Untuk kurangkan kos, kerajaan Amerika rekrut bekas askar kanak-kanak untuk berperang di Iraq

Jika kita baca berita-berita semasa, negara-negara seperti Syria dan Afghanistan masih lagi berlaku perang. Kesan peperangan kepada masyarakat yang terlibat memang sangat buruk terutama bagi kanak-kanak. Ada kanak-kanak yang dipaksa keluar dari negara masing-masing. Ada yang lihat orang tersayang mati depan mata. Tapi ada satu lagi masalah yang dihadapi kanak-kanak yang hidup dalam kawasan perang – direkrut untuk jadi askar upahan, berperang dengan askar dewasa.

Walaupun takde jumlah yang tepat, tapi dianggarkan lebih kurang 300,000 kanak-kanak di seluruh dunia telah direkrut menjadi askar upahan. Sebelum tu, jom kita ambik tahu siapa yang digelar askar kanak-kanak ni.

Antara mangsa perang di Afghanistan yang terdiri daripada kanak-kanak

Kanak-kanak yang direkrut dipukul dan dipaksa jadi hamba seks

Menurut Paris Principles on the Involvement of Children in Armed Conflict 2007, askar kanak-kanak ialah mereka bawah 18 tahun yang terlibat dengan kumpulan bersenjata, direkrut atau digunakan dalam apa jua kapasiti. Diorang terdiri daripada lelaki dan perempuan.

Bukan setakat jadi askar, tapi dorang juga terpaksa jadi tukang masak, pengintip, tukang bawa barang berat, dan juga untuk tujuan seksual. Ada banyak cara kanak-kanak ni boleh terlibat menjadi askar upahan. Ada sesetengah daripada diorang yang kena culik dan dipukul untuk menyerah diri kepada kumpulan militari tertentu.

Ada yang join askar ni sebab nak keluar daripada kemiskinan. Ada juga yang kononnya nak pertahankan masyarakat sekeliling ataupun semata-mata sebab dendam pada pihak tertentu.

Askar kanak-kanak perempuan dari Myanmar.

Memandangkan kanak-kanak ni naif, diorang selalunya akan dimanipulasi, didoktrin dan dijanjikan untuk dapat wang yang banyak serta hidup senang kalau diorang join askar. Padahal, realitinya diorang ni bertarung nyawa dan kesan buruk selepas berperang akan menghantui hidup diorang sampai bila-bila.

Walaupun diorang ni dibebaskan atau dapat larikan diri, selalunya keluarga diorang dah dibunuh semasa perang. Kadang-kadang ada juga kanak-kanak ni yang dipulau oleh masyarakat terutama sekali askar perempuan yang ada anak dengan askar dewasa.

Baru-baru ini, agensi berita antarabangsa, Al-Jazeera telah bongkar satu berita mengejutkan tentang kerajaan Amerika Syarikat yang menggunakan bekas askar kanak-kanak dari negara-negara miskin seperti Sierra Leone dan Uganda untuk berperang di Iraq. Ada juga yang dihantar ke Afghanistan.

Kecik-kecik dah kena paksa pegang senapang.

Sebelum tu, kita imbas secara ringkas pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada 2003 yang menjadi pencetus pengambilan bekas askar kanak-kanak dari benua Afrika.

Kenapa Amerika Syarikat beria sangat nak serang Iraq pada 2003?

Secara ringkasnya, pada 19 Mac 2003, Amerika Syarikat dengan sekutunya terutama United Kingdom telah memulakan perang di Iraq. Presiden Amerika Syarikat pada masa tu, George W. Bush beritahu tujuan diorang serang Iraq kononnya sebab nak bebaskan rakyat Iraq dan selamatkan diorang daripada bahaya di bawah pemerintahan diktator Saddam Hussein. Kata diorang, Saddam Hussein didakwa mengembangkan senjata pemusnah yang berbahaya.

Pada 6 November 2006, Saddam Hussein didapati bersalah atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Disember 2006. Tapi, yang lucunya tak ada satu pun senjata pemusnah dijumpai di Iraq.

