Politik Antarabangsa

Rusuhan Indonesia 1998: Dari krisis kewangan ke sentimen perkauman

(Sebelum tu, untuk korang yang minat cerita sejarah, subscribe la group Facebook kitorang, SALAM SEJARAH-TERA.)

Minggu lepas, kita dikejutkan dengan rusuhan yang berlaku di Jakarta sehingga melibatkan sebanyak 6 kematian, 200 cedera dan seramai lebih 300 perusuh ditahan. Dari Jakarta, rusuhan ni nampaknya dah merebak ke Kalimantan, menyebabkan seramai lebih 50,000 polis dan tentera ditempatkan di beberapa kawasan yang terlibat.

Rusuhan Mei 2019. Imej dari Harian Metro

Menurut penganalisis politik Prof Dr Mohammad Agus Yusoff, rusuhan pasca-PRU Indonesia ni sebenarnya ada kaitan dengan bantahan terhadap keputusan pilihan raya presiden (Pilpres 2019) yang dimenangi oleh Presiden Joko Widodo menentang Prabowo Subianto pada April lepas.

Isunya bukan sebab tak puas hati Jokowi menang, tapi bila ada dakwaan mengatakan yang kalau Jokowi mentadbir, Islam bakal terancam, ulama dizalimi, dan orang Cina akan menguasai negara tu (bunyi macam familiar, kan?) Dan nampaknya, rusuhan ni mengingatkan kitorang tentang Rusuhan Mei 1998 yang berlaku di Indonesia lebih 20 tahun yang lepas  pada zaman Suharto…

Rusuhan Mei 1998. Imej dari saibumi.com

Rusuhan Mei 1998 yang berpunca daripada Krisis Kewangan 1997- 1998

Walaupun Suharto yang memegang jawatan presiden Indonesia dapat sokongan baik rakyatnya sepanjang tahun 1970-an dan 1980-an, nampaknya sokongan berkurang menjelang akhir tahun 1997. Lebih-lebih lagi dengan rasuah yang berleluasa dan penerapan ‘New Order yang menjadi punca ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintahannya.

Nak pula pada tahun 1998, apabila terjadinya satu permasalah kewangan pada masa tu yang dikenali sebagai krisis kewangan Asia 1997-98. 

Imej dari blogredbaron

Walaupun Malaysia berjaya mengatasi masalah tersebut, tapi nampaknya Indonesia antara negara yang paling teruk terjejas pada masa tu.

Krisis kewangan Indonesia berlaku seawal 1997. Disebabkan pemberian pinjaman bank yang lemah, banyak syarikat Indonesia membuat pinjaman dolar AS. Kemudian, terjadinya penurunan nilai yang seterusnya menyebabkan terjadinya pembelian panik dolar AS oleh syarikat-syarikat Indonesia.

Mata wang Rupiah jatuh teruk, yang seterusnya membawa kepada ekonomi Indonesia  jatuh merudum, menyebabkan 20% masyarakat Indonesia kehilangan pekerjaan -membawa kepada pengangguran berleluasa dan juga kemiskinan di seluruh negara.

Culprit krisis kewangan Asia ni, IMF yang boleh bantu pulihkan ekonomi negara tapi syarat-syaratnya membuatkan ekonomi dan sosial negara jadi lebih teruk. Imej dari Iluminasi

Tuntutan keras mahasiswa meminta Presiden Suharto mengundurkan diri

Tokoh-tokoh politik terkemuka Indonesia masa tu tuduh Suharto yang jadi punca krisis ni, menyebabkan permasalahan ekonomi dan politik Indonesia semakin buruk.


Salah seorang tokoh politik terkemuka yang bersuara, Amien Rais, juga tokoh Reformasi Indonesia. Imej dari CNN Indonesia

Dan disebabkan krisis yang sangat teruk ni la, mahasiswa Indonesia buat sebuah demonstrasi pada awal Mei 1998. Mereka minta supaya Suharto mengundurkan diri dari kerusi Presiden yang dah dipegangnya selama 31 tahun.

Majalah Ummat keluaran Mei 1998.

Tapi nampaknya demonstrasi yang sepatutnya aman bertukar kepada rusuhan apabila empat pelajar Universitas Trisakti ditembak mati beberapa hari kemudian.

Empat mahasiswa Universitas Trisakti yang terkorban iaitu Elang Mulia Lesmana, Heri Hertanto, Hafidin Royan, dan Hendrawan Sie. Imej dari garuda online

Perkara ni menyebabkan puluhan ribu pelajar universiti berkumpul buat rusuhan, dan menuntut pengunduran Suharto sampaikan ada yang panjat bumbung bangunan parlimen pada masa tu. Suharto yang masa tu mengikuti konferens G-15 di Mesir memberi ucapan balas,

“Kalau memang rakyat tidak lagi menghendaki saya sebagai Presiden, saya siap mundur. Saya tidak akan mempertahankan kedudukan dengan kekuatan senjata. Saya akan mengundurkan diri dan mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Esa dan dengan keluarga, anak-anak dan cucu-cucu.

