- 1.7KShare sekarang!
- Email15
- Facebook1.7K
- Share
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
Kalau kat Barat popular dengan raksasa Loch Ness, kat Malaysia pula kita ada ‘Naga Sri Gumum’, atau lebih dikenali sebagai Naga Tasik Chini bersisik besi, yang dah jadi buah mulut masyarakat setempat sejak zaman berzaman.
Besar sangat ke naga yang ada di Tasik Chini tu?
“Itu kali pertama saya melihat ular sebesar tong dram. Saya terus berhenti bekerja sebagai pemandu bot selepas kejadian itu dan sampai sekarang, saya tidak lagi berani turun ke sana,” kata Mohd Razali M Baki, dipetik dari Berita Harian
Malah disebabkan popular tu jugalah, sampaikan ada sebuah filem Melayu lama yang bertajuk ‘Naga Tasek Chini’ pada tahun 1966, menceritakan serba sikit pasal naga yang hidup dalam tasik tu.
Kalau dulu masyarakat takut dengan tasik tu disebabkan mitos naga tu, nampaknya… zaman sekarang, para penyelidik pula yang takut sebab ia dikatakan bakal kering sepenuhnya lebih 10 tahun lagi?
Tasik Chini bakal kering pada tahun 2030 kalau…
Baru-baru ni, para penyelidik nampaknya membuat kesimpulan di mana Tasik Chini didapati semakin mengecil, malah semakin cetek disebabkan pemendapan sedimen. Pemendapan tu juga dikatakan berpunca daripada aktiviti perlombongan dan pembalakan yang berlaku disekeliling kawasan tasik tu. Malah kalau berlarutan, Tasik Chini juga akan semakin cetek, dan akhir sekali terus kering menjelang tahun 2030, iaitu hampir 10 tahun je lagi!
Perkara tu dalam masa yang sama merosakkan Tasik Chini kaya dengan biodiversiti termasuk 51 spesies tumbuhan jenis hutan rendah, 15 spesies tumbuhan jenis hutan paya air tawar, 25 spesies tumbuhan akuatik dan 87 spesies ikan air tawar.
Malah, tasik semula jadi seluas 5,026 hektar yang berada di tengah Pahang ni juga besarnya boleh kata macam sebesar sebuah daerah kecil. Punyalah besar tasik tu, sampaikan orang tempatan merujuk ia sebagai laut, dan bukannnya tasik.
Yang menyedihkan, zaman dulu, lebih kurang 500 Orang Asli suku Jakun yang mendiami di beberapa kampung sekitar Tasik Chini disebabkan mereka bergantung kepada air tasik berkenaan sebagai sumber kegunaan harian.
Tapi lain pula yang diberitahu bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada tahun 2017, di mana Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kata yang masalah pencemaran tu sebenarnya takde kaitan pun dengan kegiatan pembalakan dan perlombongan yang beroperasi di sekitar kawasan tasik tu. Malah dia mengatakan yang ia adalah disebabkan kesan kemasukan air dari Sungai Pahang setiap kali banjir besar.
“Berdasarkan tinjauan, kita boleh lihat tiada aktiviti pembalakan dan perlombongan di kawasan sekitar. Jika ada pun kesan pembalakan atau perlombongan, ia adalah kesan lama dan tiada kegiatan baharu.”
“Kita boleh katakan pencemaran di Tasik Chini lebih kepada kesan kemasukan air dari Sungai Pahang setiap kali banjir besar,” –Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dipetik dari Berita Harian, 2017.
Pusat Penyelidikan Tasik Chini ditubuhkan untuk mempertahankan tasik ni
Jadinya disebabkan tu, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertindak untuk menubuhkan sebuah Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang diketuai Prof Datuk Seri Dr Mushrifah Idris, bagi mempertahankan tasik itu sebagai warisan semula jadi Pahang sejak tahun 2004, di pekarangan Tasik Chini tu sendiri.
Buat masa ni, mereka mempunyai tiga makmal utama iaitu Makmal Analisis Air, Makmal Mikrobiologi dan Instrumentasi, serta Makmal Iklim dan Hidrologi.
Tujuannya tak lain tak bukan adalah untuk menjaga ekosistem kawasan sekitar Tasik Chini selain memelihara dan memulihara semula hutan tasik tu.
Menurut para penyelidik ni juga, perkara ni boleh menyebabkan sebahagian besar bandar Pekan berpotensi dilanda banjir sebab Tasik Chini adalah zon penampan semula jadi banjir, yang mana ia menakung curahan air hujan sebelum dialirkan ke Sungai Pahang. Tapi disebabkan perkara tu juga membuatkan ia tak berfungsi seperti sepatutnya.
UNESCO bakal tarik pengiktirafan Tasik Chini?
Disebabkan kaya dengan kepelbagaian flora dan fauna juga, Tasik Chini diiktiraf sebagai kawasan rizab biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 2009.
Tapi kalau kita tak jaga, Tasik Chini ni mungkin kehilangan status tapak rizab biosfera daripada UNESCO, macam kes pengiktirafan UNESCO Batu Caves yang akan ditarik balik disebabkan tangga yang diwarnakan.
Nampaknya kalau betul la kita tak jaga kepentingan yang ada kat Tasik Chini tu, agak-agaknya, naga tu belajar hidup kat daratan dan ganggu kehidupan kita pula, macam mana?
(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)
- 1.7KShare sekarang!
- Email15
- Facebook1.7K
- Share