Saddam Hussein ditangkap di tempat persembunyiannya.

Amerika Syarikat kekurangan bajet ketenteraan semasa di Iraq

Sepanjang pencerobohan tentera Amerika di Iraq, kerajaan Amerika telah mengupah beribu-ribu kontraktor swasta untuk tinggal dan bekerja kat Iraq. Tugas diorang ni ialah menyediakan sokongan logistik kepada askar-askar Amerika. Antara tugas diorang, sediakan makanan, minuman, sumber elektrik dan khidmat dobi untuk askar-askar Amerika. Selain tu, diorang ni juga diupah untuk menjaga keselamatan diplomat-diplomat Amerika Syarikat yang ada kat Iraq.

Semakin lama, bajet misi ketenteraan kat Iraq semakin berkurangan. Jadi, industri swasta yang bekerja dengan kerajaan Amerika ni tawarkan satu jalan penyelesaian gila, iaitu dengan mengupah askar-askar dengan bayaran jauh lebih murah dari negara-negara mundur.

Syarikat yang bertanggungjawab iaitu Aegis Defence Services akan cari askar-askar upahan seperti dari Sierra Leone dan Uganda untuk bekerja kat Iraq sebab bayaran diorang lagi murah. Lagipun, takde siapa nak mempersoalkan sama ada diorang ni pernah jadi askar kanak-kanak kat negara diorang atau tak.

Semasa Perang Sivil Sierra Leone (1991-2002), kebanyakan askar-askar yang terlibat ialah askar kanak-kanak. Jadi, kalau nak upah orang yang boleh jalankan tugas-tugas ketenteraan, askar upahan Sierra Leone adalah pilihan tepat sebab kat negara sendiri pun diorang pernah direkrut jadi askar.

Masa perang sivil kat Sierra Leone ramai kanak-kanak jadi cacat.

James Ellery bekas pengarah Aegis Defence Services (2005-2015) mengatakan yang kontraktor-kontraktor bawahnya bertanggungjawab untuk rekrut askar-askar dari Sierra Leone sebab kat sana kadar pengangguran sangat tinggi. Lagipun ni cara terbaik diorang nak kurangkan kos kerajaan Amerika Syarikat di Iraq.

Yang anehnya, kerajaan Amerika Syarikat langsung tak ambil peduli berapa jumlah kontraktor swasta yang diletakkan di Iraq dan Afghanistan walaupun diorang tahu memang banyak kontraktor yang diupah kerajaan. Para pekerja kepada kontraktor-kontraktor ni pula datang dari pelbagai tempat. Kadang-kadang, pekerja-pekerja ni pun tak tahu yang diorang ni sebenarnya bekerja dengan siapa. Bila dah ada kontraktor, ada pula subcontractors. Maknanya kontrak diorang ni berlapis-lapis. Itu sebab pekerja-pekerja pun tak tahu siapa ketua diorang.

Antara bodyguards yang diupah kontraktor swasta untuk jaga keselamatan pentadbir Amerika.

Pengerusi Aegis Defence Services merupakan cucu bekas Perdana Menteri UK

Ada ramai kontraktor swasta yang terlibat di Iraq, tapi Aegis Defence Services ni ‘istimewa’ sikit. Kenapa nama Aegis Defence Services ni disebut-sebut? Penting sangat ke diorang ni dengan kerajaan Amerika? Aegis ni merupakan syarikat ketenteraan swasta British yang diasaskan pada 2002 oleh Tim Spicer. Tim ni seorang bekas pegawai Scots Guards pada 1998. Aegis dipengerusikan oleh Sir Nicholas Soames, seorang ahli parlimen Tory yang juga cucu kepada Winston Churchill (Bekas Perdana Menteri UK).

