Bekas Ahli Parlimen ini masih lagi jadi doktor walaupun ketika berusia 92 tahun

Pada 9 Ogos lepas, kita dikhabarkan DAP telah kehilangan salah seorang bekas pemimpinnya iaitu mendiang Kerk Kim Hock, yang pernah menjadi Setiausaha Agung DAP (1999 – 2004). Mendiang juga pernah jadi setiausaha politik kepada Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Daun, Melaka dari tahun 1986 sampai 1990.

Selepas tu, mendiang beralih ke Parlimen Pasir Pinji (sekarang Ipoh Timur) pada tahun 1990 dan sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1999. Tapi pada 2004, Kerk melepaskan jawatan dari parti akibat kekalahan teruk DAP. Pada tahun 2015 pula, Kerk disahkan menghidapi kanser rektum.

Imej dari Roketkini.

Kerk adalah antara ramai pemimpin DAP yang pernah mewarnai politik tanah air. Malah, Kerk juga pernah ditahan di dalam ISA ketika berlakunya Operasi Lalang 1987. Oleh itu, kali ini SOSCILI akan menceritakan kisah beberapa orang tokoh DAP yang pernah mewarnai politik tanah air. Antara tokoh-tokoh tersebut juga adalah terdiri daripada orang Melayu.

1. Dr Chen Man Hin – Dari PAP ke DAP

Sebelum ni masa dalam Konvensyen DAP tahun lepas, ada seorang lelaki yang pakai topi dan berdiri sebelah Dr Mahathir yang dipersoalkan siapa identitinya.

Sampai ada yang kata dia ni ‘komunis baru keluar hutan’. Imej dari tv14.my.

Sebenarnya, itulah Dr Chen Man Hin yang juga merupakan antara bapa pengasas DAP. Sejarah politik beliau bermula apabila beliau menyertai Parti Tindakan Rakyat (PETIR) atau lebih kenali sebagai People’s Action Party (PAP). Seperti mana yang kita tahu, PAP adalah parti pimpinan Lee Kuan Yew dan sebuah parti yang dominan di Singapura.

Bagaimanapun, perjuangannya terbantut apabila Singapura ditendang keluar dari Malaysia apabila berlakunya krisis di antara kedua-dua pihak. Oleh itu, Dr Chen dan rakan-rakannya seperti Devan Nair (satu-satunya Ahli Perlimen PAP yang menang di Semenanjung, Bangsar) dan Chan Kok Kit (tokoh DAP yang pernah menang Parlimen Sungai Besi) mula memikirkan satu wadah baru politik yang memperjuangkan Malaysian Malaysia.

Makanya, muncullah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kita kenal sampai hari ini. Tapi sebenarnya ada perkara yang agak menarik di sini. Ini kerana, mereka masa tu tak pilih untuk bersama Perikatan atau Barisan Sosialis.

“Beliau (Dr Chen Man Hin) menjelaskan bahawa mereka mahukan parti yang berfahaman ‘sosialisme demokratik’. Suatu fahaman yang menurutnya tidak dianuti oleh mana-mana parti politik ketika itu. Meski ketika itu ada Parti Buruh yang sangat aktif dengan programnya sendiri, beliau tidak memilih parti itu kerana didakwanya Parti Buruh dikawal komunis.” – Dipetik dari Roketkini.

C. V. Devan Nair seterusnya menjadi Presiden Singapura yang ketiga. Imej dari .istana.gov.sg

Selain itu, Dr Chen juga tegaskan yang DAP adalah parti anti-komunis. Ini kerana, katanya DAP tak percaya dengan perjuangan parti komunis dan DAP hanya memperjuangkan sosialisme demokratik, iaitu sosialisme yang tidak dipaksa ke atas rakyat. Apabila tertubuhnya DAP, Dr Chen dilantik sebagai Pengerusinya yang pertama.

