Kerana adanya Kesultanan Perak, maka adanya Kesultanan Selangor?

UPDATE 31/10/2019: Pada yang duduk kat Perak atau rakyat kelahiran negeri Perak, tarikh 1 November 2019 (hari Jumaat) adalah satu tarikh yang cukup istimewa. Sebabnya, ia adalah Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Ia sekaligus menjadikan hari itu sebagai cuti umum untuk seluruh negeri Perak.

Tapi kalau kita lihat dalam profil Sultan Nazrin, baginda sebenarnya lahir pada 27 November 1956 dan bukannya pada 1 November. Kenapa perkara ni jadi? Sebenarnya, pada tahun lepas Sultan Nazrin telah menitahkan supaya ulang tahun keputeraan baginda diraikan pada hari Jumaat, minggu pertama bulan November setiap tahun.

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan anakanda baginda Raja Azlan Muzzaffar Shah. Imej dari Astro Awani.

Sambutan Hari Keputeraan baginda pada tahun lalu juga nampaknya disambut dengan bacaan Yassin dan tahlil yang disertai oleh hampir 1,000 orang. Selain itu, beberapa hari sebelum Hari Keputeraan baginda, Sultan Nazrin juga dah berkenan meringankan hukuman mati dua banduan kepada penjara seumur hidup. 

Pada hari ini, Sultan Nazrin adalah antara Sultan yang mendapat perhatian media. Ini kerana, baginda banyak memberikan pandangan dan cadangan dalam pelbagai perkara seperti politik, ekonomi, sosial, agama dan isu-isu antarabangsa. 

Tapi sebelum itu, adalah lebih baik untuk kita melihat dulu sejarah asal usul Kesultanan Perak. Ini kerana, Kesultanan Perak berasal dan bersambung dengan Kesultanan Melayu Melaka. Ia juga menjadikannya sebagai antara institusi kesultanan Melayu terawal selepas Kesultanan Melayu Melaka.

1. Sultan Perak lantik Raja Lumu sebagai Sultan Selangor

Sejarah asal usul Kesultanan Perak secara rasminya dikatakan berasal-usul daripada Sultan Mudzafar Shah iaitu putera kepada Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang mangkat di Kampar pada tahun 1530. Ini bermakna, Kesultanan Perak adalah warisan langsung daripada keturunan raja-raja yang pernah memerintah negeri Melaka.

“Mengikut Hikayat Merong Mahawangsa nama Negeri Perak dikatakan berasal daripada anak panah perak milik putera Raja Merong Mahapudisat. Diceritakan, putera ini mencari suatu
tempat baru untuk dibuat negeri.

Apabila tiba di sebuah kawasan bertasik, beliau telah memanah ke udara dengan menggunakan anak panah daripada perak dan busur panahnya bernama Indera Sakti. Anak panah tersebut akhirnya jatuh di sebuah pulau lalu pulau tersebut diberi nama Pulau Indera Sakti. Pulau tersebut kemudian dijadikan pusat negeri baru yang diberi nama Negeri Perak.” – Dipetik dari jurnal tulisan Jelani Harun.

Hikayat Merong Mahawangsa. Imej dari Wikipedia.

Apa yang lebih menarik, Kesultanan Selangor juga berkait rapat dengan Kesultanan Perak. Ini kerana, Sultan Perak yang melantik Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama. Bagaimanapun, ada beberapa perdebatan tentang macam mana Raja Lumu dilantik sebagai Sultan Selangor.

  1. Satu pendapat mengatakan yang Raja Lumu dah pergi sendiri ke Perak untuk dapat perkenan dari Sultan Perak.
  2. Manakala, pendapat lain pula kata yang Raja Lumu dah dijemput oleh Sultan Perak untuk dilantik sebagai Sultan Selangor.
Kesultanan Perak. Imej dari Utusan Malaysia.

Walaupun ada perbezaan pendapat tentang cara pelantikan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor, tapi majoriti sejarawan sepakat yang Raja Lumu dah dilantik sebagai Sultan Selangor yang pertama melalui Sultan Perak.

“Prof. Khoo Kay Kim dalam kajiannya yang bertajuk The Peninsular Malay Sultanates : Genesis And Salient Features menyatakan bahawa, Raja Lumu dilantik oleh Sultan Perak sebagai Sultan Selangor kerana Sultan Perak merupakan keturunan Kesultanan Melayu Melaka.

