- 931Share sekarang!
- Email13
- Facebook918
- Share
“eiii minat kpop, dahlah diorang tak sunat”
“minat plastik buat apa?”
Ni antara ungkapan yang biasa dilihat dari haters Malaysia terhadap selebriti Korea Selatan terutamanya dalam kalangan kaum lelaki. Bagi yang meminati hiburan dari Korea Selatan ni mesti dah biasa terjumpa dengan komen-komen macam ni.
Tak dapat dipastikan pula sebab mereka ni benci sangat dengan orang Korea ni. Mungkin sebab stereotaip seperti pembedahan plastik ataupun sekadar mengikut trend budaya kecam-mengecam ni.
Tapi, yang peliknya macam mana diorang ni tahu lelaki di Korea ni tak sunat?
Peratusan lelaki Korea berkhatan lagi tinggi berbanding Malaysia
Segelintir lelaki mungkin cemburu agaknya sebab ramai wanita zaman sekarang lebih meminati lelaki Korea sampaikan mengecam mereka ni dengan perkara yang entah betul entah tidak.
Mana taknya, hiburan Kpop dan Kdrama dah menjadi satu fenomena seluruh dunia dengan penampilan artis macam Blackpink, Day6, Park Shin Hye dan rancangan aneka ragam Runningman yang semakin hari semakin popular.
Untuk pengetahuan korang, lelaki di Korea Selatan ada juga yang berkhatan sama macam di Malaysia ni. Satu kajian pada tahun 2016 menunjukkan yang majoriti lelaki di Korea Selatan sebenarnya dah bersunat.
Yang mengejutkan lagi, peratusan lelaki yang berkhatan di Korea Selatan adalah lagi tinggi berbanding negara kita.
Selain tu, antara negara yang paling tinggi peratusan lelaki dah berkhatan ialah negara yang majoritinya beragama Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Jordan dengan lebih 99% lelaki di sana dah berkhatan.
Negara Korea Utara dan Iceland pula antara negara dengan peratusan terendah, tak sampai 1% pun lelaki di sana berkhatan.
Seorang YouTuber warga Korea Selatan dan popular di Indonesia, Bandung Oppa dengan segannya menjawab soalan dari followers Instagram. Dia bagitahu yang dalam kalangan kawan-kawannya, sebahagian besar daripada mereka dah pun berkhatan.
Dia juga tak pasti dengan zaman sekarang tapi kebanyakkan lelaki segenerasi dengannya dah pun bersunat sejak sekolah rendah.
Seorang lagi YouTuber yang popular di Indonesia, Akang Daniel berbincang mengenai budaya khatan dalam kalangan lelaki Korea Selatan bersama tiga orang lagi kawannya. Tiga daripada mereka sendiri mengakui yang mereka dah pun berkhatan sejak kecil lagi.
Perkara yang sama juga dikatakan oleh pasangan YouTuber Indonesia-Korea ni, Haebak Couple, si suami mengatakan yang hampir semua kanak-kanak lelaki pada zamannya dikhatankan sejak kecil lagi. Yang kelakarnya, dia sendiri tak diberitahu oleh ayahnya yang dia akan disunat.
Macam di negara kita ni, kebanyakkannya lelaki berkhataan atas tuntutan agama Islam. Selain Korea Muslim, apa pula sebabnya lelaki di Korea Selatan ni berkhatan eh?
‘Dipancing’ ibu bapa untuk bersunat semasa kecil
Rata-rata di Malaysia yang mengikut Mazhab Shafie berkhatan atas kepatuhan agama Islam yang mewajibkan lelaki untuk dikhatankan. Tapi, mereka yang bukan Islam di Malaysia pun ada juga yang berkhatan.
Kalau korang nak tahu, lebih kurang satu pertiga lelaki di seluruh dunia dah berkhatan. Khatan ni secara umumnya merupakan kebiasaan dalam kalangan orang yang beragama Islam dan Yahudi kerana ia merupakan sebahagian daripada tuntutan agama masing-masing.
