Kisah di sebalik tentera terakota China yang mengagumkan

Apabila sekumpulan petani di China sedang menggali perigi dan terjumpa tentera terakota pada tahun 1974, ia telah menjadi satu penemuan arkeologi paling hebat di abad ke-20.

Ribuan patung tanah liat bersaiz manusia sebenar dibongkar, setiap satunya dengan rupa yang unik, lengkap dengan kereta kuda, senjata, dan banyak lagi.

Tentera terakota beserta kuda-kuda mereka, sebesar lebih kurang saiz yang sebenar. Gambar dari Khan Academy.

Siapa yang membina tentera terakota ini, dan apa tujuannya? Untuk menjawab soalan ini, kita perlu berbalik ke zaman sebelum China menjadi China yang kita kenal sekarang ini, dengan pemimpin yang bernama…

Pemerintah Pertama China, Qin Shi Huang

Ying Zheng mula menjadi raja negeri Qin pada umur 13 tahun, dan kemudiannya menggelarkan diri sebagai Qin Shi Huang, iaitu pemerintah China yang pertama setelah menyatukan tujuh kerajaan yang sebelum itu asyik berperang sesama sendiri.

Qin dikenali sebagai seorang yang genius dalam seni peperangan serta zalim dan telah banyak menumpahkan darah dalam usahanya untuk menyatukan China.

Gambaran Qin Shi Huang merantau menggunakan ‘palanquin’. Gambar dari The Collector.

Qin telah membawa banyak kemajuan termasuklah menyelaraskan sistem yang diamalkan oleh negeri-negeri berbeza di China,  termasuklah sistem tulisan dan sukatan. Pada masa yang sama, dia dikatakan telah banyak membakar buku-buku serta membunuh cendekiawan-cendiakawan. Dia juga telah meneruskan pembinaan Tembok Besar China.

Qin juga turut obses dengan keabadian hidup. Semenjak tahun pertama memerintah, dia sudah memulakan pembinaan istana bawah tanah yang akan memuatkan 7,000 tentera terakota, kereta kuda beserta senjata untuk melindunginya di alam yang seterusnya.

Penggalian juga telah menemui pelbagai bahan yang pelik, contohnya tahap merkuri yang tinggi yang melingkari aliran bawah tanah, tak tumpah seperti aliran sungai di kota. Ada yang mengagak bahawa Qin sangat percaya yang merkuri mampu memberinya kuasa kebal supaya dia boleh hidup selama-lamanya.

Binaan tentera terakota yang mengagumkan

Apabila kawasan bawah tanah tersebut mula-mula ditemui, para penggali menjumpai sebuah kubu bawah tanah yang dipenuhi ribuan tentera, setiap satunya diukir dengan rupa dan pakaian yang unik. Selain itu, mereka juga menemui kuda, kereta kuda, permata jed, serta hiasan emas dan perak.

Tentera terakota yang dijumpai dalam makam ini masih berada dalam posisi pertempuran. Gambar dari Khan Academy.

Menurut sejarawan Sima Qian, Qin sangat takut bahawa para senimannya akan membongkar rahsia harta karun yang terkandung dalam kubu tersebut, hinggakan pintu di luar kemudiannya ditutup supaya para pekerja dan seniman tidak dapat keluar.

Seni-bina patung-patung ini sendiri adalah sangat mengagumkan. Walaupun setiap patung tentera mempunyai rupa yang unik, kajian menunjukkan yang bahagian-bahagian badan yang lain adalah dibina oleh pekerja-pekerja yang berbeza, mirip sistem pekerja di kilang, menunjukkan kemajuan mereka dalam mengeluarkan produk dalam kuantiti yang besar.

Bahagian badan tentera terakota dibuat secara berasingan, dan kemudiannya dicantumkan. Gambar dari Khan Academy.

Patung-patung tersebut mempunyai senjata dan uniform yang tersendiri mengikut pangkat masing-masing. Selain daripada riak muka dan gaya rambut yang berbeza, ia juga dilengkapi dengan pelbagai warna. Namun setelah ditinggalkan buat ribuan tahun, warna tersebut luntur dan kini tinggallah warna tanah liat sahaja.

Tentera-tentera ini juga disusun dalam formasi perang, dan dibahagikan dalam bilik-bilik bawah tanah yang berbeza mengikut fungsi dan khidmat masing-masing. Terdapat lubang keempat yang kosong, yang mencadangkan projek ini belum sempat  disiapkan sebelum Qin mati.

Bilik-bilik yang berhampiran turut mengandungi patung-patung ahli muzik, pekerja kerajaan, dan beberapa haiwan eksotik.

Sehingga kini, bilik terakhir iaitu makam Qin sendiri masih belum dibuka. Ia dikatakan mengandungi pelbagai artifak yang berharga. Namun para ahli arkeologi masih mencari cara untuk membongkarnya tanpa merosakkan apa yang ada di dalam.

Sumber:

  • Terracotta Warriors from the mausoleum of the first Qin emperor of China, Khan Academy