- 186Share sekarang!
- Email0
- Facebook186
- Share
Selepas 23 tahun bersiaran, Didik TV telah menggantikan NTV7 menjelang 17 Februari 2021. Pada satu masa dulu, NTV7 selalu menjadi siaran yang selalu ditonton kanak-kanak dan suri rumah tangga yang tidak mempunyai siaran seperti Astro.
Bagaimanapun NTV7 sudah pun perlahan-lahan dilupakan dan mendapat kurang tontonan selepas munculnya saluran hiburan lain seperti Netflix, Amazon Prime Video, Hulu TV dan banyak lagi. Kemudian mula digantikan dengan tayangan CJ WOW Shop dari pagi hingga malam. Mestilah, itu kan cara perniagaan. Tapi macam mana pun kenangan pertama mula menonton kartun dari Jepun semuanya bermula dengan saluran tersebut.
Dengan pengakhiran NTV7 di kaca televisyen, maka berakhir jugalah satu zaman manis bagi mereka yang membesar dengan menonton rancangan kartun seperti Digimon, Dinosaur King, Dragon Ball Z Kai, Doraemon… dan rupanya, banyak kartun Jepun bermula dengan ‘D’ kan?
NTV7 yang berjaya mendapatkan lesen tayangan Shin Chan, dengan kawalan ketat
Tetapi dalam banyak-banyak D itu yang paling tidak boleh dilupakan dan antara kesukaan orang ramai adalah siri Dik Cerdas! Crayon Shin-Chan. Tanya sesiapa sahaja di Malaysia ini pasti mereka kenal murid tadika yang nakal dan lucu ini. Sempena pengakhiran stesen yang menayangkan hiburan terunggul zaman kanak-kanak 1980-an, 1990-an dan juga mereka yang sempat sekitar awal tahun 2000, mari kita imbas semula kisah budak yang jatuhkan seluar sendiri, Nohara Shinnosuke, atau lebih dikenali sebagai Shin Chan!
Shin-Chan mula tiba ke Malaysia dalam bentuk komik (manga) oleh Action Comic selama beberapa tahun seawal 1998 dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Cina yang diterjemahkan kepada Dik Cerdas. Sebelum itu, Shin-Chan diterbitkan secara mingguan dalam majalah Weekly Manga Action (WEEKLY 週間アクション) oleh Futabasha Publisher.
Selepas mendapat sambutan dari komiknya, beberapa stesen televisyen cuba mendapatkan lesen untuk menayangkan versi anime. NTV7 akhirnya berjaya mendapatkan lesen dengan tajaan Faber Castell melalui kawalan yang ketat untuk mengekalkan hak milik cipta bersama stesen siaran asalnya, TV Asashi.
Tetapi kalau dah masuk Malaysia pastilah kena ikut undang-undang sini kan. Banyak babak perlu ditapis untuk mengeluarkan unsur lucah. Sebagai contoh, scene di mana Shin-Chan penah menunjukkan ‘belalai gajahnya’ dipotong dan terus ke babak seterusnya. Banyak juga dialog dipotong ketika diterjemahkan, terutama yang mempunyai kata-kata kesat. Jadi apa yang kita tengok tu sebenarnya sudahpun ditapis ketika penterjemahan dilakukan.
Kartun je pun, tapi ada episod yang lebih sedih dari drama jam 7?
Pasti ramai ingatkan kartun animasi Shin Chan ini hanya lucu semata. Lagipun ia menceritakan kisah sebuah kanak-kanak tadika. Buat apa nak serius, kan?
Yoshito Usui, pencipta manga Shin Chan ni menyelitkan kisah konflik, drama dan trauma tentang realiti kehidupan dalam watak-watak penyokong sepanjang kisah siri ini dengan menjadikan Shin-Chan dan rakan-rakan sebagai pembantu gerak cerita.
Sebagai contoh, Volume 45-46: Cikgu Matsuzaka bertengkar dengan kekasihnya Dr Tokuro yang membawa kepada pergaduhan. Disebabkan umur semakin lanjut, keluarga Cikgu Matsuzaka perkahwinan dirancang bersama Robonggi, seorang usahawan yang mempunyai kilang coklatnya sendiri. Selepas melalui pelbagai masalah dan salah faham, Shin Chan dan rakan-rakan bantu Dr Tokuro menghentikan perkahwinan itu, membolehkan Dr Tokuro melarikan diri bersama Cikgu Matsuzaka. Dr Tokuro berjanji untuk berkahwin dengan Cikgu Matsuzaka selepas dia pulang dari Afrika.
Bagaimanapun kisah bahagia itu bersambung semula dengan permulaan tragis. Volume 47, Perselisihan Faham Antara Cikgu Matsuzaka & DR Tokuro Akhirnya Selesai. (spoiler alert) Dr Tokuro terkorban dalam letupan oleh kumpulan anti kerajaan ketika di lobi hotelnya. Berita ini tidak diterima baik oleh Cikgu Matsuzaka dan mula minum arak dengan banyak dengan niat supaya dia juga mati bersama. Tidak lama kemudian Cikgu Matsuzaka di latih oleh seorang peninju, Miki untuk bertarung dengan peninju perempuan, Akina dengan niat untuk mati dalam pertarungan itu.