Islam amat menitik berat terhadap kebersihan. Sabda Rasulullah SAW:
“Fitrah (kesucian) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai.” – Riwayat al-Bukhari, petikan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Prosedur ni juga sebenarnya biasa di Amerika Syarikat, Afrika dan sebahagian negara Asia Tenggara manakala jarang pula berlaku di Eropah, Amerika Latin dan sebahagian besar Asia.
Kalau menurut kenyataan semua YouTuber tadi, mereka mengatakan yang lelaki di Korea Selatan ramai yang berkhatan sebab lebih mudah untuk menjaga kebersihan alat sulit.
Saluran YouTube, Awesome World pun ada membincangkan pasal budaya khatan dalam kalangan lelaki Korea Selatan bersama dua orang jejaka yang mengakui mereka dah pun bersunat.
Berbeza dengan negara kita, kanak-kanak di Malaysia ni dah pun tahu yang mereka akan disunatkan selalunya pada cuti sekolah hujung tahun. Tapi, kanak-kanak di Korea selalunya dibohongi ibu bapa mereka kononnya mengajak makan yang sedap-sedap.
Selain faktor mudah menjaga kebersihan alat sulit, berkhatan ni sebenarnya ada banyak lagi manfaat lain terutama mengurangkan risiko penyakit kelamin.
Berkhatan mampu mengurangkan risiko jangkitan HIV
Untung bagi mereka yang dah bersunat ni. Banyak manfaat yang boleh dapat dari berkhatan ni. Antaranya kelebihan berkhatan ni adalah mengurangkan risiko penyebaran virus HIV.
Kajian dah membuktikan yang berkhatan ni ada kaitan yang kuat dengan pengurangan risiko jangkitan HIV yang boleh menjadi punca kepada penyakit AIDS. Selepas beberapa tempoh dikhatankan, zakar mampu menghasilkan sistem imunisasi terhadap jangkitan HIV walaupun bukanlah sepenuhnya.
Selain tu, zakar yang dikhatankan mampu menghalang lelaki daripada terkena jangkitan saluran kencing. Beberapa kajian dah dilakukan terhadap kanak-kanak dan perlindungan dari risiko jangkitan saluran kencing walaupun serendah 1% je.
Kajian pada 2012 mendapati kanak-kanak yang dikhatankan ada risiko lebih rendah dari mendapat jangkitan pada saluran kencing. Bukan tu je, mereka ni juga terlindung daripada terkena jangkitan buah pinggang. Penyelidik menggalakkan agar kanak-kanak disunat sebagai langkah pencegahan.
Yang lebih bagusnya, lelaki juga berkongsi manfaat berkhatan ni dengan pasangannya. Kajian menunjukkan yang lelaki berkhatan mampu mengurangkan risiko kanser serviks pada golongan wanita.
Bukan tu je, mereka ni juga boleh melindungi wanita dari jangkitan lain seperti herpes, dysplasia serviks, chlaymadia dan sifilis. Tak sangka power betul lelaki berkhatan ni.
Dalam kehebatan faedah bersunat ni, kita kena faham juga yang semua penyakit tu cuma dapat dikurangkan risikonya je, bukanlah melindungi secara total.
Kanak-kanak dirai sebelum berkhatan
Di Malaysia, berkhatan ni dah jadi budaya yang tak asing dah sebab setiap hujung tahun je mesti ada klinik dan hospital mula membuka slot tempahan berkhatan. Tambah meriah lagi, majlis perarakan kanak-kanak yang bakal disunat, kebiasaannya berlaku di kampung-kampung.
Tak sangka pula Korea Selatan pun dah menjadi kebiasaan untuk berkhatan walaupun tiada sebarang tuntutan dan hanya untuk menjaga kebersihan. Namun, katanya budaya berkhatan ni makin berkurang di sana.
Berkhatan selain tuntutan agama ni memang satu pilihan dan tiada sebarang paksaan. Jadi, bagi korang yang belum berkhatan tu bolehlah pertimbangkan untuk berkhatan ni sebab manfaat yang korang boleh dapat lagi banyak berbanding risiko yang selalunya sangat jarang berlaku.
- 931Share sekarang!
- Email13
- Facebook918
- Share