Statistik dunia tunjuk Malaysia negara ke-11 rasis kat dunia, apa puncanya?

Memandangkan tahun 2020 bakal menjelang tak lama lagi dan 2019 pulak akan melabuhkan tirainya, so apa dah jadi dengan azam 2019 korang? Tercapai ke tak? Ke jadi tak tercapai di akalmu? Dan korang masih ingat lagi tak pasal Wawasan 2020 yang korang selalu tulis kat karangan tu?

Di sebalik kehangatan tahun 2020 yang bakal tiba ni, banyak persiapan yang semua orang dah buat terutamanya mak ayah nak sediakan barang sekolah anak-anak. Tapi, dalam kesibukan tu, kebanyakannya tak lupakan media sosial dan selalu update perkembangan masing-masing menjelang tahun baru ni. Dan dari situ akan ada je makhluk yang akan cari salah setiap orang dan bertindak seakan-akan rasis. Dan bila cakap pasal rasis …

Statistik negara rasis untuk 2019 dah diumumkan

Inilah statistiknya. Imej dari businesstech

Sebelum ni kita banyak dengar perlakuan rasis yang dilakukan oleh sesetengah negara, lagi-lagi negara yang bersikap rasis terhadap rakyatnya yang berbeza warna kulit. Dari situ banyak ancaman yang dibuat kat masyarakat minoriti yang sentiasa terpinggir dan tak dapat pembelaan.

Bila cakap pasal negara rasis, mesti semua akan ingat negara-negara Eropah dan Afrika yang rasis sebab perbezaan warna kulit yang ketara tu. Dan ada sejarah mengenainya, kalau korang ingat lagi pasal dasar aparteid yang diperkenalkan kat Afrika Selatan pada 1948 hingga 1991 yang merupakan undang-undang penyisihan kaum berdasarkan warna kulit.

Isu rasis terbesar dulu. Imej dari Hakam

Walaupun dasar aparteid ni dah berjaya dimansuhkan oleh Nelson Mandela pada 1994, tapi kesannya masih dapat diperhatikan sampai sekarang. Apa yang kita boleh nampak, jurang pendapatan dan hak-hak asasi kaum yang berlainan warna kulit ataupun berkulit gelap selalu diketepikan dan rasisme masih berleluasa.

Bukan Afrika mahupun negara Eropah, tapi sebenarnya India merupakan negara pertama yang rasis di dunia berdasarkan statistik untuk tahun 2019, dan Afrika Selatan di tangga yang kesembilan. Dan apa yang lagi mengejutkan adalah, sepanjang tahun 2019, statistik negara rasis menunjukkan, Malaysia merupakan negara ke-11 yang rasis daripada keseluruhan negara yang ada kat dunia ni. Wahhh…

India negara paling rasis kerana…

Macam yang kita semua tahu, kat India, diaorang masih berpegang dengan sistem kasta. Jadinya, golongan bawahan mengikut urutan sistem tersebut sentiasa jadi mangsa penindasan. Dan masyarakat India ni sangat berpegang pada ketulenan etnik diaorang yang bersikap skeptikal kat kaum yang lain.

Budak-budak kat India buat demo. Imej dari SindoNews

Pada asalnya, masyarakat India ditindas waktu zaman penguasaan kolonial lebih daripada dua ratus tahun dulu. Diaorang sering dilabel sebagai orang-orang yang mundur dan daripada situ kehidupan diaorang terus kelam dan menghadapi nasib kemunduran yang besar. Disebabkan warna kulit diaorang jugak, diaorang selalu dipandang rendah dan tak diberi hak yang sepatutnya. Jadinya, sebab dari nenek moyang diaorang dah macam ni, diaorang diajar untuk bertindak rasis sebagai salah satu cara untuk pertahankan ego diaorang yang dipijak-pijak dulu.

Negara India merupakan negara yang tak mempunyai kepelbagaian etnik dari segi kewarganegaraan. Dalam statistik tu, seramai 43.6% masyarakat India bagitahu yang diaorang tak selesa dengan kehadiran orang yang tak sama budaya, etnik ataupun bangsa dengan diaorang. Dan sebab tu, ada penduduk India bagitahu yang kat sana selalu ada keganasan kalau orang yang berlainan latar belakang ada kat India. Tapi bukan semua tempat kat India.

