Tak kira zaman BN, PH atau PN. Dr Noor Hisham bekerja tanpa jemu untuk rakyat

*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 26 Mac 2020

Sesuatu kerajaan itu silih berganti. Setiap kali PRU, maka akan adalah menteri dan kabinet baru. Dalam situasi wabak COVID-19 ni pula, kerajaan yang menguruskan isu adalah barisan kabinet diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tapi, sedar atau tak, ketua barisan hadapan sebenar Kementerian Kesihatan Malaysia sebenarnya adalah…

Beliau adalah Dr. Noor Hisham Abdullah yang merupakan Ketua Pengarah Kesihatan. Dari zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan kini Perikatan Nasional (PN), beliau tetap setia berada di posisinya untuk terus berkhidmat.

Dilantik pada 2013, dulu merupakan Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin & Am Hospital Putrajaya

Nampak bergaya di situ. Imej International Investor Chile

Dr. Noor Hisham Abdullah telah dilantik menjadi Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013. Lebih kurang 7 tahun yang lalu. Untuk orang Selangor, korang boleh berbangga kerana beliau lahir di Sepang, Selangor pada 21 April 1963.

Dalam bidang akademiknya, memang tak boleh disangkal lagi sebagai seorang pakar bedah dan ilmu kedoktoran di negara ini. Buktinya:

“Beliau kemudiannya menjadi pakar dalam pembedahan endokrin dan melakukan latihannya di pelbagai universiti di Adelaide dan Sydney, Australia. Beliau mempunyai banyak penerbitan dalam jurnal tempatan dan antarabangsa dan menulis banyak bab dalam buku teks bagi pembedahan endokrin.” – Petikan dari DNDI

Sebelum dilantik menjadi Ketua Pengarah Kesihatan, beliau memulakan kerjaya sebagai House Officer di Hospital Kuala Lumpur pada tahun 1988. Kemudiannya terus meningkat naik kepada Pakar Pembedahan Am, Hospital Kuala Terengganu (1994) dan dilantik menjadi Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin , Jabatan Pembedahan, Hospital Kuala Lumpur (1998).

Empat tahun kemudian, kepakarannya diiktiraf dengan pelantikan sebagai Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am Hospital Putrajaya. Pada tahun 2008, perkhidmatan dan ideanya diperlukan apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) selama lebih kurang lima tahun sebelum menjadi Ketua Pengarah Kesihatan bermula 2013.

Untuk yang tak tahu pasal Endokrin. Ime dari Gurupendidikan

Sekalipun sudah di kemuncak karier, minatnya sangat tinggi dalam kanser endokrin payudara dan beliau memberikan perkhidmatan kepemimpinan dalam pelbagai program pembelajaran outreach kesihatan yang inovatif untuk semua pelajar Malaysia. Perkhidmatannya juga bukan sekadar ditagih di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa.

Ini kerana beliau pernah terlibat secara aktif sebagai pembuat dasar bagi organisasi global seperti WHO dan Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi). Apa yang menarik, beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi (Councilor-at-Large) di Eksekutif Pembedahan Antarabangsa (ISS) dan mempengerusikan Jawatankuasa Pembedahan Global ISS. Ini juga terbukti dengan pelantikan khasnya di beberapa organisasi akademik.

Dengan banyaknya kehebatan dalam akademik dan karier, kita tak boleh lupakan kemunculannya dalam setiap bencana besar yang berlaku dalam negara. Sama ada dari zaman kerajaan BN, PH atau pun PN.

Zaman BN: Banjir teruk di Kelantan 2014, beliau beri amaran keras kepada pengusaha premis kedai makan

Stadium pun jadi kolam. Imej dari Harian Metro

Masih segar dalam ingatan kita semua terhadap apa yang berlaku di negeri Pantai Timur pada tahun 2014 terutamanya Kelantan. Bencana banjir yang menimpa negeri itu dicatatkan sebagai banjir terburuk pernah berlaku dalam sejarah yang dikenali sebagai banjir kuning. Ia telah melanda dari hulu yang jauh dari laut seperti Gua Musang sehinggalah ke muara. Apa yang menyedihkan, kerugian yang dicatatkan bagi infrastruktur dan aset awam mencecah RM200 juta.

Sekalipun teruk, pihak berkuasa termasuk dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan yang terbaik untuk meminimakan kesan buruk. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham dah pun mengumumkan untuk menghantar seramai 101 kakitangan dari KKM untuk membantu beberapa hospital di sana untuk terus beroperasi walaupun dalam keadaan sukar. Kakitangan tersebut terdiri daripada pakar perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan.

Pada waktu tu juga, kita masih ingat seramai 36,128 keluarga telah dipindahkan di 309 pusat pemindahan di negeri Kelantan. Dr Noor Hisham juga telah menggerakkan pasukan perubatan dari pejabat kesihatan daerah di kawasan banjir, untuk pergi ke semua pusat pemindahan dan bersedia melakukan pemeriksaan serta rawatan sekiranya ada mangsa yang tidak sihat.

Pasukan kesihatan juga telah dihantar untuk menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit bagi memantau, mengesan dan mengawal penyakit berjangkit. Namun, ketegasan Dr Noor Hisahm ketika bencana banjir ini terserlah apabila mengeluarkan amaran keras kepada pengusaha premis makanan yang masih meneruskan operasi walaupun kedai dinaiki air.