Tapi, ini hanyalah beberapa kisah sedih daripada berpuluh kisah menyentuh hati dalam siri Shin Chan ini. Siapa kata cerita kanak-kanak hanya untuk budak saja?
Selain tu juga kalau korang nak tahu, Shin Chan ni sebenarnya… ada kembar dari zaman lain?
Darakuya Store Monogatari, siri komik yang lahir sebelumnya
Jadi sebelum adanya Crayon Shin-Chan, Yoshito mencipta satu siri bertajuk Darakuya Store Monogatari. Sebuah kisah yang hampir sama dengan Shin-Chan tetapi mengambil tempat pada Zaman Bakumatsu Jepun. Berkisah tentang gelagat lucu pemilik dan pelanggan sebuah kedai serbaneka di pusat bandar Jepun.
Lakaran dan ketipan dari manga sebenar Dakaruya Store Monogatari
Manga Dakuraya Store Monogatori merupakan debut awal pada Crayon Shin-Chan apabila seorang editor mencadangkan kepada Yoshito untuk mengambil watak Shinnosuke Nikaido yang membesar dalam keadaan yang agak tragis.
Berlainan dengan Shin Chan yang ceria, Shinnosuke Nikaido dipakaikan baju budak perempuan dan dipaksa bersekolah di sekolah asrama. Dalam masa yang sama, dia dipaksa bekerja keras. Walaupun begitu, Nikaido akhirnya berjaya melarikan diri, dan dijadikan anak angkat oleh pondan. Mereka juga bekerja bersama, di mana Nikaido menari di kelab malam, restoran, dan juga pencuci di sebuah kedai.
Nasib malangnya juga berubah apabila Nikaido dipilih untuk menyertai pasukan tentera, walaupun pernah dijadikan tahanan penjara. Selepas dia dilepaskan, Nikaido kemudiannya membuka sebuah kedai, yang dinamakan Darakuya Store.Bagaimanapun, kisah Darakuya Store Monogatari tidak punyai pengakhiran yang rasmi mahupun jilid yang banyak.
Yoshito kemudian menghentikan siri itu pada peringkat awal, dan mereka semula watak dan mengambil latar lebih moden, dan muncullah cerita kegemaran orang ramai, Crayon Shin-Chan. Selain dari peminat kipas susah mati di Jepun, tidak ramai tahu mengenai cerita tentang kedai runcit itu.
Penerusan legasi Shin-Chan dengan New! Crayon Shin-Chan hingga ke layar perak selepas pemergian Usui
Mengikut perancangan asal, Penerbitan Futabasha bercadang untuk membuat pengakhiran pada siri ini menjelang November 2009. Tetapi, sebuah manuskrip belum siap dijumpai di rumah Usui, membuatkan mereka melanjutkan siri itu ke finale pada Mac 2010.
Hasil jualan komik itu dan penyiaran anime dapat sambutan dan hasil pulangan berlipat kali ganda. Penerbitan Futabasha kemudiannya memberikan royalti pada ahli keluarga Usui sebagai tanda hormat, bantuan dan takziah.
Kalau korang nak tahu, terdapat sebanyak 50 siri original Shin Chan hasil karya Usui dan lebih dari 6 versi spin-off hasil pelbagai syarikat seperti ComicsOne, Futabasha dan Crunchyroll di luar sana.
Untuk movie pula kisah animasi Shin Chan ni mempunyai sebanyak 28 filem yang dikeluarkan semasa artikel ini ditulis. Bermula pada 24 Julai 1993, kisah pawagam pertama Shin Chan keluarkan dan masih berlangsung sehingga kini. Paling terbaru adalah menjelang 23 April 2021 ‘Crayon Shin-chan: Shrouded in Mystery! The Flowers of Tenkazu Academy’.Tapi kalau korang tak sabar dan nak mengetahui ‘pengakhiran’ Shin-Chan, korang boleh klik di sini.
Macam kisah Shin Chan ni, segala yang bermula mesti ada pengakhirannya juga. Nampaknya saluran kegemaran kita semasa kita membesar, NTV7 juga nampaknya akan berakhir tak lama lagi dan digantikan dengan program pendidikan.
Selamat datang DidikTV dan terima kasih, NTV7!
Tak boleh dinafikan, NTV7 juga merupakan jambatan yang menghubungkan kita semua untuk minat pada animasi Jepun, termasuklah animasi Shin Chan dan Doraemon. Sedar tak sedar, cerita-cerita ini jugalah yang bukan saja menghiburkan, tapi juga membentuk imaginasi kita supaya lebih kreatif dan kritis jika ia dipandang dari sudut positif.
Dan dengan berakhirnya saluran NTV7 yang akan digantikan dengan DIDIK TV sepenuhnya, ia juga sebenarnya adalah satu usaha positif untuk memastikan pelajar tak ketinggalan dalam pelajaran mereka terutama sekali dalam pandemik ini.
Jadi, terima kasih NTV7 untuk kenangan manis membesar bersama!
- 186Share sekarang!
- Email0
- Facebook186
- Share