Agama

Mahal sangat ke kos uruskan jenazah Islam kat Malaysia? Kita kira…

Baru-baru ni team kitaorang ada baca yang pasal kes seorang lelaki ni dihalau balik sebab tak cukup duit nak uruskan jenazah anak dia. Dalam berita tu, ayah kepada jenazah tersebut tak mampu nak bayar kos pengebumian bayi tu berjumlah RM300.00 yang dikenakan oleh sebuah surau kat kawasan tempat tinggal dia.

Tapi bila lelaki tu pergi semula ke hospital untuk mintak bantuan pihak hospital dan NGO uruskan jenazah anak dia, caj yang dikenakan hanya RM60 je. Hmm tapi kenapa pulak kat surau kena caj RM300.00?

Kenapa garang-garang ni? Imej dari Giphy

Jadi kali ni, SOSCILI buat anggaran kira-kira untuk kos pengurusan jenazah Islam kat Malaysia secara keseluruhannya, agaknya berapa banyak kos yang diperlukan ye? Tapi apa yang kitaorang tahu kos menguruskan jenazah ni berbeza mengikut tempat dan kariah jenazah tu tinggal, jadi ni kitaorang buat purata dan anggaran berapa bajet yang diperlukan dan modal yang dikenakan untuk uruskan jenazah tu.

1. Bayaran khairat kematian (RM20 keatas)

Khairat kematian ni sebenarnya diambil dari perkataan Arab yang bermaksud kebajikan. Tapi bila diringkaskan dan dikaji konteksnya, khairat ni sebenarnya dikategorikan sebagai derma. Secara mudahnya, bayaran khairat kematian ni adalah kutipan derma yang dilakukan dalam sesuatu kawasan.

Ni contoh bayaran khairat yang dikenakan kat kawasan Puchong. Imej dari Surau Amanputra

Duit yang dikumpulkan kebiasaannya diletakkan khas dalam tabung khairat kematian yang dikendalikan oleh orang yang bertanggungjawab menguruskan hal kematian di sesuatu kawasan tu. Mengikut enakmen dan undang-undang syariah, bayaran khairat kematian ni memang dibenarkan dan digalakkan.

Tapi bayaran khairat kematian tu ikut ketetapan sesuatu tempat tu. Contohnya macam kat tempat salah seorang penulis kat sini, bayaran yang dikenakan kat tempat dia hanyalah RM20 untuk satu keluarga. Dan hanya ketua keluarga sahaja yang perlu membayar khairat kematian tu.

Bayaran ataupun tabung khairat kematian ni tak tertumpu kat satu kariah ataupun kawasan tempat tinggal. Ada juga badan-badan lain yang menyediakan skim atau caruman untuk khairat kematian ni. Macam mana tu? Baca list kat bawah ni:

  1. KWSP : Syaratnya si mati ahli/pencarum KWSP
  2. Felda : Syaratnya si mati peneroka FELDA
  3. Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) : Terbuka kepada umum
  4. JPA : Syaratnya si mati pesara/kakitangan awam
  5. ASNB : Syaratnya bayaran ikut baki pelaburan terakhir si mati
  6. PERKESO : Syaratnya si mati menjadi ahli/pernah mencarum di PERKESO
  7. Skim-skim bank yang korang simpan duit kat situ (korang boleh tanya)

Dan lepas duit tu dikumpulkan, jumlah wang tersebut akan diberikan kat waris jenazah tersebut ataupun duit tersebut digunakan untuk aktiviti pengurusan jenazah. Tujuan khairat kematian ni adalah untuk kurangkan dan taknak bebankan keluarga jenazah tersebut dengan kos pengurusan jenazah yang perlu dibayar.

Walaupun bayaran khairat kematian ni dituntut dalam sesebuah kawasan, tapi kalau keluarga jenazah lebih selesa dengan pengurusan di hospital atau mana-mana badan NGO lain, kutipan khairat kematian ni masih akan diberikan kat waris jenazah tu.

Duit dan sumbangan yang diberikan tu dapatlah ringankan beban. Imej dari SMK Tun Habab

Pengurusan jenazah kat hospital ataupun mana-mana badan NGO lain biasanya lebih tertumpu pada urusan memandikan, mengafankan jenazah dan perkhidmatan van jenazah. Dan caj kos pengurusan ni pulak bergantung kat servis hospital dan badan NGO yang ditawarkan dari mereka. Selalunya ia akan dikenakan caj berjumlah RM250 sehingga RM400.


Memang ada yang akan menyerahkan pengurusan jenazah sepenuhnya kat pihak hospital dan badan NGO sebab lebih cepat dan mudah. Pengurusan jenazah di hospital dan badan NGO ni kebiasaannya lebih murah dan ada yang meminta bayaran hanya seikhlas hati.

Mohd Zulhairi, individu yang selalu buat kerja amal bila ada kematian. Imej dari Mstar

Yang peringkat seterusnya akan diuruskan oleh penduduk di kawasan kediaman jenazah tersebut. Sebab tu bayaran khairat kematian penting dan dibenarkan bagi memudahkan hal-hal berkaitan pengurusan jenazah ni tanpa membebankan ahli keluarga jenazah.

2. Mandi jenazah & kafankan jenazah (RM150 – RM400)

Kos keseluruhan bagi mandikan jenazah dan kafankan jenazah adalah anggaran lebih kurang RM150 hingga RM400. Kos ni mengikut ketetapan sesuatu kawasan dan negeri tu jugak. Tak semua tempat kosnya adalah sama ataupun terlalu tinggi. Ianya bergantung jugak kat jenazah tu sendiri. Contohnya kalau bayi, anggaran kosnya lebih murah sebab saiz fizikal bayi tu sendiri tak sama macam jenazah dewasa yang lain.

Kos pengurusan memandikan dan mengafankan jenazah ni jugak berdasarkan upah dan kos barang-barang yang diperlukan dalam proses tersebut. Barang dan bahan yang diperlukan waktu proses tersebut adalah mengikut set sebab set untuk jenazah dan tukang menguruskan jenazah yang diperlukan tu kosnya berasingan dan berbeza. Ni contoh barang-barang yang diperlukan dalam proses memandikan dan mengafankan jenazah tu:

Ni senarai barang-barang waktu proses tu. Imej dari epusara

Tapi kalau waris yang mandikan jenazah tu sendiri, tak perlulah bayaran upah cuma perlu anggarkan kos barang-barang dan set kelengkapan yang diperlukan je.

3. Van Jenazah (RM80 – RM150)

Kos yang diperlukan untuk pengangkutan jenazah tu dikira dan dikenakan caj jugak. Dan pengangkutan tu sudah tentulah van jenazah kan. Tapi caj yang dikenakan tu bergantung dan mengikut jarak rumah jenazah tersebut dengan tanah perkuburan. Ada jugak sesetengah orang yang mengenakan caj mengikut kilometer. Contohnya, caj yang dikenakan RM1 untuk setiap 1 kilometer, jadi kalau 10 kilometer, caj yang dikenakan adalah RM10.

Tapi tu semua bergantung kepada tempat, kawasan dan kariah seseorang tu. Tak semua tempat sama. Kalau contohnya menggunakan van jenazah daripada hospital, caj dan kos pengangkutan tu termasuk sekali dalam caj pengurusan jenazah di hospital. Jadi, kos yang diperlukan ni anggrannya lebih kurang RM80 hingga RM150 secara puratanya.

Bukan Hot Wheels punya van jenazah tau. Imej dari Carousell

4. Keranda, upah gali kubur & upah imam bacakan talkin (RM400 – RM650)

Part seterusnya dalam pengurusan jenazah Islam adalah hal-hal pengebumian. Kos keseluruhan pengebumian termasuklah kos keranda, upah gali kubur dan ada juga upah untuk imam bacakan talkin.

Jangan terkejut ya, ada sesetengah tempat dan kawasan tu, waris kepada jenazah dikehendaki memberikan upah untuk imam yang bacakan talkin lepas selesai semua urusan pengebumian jenazah. Tapi tak semua sama, ada sesetengah tu tak mintak apa-apa bayaran, atas ihsan waris lah nak bagi ke tak.

Berbalik semula kat step pertama sebelum pengebumian jenazah, keranda dikenakan caj mengikut kos semasa iaitu dengan kata mudahnya ikut harga papan yang digunakan untuk buat keranda tu. Biasanya, kos untuk keranda lebih kurang RM300.

Caj yang dikenakan kat kampung salah seorang penulis kitaorang kat Johor. Imej dari penulis

Dan seterusnya adalah upah yang dikenakan untuk penggali-penggali kubur. Kebiasaannya penggali kubur ni bekerja dalam kumpulan, lebih dari seorang. Upah yang diberikan mengikut bilangan orang dan tenaga yang bekerja waktu tu. Secara anggarannya, upah penggali kubur ni kira-kira RM100 hingga RM250. Dan upah tu akan dibahagikan secara sama rata. Tapi kos ni pun bergantung kat sesuatu tempat tu jugak.

