- 111Share sekarang!
- Email5
- Facebook106
- Share
Setiap hero pun ada catchphrase dia sendiri. Kalau Terminator ada “I’ll be back”, kalau Hang Tuah ada “Cis bedebah”, dan yang sewaktu dengannya.
…dan Anwar Ibrahim pulak, dia kata, “Kami ada nombor”.
Bukanlah nombor WhatsApp untuk PM tepi dan COD, tapi nombor yang diperlukan untuk dia jadi PM. Dah lama dah Anwar berusaha, tak pernah putus asa.
Jadi sementara kita menunggu pengumuman rasmi PM ke-10 ni, jom kita imbas kembali memori luka, suka-duka, pahit getir yang dilalui Anwar, juga dipanggil sebagai DSAI atau Pak Sheikh.
1998: Anwar ada nombor phone Tun M, tapi tiba-tiba bergaduh
Hanya 11 tahun setelah memasuki kancah politik Malaysia, Anwar telah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan pada tahun 1993. Waktu itu, dia dilihat sebagai anak murid Mahathir.
Adalah sekali dia merasa jadi PM, tapi sekejap je sebab masa tu Tun M ambil cuti dua bulan.
Masa ni semua orang ingat yang Anwar bakal jadi PM, tapi dia gagal menonjolkan bakatnya. Setelah beberapa siri perselisihan pendapat dengan Tun M mengenai Krisis Ekonomi Asia 1997/1998, Anwar dipecat daripada kerajaan dan dibuang daripada UMNO.
Anwar terus mengadakan demonstrasi di belakang panji-panji Reformasi, menyeru agar Tun M mengundurkan diri pada 20 September 1998.
Tak lama lepas tu, Anwar dikenakan dengan tuduhan liwat dan rasuah, sampai lebam mata apa semua, dan dipenjarakan selama 9 tahun.
Sabitan itu mengundang kritikan di seantero dunia seperti kerajaan Kanada, Australia, New Zealand dan sejumlah kuasa Eropah mengeluarkan kenyataan yang mengecam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
2008: Anwar ada nombor, tapi jalan belakang kena tutup
Oleh kerana Anwar tak boleh bertanding dalam PRU, isterinya Wan Azizah menjadi pengganti dalam mengetuai Pakatan Rakyat.
Walaupun hanya memenangi 82 daripada 222 kerusi, Anwar yakin mampu membentuk kerajaan persekutuan melalui ‘jalan belakang’. Menurutnya, ada Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan UMNO yang akan melompat ke Pakatan Rakyat, yang kemudiannya akan melaksanakan undi tidak percaya terhadap PM pada waktu itu, Abdullah Badawi.
Punyalah konfiden, dia tetapkan 16 September 2008 sebagai deadline untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat.
Dan… 16 September 2008 pun berlalu dengan angin sepoi-sepoi bahasa, takde apa-apa pun yang berlaku.
Kebetulan pulak hari yang sama, BN hantar 49 Ahli Parlimen mereka ke Taiwan untuk seminar agrikultur. Menurut Anwar, Ahli Parlimen ini semua tak dibenarkan balik sebelum 16 September untuk menghalang rancangannya membentuk kerajaan.
2013: Anwar ada nombor, tapi kena sailang dengan Najib
PRU-13 berlaku pada tahun 2013. Anwar Ibrahim telah berkempen keras di atas platform Reformasi sejak beberapa tahun kebelakangan sebagai pemimpin barisan pembangkang. Dia yakin dengan PRU kali ni selepas isu “tsunami politik” pada 2008.
“Saya akan cuba yang terbaik. Saya yakin kami akan menang. Tapi jika tidak, saya mengundur diri” – Anwar Ibrahim.
Tapi….tak menang juga. Dan tak undur, tak gostan.
Pakatan Rakyat memperoleh suara popular (51% berbanding BN 49%), tetapi BN berjaya mengekalkan kerusi yang mencukupi di Parlimen untuk membentuk kerajaan.
Anwar mengadakan sidang media sejurus keputusan diumumkan dan menuduh BN melakukan perkara kotor di belakang tabir, termasuk menggunakan pendatang sebagai pengundi proksi.
Sudah jatuh ditimpa tangga, dia terpaksa kembali ke penjara kali kedua pada tahun 2015 sewaktu pemerintahan Najib, kerana satu lagi tuduhan liwat pada tahun 2008.