Manakala Barbara Watson Andaya dalam bukunya Leaves Of The Same Tree: Trade And Ethnicity In The Straits Of Melaka pula menyatakan bahawa perlantikan Raja Lumu dilakukan setelah Raja Lumu sendiri ke Perak.” – Dipetik dari jurnal tulisan Muhammad Naim Fakhirin Rezani.

Sultan Abdul Samad, Sultan Selangor ke-4. Imej dari Wikipedia.

Menurut kajian sejarah, Raja Lumu dilantik sebagai Sultan Selangor masa pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (1765-1773). Dikatakan juga yang Raja Lumu dah berkahwin dengan Puteri Diraja Perak. Perkahwinan inilah yang membolehkan Raja Lumu diangkat sebagai Sultan Selangor. 

Raja Lumu kemudiannya dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah dan bila baginda balik ke Selangor, baginda pun ditabalkan sebagai Sultan di depan rakyat Selangor dengan membunyikan nobat (alat muzik) daripada Perak. Maka bermulalah zaman Kesultanan Selangor dan terjalinlah hubungan antara Selangor dan Perak.

Sultan Nazrin dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Imej dari Kosmo.

Sehingga ke hari ini, kita dapat melihat hubungan yang akrab di antara keluarga diraja Selangor dan Perak. Oleh itu, mari kita berbincang pula mengenai Sultan Perak hari ini – Sultan Nazrin Shah yang dikenali sebagai seorang Sultan bijaksana dan dikasihi rakyat.

2. Mendapat pendidikan di Oxford dan Harvard

Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah dilahirkan pada 27 November 1956. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sehingga darjah 5 sebelum meneruskan pelajaran di St. John Institution, Kuala Lumpur dari darjah 6 sampai tingkatan 2.

Selepas itu, baginda berangkat ke United Kingdom dan meneruskan pelajaran di Leys School, Cambridge. Berkat usaha yang gigih, baginda akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford.

Sultan Nazrin dan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah. Imej dari warisanpermaisuri.blogspot

Seterusnya, baginda melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Universiti Harvard. Lepas dapat Master, baginda sekali lagi melanjutkan pelajaran sehingga berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Politik, Ekonomi dan Kerajaan dari universiti yang sama. 

Sebelum itu, kalau korang nak tahu, Sultan Nazrin juga pernah bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari tahun 1979 sampai 1983. Dengan kelayakan dan pendidikan tinggi yang baginda ada, maka tak dapat dinafikan bahawa baginda mewarisi kesarjanaan yang pernah dimiliki oleh ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah. Untuk maklumat, Almarhum Sultan Azlan pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara sebelum menjadi Yang Di-pertuan Agong.

“Pandangan baginda (Sultan Nazrin) ibarat ‘mutiara kata’ yang sentiasa dinanti-nantikan oleh semua pihak setiap kali baginda bertitah dalam majlis-majlis rasmi. Ketokohan baginda dalam bidang pendidikan diserlahkan lagi dengan penglibatan baginda dalam universiti dan pertubuhan terkemuka dalam dan luar negara.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Sultan Nazrin sebagai Canselor UM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya kepada Raja Salman al-Saud. Imej dari Malay Mail Online.

Sepanjang menjadi Raja Muda Perak dan kemudiannya sebagai Sultan Perak, pelbagai isu telah diingatkan dan disentuh oleh baginda. Antaranya adalah mengenai kekecewaan baginda terhadap nasib tulisan jawi.

3. Sultan Nazrin lahirkan rasa kecewa, tulisan jawi gagal dipertahankan

Pada tahun lepas, Sultan Nazrin Shah melahirkan rasa kecewa baginda dengan sikap orang Melayu kerana gagal mempertahankan tulisan Jawi yang sepatutnya menjadi warisan bangsa. Dalam ucapannya, baginda ada kata yang huruf dan tulisan Jawi adalah bersumber dari huruf yang ada dalam al-Quran dan dah jadi sebahagian daripada budaya dan identiti bahasa Melayu.

“Amatlah pilu di hati, amatlah terhiris jantung bangsa, apabila akhbar Utusan Melayu bertulisan jawi terpaksa dihentikan penerbitannya atas timbangan yang diletakkan di dacing perniagaan… Amat menghibakan apabila huruf dan tulisan Jawi menghadapi nasib malang, terkubur tanpa nesan dengan pemberhentian penerbitan akhbar Utusan Melayu.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari BH Online.