5. Batu nisan & kepok (RM100 – RM14,000)

Dah selesai pengebumian, mestilah kena letak batu nisan ataupun kepok sebagai tanda untuk si mati tu. Nanti orang senanglah nak ziarah kubur tu. Berbalik pulak pada kos batu nisan dan kepok ni pulak, dia bergantung kepada material dan jenis batu nisan yang keluarga jenazah tu pilih.

Anggaran kos untuk batu nisan dan kepok ni pulak bermula pada harga untuk batu nisan yang paling simple iaitu berharga RM100 sehinggalah harga yang mencecah hampir RM14,000. Mesti korang pelik kan kenapa lah sampai beribu riban, tapi tu sebenarnya mengikut jenis bahan dan bentuk batu nisan tu sendiri.

Ni contoh style batu nisan & kepok yang paling mahal. Imej dari nisanworld

Citarasa orang kan berbeza, ada keluarga yang nak material berkualiti dan cantik, sebab tu ada di antara mereka yang tak kisah bila berhabis duit untuk identiti orang yang mereka sayang.

6. Kenduri arwah & tahlil (RM500 keatas)

Setiap kali bila ada orang yang meninggal, mesti ahli keluarga mereka akan mengadakan kenduri arwah dan tahlil sebagai salah satu cara penghargaan untuk mengingati si mati dan dengan harapan urusannya di’kehidupan’ baru dipermudahkan.

Suasana acara tahlil. Imej dari Utusan Online

Dalam hal ni, ianya ikut kemampuan setiap keluarga tu nak buat berapa banyak kenduri arwah dan bagaimana cara pelaksanaan kenduri tu; sama ada kat rumah sendiri ataupun dilakukan di masjid ataupun surau. Tapi bila dah buat kenduri tu mestilah ada jugak kosnya. Takkan takde apa-apa jamuan ataupun sedikit buah tangan kat tetamu yang dah datang rumah kita tu kan.

Tapi apa pun ianya mengikut anggaran kos yang disediakan oleh setiap keluarga ataupun waris tu. Kalau kos yang disediakan tu banyak, jadi majlis kenduri tu pun mewah lah. (Maksud mewah tu bukan ada chandelier tau, tapi mewah dari segi makanan yang dihidangkan ataupun buah tangan yang diberikan).

Kosnya mengikut bilangan kariah kat situ; maksudnya anggaran orang yang dalam kumpulan bacaan yassin dalam sesebuah masjid kat kawasan tersebut, jiran tetangga dan sedara mara. Sebab kita nak jamu diaorang makanan kan.

Kenduri mewah tu bukan yang macam ni ye. Imej dari Giphy

Dan ada sesetengahnya, kita kena berikan upah kat tok imam yang mengetuai tahlil tu, dan ada jugak yang mintak seikhlas hati. Tapi bila sebut pasal kenduri ni, anggaran kos mestilah lebih kurang RM500 sehari kalau disediakan jamuan, kalau buat tahlil ringkas sahaja mungkin kosnya tak sampai RM500 pun.

Tapi kalau kenduri arwah ni, orang Melayu selalunya familiar dengan kenduri yang diadakan 3 hari berturut-turut, kenduri arwah yang ke 7 hari, ke 44 hari dan yang ke 100 hari. Kalau yang buat kesemuanya, korang kira sendirilah berapa jumlah kos yang diperlukan.

Janganlah sebab duit, urusan pengebumian jadi tertangguh

Bagi Islam, bila ada kematian, uruskan jenazah ni hukumnya adalah fardu kifayah, maksudnya dalam satu kawasan tu semua orang kena saling membantu untuk pengurusan tu. Kalau ambil endah tak endah, akan berdosalah semua penduduk kat situ.

Tapi dalam kejadian yang baru jadi ni, janganlah rumitkan keadaan dan situasi ahli keluarga jenazah terbabit. Pengurusan jenazah memang diwajibkan untuk semua orang, janganlah sebab duit urusan pengebumian tu ditangguhkan dan dibiarkan macam tu saja.

“Paling sedih kerana sebagai orang Islam, urusan pengebumian itu sepatutnya didahulukan dan menjadi kewajipan sesama Islam untuk saling membantu, namun itu tidak berlaku,” – Mohd Zulhairi, individu yang membantu menguruskan jenazah bayi tersebut, sumber dari myMetro.

Popular

To Top

Send this to a friend