Beliau mula bertanding dalam PRU 1969 di DUN Rahang, Negeri Sembilan dan menang. Selain itu, Dr Chen juga menang kat Parlimen Seremban Timor dalam pertandingan 3 penjuru. Bila Parlimen tu ditukar kepada Seremban pada PRU 1974, Dr Chen sekali lagi mempertahankan jawatannya.

“Namun PRU  1982 merupakan tamparan besar kepada DAP yang menghadapi cabaran daripada kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri baru yang membawa aura pentadbiran baru dengan pelbagai gimik, termasuk slogan Bersih, Cekap dan Amanah. Dr Chen yang hanya bertanding kerusi Parlimen Seremban tewas kepada Presiden MCA, Lee San Choon, dengan majoriti tipis 845 undi sahaja.” – Dipetik dari Roketkini.

Dr Chen Man Hin masa sedang berkempen dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1970-an. Imej dari meiwahism.blogspot

Bagaimanapun pada PRU 1986, Dr Chen menang balik kat Parlimen Seremban, tapi beliau gagal kekalkan kerusi tu pada PRU 1990 apabila kalah dengan majoriti 77 undi je. Seterusnya, beliau cuba nasib bertanding kat Parlimen Rasah dan DUN Temiang, tapi kedua-duanya juga gagal.

Kini, Dr Chen masih lagi ada peranan penting dalam DAP dengan jawatan sebagai Penasihat Seumur Hidup parti itu. Pada usia 92 tahun, Dr Chen masih lagi setia berada di kliniknya di Jalan Tuanku Munawir, Seremban. Orang ramai juga masih lagi datang ke ‘Gedung Perubatan Chen’ yang masih tertulis di depan kliniknya itu dalam tulisan jawi.

Pada usia lebih 90 tahun, Dr Chen masih setia di kliniknya. Imej dari Roketkini.

Kalau korang nak tahu, Dr Mahathir juga sebenarnya adalah bekas rakan sekuliah Dr Chen di Singapura. Sekarang Dr Mahathir dah buat parti baru dan mula berkerjasama dengan DAP.

“Usaha Mahathir untuk cuba bekerjasama dengan DAP dikhuatiri beliau sendiri, sambil menyifatkan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat itu sebagai sukar dikawal. ‘Tetapi Mahathir juga kawan’, katanya sekali lagi selepas berfikir seketika. Beliau menekankan keperluan untuk menghulurkan tangan kepada Mahathir dan bekerjasama dengan beliau untuk menjatuhkan regim yang zalim…” – Dipetik dari Roketkini.

2. P. Patto – Fasih berbahasa Melayu, Kantonis, Hokien dan Mandarin

Mungkin nama ni amat jarang didengar oleh rakyat Malaysia. Tetapi nama inilah yang pernah menjadi jaguh DAP suatu masa dulu. Diceritakan, orang tak kisah datang dari jauh untuk semata-mata dengar pidato P. Patto. Ini kerana, beliau bukan je fasih berbahasa Melayu tapi juga Inggeris, Kantonis, Hokien dan Mandarin. Beliau juga mendapat perhatian masyarakat khususnya para petani, nelayan dan guru.

Sejarah Patto bermula apabila beliau dilahirkan di Bagan Serai Perak, pada 10 Disember 1946 dan zaman kanak-kanaknya bukanlah mudah. Bapanya meninggal dunia ketika beliau berusia 10 tahun. Seterusnya, Patto dijaga oleh datuknya. Akhirnya, Patto berjaya dapat kerja yang dihormati masyarakat iaitu sebagai seorang guru.

Dari kiri: P.Patto dan Karpal Singh. Imej dari Straits Times.

Tapi nampaknya, kerjaya guru tak berapa sesuai dengan Patto. Oleh itu, beliau pilih untuk masuk politik dengan menyertai DAP pada tahun 1971. Beliau juga pernah jadi Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang. Pada PRU 1974, Patto bertanding di Parlimen Sungai Siput dan DUN Gopeng. Lawannya kat Sungai Siput, tak lain dan tak bukan adalah Samy Vellu (bekas Presiden MIC). Tapi nampaknya Patto kalah di Parlimen itu. Bagaimanapun, beliau masih menang dekat DUN Gopeng dalam pertandingan 5 penjuru!

