Ini hujah Malaysia dapatkan kedaulatan Sipadan-Ligitan di Mahkamah Antarabangsa

Beberapa hari lepas, Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia (MA63) dah dapat persetujuan untuk 7 perkara. Antaranya adalah tuntutan duti eksport balak & hasil hutan, kuasa negeri ke atas isu kesihatan, isu pertanian & perhutanan, pentadbiran Pulau Sipadan & Ligitan dan beberapa lagi perkara.

Dari banyak perkara tu, salah satu yang tarik perhatian kita adalah pasal kuasa pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan. Ini kerana, penyerahan kuasa tu bukanlah secara menyeluruh, sebab ia lebih khusus dalam hal berkaitan pelancongan. Isu teknikal dan keselamatan pula masih lagi diperhalusi.

Ini kerana, Majlis Keselamatan Negara dah mengambil alih pengurusan dua pulau tu lepas berlakunya peristiwa 21 orang diculik oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf pada tahun 2000. Tapi, korang jangan terkejut pula bila dapat tahu yang pada tahun 2000 tu, Sipadan dan Ligitan secara rasminya masih lagi bukan milik Malaysia. Sebabnya…

Berpuluh tahun Malaysia menuntut kedaulatan Sipadan dan Ligitan

Dua pulau yang direbutkan dua negara serumpun. Imej dari ikawulan30.wordpress

Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan ni terletak di Laut Sulawesi dan jarak antara kedua-dua pulau ni adalah lebih kurang 15.5 batu nautikal. Bila Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, secara tak langsung ia dah menyebabkan Sipadan dan Ligitan menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia sebab ia berada di perairan Sabah.

Tapi masalah mula timbul pada tahun 1969, bila Indonesia membantah wilayah pelantar laut Malaysia yang memasukkan kedua-dua pulau tu. Indonesia bertambah tak puas hati lagi bila Malaysia keluarkan peta baru pada 1979 yang menunjukkan Sipadan dan Ligitan berada di bawah kedaulatan Malaysia.

Untuk selesaikan isu ni dengan cara baik, pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia – Tun Hussein Onn dan Presiden Indonesia – Soeharto dah diadakan pada tahun 1980. Tapi usaha nak buat rundingan antara dua negara masih lagi gagal.

Kedudukan Sipadan dan Ligitan. Imej dari Google Map.

Walaupun pulau-pulau ni masih lagi dalam pertikaian, pada tahun 1991, Malaysia mula membangunkan Pulau Sipadan sebagai pusat pelancongan. Hal ni dah pasti dapat bantahan Indonesia lepas tu.

Jadinya, Suruhanjaya Bersama Menteri (JWC) dah ditubuhkan pada tahun sama untuk bincangkan isu antara dua negara. Walaupun dah beberapa tahun badan ni dibuat, tak ada sebarang perkembangan berlaku. Ketua deligasi Malaysia ke suruhanjaya tu rasa kecewa sangat dan kata badan tu bukanlah tempat untuk selesaikan pertikaian. Akhirnya, suruhanjaya tu tak jadi apa-apa dan tamat macam tu je.

Pertikaman lidah antara Malaysia dengan Indonesia pun ada jadi. Contohnya, pada tahun 1993, bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Yaacob Mohd Zain ada kata – tindakan ketenteraan adalah satu-satunya cara untuk selesaikan masalah pertikaian wilayah.

Di pihak Indonesia pula, negara tu tetap jalankan pemantauan di kedua-dua pulau, kerana mereka kata: “ia adalah milik kami dan kami akan mempertahankannya”.

Dr Mahathir dan Soeharto (bekas Presiden Indonesia) terkenal sebagai rakan karib. Imej dari jebejebe.com

Akhirnya setelah lebih 30 tahun bertikai pasal pemilikan dua pulau ni, Malaysia dan Indonesia setuju bawa kes ni ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tapi bila masuk je ke ICJ, ada pula pihak yang kacau – bila Filipina mula minat untuk masuk campur. Negara tu failkan permohonan ke ICJ pada tahun 2001 atas kepentingan negaranya.

Malaysia pula rasa yang Filipina ni macam menyibuk je dan anggap negara tu tak ada apa-apa alasan perundangan yang kukuh untuk merebut kedaulatan Sipadan dan Ligitan. Rupa-rupanya, ICJ pun fikir benda sama dan buat keputusan tolak permintaan Filipina tu.

Malaysia senaraikan beberapa bukti di ICJ

ICJ terletak di Hague, Belanda dan mula diasaskan pada tahun 1945. Imej dari Tehran Times.

Bila dah masuk ICJ, nak atau tak Malaysia masa tu kena bagi seberapa banyak hujah untuk buktikan tuntutan hak milik negara terhadap dua pulau tersebut. Antara hujah itu adalah:

  1. Penyerahan kuasa daripada Sultan Sulu kepada Sepanyol pada tahun 1878 dan seterusnya secara berperingkat diserahkan kepada Amerika Syarikat, United Kingdom, Northern Ireland dan akhirnya kepada Malaysia pada tahun 1963.
  2. Pulau Sipadan adalah kawasan pengumpulan telur penyu dan ia adalah aktiviti lazim masyarakat tempatan.
  3. Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) yang mentadbir Sabah ada perkenalkan Ordinan Pemuliharaan Penyu pada 1917, dan ia terpakai sehingga tahun 1950-an.
  4. Kawasan pulau itu juga dijadikan sebagai kawasan perlindungan burung pada tahun 1933 oleh pihak pentadbir Borneo Utara.
  5. Malaysia dah lama gunakan Pulau Sipadan sebagai kawasan tinjauan untuk aktiviti maritim.

Dalam masa sama, Indonesia pun kemukakan hujah-hujah mereka, seperti:

  1. Kedudukan koordinat kedua-dua pulau tu adalah terletak di selatan 4° 10’ selari utara, dan itu membuatkan Indonesia menganggap dua pulau tu adalah wilayahnya berdasarkan prinsip uti possidetis juris.
  2. Rakyat Indonesia dah lama gunakan pulau-pulau ni sebagai kawasan perikanan.
  3. Indonesia ada hak menuntut Sipadan dan Ligitan kerana negara itu adalah pewaris kepada Sultan Bulungan yang dah mentadbir dua pulau itu sebelum ia menjadi wilayah naungan Belanda pada tahun 1878.
W. C. Cowie (Pengerusi SBUB) dengan Sultan Sulu. Imej dari Wikipedia.

Dari hujah-hujah ni, kita boleh nampak yang kedua-dua negara gunakan faktor sejarah dalam menuntut Sipadan dan Ligitan. Tapi, ada satu lagi faktor yang digunakan iaitu kawalan efektif/amalan pemerintahan sebenar (effective occupation). Prinsip ini merujuk kepada objektif sesebuah negara terhadap pentadbiran kawasan baru dengan membuktikan kewujudan aktiviti-aktiviti tertentu.

Dalam hal ini, ICJ tak berapa yakin yang Sipadan dan Ligitan pernah terletak di bawah penguasaan Sultan Bulungan dan Sultan Sulu. Jadinya, ICJ ambil prinsip kawalan efektif untuk tentukan pihak mana yang ada hak dan kedaulatan ke atas kedua-dua pulau ni.

Malaysia akhirnya menang, dan ada hak untuk kedua-dua pulau ni

Tarian kemenangan. Imej dari Giphy.

Hasilnya, ICJ mengakui pihak berkuasa koloni Borneo Utara British dah membina rumah api di Sipadan pada tahun 1962 dan Ligitan pada tahun 1963. Tanggungjawab penyelenggaraan kedua-dua rumah api kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia bila Persekutuan Malaysia dibentuk pada tahun 1963.

Selama rumah api tu dah dibina, Indonesia dikatakan gagal membantah kuasa Malaysia menyelengaranya. Aktiviti perikanan yang dilakukan oleh orang Indonesia di kawasan itu juga gagal menggambarkan ia adalah aktiviti yang secara rasmi oleh pihak kerajaan.

Malah, adanya Ordinan Pemuliharaan Penyu 1917 juga menguatkan peranan tuntutan Malaysia. Sebabnya, sehingga tahun 1954 – didapati pegawai daerah Tawau masih lagi menggunakanan ordinan ini untuk bagi lesen kepada orang yang nak ambil telur penyu di Sipadan, Ligitan dan beberapa pulau lain.

