Jenayah & Undang-undang

Mahkamah rayuan pernah tolak keputusan inkues Beng Hock. Apa dia inkues ni?

Perkataan inkues nampaknya menjadi sebutan masyarakat dan media sejak kebelakangan ni apabila – inkues yang dijalankan oleh mahkamah koroner memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah.

Tapi dalam masa sama, tak dapat dinafikan juga yang masyarakat agak kurang faham dengan istilah inkues dan mahkamah koroner ni. Jadinya, SOSCILI kali ni nak bincanglah sikit pasal fungsi inkues dan mahkamah koroner ni. Sebabnya, banyak juga kes berprofil tinggi dan kontroversi yang pernah melingkari inkues ni.

Prosiding inkues adalah untuk tentukan punca kematian

Imej dari KDN.

Di bawah undang-undang Malaysia, hal berkaitan inkues kematian ni terkandung dalam bab XXXII Kanun Acara Jenayah (KAJ). Dengan kata lain, inkues kematian adalah proses menyiasat yang dikendalikan oleh mahkamah koroner untuk mengenal pasti sebab dan punca kematian si mati.

Walaupun prosiding ni dijalankan di mahkamah koroner, prosedurnya lain dengan mahkamah biasa. Sebabnya, dalam prosiding inkues ni, tak ada ‘tertuduh’, tapi yang ada cuma saksi-saksi. Mereka ni kemudiannya akan disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya dan peguam-peguam yang mewakili pihak berkepentingan.

Walaupun macam tu, tak semua kes kematian kena ada inkues, ia cuma dilakukan untuk kes tertentu je, yang memerlukan maklumat tentang punca sebenar kematian si mati. Antara situasi yang selalunya memerlukan inkues adalah:

  1. Seseorang yang membunuh diri.
  2. Seseorang telah dibunuh oleh orang lain/dibunuh oleh binatang/mesin jentera/disebabkan kecuaian.
  3. Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan yang menimbulkan syak wasangka.
  4. Kematian semasa dalam tahanan polis, hospital atau penjara.
  5. Kematian secara mengejut.

Sebelum ini inkues juga dijalankan untuk kes seorang pelajar Tingakatan 2 yang membunuh diri. Imej dari Kosmo.

Berbeza dengan beberapa negara luar, yang akan melantik pegawai perubatan sebagai koroner dalam prosiding inkues. Di Malaysia, prosiding inkues kematian dikendalikan oleh majistret atau hakim yang bertindak sebagai koroner.

Jadinya, dalam prosiding inkues ni, koroner kena tentukan perkara-perkara berikut:

  1. Siapa si mati?
  2. Bagaimana si mati menemui ajalnya?
  3. Bilakah si mati menemui ajal?
  4. Apakah punca kematian si mati?
  5. Adakah punca kematian si mati akibat perbuatan atau kecuaian mana-mana pihak?

“Dengan kata lain, koroner perlu memutuskan sama ada wujud unsur jenayah dalam kes kematian tersebut… Undang-undang telah meletakkan batasan pada bidang kuasa koroner, iaitu tidak berhak menzahirkan secara spesifik tanggungjawab jenayah mana-mana individu dalam kes kematian tersebut.” – Dipetik dari Jurnal Kanun.

Pihak berkepentingan ada hak untuk kemukakan soalan kepada saksi

Peguam, Syazlin Mansor yang mewakili KPKT, Bomba dan keluarga arwah Muhammad Adib sebelum ini menarik diri dari prosiding inkues, tetapi kemudiannya kembali semula. Imej dari Metro.

Walaupun mereka berhak, ia hanya boleh dibuat kalau dapat kebenaran daripada mahkamah terlebih dulu. Maknanya, koronerlah yang akan memutuskan sama ada pihak yang nak kemukakan soalan tu adalah ‘pihak berkepentingan’ atau tak.

Tapi melalui undang-undang, pihak-pihak yang dibenarkan kemukakan soalan kepada saksi adalah:

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!
  1. Ibu bapa, anak, pasangan dan mana-mana wakil si mati.
  2. Mana-mana individu, atas perbuatan atau kecuaiannya sendiri, ejen atau pekerja yang, pada pendapat mahkamah, menyebabkan atau menyumbang kepada kematian si mati.
  3. Mana-mana inspektor atau wakil pihak berkuasa atau mana-mana individu yang dilantik oleh badan kerajaan untuk menghadiri perbicaraan inkues.
  4. Mana-mana individu yang pada pendapat koroner merupakan pihak berkepentingan.

Bila proses ni selesai, mahkamah koroner akan buat keputusan tentang punca kematian itu. Antara keputusan biasa yang akan diberikan adalah:

  • Nahas
  • Kematian biasa
  • Bunuh diri
  • Khianat
  • Kematian akibat perbuatan orang lain
  • Keputusan terbuka (mahkamah tak dapat putuskan punca kematian).

Bagaimanapun, cabarannya masih ada bila inkues ni mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. Sebabnya, ia terdedah dengan pelbagai khabar angin dan sebagainya.

3 kes kontroversi yang pernah dikendalikan inkues

Seperti mana yang dikatakan tadi, beban yang dipikul oleh pihak berkuasa bertambah lagi bila mereka mengendalikan kes-kes berprofil tinggi. Dan di Malaysia, antara inkues kes berprofil tinggi yang pernah dijalankan adalah:

1. Kes kematian Teoh Beng Hock

Ahli keluarga menghadiri upacara keagamaan kematian Teoh Beng Hock. Imej dari Utusan.

Pada 16 Julai 2009, pegawai khas kepada Exco Selangor – Teoh Beng Hock dah ditemui mati di tingkat 5 bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan itu.

