- 379Share sekarang!
- Email8
- Facebook371
- Share
Dunia sukan Malaysia dulu pernah digemparkan dengan berkumandangnya lagu Negaraku tiga kali di Rio, Brazil. Tiga pingat emas tu datangnya bukanlah dari temasya Olimpik, tapi temasya Paralimpik. Sejak tu, barulah kita tahu yang negara kita ada jaguh paralimpik sejak dulu lagi yang telah melakukan banyak kejayaan sama ada dapat pingat perak atau pun gangsa.
Mungkin ramai yang salah sangka Para ni maksudnya Orang Kelainan Upaya (OKU). Kalau korang nak tahu, perkataan Para ni datangnya dari perkataan Greek yang bermaksud bersama atau selari. Disebabkan ianya diadakan sejurus tamat sukan Olimpik, maka ia dikenali sebagai Paralimpik. Paralimpik yang diperkenalkan sejak 1948 ni telah menghilangkan pandangan negatif orang awam kepada mereka yang kelainan upaya.
Pemimpin Malaysia adalah pengasas sukan Para ASEAN
Kalau Olimpik ada Paralimpik, Sukan SEA ada sukan Para ASEAN yang pertama kali diperkenalkan waktu Malaysia jadi tuan rumah pada tahun 2001. Idea untuk membentuk sukan para di benua Asia Tenggara ni datangnya dari Datuk Zainal Abidin Abu Zarin yang merupakan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) waktu tu. Dia telah membuat perjumpaan dengan wakil-wakil negara ASEAN lain yang akhirnya ASEAN Para Sports Federation (ASPF) berjaya dibentuk.
Walaupun 16 tahun lepas Malaysia juara kesulurahan, pasukan negara menamatkan saingan ditempat kedua dibelakang Indonesia pada temasya kali ni. Pada permulaan sukan para diperkenalkan hanya ada dua acara sukan dipertandingkan. Tapi pada edisi 2017, acara yang dipertandingkan banyak hingga ada yang sangat mengejutkan cara ia dimainkan. Ini kami senaraikan beberapa acara yang sangat menakjubkan!
1) Bola sepak 5 sebelah untuk orang buta
Negara apa je yang tak main bola sepak? Negara yang baru merdeka macam Kosovo pun dah ada pasukan bola sepak. Jadinya, bola sepak ni pun ada dalam sukan Para. Salah satunya adalah CP Football yang mana tujuh pemain lawan tujuh. Tapi pemain yang beraksi semuanya ada Celebral Palsy atau masalah pada pergerakan badan kerana kerosakan pada otak. Bukan setakat tu je, bola sepak juga ada kategori untuk orang buta. Macam mana diorang main?
Untuk kategori orang buta ada acara untuk tujuh sebelah dan lima sebelah. Tapi, sukan Para ASEAN kali ni hanya menyediakan kategori bola sepak 5 sebelah (5 lawan 5). Empat pemain yang akan berebut bola adalah mereka yang buta tahap B1 (ketajaman penglihatan yang sangat rendah atau tak nampak cahaya langsung). Manakala penjaga gol boleh guna pemain yang tak buta langsung atau ada daya penglihatan yang kurang (B2 &B3).
Semua pemain akan dipakaikan penutup mata untuk bagi adil kecuali penjaga gol. Mak aih! Tak ke berlanggar? Macam mana nak tahu bola tu kat mana? Untuk elak berlanggar, setiap pasukan akan ada tiga orang guider yang akan keluarkan arahan kepada pemain. Tiga orang tu adalah jurulatih, penjaga gol dan seorang yang duduk belakang gawang gol musuh.
Untuk penjaga gol, diorang hanya boleh bersuara dalam kawasan penalti diorang je. Kalau keluar dari kawasan tu, tak boleh bersuara. Jadinya semua penonton kena betul-betul senyap. Untuk membantu pemain mengesan kedudukan bola, bola tu dipasangkan loceng khas yang akan berbunyi bila bergolek. Untuk elak berlanggar antara pemain ketika berebut bola, pemain yang nak tackle atau rampas bola kena jerit ‘voy’ (bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘go’).