Jadi, Malaysia nampaknya ada amalan pemerintahan sebenar di Sipadan dan Ligitan. Maka, ICJ buat keputusan yang Sipadan dan Ligitan adalah MILIK MALAYSIA pada 17 Disember 2002.

“Presiden ICJ, Hakim Gilbert Guillaume yang membacakan keputusan mahkamah tersebut mendapati Malaysia mempunyai hak kedaulatan ke atas kedua-dua pulau tersebut berdasarkan kepada bukti ia menjalankan pentadbiran berkesan (effectiveness) ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan.” – Dipetik dari Arkib Negara.

Imej dari instun.gov

Kini, Sipadan dah diwartakan sebagai kawasan dilindungi Taman Negeri di bawah Enakmen Taman-Taman 1984. Perlindungan tu bukan terhad dalam kawasan pulau saja, tapi juga di kawasan perairan dan terumbu karang di sekeliling pulau tersebut. Apa yang pasti, kedua-dua pulau ini masih diselia oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu di bawah kuasa persekutuan.

Tapi, seperti yang diceritakan di awal tadi, kerajaan Persekutuan dah bersetuju untuk serahkan kuasa urus tadbir berkaitan pelancongan dua pulau ni kepada kerajaan negeri Sabah. Berkenaan dengan keselamatan, ia masih lagi diperhalusi.

Dengan keindahan alamnya, Sipadan menjadi antara destinasi scuba diving terbaik di dunia. Imej dari heyraahi.com

Walaupun begitu, kita tak boleh selesa sangat dengan kemenangan di Sipadan dan Ligitan ni. Sebabnya…

Ada banyak lagi tuntutan bertindih membabitkan Malaysia

Pertikaian Ambalat di Laut Sulawesi. Imej dari GeoMedia.

Kalau di Laut Sulawesi kita dah dapat Sipadan dan Ligitan, sebenarnya ada satu lagi pertikaian di sana yang sampai sekarang masih lagi belum selesai. Ia adalah pasal tuntutan bertindih – Ambalat atau “Ambang Batasan Laut”.

Ambalat ni sebenarnya bukannya pulau, tapi ia adalah sebuah blok minyak di pelantar benua yang berada perairan Laut Sulawesi. Blok ni dipertikaikan sebab sumber kekayaan mineralnya.

“Kemewahan sumber gas asli dan petroleum atau digelarkan sebagai ’emas hitam’ yang tertanam di dasar blok minyak berkenaan dianggarkan sejumlah 40 million dollar US.

Blok minyak berkenaan juga berpotensi untuk menghasilkan sejumlah 764 juta tong dan 1.4 trillion kaki gas per kubik.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Dengan kekalahan Indonesia dalam kes Sipadan dan Ligitan, dah pasti negara tu akan sedaya upaya mempertahankan kedaulatan Ambalat. Bagi Malaysia pula, dengan kemenangan terhadap Sipadan dan Ligitan – ia sedikit sebanyak memberikan kekuatan kepada negara dalam menuntut hak Ambalat. Sehingga ke hari ini, pertikaian Ambalat masih berlaku dan kedua-dua pihak masih lagi dalam proses rundingan.

Protes rakyat Indonesia dalam isu Ambalat. Imej dari ardy07.blogspot

Bila kita dengar kes-kes yang macam ni, dapatlah kita faham kenapa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selalu buat rondaan dan kawalan di wilayah-wilayah bertindih. Sebagai contoh, sehingga ke hari ni – Malaysia mentadbir Pulau Layang-Layang dan beberapa lagi terumbu di perairan sensitif Laut China Selatan.

Tuntutan bertindih di Laut China Selatan ni lagi rumit, sebab membabitkan lebih dari dua negara iaitu – Vietnam, Filipina, Taiwan, China dan termasuklah Malaysia. Seperti mana yang kita tahu, hal ni bertambah mencabar lagi bila mana kita kena berdepan dengan kuasa baru – China.

Jadinya, ada pakar yang kata – negara-negara ASEAN kena selesaikan pertikaian antara mereka dulu sebelum nak berdepan dengan China. Kalau sesama ASEAN pun masih belum selesai, boleh ke kita berdepan dengan China kan?

Tapi persoalannnya sekarang, mampu ke negara-negara ASEAN selesaikan isu ini atau nak terus berebut wilayah?

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.