Turutan sosial dalam istem kasta kat India. Imej dari English Online

Ada orang Afrika yang jadi warganegara India?

Bila cakap pasal kasta kat India ni, untuk rujukan korang semula, kot kot terlupa ke, kasta yang tertinggi dalam masyarakat India adalah kasta Brahmin, diikuti dengan kasta Ksatria yang merupakan golongan bangsawan, Waisya golongan pedagang dan pentadbir dan Sudra sebagai golongan hamba. Sistem ni merupakan sistem warisan dan menelusuri pertalian darah. Contohnya, kalau lahir dan mewarisi kasta Waisya, sampai matilah orang tu akan jadi Waisya.

Waktu zaman pemerintahan Inggeris kat India dalam lebih kurang abad ke-7, keturunan Bantu kat Afrika Timur yang nenek moyangnya dikenali sebagai kaum Siddi kebanyakannya dibawa ke India sebagai hamba oleh orang Arab. Tapi apa kaitannya dengan sistem kasta? Okay, oleh sebab diaorang ni dijadikan hamba pada asalnya, lepas sistem perhambaan dihapuskan dalam abad ke-18, diaorang dipinggirkan dan kebanyakannya masih menetap kat hutan. Disebabkan diaorang ni pendatang, diaorang diletakkan dalam kasta yang paling rendah.

Kalau kot kot korang ada jumpa. Imej dari anehdidunia.com

Lebih kurang seramai 20,000 orang etnik kaum Siddi ni tinggal kat hutan pedalaman kat India dan ada di antara diaorang memang tak nak keluar daripada hutan tu, sebab masyarakat India tak anggap diaorang ni sebagai ahli dalam India jugak. Disebabkan hal tu, diaorang ni nampak macam ketinggalan dan jauh kebelakang daripada aspek kehidupan sosialnya.

Etnik Siddi ni kebanyakannya boleh dijumpai kat sekitar Karnataka, Goa, Gujarat, Maharashtra dan Hyderabad. Disebabkan diaorang ni tak diiktiraf sebagai ahli keluarga kat India, masyarakat India selalu bertindak nak halau pendudukan etnik Siddi ni. Diaorang selalu didiskriminasi dan susah nak cari makan kat luar selain daripada diaorang hidup dalam kemiskinan.

Walaupun diaorang selalu dilayan dengan cara macam tu, diaorang masih lagi menganggap diri diaorang sebahagian daripada komuniti India. Sebabnya, diaorang bertutur dengan bahasa tempatan (India), adat dan tradisi diaorang mengikuti masyarakat India dan masih dikekalkan sampai sekarang, dan pakaian yang diaorang pakai melambangkan pakaian asli kat India. Tapi, sebab penampilan fizikal dan rupa diaorang yang berbeza, sebab tu lah diaorang ni dianggap sebagai orang luar kat India.

Pakaian tradisional diaorang. Imej dari anihdidunia.com

Kat sini, kita boleh nampak dan perasan yang aspek rasis dan perkauman kat India ni jugak meluas, bukan je diaorang ada kasta tersendiri yang membezakan kehidupan sosial diaorang, malah kaum yang lain daripada diaorang pun tak diterima sebagai satu komuniti. 

Kebanyakan negara Asia tak ada toleransi antara kaum termasuk Malaysia

Dalam hasil kajian dan statistik tu, ia menunjukkan yang negara kat Asia kebanyakannya mempunyai sifat toleransi antara kaum yang sangat rendah berbanding negara-negara lain. Kalau korang blur Geografi, India ni pun negara Asia jugak tau. Dan negara yang paling bertoleransi antara kaum adalah negara-negara kat Latin, Scandinavia, dan United Kingdom.

Isu rasis ni sebenarnya masalah global dunia. Imej dari Global Issues

Sebenarnya, isu rasis ni dah wujud sepanjang sejarah kewujudan manusia lagi dan secara tak langsung mempengaruhi peperangan, aktiviti perhambaan dan kod perundangan. Pada asalnya, isu rasis ni sebenarnya dibawa dan ditunjukkan oleh kuasa Barat dalam kelompok komuniti bukan berbangsa Barat. Dan seterusnya ia memberi kesan yang signifikan terhadap sejarah dunia. Selain tu, tekanan rasis ni jugak banyak membelenggu kawasan Afrika disebabkan perbezaan warna kulit yang ketara kat sana. 

Isu rasis ataupun perkauman membentuk sejarah awal Amerika Syarikat dan mempengaruhi banyak peristiwa dan kekejaman lain sepanjang abad ke-19, ke-20 dan ke-21, termasuklah pengasingan negara pada awalnya sebagai ‘negara-negara bebas’ dan ‘negara-negara hamba’. Dan, isu rasis ni bukanlah masyarakat bersifat rasis terhadap orang luar (ataupun pelancong dan pelajar) tapi isu permasalahan rasis antara masyarakat dalaman sendiri.

Tahap perkauman kat sesebuah negara sebenarnya tak boleh diukur dengan tepat dalam sesebuah kependudukan. Dan sebab tu lah terhasilnya kajian dan survey mengenai isu rasis ni. Berdasarkan The World Values Survey, masyarakat yang bersifat rasis mempunyai kecenderungan untuk bertindak tak menerima kaum yang berlainan daripada diaorang. 

Rakyat-rakyat yang berbeza warna kulit yang kena layanan berbeza. Imej dari Newshub

Berbalik pulak kat Malaysia, isu rasis dan perkauman ni kita dah nampak melalui dari awal melalui Peristiwa 13 Mei 1969 dan Rusuhan Kampung Medan contohnya yang dah mengorbankan banyak nyawa melalui perbalahan perkauman. Walaupun sekarang ni takde lagi kes pertumpahan darah melalui isu perkauman kat negara kita, tapi perkauman tu masih boleh dirasai dan diteliti dengan jelas.

“Anda tidak boleh menghapuskan rasisme sepenuhnya. Anda hanya boleh mengurangkan dan mengawalnya,” – Salleh Said Keruak, bekas menteri persekutuan, sumber dari FMT. 

Macam kat Malaysia, isu rasis bukan tertumpu dalam aspek perkauman je, sikap rasa diri lebih hebat daripada yang lain (etnosentrikisme) pun dikira sebagai rasis. Dan kat Malaysia banyak macam tu. Ia bukanlah sesuatu yang perlu ditunjuk dan tindakan seseorang secara terang-terangan, tapi sikap menghukum antara satu sama lain tanpa mengira bangsa ataupun kaum. Contohnya macam orang yang tak boleh tengok orang lain lebih lah, mesti ada je yang nak dengki, tutup peluang orang lain.

Klik imej untuk baca artikel yang kitaorang pernah tulis. Imej dari Soscili

Sikap rasis ni jugak boleh menguasai kelestarian kehidupan seharian yang lain, contohnya diskriminasi pekerjaan antara jantina, perbezaan bayaran gaji antara kaum dan jugak pemberian peluang. Kat Malaysia, selalunya ada ucapan kebencian yang memburukkan reputasi sesebuah kumpulan sosial, kiranya macam menghasut, dan daripada situ ia menjejaskan hak sesebuah kumpulan yang terlibat.

Macam kat Malaysia sendiri, status sosial sesebuah masyarakat dah diklusterkan mengikut peringkat pendapatan golongan tertentu. Contohnya macam golongan B40 untuk golongan berpendapatan rendah, M40 untuk berpendapatan sederhana dan T20 untuk yang tertinggi. Dalam hal ni, dari sudut positifnya, ia memudahkan pihak atasan dan pengagihan dana. Tapi dengan adanya pengkelasan yang macam ni, ada jugak golongan-golongan tertentu yang tertindas dan tak diberikan peluang. 

Selain tu, perkauman yang dicetuskan dalam politik jugak jadi punca isu rasis ni berleluasa kat Malaysia. Dan korang pun boleh nilai sendiri situasi politik sekarang. 

Rakyat Malaysia perlu bersikap lebih terbuka

Kita semua tahu yang kita dalam masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan etnik. Perbezaan budaya ni lah yang mampu menjadikan negara kita sebuah negara yang unik. Dalam pada itu, sikap terbuka dan penerimaan antara satu sama lain perlu dititikberatkan untuk mengelakkan aspek rasis ni terus terjadi.

“Hanya dengan memahami kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan cara hidup mereka ini yang berbeza boleh mengelak kita daripada terperangkap ucapan kebencian dan jenayah kebencian terhadap mereka.” – Profesor Dr Mansor Mohd Noor, Ketua Kluster Perpaduan Nasional, Majlis Profesor Negara, sumber dari BH Online. 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)