Kalau korang pandai baca jawi, apa yang tajuk tu kata? Imej dari jalanialbarawiy.blogspot

Apa yang lebih menyedihkan baginda adalah hayat tulisan jawi itu ditamatkan bukan masa negara berada dalam kuasa penjajah, tapi sebaliknya ketika negara ini telah merdeka. Akhbar Utusan Melayu yang bertulisan Jawi telah ditamatkan penerbitannya pada 3 Disember 2002. Tapi kemudiannya ia disambung balik sebagai Utusan Melayu Mingguan dan bukannya harian. Akhirnya edisi cetak Utusan Melayu dihentikan terus pada Julai 2013.

Maka ramailah ‘pencinta’ tulisan Jawi meraung-raung bersedih atas ‘meninggal dunianya’ yang kata mereka adalah satu-satunya penerbitan tulisan Jawi yang banyak berjasa kepada bangsa Melayu dan kepada perjuangan kemerdekaan tanah air.” – Said Zahari, Tokoh Wartawan.

Allahyarham Said Zahari. Imej dari Selangorkini.

Walaupun tulisan jawi semakin dilupakan pada hari ini, namun masih ada pihak yang cuba memartabatkannya. Oleh itu, sokongan dari pelbagai pihak masih lagi diperlukan bagi memperkasakan usaha ini.

4. Baginda juga pernah ingatkan orang Melayu supaya jangan lupa daratan

Ketika tarikh pertabalan baginda sebagai Sultan Perak semakin hampir, Sultan Nazrin ketika itu ada mengeluarkan titah, supaya elemen-elemen mewah dan bermegah di istiadat pertabalan dielakkan. Ini kerana, istiadat yang dilakukan itu adalah bertujuan untuk memperingati sejarah dan tamadun bangsa. Maka, ia seharusnya dijalankan dengan penuh adab dan adat yang telah diwarisi sejak turun temurun.

Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik berbisik ‘Rahsia Nisab Sultani’ ditelinga Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai tanda rasmi pertabalan raja pemerintah. Imej dari mStar.

Kerana itulah, pada Februari tahun ini, Sultan Nazrin ada menegur sikap segelintir orang Melayu yang baru je dapat kejayaan kecil berbanding kaum lain, tapi dah mula menunjukkan sifat-sifat lupa daratan. Baginda juga menyifatkan sikap ini sebagai mengulangi budaya kehidupan era pra-penaklukan Melaka oleh Portugis di mana ketika itu kita hanyut dalam mengejar kebendaan dan kuasa.

“Dibimbangkan kekayaan yang baru berada dalam pegangan Melayu mungkin berakhir dalam tempoh masa yang singkat selagi orang Melayu lebih tertarik dengan budaya berbelanja mewah untuk mencerminkan imej sosial…berbanding menabung dan melabur untuk membina aset bangsa yang lebih besar bagi jangka masa panjang.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari Sinar Harian.

Yang ni terlebih pemurah pulak. Imej dari Giphy.

Baginda juga mengatakan – dasar-dasar yang digubal untuk membantu orang Melayu nampaknya tak tercapai sepenuhnya kerana berlaku ketirisan secara besar-besaran. 

Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik-titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga.” –  Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari Sinar Harian.

Imej dari sentiasapanas.com

Selain dari berbicara mengenai hal bangsa dan negara, Sultan Nazrin juga menyentuh pelbagai isu antarabangsa. Seperti…

5. Sistem kewangan Islam boleh tangani krisis global

Dalam satu ucapan baginda pada September lepas, baginda ada menekankan peranan penting sistem kewangan Islam dalam menghadapi dunia global masa kini dan masa hadapan.

Ini kerana, sistem kewangan Islam berpotensi menyediakan keperluan kewangan untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan yang dihadapi sekarang. Ini kerana, Bank Pembangunan Islam (IDB) telah melaporkan yang nilai pengeluaran wakaf di India sahaja bernilai RM100.8 bilion (AS$24 bilion), manakala pembayaran zakat yang beredar di seluruh dunia setiap tahun pula bernilai di antara RM840 bilion (AS$200 bilion) hingga RM2,520 bilion (AS$600 bilion).

“(Ia bermakna) Hanya sebahagian kecil zakat sahaja mampu memenuhi kadar minimum pembiayaan defisit global bagi tahun 2015.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari Astro Awani.