Tetapi, semua itu harus dilakukan secara konstitusional. Kalau ada  yang ingin melakukannya secara inkonstitusional, itu berarti mengkhianati Pancasila dan UUD 1945.” – Suharto, semasa mengikuti konferens G-15 di Kaherah, Mesir

Imej dari tribunnews

Jadi sekembalinya Suharto ke Jakarta, dia menawarkan diri untuk meletakkan jawatan dan merombak kabinetnya pada 2003, iaitu 5 tahun lagi melalui pilihanraya (PEMILU).

Tapi dia terpaksa lupakan hasratnya tu bila seramai 14 orang menterinya meletakkan jawatan secara serentak, menggagalkan Suharto daripada ‘menyelamatkan diri’ daripada tekanan rakyat. Tekanan tersebut juga membawa kepada peletakan jawatannya keesokan harinya dan diganti oleh B.C Habibie.

Daripada tuntutan pengunduran, kepada rusuhan yang melibatkan sentimen agama dan bangsa

Perkara tu tak terhenti setakat tu je. Rusuhan tetap terjadi disebabkan kemerosotan ekonomi yang terlampau teruk masa tu, dan melibatkan ketegangan politik. Nak pula rasuah memang dah berleluasa pada zaman Suharto. Keadaan bertambah buruk sebab selama ni, memang dah ada ketidakpuasan hati rakyat asal Indonesia (peribumi) terhadap rakyat Indonesia yang berbangsa Cina.

Imej dari scmp

Pada pandangan orang asal Indonesia (pribumi), bangsa Cina merupakan bangsa pendatang, tapi mereka pula yang dapat banyak manfaat daripada sistem yang diperkenalkan Suharto. Mana taknya, walaupun bangsa Cina pada masa tu adalah minoriti yang merupakan cuma 3% daripada populasi Indonesia pada tahun 1998, tapi masyarakat Cina berjaya menguasai sebanyak 80% daripada perdagangan sektor swasta negara.

Jadinya semasa krisis Asia berlaku, ia mengakibatkan kenaikan harga barangan dan makanan. Jadi apa lagi? Bangsa Cina di Indonesia la yang jadi sasaran mudah untuk dipersalahkan. Rusuhan besar mula berlaku, di mana target mereka merupakan kedai dan syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina, terutamanya yang ada kaitan dengan golongan konglomerat dan penguasa ekonomi.

Potret bangsa Cina Sudono Salim-salah seorang lelaki paling kaya di dunia pada masa itu -dan isterinya dibakar oleh perusuh apabila rumahnya di Jakarta digeledah semasa rusuhan. Imej dari wikipedia

Rusuhan yang jadi terlampau cepat, sampaikan merebak di beberapa daerah lain di Indonesia macam Medan dan juga Surakarta. Tempat tinggal dan perniagaan Cina dijadikan sasaran keganasan waktu tu. Rusuhan seterusnya merebak ke bandar-bandar lain di mana beribu-ribu bangunan, dan lebih 1,000 orang terkorban.

Imej dari yukepo.com

Tapi benda ni bukan satu perkara yang pelik sebab pernah je terjadinya rusuhan anti-Cina beberapa tahun sebelum krisis tu lagi, terutamanya di Situbondo dan Tasikmalaya pada tahun 1996, manakala Banjarmasin dan Makassar pada tahun 1997. 

Pemerkosaan Massal 1998 yang ‘didiamkan’

Tak cukup dengan pemusnahan harta benda, perusuh kemudiannya target untuk ‘rosakkan’ perempuan berbangsa Cina. Dianggarkan, beratus-ratus wanita Cina diperkosa, bukan saja dengan merogol, malah pelbagai bentuk keganasan seksual yang lain seperti menyeksa alat kelamin mangsa dengan benda tajam, anal, dan juga oral.

Perkosaan Massal 1998. Imej dari medium.com

Seksaan tak terhenti setakat tu sebab ada juga yang diseksa dan dibunuh. Perkara tu menyebabkan ramai bangsa Cina yang berwarganegara Indonesia meninggalkan negara tersebut.

Yang menyedihkan, kejadian rogol tu tak direkodkan, malah takde tindakan diambil oleh kerajaan Indonesia. Manakala nama-nama yang dianggap penyebab peristiwa rusuhan Mei 1998 juga terlepas macam tu je. Sampailah beberapa bulan kemudian, sebuah pasukan ditubuhkan untuk mengenalpasti dalang rusuhan.