Akibatnya, kerajaan bersetuju mengadakan inkues bagi menyiasat punca kematiannya yang bermula pada 29 Julai 2009. Dalam inkues itu, 77 orang saksi, termasuk 28 pegawai SPRM, ahli kimia, ahli patologi dan beberapa rakan rapat mendiang dah diambil keterangan.

Dalam masa sama, keluarga mendiang ada kemukakan permohonan kepada Mahkamah Majistret untuk membenarkan mayatnya dikeluarkan dari perkuburan untuk pemeriksaan bedah siasat kedua. Akhirnya, mahkamah koroner mengumumkan keputusan terbuka iaitu tidak dapat memutuskan punca kematian mendiang.

2. Kes kematian Ahmad Sarbaini

Imej dari ladyinthehome.com

Pada 6 April 2011, bekas Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed telah ditemui mati di gelanggang badminton tingkat 1 pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur. Dilaporkan, sebelum itu Sarbaini secara sukarela bertemu dengan pegawai penyiasat SPRM berhubung dengan siasatan kes rasuah membabitkan 62 pegawai Kastam.

Akibat dari kematiannya itu, inkues telah diadakan bagi menyiasat punca sebenar kematiannya. Akhirnya, pada 26 September 2012, mahkamah koroner memutuskan kematian Sarbaini tidak membabitkan unsur bunuh diri, homisid ataupun penglibatan pihak ketiga.

Ini kerana, kecederaaan arwah lebih membuktikan bahawa beliau terjatuh dari tingkat 3 bangunan SPRM tanpa disengajakan dan kematiannya itu disebabkan nahas. Teori yang mengaitkan pihak SPRM terlibat dengan kematian Sarbaini juga ditolak oleh mahkamah.

“Tidak ada tanda-tanda pergelutan pada kejadian itu dan mahkamah juga menolak bahawa dia membunuh diri.” – Koroner inkues. Dipetik dari Malaysiakini.

3.Kes kematian Baharudin Ahmad

Orang ramai ketika di majlis pengkebumian arwah. Imej dari Malaysiakini.

Pada 9 Julai 2011, ketika berlangsungnya Perhimpunan Bersih 2.0, salah seorang peserta perhimpunan itu – Baharudin Ahmad telah meninggal dunia. Dilaporkan, Baharudin bersama rakan dan keluarganya berkumpul di KLCC, terjatuh dan pengsan apabila disembur gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan.

Beliau seterusnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan meninggal dunia kemudiannya. Bagi mencari punca kematian, maka inkues telah pun dijalankan. Akhirnya mahkamah koroner memutuskan kematian Baharudin adalah akibat sebab-sebab semula jadi.

Ini kerana, tiada keterangan yang menunjukkan berlaku kekerasan atau kecuaian dari mana-mana pihak yang menyumbang kepada kematian Baharudin.

4. Kes kematian Mohamad Thaqif

Pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi. Imej dari Selangorkini.

Kes ini juga pernah mencetuskan kontroversi dan pelbagai khabar angin. Semuanya bermula apabila seorang pelajar tahfiz Mohamad Thaqif telah meninggal dunia pada 26 April 2017. Kematian arwah kemudiannya dikaitkan dengan kes dera oleh seorang pembantu warden pusat tahfiz berkenaan.

Untuk nak kenal pasti punca kematian arwah, maka inkues pun dijalankan. Bagaimanapun, nampaknya keputusan inkues menolak kematian Thaqif disebabkan atas unsur-unsur jenayah. Sebaliknya, memutuskan kematian kanak-kanak berusia 11 tahun itu disebabkan komplikasi yang berkaitan kencing tikus atau leptospirosis.

“Saya berpuas hati bahawa kematian Mohamad Thaqif adalah disebabkan komplikasi berkait dengan kencing tikus dan tiada sesiapa bertanggungan secara jenayah sama ada dengan perbuatan atau peninggalan terhadap kematian beliau.” – Koroner Jailani Abd Rahman, dipetik dari Metro.

Tapi, keputusan inkues juga kadang kala ditolak

Imej dari Astro Awani.

Seperti mana kes melibatkan kematian Teoh Beng Hock, selepas inkues – Suruhanjaya Diraja pula ditubuhkan untuk menyiasat punca kematian dan sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh.

Berbeza dengan keputusan mahkamah koroner, Suruhanjaya Diraja memutuskan – Teoh membunuh diri. Tindakan bunuh diri itu dikatakan diambil akibat soal-siasat yang agresif dan berterusan oleh pegawai SPRM.

Tiga tahun lepas tu, Mahkamah Rayuan pula menolak keputusan koroner dalam inkues. Malah, Mahkamah Rayuan juga kata – punca kematian Teoh disebabkan oleh seorang atau lebih dari seorang dan mendesak polis menjalankan siasatan semula.

Kini selepas lebih 10 tahun, nampaknya misteri masih lagi melingkari kematian mendiang. Kabinet juga dah bersetuju untuk membuka semula siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Imej dari mStar.

Walaupun begitu, tak dapat dinafikan peranan inkues cukup penting dalam mencari punca kematian. Ini kerana, sebarang kelewatan dalam menyiapkan fail siasatan kematian dan juga menjalankan prosiding inkues kematian boleh menimbulkan pelbagai andaian negatif dan spekulasi. Ia bukan sahaja tentang punca kematian si mati, tetapi juga berkaitan dengan ketelusan dan integriti pihak yang menjalankan tugas.

Dan seperti mana yang kita tahu, mahkamah koroner telah pun membuat keputusan untuk kes allahyarham Adib. Kini pihak polis akan meneruskan siasatan yang lebih terperinci untuk mengenal pasti siapa yang terlibat. Dan apa yang lebih penting, kita semua mahukan kebenaran dan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend