Kitorang terangkan konsep DEEP STATE yang dikatakan ada kat Malaysia

Baru-baru ni ada isu yang libatkan Raja-raja Melayu dengan kerajaan – apabila Tun Mahathir beritahu Malaysia tarik diri dari ratifikasi Statut Rom sebab tak nak bercanggah dengan Majlis Raja-raja. So, bagi yang tak tahu lagi – di Malaysia kita mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Maksudnya semua Sultan yang ada pun masih lagi kena follow undang-undang. Dan di bawah undang-undang tu, diorang takde kuasa untuk campur tangan secara langsung dengan pentadbiran kerajaan.

Beberapa bulan lepas pulak, Malaysia ada hajat untuk meratifikasi ICERD. Macam yang korang dah tahu – keputusan kerajaan tu telah sebabkan orang berhimpun ramai-ramai. Orang berkumpul bukan sebab ada acara makan-makan, orang berkumpul sebab nak nyatakan bantahan pada kerajaan. Dua insiden ni sebabkan kerajaan terpaksa buat U-turn.

Himpunan anti-ICERD hari tu. Imej dari KOSMO

Sejak dua benda ni jadi, kitorang nampak ramai betul orang bincang pasal deep state. So, bagi pembaca yang tak faham tentang benda ni – meh kitorang jelaskan sedalam-dalamnya tentang apa sebenarnya deep state ni…

Deep state bermaksud dalam sesebuah negara tu ada negara

(Dalam artikel ni kitorang banyak ambil idea Zin Mahmud yang bincangkan deep state dalam kolumnya di FMT)

Jangan pening dulu ye, ayat kat atas ni mungkin berbelit-belit tapi bila dah baca habis nanti korang akan faham apa yang kitorang cuba sampaikan. Kalau ikut seorang penulis yang bernama Zin Mahmud – istilah deep state ni boleh diterjemahkan sebagai  ‘negara terpendam’ atau ‘negara dalam negara’.

Hahhh…lebih kurang macam ni. Imej dari Medium

Maksudnya ada sekumpulan orang dalam institusi negara tu miliki pengaruh yang besar untuk menentukan keadaan politik melebihi kerajaan tu sendiri. Institusi tu boleh datang dalam pelbagai bentuk – termasuklah dalam bentuk individu dalam istana, polis, agensi perisikan, angkatan tentera, akademik, kehakiman dan perkhidmatan awam.

Pernah tengok persembahan boneka yang ada tali kat boneka tu? So, secara analoginya deep state ni macam orang yang kawal kerajaan tu, dan kerajaan tu adalah boneka yang dimainkan. Korang faham tak?

Hahhh…macam ni, tapi ni bukan bonekalah. Imej dari Giphy

Tapi korang kena faham yang deep state ni tak semestinya individu. Sebabnya ia adalah satu konsep untuk menggambarkan realiti politik sesebuah negara – aktiviti demokrasi itu terletak di bawah kehendak sesuatu pihak, itulah yang dinamakan sebagai ‘deep state’ tadi.

Benda ni jugak boleh beri gambaran ada satu konspirasi politik untuk pastikan negara dan kerajaan patut ikut apa je yang diminta oleh deep state ni. So, secara mudahnya – korang boleh je pilih mana-mana kerajaan masa pilihan raya, tapi hakikatnya orang yang mengawal orang-orang yang dipilih tu adalah geng-geng ‘deep state’ ni.

Pada asalnya deep state ni terkenal masa kat Turki

Bagi yang masih tertanya-tanya dari mana sebenarnya konsep ‘deep state’ ni muncul, sebenarnya pada zaman moden ia merujuk kepada apa yang berlaku di Republik Turki apabila ia mula ditubuhkan oleh Kamal Attaturk pada tahun 1923. Mesti korang pernah dengar cerita yang Kamal Attaturk ni mayatnya tak diterima tanah kan?

Tapi ia lebih kerap digunakan terhadap Turki pada 1990-an apabila berlaku rangkaian rampasan kuasa tentera. Jadinya, maksud “deep state” kat Turki adalah rangkaian sulit dalam kalangan polis, tentera dan agensi perisikan bagi memastikan jati diri dan keutuhan republik itu tidak tergugat.

Presiden Turki. Imej dari foreignpolicyblogs

Lebih-lebih lagi pada awal penubuhan deep state kat Turki, pihak Barat katanya ada hajat nak leraikan Republik Turki dengan mendokong wilayah negara itu dipecah-pecahkan untuk menjadi Kurdistan dan juga daerah untuk digabungkan dengan Greece, Rusia atau Armenia.

Sebab tu deep state diwujudkan kat Turki untuk jamin keutuhan negara tu. Memang hajat Attaturk nak jadikan sistem demokrasi berkembang supaya Turki jadi negara maju macam negara Barat yang lain, tapi dia tak nak kesannya merosakkan jati diri penduduk Turki.

Imej dari AWANI

Kalau korang tengok sejarah Turki, korang akan perasan ada campur tangan tentera dalam politik, dengan banyak rampasan kuasa ketika kerajaan dilihat boleh menjejaskan apa yang dianggap sebagai keutuhan negara. Presiden Turki sekarang pun pernah hampir dijatuhkan dengan rampasan kuasa.