Diorang akan bermain 20 minit pada separuh masa pertama dan 20 minit lagi separuh masa kedua. Padang tu juga tak ada garisan out yang digantikan dengan dinding berketinggian 1 meter supaya bola boleh melantun. Jadi komunikasi memang penting gila.
2) Boccia yang boleh dimainkan oleh orang yang kaki dan tangannya tak berfungsi
Sukan para ni memang menakjubkan sebabnya orang yang tangan dan kakinya tak berfungsi pun boleh join. Tapi sukan apa? Sukan yang dimaksudkan adalah Boccia atau cara sebutnya Botch-ya. Ianya berasal dari perkataan Itali yang bermaksud ‘to bowl’.
Sukan Boccia ni adalah sukan lama orang Mesir Purba yang membaling dan menggolekkan batu. Tapi sekarang ianya telah disusun dan diatur untuk dimainkan oleh mereka yang berkerusi roda. Mereka juga mempunyai kelainan upaya macam celebral palsy dan terlalu lemah untuk menggerakkan anggota macam kaki dan tangan (locomotor dysfunction).
Cara mainnya pulak, lebih kurang macam boling padang dan petanque. Di mana setiap game akan disediakan bola jack (putih) dan bola untuk dua pemain atau pasukan (warna merah dan biru). Bola jack akan dibaling dahulu. Kemudiannya, permainan bermula yang mana pemain kena baling enam bola secara bergilir-gilir dengan pihak lawan untuk tentukan bola siapa paling dekat dengan bola jack. Tapi, atlet yang tak boleh gerakkan kaki dan tangan tu nak baling bola macam mana?
Untuk pemain yang tak mampu pegang dan baling bola, diorang boleh sepak bola tu guna kaki. Untuk yang tak boleh gunakan tangan dan kaki, diorang akan guna alat bantuan yang dipanggil ramp. Ramp tu akan di kawal oleh seorang pembantu mengikut arahan pemain dengan syarat pembantu tak boleh pandang langsung pada gelanggang.
Jadinya, sukan ni terbahagi kepada 4 kategori utama:
- BC1: Pemain mampu baling dan sepak bola. Tapi perlukan pembantu untuk adjust kerusi roda diorang
- BC2: Pemain boleh baling bola dengan tangan dan tak perlukan pembantu.
- BC3: Pemain yang memerlukan alat bantuan atau ramp untuk melontar bola. Mereka juga memerlukan pembantu untuk adjust arah ramp tu dari segi sudut dan ketinggian untuk golekkan bola.
- BC4: Dia ada masalah untuk gerakkan tangan dan kaki. Tapi ada kekuatan nak baling bola tanpa perlu pembantu.
Apa yang menarik, bola yang diorang pakai ni bukanlah berat sangat, cuma 275 gram sama berat dengan sekotak Nestle Corn Flake. Saiz bola pulak dikatakan lebih besar dari bola tenis. Kalau nak tahu, cara kiraan markahnya pulak macam ni. Kalau ada satu bola merah yang dekat dengan jack, kemudian yang kedua terdekat adalah bola merah juga, jadi pemain tu dapat dua mata.
3) Orang buta menjadi penjaga gol dalam Goalball
Selain Boccia yang secara khasnya dimainkan untuk atlet sukan para, ada satu lagi sukan yang khas untuk mereka iaitu Goalball. Mengikut sejarah, sukan ni diperkenalkan selepas Perang Dunia Kedua oleh Hanz Lorenzen dan Sepp Reindle. Tujuannya untuk bagi semangat semula kepada veteran-veteran tentera yang buta akibat perang.
Jadinya, Goalball ni khas untuk mereka yang buta. Permainan ni adalah perlawanan tiga pemain lawan tiga pemain. Pemain perlu membaling bola yang berloceng tu masuk ke gawang gol lawan. Apa yang menariknya, gawang gol tu lebarnya 9 meter yang merupakan lebar gelanggang. Jadi tiga pemain kena jaga untuk halang bola masuk gol. Untuk bagi adil, semua pemain akan pakai penutup mata.