Kerajaan Amerika Syarikat telah beri beberapa kontrak bernilai jutaan dolar Amerika kepada Aegis untuk diorang melindungi pengkalan-pengkalan Amerika Syarikat di Iraq dari tahun 2004 dan seterusnya. Pada 2011, Aegis telah melebarkan sayapnya untuk rekrut askar-askar upahan di negara-negara benua Afrika. Sebelum tu, diorang hanya rekrut askar-askar dari UK, Amerika Syarikat dan Nepal je.

Inilah Tim Spicer, founder Aegis tu. Hensem ke pose macam tu?

Ahli Parlimen Parti Buruh dan Pengerusi Parlimen untuk Afrika, Chi Onwurah beritahu yang cara kerajaan Amerika Syarikat dan syarikat-syarikat swasta rekrut bekas askar kanak-kanak dari Sierra Leone ni memang satu bentuk rasisme. Sebabnya diorang bayar askar-askar ni sangat murah. Padahal risiko yang diorang terima sama besar dengan risiko askar-askar dari UK.

Tapi, waktu wabak Ebola menyerang Sierra Leone pada 2014 dulu, syarikat-syarikat swasta ni terpaksa hentikan merekrut bekas askar kanak-kanak ni ke Iraq. Diorang terpaksa rekrut askar-askar di negara-negara lain.

Mayat lelaki yang dipercayai terkena wabak Ebola disembur dengan bahan kimia supaya virus tak merebak.

Dikatakan yang Aegis dan kerajaan Amerika Syarikat dah tandatangan perjanjian sebanyak 293 juta dolar Amerika pada 2004 untuk jalankan operasi diorang kat Iraq dan Afghanistan. Sekarang ni, Aegis bukan lagi di bawah syarikat British, tapi dah diambil alih oleh GardaWorld, iaitu sebuah syarikat keselamatan terkenal di Kanada.

Kerajaan Sierra Leone anggap askar upahan kanak-kanak ni menguntungkan diorang

Selama 11 tahun (1991-2002), kanak-kanak Sierra Leone dipaksa menjadi askar semasa Perang Sivil Sierra Leone. Perang tersebut menyebabkan lebih daripada 50 ribu orang terbunuh. Beribu-ribu lagi jadi cacat dan dirogol oleh pemberontak.

Pada 2009 pula, keadaan di Iraq jadi huru-hara. Kehidupan rakyat Sierra Leone pula dalam kemiskinan. Jadi, inilah peluang untuk rekrut semula kanak-kanak yang jadi askar semasa Perang Sivil Sierra Leone dulu.

Di bawah kerajaan Sierra Leone yang diketuai oleh Presiden Ernest Bai Koroma, kanak-kanak seawal usia 15 tahun dihantar untuk berperang ke Iraq – negara yang takde kena-mengena dengan diorang pun. Kanak-kanak ni diberi upah yang sangat sedikit iaitu kira-kira £10 (RM 55.36) sehari.

Poster Presiden Ernest Bai Koroma yang tersenyum bangga memangku anak kecil.

Kerajaan Sierra Leone okey je dengan cadangan nak rekrut bekas askar kanak-kanak ni ke Iraq. Bagi diorang, ia sesuatu yang menguntungkan sebab bolehlah hantar budak-budak yang bermasalah ni ke Iraq untuk beberapa tahun. Jadi, dengan cara tu diorang fikir Sierra Leone akan lebih selamat. Kerajaan Amerika Syarikat pulak akan hantar pulang askar-askar diorang yang dah berumur  akhir 20-an dan awal 30-an balik kampung.

Tapi, apa yang kerajaan Sierra Leone ni lakukan kepada rakyat diorang sebenarnya melanggar polisi negara diorang sendiri iaitu pembubaran askar-askar selepas perang sivil. Dalam polisi tersebut, banyak program dijalankan dengan bantuan komuniti antarabangsa untuk memulihkan kembali keadaan bekas-bekas askar Sierra Leone selepas peperangan. Antaranya memberi kemahiran dan latihan untuk pekerjaan, beri pelajaran tentang pendidikan sivik dan sediakan kaunseling untuk merawat trauma.