Penubuhan TGPF yang menunjukkan rusuhan tu kemungkinannya… dirancang tentera?!

Beberapa bulan selepas rusuhan berlaku,wujudnya Pasukan Gabungan Pencari Fakta (TGPF) untuk menyiasat masalah ni (lebih kurang macam RCI lah). Hasil siasatan mereka mendapati pesalah yang terlibat dalam provokasi, yang memulakan pembakaran, penganiayaan, dan gangguan seksual, kebanyakannya mempunyai latar belakang… ketenteraan.

Ada juga teori lain yang jadi penyebab rusuhan tersebut, iaitu persaingan antara ketua tentera, Jeneral Wiranto dan Prabowo Subianto (ye, Prabowo yang bertanding dengan Jokowi masa Pilipres bulan lepas). Prabowo juga merupakan menantu Suharto masa tu.

Wiranto dan Prabowo Subianto (kanan) pada era New Order Suharto. Imej dari Reuters

Nak pula nama Prabowo Subianto juga disebut dalam dokumen rahsia Amerika memerintahkan Kopassus, (macam Special Branch) yang menjalankan misi operasi khas untuk kerajaan Indonesia, iaitu ‘menghilangkan’ sejumlah aktivis pada 1998 dan penyebab kepada perpecahan dalam ketenteraan. Tapi ada juga kenyataan yang mengatakan dia cumalah kambing hitam je.

Aktivis 1998 yang masih lagi ‘hilang’. Imej dari BBC

Dikatakan, ada saranan provokasi yang disengajakan Suharto untuk alih pandangan krisis ni kepada serangan kepada bangsa Cina dan dalam masa sama nak rosakkan gerakan pelajar.

Aktivis 1998 yang mengangkat poster Jeneral Prabowo yang ‘dikehendaki’. Imej dari BBC

Daripada sentimen ekonomi dan bangsa kepada sentimen agama

Sebab tu lah juga dalam Pilpres tahun ni, keluarga mangsa-mangsa penculikan aktivis pro demokrasi tahun 1997-1998 tolak Prabowo. Dalam masa yang sama, mereka juga tak percaya yang Jokowi mampu selesaikan kes Hak Asasi Manusia (HAM) berkaitan kehilangan tu sebab pelakunya masih berada dalam kalangan Jokowi tu sendiri.

Kalau Pilpres baru ni Prabowo gunakan sentimen Islam untuk raih sokongan kumpulan yang tak puas hati dengan Jokowi, Jokowi yang nampak game ni juga berjaya mendekati pihak-pihak yang boleh buatkan dia nampak macam tokoh pembela Islam juga. Sebab tu kita nampak ada naratif Islam telah mewarnai pemilihan presiden Indonesia tahun ni, berbanding Pilpres tahun-tahun sebelumnya.

Jokowi sempat belajar dari kekalahan Ahok dan mengubah strateginya. Kalau sebelum ni dia gunakan isu-isu pluralisme dan hak asasi manusia, Pilpres 2019 dia beralih sikit dengan masukkan ulama Indonesia dalam partinya.

Jadinya, apa yang sedang berlaku di Jakarta sekarang ni hampir lebih kurang macam bayangan Rusuhan Jakarta 1998 dulu, di mana ahli politik gunakan sentimen ekonomi, bangsa dan agama.

“Jika rusuhan terdahulu berlaku akibat masalah ekonomi, rusuhan kali ini berpunca daripada sentimen agama.” – Prof Dr Mohammad Agus Yusoff,  penganalisis politik, dipetik dari MalaysiaKini.

Luka lama yang berdarah kembali

Nampaknya, pemerhati dan penganalisis politik Indonesia berpandangan Prabowo Subianto menjadi punca rusuhan. Apatah lagi bila pihak berkuasa Indonesia mengakui dan menyalahkan keganasan tu datang dari ‘pencetus provokasi’ berbayar, bila mereka jumpa sampul surat berisi wang dikatakan ditemui pada 257 penunjuk perasaan yang ditahan.

“Untuk Malaysia, berhati-hati menggunakan isu agama dan kaum dalam politik. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga jangan curang dan perlu adil.”

“Inilah senjata orang politik. Hendak kuasa gunakan aparatus negara seperti polis, birokrat dan pengendali pilihan raya. Lebih teruk, gunakan agama dan kaum,” – Prof Dr Mohammad Agus Yusoff,  penganalisis politik, dipetik dari MalaysiaKini.

Imej dari medium.com

(Untuk korang yang nak semak sesuatu berita atau kenyataan menteri tu betul ke bohong, boleh lah join Group FB Berita Betul Ke Bohong Malaysia ni!)

Popular

To Top

Send this to a friend