Macam biasa, semua penonton kena senyap supaya pemain boleh tahu kedudukan bola berdasarkan bunyi. Perlawanan ni akan berlangsung selama 12 minit pada separuh masa pertama dan begitu juga separuh masa kedua. Pasukan yang paling banyak gol dikira pemenang.
Apa yang mengejutkan, kalau masa dalam permainan tu beza gol dah sampai 10 gol, pasukan tu boleh diisytiharkan menang walaupun belum tamat permainan ni.
4) Berbasikal trek kategori pecut untuk orang buta
Setakat ni, sukan berbasikal negara adalah antara sukan tercemerlang yang berjaya melahirkan juara dunia. Kehebatan pasukan berbasikal negara juga telah menyebabkan terbinanya Velodrom pertama negara di Nilai, Negeri Sembilan. Walaupun macam tu, sukan Para ASEAN kali ni juga ada kelibat atlet Para dalam sukan berbasikal trek.
Untuk maklumat, sukan berbasikal para (para cycling) ni telah menyediakan peluang untuk semua atlet kelainan upaya yang sangat berminat untuk berbasikal. Sebabnya, macam-macam jenis basikal disediakan sama ada untuk yang hanya ada satu kaki ataupun tak ada kaki (hand cycling). Ada juga basikal khas untuk atlet yang tak boleh imbang basikal dan memerlukan tayar tambahan (trike).
Apa yang megejutkan, para cycling trek juga ada kategori untuk mereka yang buta atau dikenali sebagai Tandem Cycling. Antara yang sangat mendapat perhatian diperingkat dunia dalam berbasikat trek adalah acara pecut bagi kategori orang buta ni (Tandem Sprint). Tapi macam mana orang buta boleh menunggang basikal laju-laju?
Berbasikal Tandem ni melibatkan dua orang penunggang atas satu basikal. Kiranya ada dua tempat duduk (depan belakang). Untuk penunggang depan (pilot), mereka adalah atlet yang tak buta di mana dia akan tolong kawal arah pergerakan basikal sambil mengayuh. Manakala yang belakang adalah atlet yang buta yang turut mengayuh. Untuk bagi adil, beberapa syarat telah diletakkan bagi penunggang depan (pilot). Antaranya:
- Mereka adalah atlet berbasikal profesional yang tak aktif untuk 12 bulan dengan mana-mana kejohanan profesional Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ATAU
- Tidak terpilih menjadi mana-mana pasukan negara pada kejohanan anjuran UCI kecuali kejohanan peringkat Masters yang melibatkan pemain berumur 40 tahun ke atas
Tapi tugas pilot ni tak mudah yang kita sangka. Selain kena kawal pergerakan basikal, diorang juga kena bagi kayuhan diorang dan atlet dibelakang serentak. Bila nak laju, kayu laju sama-sama. Bila nak perlahan, kena perlahan sama-sama. Kalau tak, atlet kelainan upaya dibelakang boleh jadi penat. Jadinya, sangat penting untuk dua-dua ada persefahaman.
Malaysia mempunyai jaguh tersendiri dalam sukan Para
Sukan Para macam Para ASEAN ni bukanlah semata-mata perlawanan antara mereka yang kelainan upaya. Kerana dibelakang kehebatan atlet sukan para ini ada cabaran yang lebih getir berbanding mereka yang ada kesempurnaan anggota. Negara kita pun dah ada pemegang rekod dunia dalam beberapa acara bagi sukan Para bertaraf antarabangsa seperti Paralimpik.
Persaingan sukan Para diperingkat dunia juga sangatlah tinggi hinggakan negara gergasi macam USA pun dah lama tak jadi juara keseluruhan. Jadinya, sukan para ada peluang yang sangat baik untuk negara kita memberi komitmen yang lebih kerana memang dah terbukti kita ada jaguh atlet sukan Para.
Walapun Sukan Para ASEAN kali ke-9 telah pun tamat, moga-moga ianya terus berkembang dan rakyat Malaysia boleh buang perasaan negatif terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU). Sebabnya mereka telah banyak menggemparkan negara dan dunia.
- 379Share sekarang!
- Email8
- Facebook371
- Share