Mee celup banjir. Imej dari Harian Metro

“KKM mengambil maklum isu premis makanan yang masih beroperasi walaupun dinaiki air banjir di negeri Kelantan, dan laporan akhbar Harian Metro bertarikh 21 Dis 2019 bertajuk ‘Mi Celup Banjir’ adalah dirujuk.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di premis makanan, termasuk yang masih beroperasi semasa banjir. Ini kerana air banjir adalah kotor, dan mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berisiko mencemari makanan,” – Dr Noor Hisham, petikan dari Malaysia Kini

Dr Noor Hisham ketika itu mengatakan premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penutupan premis dan kompaun mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Zaman PH: Bencana Sungai Kim Kim, beliau umumkan semua pesakit pelajar sekolah berada dalam keadaan stabil

Dah macam dalam movie, tapi ini real. Imej dari FMT

Sebelum kita semua mengalami panik COVID-19, penduduk di kawasan Pasir Gudang dah merasai perasaan ini lebih awal lagi apabila bencana pencemaran kimia di Sungai Kim Kim berlaku. Bencana yang bermula pada 7 Mac 2019 itu telah menjejaskan lebih kurang 6,000 orang dan 2,775 menerima rawatan. Waktu tu, mangsa paling ramai adalah pelajar sekolah menyebabkan 110 sekolah ditutup.

Semua pihak dan petugas telah bertungkus-lumus menghentikan bencana itu terdiri daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosive, Angkatan Tentera Malaysia (CBRNe – ATM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan petugas-petugas lain.

Di pihak KKM melalui Dr Noor Hisham dah melakukan kerjasama dengan kementerian dan agensi lain untuk menguruskan insiden ketika itu. Rawatan yang cepat juga telah dibuat kepada kepada mangsa yang mengalami sesak nafas dan muntah, Ini termasuklah 29 mangsa dari beberapa sekolah yang dimasukkan ke dalam wad untuk menerima rawatan.

“Kesemua pesakit kini dalam keadaan stabil. Tiada kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kematian dicatatkan,” – Dr Noor Hisham Abdullah, petikan dari Harian Metro

Sepanjang bencana itu, beliau dah menasihatkan agar orang ramai bagi mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala kesesakan nafas, loya, muntah, pening dan lain-lain. Pada waktu itu, Klinik Kesihatan Pasir Gudang juga dibenarkan dibuka untuk menerima dan membantu mangsa lain.

Zaman PN: Penularan wabak COVID-19, hampir setiap hari sidang media untuk maklumkan kepada rakyat

Hampir tiap hari, beliau update. Ime dari Youtube RTM

Di kala situasi penularan wabak COVID-19 ni, ada juga antara kita yang kurang wajar dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan. Ahli politik dengan kenyataan berbaur permusuhan manakala rakyat biasa dengan pergaduhan masing-masing. Hinggakan, Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba juga tak terlepas. Ini apabila beliau mengatakan mengenai minum air suam untuk cegah COVID-19.

Kenyataan ini dikritik oleh ramai pihak termasuk Dr Amalina Che Bakri dan Dr Imelda Balchin. Bagi Dr Imelda, lebih elok rakyat mengikut sahaja saranan yang dikeluarkan oleh Laman Web KKM mengenai jaga kebersihan tangan, jarak sosial dan elakkan perhimpunan.

Kalau kita perhatikan, dalam keadaan begini, nampaknya Dr Noor Hisham adalah paling profesioanal dalam kenyataan dan penerangan bagi setiap sidang media. Tiada satu pun yang menimbulkan kontroversi dan semuanya disampaikan dengan mudah. Sekalipun, saban hari mengemas kini kepada rakyat mengenai jumlah kematian, pesakit positif dan pesakit discaj, namun sentiasa mengawal segala emosi yang rakyat serlahkan.

Sejuk hati dengar sidang media Dr Noor Hisham. Imej dari Era

Ini terbukti apabila ramai pihak menyalahkan golongan tabligh, beliau dengan pantas merayu agar orang ramai jangan salahkan mereka.

“Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita diskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh. Apa yang penting adalah kita bantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka,” – Dr Nor Hisham Abdullah, petikan dari Sinar Harian

Beliau juga sentiasa mengeluarkan perkara positif dan informatif dalam pengumumannya seperti memanggil 3,500 pesara perubatan untuk bantu barisan hadapan, operasi perkhidmatan kesihatan ibu hamil dan anak berjalan seperti biasa dan mengenai bantuan 100 alat bantuan pernafasan dari syarikat tempatan.

Jaga diri korang dan hargai pasukan barisan hadapan sepanjang wabak ini

Tak kiralah apa ideologi atau pengikut parti mana pun yang korang pilih. Dalam keadaan sekarang, jagalah hati dan perasaan orang seperti Dr Noor Hisham Abdullah dan pasukannya. Mereka ini bekerja untuk kita semua tanpa memilih bulu. Dan sentiasa doakanlah kebaikan dan kemudahan buat mereka.

“Kepada barisan hadapan KKM, kuatkan semangat. Kami tahu anda telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan akan terus memberikan yang terbaik kepada negara ini. Kami ingin anda tahu yang anda semua tidak bersendirian menghadapi jangkitan COVID19 ini. Anda tidak bersendirian. Kami ada disini untuk anda.

Kepada orang awam, duduk di rumah. Itulah yang perlu anda semua lakukan. Duduk di rumah dapat putuskan rantaian COVID19. Tidakkah itu yang kita semua mahu? Jadi, tolong duduk di rumah. Biar pihak kami yang jalankan tugas di lapangan, anda jalankan tugas anda dengan berada di rumah. ” – Petikan dari FB Dr Noor Hisham Abdullah

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT