- 428Share sekarang!
- Email16
- Facebook412
- Share
Tak lama lagi, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan paling mulia – Ramadhan. Dan kita pun akan ulang lagi tradisi rakyat Malaysia, macam – pergi Bazaar Ramadhan, buat moreh, buat kuih raya dan pelbagai lagi.
Tapi sebelum kita masuk bulan Ramadhan, ada satu lagi bulan yang dikatakan berkelebihan juga iaitu bulan Syaaban. Seperti yang diketahui umum, bulan Syaaban ni selalunya dikatakan penuh dengan kelebihan dan barakah. Malah ada juga amalan-amalan tertentu yang dikaitkan dengan bulan ini.
Tapi betul ke dakwaan-dakwaan ni? Sebab ada juga yang kata terdapat banyak hadis-hadis pasal kelebihan Syaaban ni yang palsu. Malah, ada pula amalan-amalan yang dikatakan sebagai bidaah dan dusta.
Oleh itu, SOSCILI kali ni nak menjelaskan serba sedikit pasal kekeliruan ni. Diharapnya kita semua boleh faham dan tak terkeliru lagi.
Ada hadis kelebihan Syaaban yang sebenarnya direka-reka
Walaupun ada hadis palsu pasal kelebihan bulan Syaaban, masih ada hadis-hadis sahih yang menceritakan pasal kelebihan bulan ni.
Antaranya daripada Usamah bin Zaid yang berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban? Rasulullah SAW bersabda:
“Syaaban antara Rejab dan Ramadhan, manusia lalai mengenainya. Padanya (bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” – Riwayat al-Nasai.
Malah isteri Rasulullah SAW, Aisyah juga ada menyebut:
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Berdasarkan hadis-hadis ini, maka jelaslah bahawa kita amat digalakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban. Berdasarkan hadis pertama juga, kita diberitahu yang Rasulullah SAW lebih suka amalannya diangkat dalam keadaan berpuasa. Hal ini diterangkan oleh Imam Ibnu Qayyim RA:
“Amalan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT: Amalan tahunan diangkat pada bulan Syaaban sebagaimana dikhabarkan oleh baginda Rasulullah dan amalan mingguan pula diangkat pada hari Isnin dan Khamis” – Lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud.
Dalam pada itu, ada juga beberapa hadis palsu tentang Syaaban yang disebarkan kepada masyarakat. Dalam hadis palsu tu, diceritakan pasal fadilat-fadilat bulan Syaaban, amalan-amalan tertentu, solat khusus, puasa khusus dan sebagainya.
Antara hadis palsu tu adalah:
“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”.
Menurut Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin – hadis palsu ni dah direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H). Dikhabarkan Ibn Jahdam ni adalah seorang guru sufi di Mekah dan dia juga dikaitkan dengan membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (solat sunat bulan Rejab dan Syaaban).
Kerana itulah Imam Ibn al-Salah ada menyebut:
“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala.
Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulilah” – Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m/s 99.
Tak ada solat khusus pada malam Nisfu Syaaban
Antara hari yang ditunggu-tunggu dalam bulan Syaaban mestilah malam Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban (15 Syaaban).
Ini kerana, ada beberapa hadis yang menceritakan tentang kelebihan malam ni untuk umat manusia. Antaranya adalah daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila tiba malam nisfu Syaaban, Allah SWT melihat kepada makhluk-Nya. Kemudian Allah SWT mengampunkan orang yang beriman serta mengabaikan orang yang kufur dan membiarkan orang yang dengki dengan dengkinya sehingga mereka itu meninggalkannya.” – Riwayat Baihaqi.
Bagaimapun, Imam Ibn Jauzi mengatakan bahawa hukum hadis ni tak sahih.
Satu lagi hadis daripada Abdullah bin Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Allah SWT melihat pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan hamba-Nya kecuali dua (golongan) iaitu orang yang bermusuhan dan orang yang membunuh diri.” – Riwayat Ahmad.
Ibn Hajar mengatakan sanadnya layyin (salah satu daripada ciri hadis dhaif), manakala Ahmad Syakir mengatakan sanadnya adalah sahih.
Selain tu, ada juga hadis daripada Mu’az bin Jabal RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Allah SWT melihat makhluk-Nya pada malam nisfu Syaaban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. – Sahih Ibn Hibban.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zukkifli al-Bakri, dah berlaku perselisihan pandangan di kalangan ulama tentang kelebihan malam Nisfu Syaaban.
Malah, ada beberapa amalan khusus pada malam Nisfu Syaaban yang dianggap sebagai direka-reka dan bidaah. Antaranya adalah pasal Solat al-Raghaib iaitu solat sunat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat dan juga ia dilakukan pada malam Nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat.
Dikatakan Rasulullah SAW bersabda:
“Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Syaaban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya.”
Ramai ulama yang menghukum hadis ini sebagai palsu, termasuklah Imam al-Syaukani dan Imam Ibn al-Jauzi. Malah, Imam Ibn Qayyim mengatakan antara hadis-hadis palsu adalah hadis berkaitan dengan solat pada malam Nisfu Syaaban.
Imam Nawawi membahaskan hadis palsu ni dengan berkata:
“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Syaaban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bidaah yang mungkar lagi buruk” – Dipetik dari al-Majmu’.
Imam al-Syaukani menambah:
“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu.” – Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah.
Jadinya, amalan solat khusus pada malam Nisfu Syaaban adalah dilarang sama sekali, kerana ia tak ada asal dan dusta semata-mata.
Majoriti ulama kata tak ada riwayat sahih kelebihan Nisfu Syaaban
Sebenarnya Islam tak pernah halang umatnya dari lakukan solat sunat, baca surah-surah al-Quran, berselawat dan sebagainya. Tapi, perkara tu mestilah berlandaskan aturan agama dan tak dikhususkan untuk hari-hari tertentu kalau ia tak disuruh dalam agama.
Hal ni termasuklah dalam isu malam Nisfu Syaaban bila ada amalan tertentu yang dilakukan. Ia seperti doa tertentu, baca Yasin tiga kali dan sebagainya. Macam dalam hadis yang dihukum palsu oleh Ibn Jauzi ni:
“Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Syaaban seribu kali surah al-Ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya 100 malaikat,
30 menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, 30 menyelamatkannya dari neraka, 30 akan mengawalnya daripada berbuat salah dan 10 akan menulis mengenai musuh-musuhnya.”
Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, amalan-amalan ni tak sepatutnya dilakukan sebab tak ada riwayat daripada Nabi SAW dan para sahabat yang mengamalkannya.
“…Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi’in dan tabi’ tabi’in).
Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…
perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan.” – Dr Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu’asarah.
Bagi Pensyarah UPSI, Dr Rozaimi, selaras dengan pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi, majoriti ulama menolak amalan berkumpul di masjid untuk melaksanakan ibadat pada malam Nisfu Syaaban.
“Kita (umat Islam) ada tiga pandangan. Pandangan pertama malam Nisfu Syaaban ada kelebihan, dan boleh berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam itu. Pandangan ini dalilnya tidak kukuh, Ibn Rajab mengatakan hal ini mungkin ada kaitan dengan Israiliyat.
Pandangan kedua mengatakan malam itu ada kelebihan, tapi setiap orang melakukan amalan secara sendiri-sendiri sesuai dengan kemampuannya. Tidak disunnahkan untuk berhimpun di masjid.
Pandangan ketiga, majoriti ulama mengatakan tidak ada riwayat yang sahih mengatakan kelebihan Nisfu Syaaban. Ini pendapat – al-Daraqutni, Ibn Arabi, al-Qurtubi, Ibn Rajab al-Hanbali dan ramai lagi.” – Dr Rozaimi Ramlee.
Tapi kita masih lagi boleh beramal pada malam tu
Seperti mana yang dinukilkan oleh Dr Zulkifli al-Bakri, kita boleh je ambil peluang pada malam Nisfu Syaaban tu dengan amalan sebanyak-banyaknya. Tapi kesemua amalan tu tak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat, sebab kesemua amalan tu bersifat umum
“Oleh itu, sekali lagi kami nyatakan bahawa tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam Nisfu Syaaban.” – Dipetik dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Diharapkan kita menyambut bulan Syaaban ini dengan cara yang bersederhana seperti mana yang dituntut oleh Islam. Dan kita juga kena bersedia dengan bulan lebih baik dan mulia iaitu Ramadhan. Semoga kita menjadi umat yang mengikut al-Quran dan Sunnah. Amin…
- 428Share sekarang!
- Email16
- Facebook412
- Share