Malulah korang…Spiderman pun bayar zakat tau! Imej dari mynewshub.cc

Menurut baginda, penyelesaian ini penting kerana krisis kemanusiaan sekarang ni banyak berlaku di negara-negara Islam. Oleh itu, institusi kewangan Islam sepatutnya berusaha memastikan wakaf, zakat dan sukuk disalurkan secara lebih berkesan dan cekap.

Selain itu, baginda juga mengingatkan rakyat dan graduan supaya bijak berdepan dengan perubahan dan cabaran yang akan mencetuskan elemen ‘transhumanism’ atau rentas kemanusiaan. 

“Elemen transhumanism akan mula melakar kehidupan yang tentu sekali bakal mencabar konsep kesemulajadian apabila alam manusia bakal dirangkumkan bersama dunia robot, susulan kewujudan elemen ‘artificial intelligence’ (kepintaran buatan) dan bioteknologi.

Oleh itu, amat penting untuk dipastikan, manusia terus berperanan sebagai tenaga kerja utama tanpa didominasi oleh robot, bahkan menjadi pereka cipta sistem robot dengan tujuan untuk memudahkan kerja tanpa sama sekali mengorbankan nilai dan roh kemanusiaan.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari BH Online.

Setem khas memaparkan wajah Sultan Nazrin dan Permaisuri Perak. Imej dari rungitom.com

Disebabkan itu, baginda bertitah supaya agenda dan program pendidikan kena diberikan keutamaan kerana kemajuan teknologi sedang berjalan dengan sangat pantas.

“Program pendidikan hendaklah terus diperluas dan diperkembangkan.  Malah, di dalam menghadapi keperluan dunia semasa, dan cabaran dunia akan datang, program pendidikan bukan sahaja perlu diperluas dan diperkembangkan, tetapi wajib dipertingkatkan.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari Sinar Harian.

Baginda juga pernah ingatkan orang Melayu supaya tak jadi ‘bangsa badut’

Pada tahun ini juga, Sultan Nazrin ada bertitah mengenai peranan raja-raja Melayu yang disifatkan sebagai pelindung kepada rakyat dalam menghadapi ‘ombak perebutan kuasa’. Menurut baginda, raja-raja Melayu berada dalam kedudukan terbaik untuk melindungi kepentingan rakyat ketika ini.

“Ketika warga dilanda hempasan ombak perebutan kuasa, yang kelihatan semakin meretakkan perpaduan barang dijauhkan warga daripada menghadapi nasib, benang habis – kain tak jadi, jarum patah – baju tak siap.

Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berada dalam sebaik-baik kedudukan untuk melindungi kepentingan warga. Berkat daulat raja-raja Melayu, semoga warga yang berada di tangga dapat ke pelantar, jika di pelantar dapat ke anjung, yang diserambi dapat ke tengah rumah.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Dari kiri: Sultan Sharafuddin Idris Shah (Selangor), Sultan Nazrin Shah (Perak) & Sultan Muhammad V (YDP Agong). Imej dari Utusan Malaysia.

Selain itu, baginda juga selalu mengingatkan pemimpin dan rakyat negara ini supaya mengambil ikhtibar dari peristiwa kejatuhan empayar, kerajaan, malah raja dan pemimpin yang tercatat dalam sejarah dunia.

“Keadaan ini berlaku kerana ramai yang ketika diberi peluang untuk memimpin kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa. Ada antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari BERNAMA.

Dari kiri: Ben Ali (Tunisia), Ali Abdullah Saleh (Yemen), Gaddafi (Libya) & Mubarak (Mesir). Kesemua mereka ni dah digulingkan. Imej dari CNN.

Makanya, baginda menyeru umat Melayu supaya lebih bersedia memberi dan kurang meminta serta membantu bangsa mereka. 

“Muliakan bangsa Melayu de­ngan memperkayakan sopan dan tertibnya, adat dan adabnya, hemah dan budinya. Melayu itu hendaklah berimej orang yang dihormati, bukan orang yang ditakuti.

Buktikan bangsa Melayu bangsa yang pintar dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta pelbagai penglipur lara untuk dijadikan halwa telinga atau berimej badut hingga dijadikan bahan ketawa. Setiap kegagalan, setiap kesilapan yang dilakukan oleh anak Melayu, aibnya ditanggung oleh seluruh bangsa.” – Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak. Dipetik dari Utusan Malaysia.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.