Komuniti-komuniti antarabangsa telah membelanjakan berjuta-juta dolar Amerika untuk sediakan kemahiran-kemahiran berguna bila tamat Perang Sivil Sierra Leone pada 2002. Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sendiri telah berjaya membubarkan lebih daripada 75 ribu askar di Sierra Leone termasuk 7000 orang adalah kanak-kanak. Jumlah yang PBB belanjakan untuk Sierra Leone lebih kurang $36.5 juta (RM153.5 juta).

Sepatutnya kanak-kanak ni disediakan keselamatan dan program-program pemulihan pasca perang supaya diorang boleh jadi rakyat yang produktif, tapi sebaliknya pula yang berlaku. Kanak-kanak ni dijual oleh kerajaan sendiri.

Ishmael Beah, bekas askar kanak-kanak Sierra Leone bagi ucapan di acara anjuran PBB.

Tiada siasatan dibuat tentang bekas askar kanak-kanak

Pada 2010, satu suruhanjaya yang dilantik oleh Kongres Amerika Syarikat untuk siasat syarikat-syarikat swasta yang diupah oleh kerajaan. Tapi, siasatan tersebut tak melibatkan tentang bekas askar kanak-kanak yang diupah dari negara-negara Afrika.

Hasil siasatan menyimpulkan yang kerajaan Amerika Syarikat ni terlalu bergantung sangat dengan syarikat-syarikat ketenteraan swasta untuk tugas-tugas di Iraq dan Afghanistan. Dianggarkan, kerajaan Amerika Syarikat dah kehilangan kira-kira $30 – $60 bilion (RM 126 – RM 252 bilion) disebabkan pembaziran dan penipuan daripada syarikat-syarikat tersebut.

Wartawan Amerika yang lantang mengkritik kerajaan sendiri.

Negara-negara Barat bersusah payah salurkan kewangan yang banyak untuk pulihkan kembali kehidupan bekas askar kanak-kanak ni, tapi kerajaan Amerika Syarikat yang kononnya sokong kuat usaha diorang, alih-alih pergi rekrut pula kanak-kanak ni jadi askar diorang kat Iraq dan Afghanistan. Maknanya kerajaan Amerika Syarikat ni secara tak langsung meneruskan penderitaan kanak-kanak ni dengan pergi berperang kat negara yang diorang tak familiar langsung.

Syarikat Aegis dan GardaWorld (yang ambil alih Aegis sekarang ni) tak didakwa pun atas apa-apa kesalahan jenayah. Kedua-dua syarikat ni dipandang tinggi kerana merupakan syarikat keselamatan yang gah dan banyak terlibat dengan kontrak-kontrak kerajaan. Ironinya GardaWorld ni merupakan syarikat yang menandatangani International Code of Conduct for Private Security Providers (ICoC), iaitu persetujuan sesebuah syarikat untuk menghormati hak-hak dan undang-undang kemanusiaan.

Trauma dengar bunyi tembakan setiap hari di Iraq

Di UK, seorang anak muda yang baru memulakan kerja pertama akan dibayar lebih daripada £5 (RM 27.87) sejam atau £40 (RM 223) sehari. Tapi, bekas askar dari benua Afrika hanya dibayar $16 (RM 89.18) sehari untuk mengawal pangakalan-pangakalan Amerika di Iraq. Syarikat yang upah diorang pun tak ambil tahu sama ada bekas askar yang diorang upah tu merupakan bekas askar kanak-kanak atau askar dewasa.

Masa sampai kat Iraq, kebanyakan askar kanak-kanak yang direkrut terkejut dan takut dengan keadaan kat Iraq. Salah seorang askar kanak-kanak yang ditemu ramah beritahu yang setiap hari dia dengar bunyi bom kat Baghdad. Bagi diorang, keadaan kat Iraq mengembalikan semula memori diorang semasa perang sivil kat negara diorang dulu.

Keadaan Baghdad yang kena bom.