Pada tahun 1982 pula, Patto bertanding di Parlimen Petaling, tapi tewas. Beberapa tahun lepas tu, pada Oktober 1987 Patto ditahan tanpa bicara di bawah ISA dalam Operasi Lalang. Hanya pada Januari 1989, beliau dibebaskan.

P.Patto ketika hendak ditahan di bawah ISA, dalam Operasi Lalang. Imej dari Malaysiakini.

Kemudiannya Patto sekali lagi menentang Samy Vellu di Parlimen Sungai Siput, tapi nampaknya usaha itu masih gagal. Akhirnya, dalam PRU 1995 beliau berjaya kembali menjadi Ahli Parlimen, apabila menang di Parlimen Bagan, Pulau Pinang.

“Itulah juga kali terakhir beliau berkhidmat untuk rakyat. Tidak sampai tiga bulan selepas menang kerusi Parlimen Bagan, beliau telah meninggal dunia kerana serangan jantung di Hospital Ipoh pada 12 Julai 1995.” – Tokoh Jatuh Bangun Veteran DAP, m/s 72.

Kini sebagai tanda penghormatan, kerajaan negeri Pulau Pinang ada menamakan sebatang jalan bersempena dengan nama mendiang. Kerjaya politik beliau juga diwarisi oleh anaknya, Kasthuriraani a/p Patto yang sekarang menjadi Ahli Parlimen Batu Kawan, Pulau Pinang.

Imej dari The Rocket.

3. Ahmad Nor – Dari pejuang hak rakyat, kemudiannya jadi Ahli Parlimen

Pada tahun 1980-an, nama Ahmad Nor adalah nama yang cukup sinonim dalam memperjuangkan nasib pekerja awam dan swasta. Ini kerana beliau adalah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dari tahun 1983 hingga 1986. Selain itu, beliau juga adalah tokoh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Ahmad Nor dilahirkan di Alor Star, Kedah pada tahun 1943. Beliau mula muncul sebagai suara pejuang hak pekerja ketika di era pentadbiran Dr Mahathir. Bagaimanapun, bila dia rasa perjuangannya tu masih lagi tak cukup, sebab dia tak dapat sampaikan suaranya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), maka Ahmad buat keputusan untuk masuk politik.

Allahyarham Ahmad Nor. Imej dari Roketkini.

Parti pertama yang disertai beliau adalah Socialist Democratic Party (SDP) yang juga parti serpihan DAP. Beliau juga bertanding atas tiket parti ni dalam PRU 1986. Tapi nampaknya usahanya itu gagal. Lim Kit Siang yang nampak prestasi Ahmad kemudiannya berjaya mengajak beliau masuk DAP lepas PRU 1986. Maka bermulalah kareer politik Ahmad dalam DAP.

“Pada Pilihanraya Umum 1990, beliau bertanding di kawasan Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang. Beliau menang setelah menewaskan orang kuat GERAKAN, Khor Gark Kim dengan majoriti 2,340 undi dalam persaingan satu lawan satu yang sengit.” – Tokoh Jatuh Bangun Veteran DAP, m/s 42.

Ahmad Nor dan Lim Kit Siang dalam satu majlis. Imej dari Roketkini.

Kemenangan Ahmad Nor itu mencatat sejarah sebagai Ahli Parlimen Melayu pertama dari DAP. Bagaimanapun, beliau tewas di Parlimen yang sama dalam PRU 1995. Akhirnya, pada 11 Februari 2003 Ahmad Nor meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur kerana kanser paru-paru. Kini seperti juga P. Patto, sebuah jalan di Pulau Pinang telah dinamakan bersempena dengan mana beliau.

“Ahmad Nor memberi wajah Melayu dalam DAP. Selain menjadi pemimpin tertinggi Melayu dalam parti, beliau juga pemimpin Melayu pertama dipilih sebagai Ahli Parlimen.” – Tokoh Jatuh Bangun Veteran DAP, m/s 45.