Pengarah Asia Pasifik Amnesty International, Richard Bennett, mengecam pemenjaraan Anwar Ibrahim, menyebutnya “menindas” dan “menyedihkan”. Nasib baik bagi Anwar, dia tidak perlu menjalani seluruh hukuman tersebut kerana Agong memberikannya pengampunan diraja selepas tiga tahun kemudian.
2020 Part I: Ada nombor tapi kena sailang dengan Azmin dan Muhyiddin
Menjelang PRU-14 pada tahun 2018, reputasi Najib sangat merudum akibat skandal 1MDB dan pengenalan GST. Tun M yang membuat epic comeback untuk mengalahkan Najib telah menjadi ketua Pakatan Harapan yang terdiri daripada KEADILAN, DAP, BERSATU dan AMANAH.
Sebelum pilihan raya, Tun M berjanji akan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Anwar pada tahun 2020.
Bila 2020 tiba, tekanan semakin meningkat pada Tun M untuk menepati janji, dan kerusi PM nampaknya dalam genggaman Anwar… hinggalah berlakunya Langkah Sheraton yang diketuai Muhyiddin dan Azmin Ali, menyebabkan pemerintahan diberi kembali kepada gabungan BN, Bersatu, dan PAS.
Dah lah waktu tu kita tengah dilanda pandemik, dan tak lama lepas tu PKP, jadi sebarang usaha Anwar untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi tersebut tersekat.
Dan Mahathir pun tak sempai tunaikan janji… itupun kalau betul dia ada niat la kan.
2020 Part II: Ada nombor tapi tak tau dari celah mana
Pada September 2020, Anwar mengadakan sidang media bersama Wan Azizah dan Saifuddin Nasution, menyatakan yang dia mempunyai “majoriti kuat” untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baru.
“Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin jatuh” – Anwar Ibrahim, dipetik dari Astro Awani.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa dia mendengar bahawa ada Ahli Parlimen UMNO bersedia menyokong Anwar. Akan tetapi, Muhyiddin membantah dengan mengatakan bahawa dia adalah Perdana Menteri yang sah kecuali terbukti sebaliknya melalui proses perlembagaan.
Anwar menghadap Agong pada bulan Oktober, namun akhirnya kena rejek kerana dia tiada senarai ahli Dewan Rakyat yang diperlukan. Pada Julai 2022, Anwar terangkan bahawa dia sebenarnya memang ada senarai 120 orang Ahli Parlimen (termasuklah 12 daripada UMNO)… sehinggalah dia menyatakan yang dia enggan campur tangan dalam kes mahkamah Najib.
2021: Hampir ada nombor tapi kena sailang dengan Ismail Sabri
Pada Julai 2021, Muhyiddin (kini dikenali sebagai Mahiaddin) telah bertugas sebagai PM selama setahun, tapi mendapat tekanan ramai kerana cara dia menguruskan negara ketika pandemik, sampaikan Abah buat persidangan khas untuk meyakinkan semua bahawa dia masih mendapat sokongan parlimen.
Sehari lepas tu, Anwar mengumumkan yang dia ada nombor.
16 Ogos 2021, Abah akhirnya mengalah dan meletakkan jawatan sebagai PM. Waktu getir ini, calon PM adalah Anwar dan Ismail Sabri. Dan Pak Mail pun menang.
Penantian akhirnya berakhir pada hujung 2022
Selepas keputusan PRU-15 baru-baru ini, Anwar sekali lagi menyatakan yang dia ada nombor yang cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan. Presiden UMNO, Zahid Hamidi turut menyatakan sokongan terhadap cadangan kerajaan perpaduan BN-Harapan walaupun mendapat tentangan daripada ahli-ahli UMNO yang lain.
Antara perkara yang berbeza tahun ini adalah penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti yang melarang Ahli Parlimen yang telah dipilih rakyat untuk bertukar parti. Menurut Azalina Othman, prinsip ini turut terpakai kepada gabungan parti yang bertanding di bawah satu logo, dan sebarang keputusan haruslah dibuat secara ‘en bloc’ (gabungan).
Dan baru sahaja jam 5 petang, 24 November 2022, Anwar telah mengangkat sumpah di hadapan KDYMM Agong di Istana Negara.
Apa pun yang berlaku seterusnya, kita sebagai rakyat berhadap agar proses ini lebih telus kepada semua di masa hadapan, sambil menaruh kepercayaan kepada KDYMM Agong untuk mempertanggungjawabkan pemimpin-pemimpin dalam menegakkan sistem demokrasi di negara kita.
Artikel ini kali pertama diterbitkan pada 17 September 2021.
- 111Share sekarang!
- Email5
- Facebook106
- Share