Bockarie Marrah yang pernah jadi askar kanak-kanak Sierra Leone bagi tahu yang dia menangis masa pertama kali kena pegang senjata di Camp Lion. Camp Lion ni merupakan kem yang digunakan sebagai persediaan sebelum pergi ke Iraq. Bockarie bagi tahu dia menangis sebab semua rasa takut dia masa jadi askar kanak-kanak dulu muncul semula.

Maya Christensen, bekas penolong profesor di The Royal Danish Defence College yang membuat pemerhatian ke atas latihan di kem tersebut beritahu yang kebanyakan bekas askar kanak-kanak ni dah lama tak pegang senjata lepas perang sivil. Jadi, ada yang menggigil atau menangis masa kena pegang senjata semula.

Seorang lagi bekas askar kanak-kanak Sierra Leone  beritahu yang keadaan di Iraq memang gila sebab hari pertama dia jejak kaki kat Iraq, dia dah dengar bunyi bom. Setiap hari ada serangan roket dan setiap hari juga dia kena pergi keluar berperang.

Iraq pun pernah rekrut kanak-kanak sebagai askar diorang

Selain Sierra Leone dan Amerika Syarikat, Iraq sendiri pun ada sejarah panjang dalam merekrut askar kanak-kanak diorang. Di bawah pemerintahan Saddam Hussein, kanak-kanak lelaki bawah 18 tahun yang dikenali sebagai ‘Anak-anak Singa Saddam’ akan berlatih selama sebulan pada waktu cuti sekolah.

Kanak-kanak seawal usia 10 tahun dah diajar untuk menggunakan senjata kecil dan didoktrinkan dengan ajaran-ajaran politik Ba’athist (kerajaan politik pimpinan Saddam Hussein).

Unit askar kanak-kanak yang paling penting sekali ialah Ashbal Saddam (anak-anak Singa Saddam). Ashbal Saddam ni melibatkan kanak-kanak lelaki antara umur 10-15 tahun untuk join kem ketenteraan. Selain daripada diajar guna senjata, diorang juga diajar memukul dan lakukan keganasan terhadap binatang supaya rasa perikemanusiaan itu dikurangkan.

Anak-anak Singa Saddam.

Latihan ketenteraan yang kejam buat kanak-kanak jadi agresif dan ganas

Kanak-kanak yang dipaksa jadi askar ni, diorang hidup dalam suasana yang penuh keganasan yang berulang-ulang. Akibatnya diorang akan terdedah dengan traumatic stress yang kronik dan boleh menyebabkan masalah pada kesihatan mental seperti PTSD, fizikal dan perubahan personaliti. Post-traumatic stress disorder (PTSD) merupakan gangguan mental yang sering dihadapi oleh bekas-bekas askar.

Tak tahu tujuan hidup lepas ni.

Bagi kanak-kanak yang pernah direkrut jadi askar, diorang ni terpaksa menanggung pengalaman-pengalaman menakutkan semasa jadi askar yang tak patut ditanggung oleh seorang kanak-kanak pun.

Antara pengalaman trauma yang selalu diorang hadapi ialah kena paksa potong dan masak mayat, kena paksa makan daging manusia, kena paksa serahkan harta dan rumah dibakar, kena paksa culik kanak-kanak lain, dan kena paksa bunuh, pukul, cederakan atau cacatkan orang lain. Bagi askar perempuan pulak, diorang terpaksa berhadapan dengan gangguan seksual.

Harga yang terpaksa dibayar apabila direkrut jadi askar kanak-kanak.

Disebabkan trauma yang diorang terima masa jadi askar kanak-kanak, diorang mengalami PTSD dan tak mampu nak tumpu perhatian pada pelajaran. Jadi, kebanyakan diorang ni tak mahu pergi sekolah dan akhirnya berhenti sekolah.

Apabila kanak-kanak ni dikeluarkan daripada ketenteraan, diorang tiba-tiba kena tukar cara hidup secara mendadak pulak. Diorang tak dapat melalui zaman kanak-kanak secara normal, jadi personaliti diorang memang berbeza dengan kanak-kanak lain. Sebab tu diorang ni jadi ganas, agresif dan sering bawa masalah.