Imej dari amranahmadnor.blogspot

4. Ibrahim Singgeh – ADUN Melayu pertama dari DAP

Jika Allahyarham Ahmad Nor menjadi Ahli Parlimen Melayu pertama dari DAP, Ibrahim Singgeh pula adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu pertama dari DAP. Segalanya bermula apabila Ibrahim menang dalam PRU 1969 di DUN Tapah Road.

Bagaimanapun, selepas peristiwa 13 Mei dan apabila terbentuknya Barisan Nasional, DAP menghadapi cabaran yang getir dalam arena politik Tanah Air. Kerana itu, pada PRU 1974 Ibrahim kalah di dua buah kerusi iaitu di Parlimen Tanjung Malim dan DUN Chenderiang.

“Beliau mencuba lagi dalam PRU 1978 bagi DUN Tapah tetapi sekali lagi gagal. Pada masa itu usia beliau sudah mencecah 60 tahun. Percubaaan terakhirnya bertanding ialah dalam PRU 1982 bagi DUN Batang Padang yang turut gagal mencapai kemenangan. Selepas itu, beliau masih bergerak aktif dengan parti tetapi tidak lagi bertanding, khususnya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.” – Tokoh Jatuh Bangun Veteran DAP, m/s 81.

Allahyarham Ibrahim Singgeh. Imej dari Roketkini.

Menurut anak-anak beliau, Ibrahim Singgeh dah mempunyai sifat ‘seorang nasionalis’ sejak di zaman mudanya lagi. Masa berlakunya pendudukan Jepun, Ibrahim telah menyertai Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPJA). Beliau juga seterusnya menyertai Angkatan Pemuda Insaf (API) di bawah pimpinan nasionalis Ahmad Boestamam. Akibatnya, Ibrahim ditahan oleh penjajah British pada tahun 1948. Bila Ahmad Boestamam tubuhkan Parti Rakyat Malaya (PRM), Ibrahim masuk pula ke parti itu.

“Bersama PRM yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buruh untuk membentuk Front Sosialis selepas Merdeka, beliau berjuang atas dasar sosialisme dan nasionalisme, dan politik kaum.” – Roketkini.

Ibrahim Singgeh sedang memberikan ucapan. Imej dari Roketkini.

Tapi perjuangannya dengan PRM tamat apabila beliau meninggalkan parti itu pada pertengahan 1960-an. Selepas itu, barulah Ibrahim masuk ke dalam DAP. Masa tu, hebohlahlah orang kata yang ‘Ibrahim masuk parti Cina’. 

“Oleh kerana selepas PRU 1969 berlaku peristiwa 13 Mei, ada orang tuduh pembangkang yang cetuskan pergaduhan. Ayah senang saja jawab. Katanya takkanlah orang yang menang nak cari gaduh. Tentulah orang yang kalah buat hal. Ramai juga orang terima hujah dia.” – Rusmawaty , anak Ibrahim Singgeh. Dipetik dari Roketkini.

Akhirnya pada 31 Mei 2010, Ibrahim Singgeh menghembuskan nafasnya yang terakhir. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Sekolah Banir. Daripada semua anak-anaknya, nampaknya takde seorang pun yang mengikuti jejak langkah beliau dalam bidang politik. 

5. V. David – Suara berani golongan pekerja

Nama V. David mungkin telah dilupakan atau kurang dikenali oleh masyarakat hari ini. Tetapi insan ini pernah menjadi suara berani golongan pekerja sejak tahun 1950-an lagi. V. David dilahirkan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 26 Ogos 1932. Beliau diberikan kesempatan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Louisville, Amerika Syarikat pada tahun 1954.

Mendiang V. David. Imej dari Aliran.

Sekembalinya ke Tanah Air, David mula terlibat dalam kesatuan sekerja dengan menjadi salah seorang pengasas Kesatuan Sekerja Kilang Selangor (kemudiannya jadi Kesatuan Pekerja Kilang dan Am Kebangsaan, NUFGW). Tapi kesatuan ini diharamkan oleh kerajaan pada 1958. Disebabkan kelantangannya, beliau juga ditahan oleh pihak berkuasa.

Bidang politik V. David pula bermula apabila beliau menyertai Parti Buruh dan Barisan Sosialis. Beliau lepas tu berpindah pula ke Gerakan dan Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas), sebelum masuk DAP. Sepanjang kareer politiknya, beliau dah lima kali menjadi Ahli Parlimen. Antara kawasan parlimen tu adalah Bangsar, Dato Keramat, Damansara dan Puchong.

V. David dan Karpal Singh. Imej dari The Star.

“Semangat sosialisme demokratiknya berkobar sejak usia muda lagi…Serangan angin ahmar pertamanya yang dialami pada 1995 menyebabkan beliau tidak dapat bergerak aktif. Ia juga memaksa dirinya berundur diri daripada aktiviti politik dan kesatuan sekerja. Sewaktu sedang berubat serta berehat, satu lagi serangan angin ahmar berlaku pada 2002 yang menyebabkan beliau terlantar di katil.” – Tokoh Jatuh Bangun Veteran DAP, m/s 178.

Tiga tahun selepas itu, David meninggalkan kita buat selama-lamanya. Antara sumbangan beliau adalah apabila tertubuhnya Workers Institute of Technology (WIT) yang sekarang dikenali sebagai Kolej WIT, satu-satunya institut pengajian pekerja yang diterajui kesatuan sekerja. Selain itu, David juga pernah menjadi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Kini, adakah lebih ramai orang Melayu yang terbuka hati dengan DAP?

Mungkin antara faktor utama mengapa DAP seringkali dipandang serong atau dijauhi oleh orang Melayu adalah kerana parti ini dikaitkan dengan berlakunya peristiwa 13 Mei 1969. Selain itu, ramai juga yang melabel parti ini sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Bagaimanapun, dari tokoh-tokoh politik DAP yang kita kenal ini, nampaknya ada juga di kalangan orang Melayu yang menyertai, malah menjadi pemimpin parti ini.

Pada hari ini, antara tokoh Melayu yang menyertai DAP adalah pakar perlembagaan – Dr Aziz Bari, bekas Menteri Kabinet – Zahid Ibrahim dan Sasterawan Negara – A Samad Said. Malah, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir juga bersedia untuk berkerjasama dengan DAP.

Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said. Imej dari khalidsamad.com

Tentang orang Melayu masuk DAP ni, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar (Pengarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya) ada memberikan pendapatnya.

“Mereka yang barangkali menghasilkan satu cara menyelamatkan Melayu ialah juga dengan berada di kapal yang lain. Iaitu bergandingan dengan pihak-pihak yang lain sehingga suatu masa dahulu UMNO pun pernah nak bergabung dengan DAP.” – Prof Datuk Mohamad Abu Bakar. Dipetik dari Astro Awani.

Menurut beliau lagi, mungkin juga orang Melayu yang masuk DAP ni sebenarnya nak korek rahsia.

Cuba korek, mana tahu dapat intan permata. Imej dari Giphy.

“Mereka ini mungkin masuk untuk keluar. Masuk dari dalam, mengetahui dari dalam, mendapat rahsia dalam untuk keluar. Ini juga berlaku dalam politik… Dorongan sifat keterujaan sikap ‘multiculturalism’ yang kononnya diperjuangkan DAP, dilihat semakin menarik minat pelbagai kaum…Ini berlaku dalam generasi baru yang berasakan mereka tidak seharusnya ada unsur perkauman. Itu satu kemungkin tapi jumlah yang ada, kecil.” – Prof Datuk Mohamad Abu Bakar. Dipetik dari Astro Awani.

[Artikel ini banyak merujuk kepada buku:Tokoh Jatuh Bangun Veteran DAP, terbitan DAP Malaysia]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.