlukan semakan pruf akhir dan melalui prosedur sama. Bukanlah semudah ABC dan 123. ?
Sebelum ini, perakuan betul pruf akhir dicop di halaman Al-Quran untuk menunjukkan salinan asal pruf akhir telah diperiksa daripada sebarang kesilapan. Dan tak perlu pelekat hologram pun Al-Quran tu boleh diterbitkan. Ditambah pulak, dalam garis panduan dan akta takde prosedur yang mewajibkan pelekat hologram dalam proses penerbitan Al-Quran.
Peraturan ‘cukai’ hologram buat penerbit dan kedai buku rugi
Walaupun dalam peraturan penerbitan Al-Quran tu takde nyatakan pun pasal peraturan hologram ni, tapi sebenarnya ia diluluskan dan disahkan oleh kabinet dan berkuatkuasa pada 1 Februari 2010. Dan, semua sedia maklum mengenai hal ini. Walaupun dalam akta cuma wajibkan untuk mengemukakan salinan asal pruf akhir untuk memastikan ketulenan Al-Quran tersebut.
Apa yang buat penerbit dan peniaga kedai buku rugi adalah bila ‘cukai’ hologram ni yang agak tinggi dan menyebabkan diorang kena bayar untuk itu dalam kadar yang berganda. Walaupun sebenarnya kalau dikira menerusi kadar pencetakan yang banyak dapat kurangkan kos terbitan Al-Quran.
Tapi disebabkan hologram ni wajib untuk setiap terbitan Al-Quran, kos pencetakan ditambah dengan kos pelekat hologram ni. Iaitu RM0.50 untuk satu pelekat setiap satu Al-Quran. Yang dulunya adalah RM1 tapi dah dikurangkan atas desakan penerbit-penerbit tempatan Al-Quran.
“Jika kami rancang untuk mencetak 10,000 salinan, kami perlu mengeluarkan pendahuluan RM5,000, sebelum mencetak dan menjualnya.
Walaupun kami berjaya menurunkan kos pengeluaran kepada RM2 bagi 1 salinan kerana kuantiti yang lebih besar, kami masih perlu membayar tambahan 50 sen, iaitu tambahan 25%, bagi bayaran pendahuluan,” – penerbit Islam tempatan, sumber dari FMT.
Apa yang tambah lagi celaru bagi diorang, walaupun ada terbitan Al-Quran yang dah ada cop kelulusan menunjukkan teks Arabnya telah dibuat bacaan pruf dan diluluskan oleh panel pakar KDN, tapi Al-Quran tu tetap dirampas sebab takde pelekat hologram ni. Mungkin sebab terbitan tu dibuat sebelum adanya pelaksanaan pelekat hologram ni kot. ?
Bila ia jadi isu yang timbul dalam kalangan penerbit tempatan, pihak KDN bagitahu yang pelekat hologram tu sebenarnya bukanlah bentuk ‘cukai’ yang diwajibkan kepada penerbit Al-Quran. Cuma diaorang rasa macam cukai sebab ada caj tambahan yang dikenakan dalam proses penerbitan melalui perolehan hologram tu.
“Harga yang ditetapkan iaitu 50 sen bagi setiap hologram hanyalah kos bagi perolehan hologram,” – Kementerian Dalam Negeri, sumber dari FMT.
Sebelum ni, ada NGO mintak kerajaan mansuhkan penguatkuasaan penggunaan pelekat hologram ni disebabkan caj yang terlalu tinggi dan juga aspek keaslian. Selain tu, ada yang mengatakan sistem hologram ni bukanlah kayu ukur untuk menentukan ketulenan Al-Quran dan hologram tu sendiri boleh dipalsukan, tapi sekarang ni terbukti yang hologram ni mampu menjaga kehormatan kitab suci kita.
Sebenarnya, pelekat hologram untuk Al-Quran ni diwajibkan untuk pastikan kualiti penerbitan teks Al-Quran daripada kesilapan, untuk aktiviti pemantauan teks Al-Quran dan semakan pembeli melalui pelekat hologram tu.
“Pelaksanaan penggunaan pelekat hologram bukan bertujuan untuk menyusahkan pihak industri tetapi matlamat utamanya adalah untuk memelihara kesucian, kesahihan dan ketulenan al-Quran,” – Kementerian Dalam Negeri, sumber dari FMT.
Selain tu, ia jugak bertujuan untuk mengawal kemasukan kitab import yang mengandungi kesilapan ataupun tiruan. Dan sebelum ni, KDN pun dah banyak buat rampasan Al-Quran tiruan yang mempunyai kesalahan baris, ayat, mahupun terjemahannya.
Hologram khas untuk Al-Quran ni jugak sebenarnya merangkumi semua aspek keselamatan dan ketulenan Al-Quran tu sendiri. Dari situ, pembeli dan pengguna boleh pastikan sama ada Al-Quran tu asli ke tak menerusi nombor siri hologram tersebut yang boleh dijadikan rujukan.
“Semasa memilih al-Quran, bungkusannya cantik. Tetapi kita tidak tahu betul ke tidak betul. Jadi apabila dilulus KDN dan ada hologram, sah ia dilulus KDN. Jika ada masalah berbangkit, kita akan tengok nombor siri pada hologram.” – Abd Aziz Md Nor, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN, sumber dari M.Forum.
Jadi, maksudnya kat sini walaupun dah ada semakan pruf akhir, setiap terbitan tu mesti ada jugak pelekat hologram ni untuk pastikan kesahihannya. Dan lagi satu, bila ada nombor siri hologram yang boleh disemak, aspek keselamatan dan privasi tu lagi terjaminlah.
Ia dilakukan untuk pelihara sumber pegangan hidup umat Islam
Kalau kita perhatikan kebelakangan ni, ada banyak kes Al-Quran tak sah yang diseludup dan tak kurang jugak Al-Quran yang merangkumi ayat-ayat palsu dalamnya. Sebab itulah dengan adanya polisi dan prosedur yang dikeluarkan oleh KDN ni, sekurang-kurangnya dapat membantu memelihara keaslian kitab suci tu sendiri.
Sebab setiap kalimah yang terkandung dalam Al-Quran ni memberikan maksud tersendiri, kalau salah maksud, ia secara tak langsung boleh jejaskan aqidah umat Islam yang membacanya.
“Tidak keterlaluan untuk dikatakan, jika makna kalimah itu bercanggah dengan syariat atau akidah sebagai umat Islam, akan menjejaskan iman pembaca walaupun tanpa disedari,” – Jaffri Abdullah, Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, sumber dari Utusan Online.
Semua polisi dan prosedur ni bukanlah untuk keuntungan mana-mana pihak tapi hanya untuk perlindungan Al-Quran yang jadi pegangan hidup semua umat Islam.
- 209Share sekarang!
- Email4
- Facebook205
- Share