Hidup dalam kelaparan adalah perkara biasa bila jadi askar kanak-kanak. Sampaikan satu tahap, bila diorang ni masuk semula dalam masyarakat normal, kebanyakannya mengalami masalah pemakanan. Sama ada diorang tak nak makan secukupnya sebab dah terbiasa lapar atau terlalu banyak makan kerana sebelum ni tak pernah rasa cukup makan.

Kitorang lapar tapi tak tahu nak makan apa.

Lepas diorang dibebaskan daripada menjadi askar, macam-macam pulak perasaan datang dalam diri diorang. Ada yang menyesal dan malu sebab pernah jadi askar, jadi diorang rasa tak layak nak teruskan hidup lagi. Masyarakat pulak memulaukan diorang sebab dianggap sebagai penjenayah yang cuba nak jatuhkan kerajaan, padahal diorang ni dipaksa. Yang menyedihkan, pihak yang terlibat merekrut diorang tak ditangkap pun sebab diorang boleh merasuah pihak berkuasa.

Walaupun ada sesetengahnya mungkin dapat mengatasi gangguan mental yang dihadapi, tapi sampai bila-bila pun kenangan pahit semasa direkrut jadi askar kanak-kanak takkan hilang daripada ingatan.

Ada hak untuk tembak kanak-kanak yang pegang senjata

Larangan merekrut kanak-kanak memang ada dalam Protokol I dan II Konvensyen Geneva. The Statute of the International Criminal Court (ICC) pula menyatakan bahawa merekrut kanak-kanak sama ada untuk konflik dalam atau antarabangsa sebagai satu jenayah perang.

Walaupun Konvensyen Geneva dan beberapa lagi perjanjian antarabangsa melarang serangan ke atas sekolah, menculik kanak-kanak dan apa saja yang mengancam diorang, tapi perjanjian-perjanjian ni terlupa satu perkara. Diorang tak beritahu apa yang askar-askar patut buat apabila berhadapan dengan askar kanak-kanak dalam suasana perang. Kalau diorang tembak kanak-kanak ni, dah serupa macam satu kesalahan jenayah pulak.

Kalau macam negara Kanada, diorang ambil doktrin ketenteraan yang menyatakan ia adalah hak askar teresebut untuk menggunakan kekerasan walaupun musuh diorang adalah seorang askar kanak-kanak. Bagi diorang, askar kanak-kanak yang pegang senapang atau bom tangan sama bahaya juga dengan askar dewasa.

Walaupun hanya kanak-kanak, tapi diorang ni tetap dianggap bahaya.

Sejak tahun 1996, beribu-ribu orang kanak-kanak lelaki dan perempuan berjaya dibebaskan di bawah Majlis Keselamatan PBB dengan harapan tak ada lagi pihak yang merekrut kanak-kanak di kawasan berkonflik. Kempen Children, Not Soldiers’ yang dijalankan atas inisiatif Secretary-General for Children and Armed Conflict dan UNICEF menfokuskan 8 buah negara yang merekrut dan menggunakan kanak-kanak sebagai askar: Afghanistan, Chad, Republik Demokratik Kongo, Myanmar, Somalia, Sudan Selatan, Sudan dan Yaman.

Kesemua negara yang terlibat dah tandatangani Action Plans dengan PBB untuk hentikan merekrut kanak-kanak sebagai askar. Chad berjaya selesaikan kesemua syarat Action Plans dan terus dikeluarkan daripada senarai negara-negara yang merekrut kanak-kanak pada Julai 2014.

Kanak-kanak perlu hidup selayaknya sebagai seorang kanak-kanak.

Bersyukurlah kita kat Malaysia ni tak ada kanak-kanak yang kena paksa jadi askar dan kena bawa senapang bunuh orang lain. Jadi, sayangilah kanak-kanak kerana merekalah pewaris negara kita.