Sebabnya simple, ada dalam kalangan tentera beranggapan kerajaan Reccep Tayyip Erdogan mengancam aspirasi deep state. Pemimpin Turki tu dapat mengatasi rampasan kuasa itu kerana sebahagian besar rakyat turun ke jalan raya.

Bukan setakat Turki je, Amerika Syarikat pun lebih kurang sama

Selain daripada Turki, ramai jugak yang gunakan Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh macam mana deep state ni boleh berlaku. Sebabnya, walaupun proses demokrasi di AS hasilkan presiden daripada 2 parti yang berbeza, tapi segala dasar dan tindakan kerajaan tetap berada pada kehendak deep state.

Kalau korang perasan, tak kiralah siapa pun yang kuasai White House dan Kongres AS, diorang tetap gunakan dasar luar yang sama. Apa yang beza cumalah pendekatan diorang. Apa yang deep state AS ni buat, selalunya diorang akan pertahankan kedudukannya sebagai kuasa besar untuk jaga kepentingan minyak, dan benda yang orang Malaysia paling benci – diorang nampaknya selalu jaga keselamatan Israel.

Selepas Perang Dunia Kedua, banyak negara capai kemerdekaan (termasuklah negara kita) dan akibat persaingan Soviet Union-AS, AS ambik keputusan untuk campur tangan dalam hal ehwal banyak negara asing. Diorang jugak terangkan konsep deep state ni pada negara baru merdeka. Sebabnya diorang nak pastikan negara-negara tu tak jatuh kat tangan komunis.

Maksudnya kalau negara tu dah ada konsep deep state, kecenderungan diorang untuk menyokong ideologi komunis tu makin nipis. Sebabnya, kalau diorang ada deep state – ia akan jadi teras pada masyarakat tu. Sebijik macam contoh yang kitorang bagi tadi pasal AS, walaupun diorang tukar-tukar kerajaan, polisi luar diorang tetap akan sama.

Macam mana pulak deep state yang ada kat Malaysia?

Kalau kita ambik contoh kat Malaysia ni, selepas Pakatan Harapan berjaya menang pada PRU14 – ramai dah mula sembang pasal deep state ni. Bila kitorang bagi contoh AS tadi, mesti korang dah boleh ramal apa elemen yang sukar nak berubah kat Malaysia. Tak lain tak bukan, Islam dan Melayu.

Dari konsep inilah bermula penekanan terhadap konsep ketuanan Melayu, sebab tu ramai yang kata – tak kisahlah sesiapa yang perintah negara, diorang tak boleh pinda teras atau tonggak negara. Sebab tu ramai ahli akademik Melayu turut mengeluarkan hasil pemikiran bagi mempertahankan ‘teras’ negara ni. Baru-baru ni Menteri Luar kita ada bincang benda ni.

Lebih-lebih lagi bila Menteri Luar sendiri sebut pasal benda ni. Imej dari Malaysiakini

So, walaupun rakyat telah memilih Pakatan Harapan pada PRU14 dan berjaya mengalahkan Barisan Nasional yang wakil rakyatnya majoriti UMNO, ada orang nak  deep state yang menjadi tunjung negara dipelihara.

Peninglah macam ni, semua tak boleh. Imej dari Giphy

Jadi benda ni adalah merupakan cabaran utama untuk Pakatan Harapan kalau diorang nak bawak agenda perubahan kat Malaysia. Diorang ada beberapa pilihan yang perlu diambil, pertama diorang boleh lawan ‘deep state’ yang ada kat Malaysia. Tapi benda tu macam susah je, so pilihan terbaik diorang adalah untuk buat polisi yang progresif tapi dalam masa yang sama kena menguruskan deep state ni. Susah tu.

Kerajaan yang dipilih sepatutnya diberikan peluang untuk mentadbir tanpa gangguan

Kitorang pun tak naklah beritahu korang ‘deep state’ ni sebenarnya baik atau buruk, sebab kitorang tahu korang boleh buat penilaian berdasarkan maklumat yang kitorang bagi ni. Cuma, apa yang penting adalah kerajaan yang ada pada hari ni tak dikawal atau diganggu oleh pihak tertentu apabila diorang buat keputusan. Sebabnya, cuba bayangkan korang dimintak uruskan sesuatu tapi korang dikawal, mesti susahkan?

Tapi dari satu sudut lain pulak, kerajaan jugak kena pastikan diorang boleh uruskan masalah deep state kat Malaysia ni, yakni Melayu dan Islam. Sebabnya majoriti rakyat adalah mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Kalau kerajaan ambik keputusan yang terlalu drastik dan dilihat boleh jejaskan ‘deep state’ ni, dah tentu-tentu lah orang akan mengamuk. Benda ni boleh jejaskan keharmonian kaum kot.

Dah menangkan, pandai-pandai koranglah nak atur strategi. Imej dari The Coverage

Apa yang penting, tak kisahlah deep state ni datang dalam bentuk kawalan individu atau jadi identiti sesebuah negara – apa yang paling penting sesebuah kerajaan tu kena pandai uruskan supaya negara yang dia tadbir akan stabil dan sejahtera.

About Man Hamka 74 Articles
Man Hamka