Rencah Dunia

Calon Presiden Indonesia ni sebenarnya pernah membesar di Malaysia

Seperti mana yang kita tahu atau baru tahu, negara jiran kita – Indonesia tak lama lagi akan meraikan ‘pesta demokrasi’. Ini kerana, Indonesia akan menghadapi Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2019 pada 17 April ini.

Pilihan raya ini adalah yang ke-12 sejak republik itu mencapaikan kemerdekaan dan juga merupakan pilihan raya ke-5 selepas berlakunya reformasi sehingga menjatuhkan pemimpin Orde Baru – Suharto pada tahun 1998.

Apa yang lebih menarik, PEMILU kali ni akan mengadakan – pemilihan untuk pilihan raya Presiden (Pilpres) dan pilihan raya legislatif (Pileg) secara serentak buat pertama kalinya. Tak cukup dengan tu, PEMILU ni juga boleh dikatakan sebagai pilihan raya ketiga terbesar yang diadakan di dunia, selepas India dan Amerika Syarikat (AS).

Imej dari gifgifs.com

192 juta orang pengundi untuk PEMILU 2019

Itulah jumlah pengundi yang dijangka akan menunaikan tanggungjawab mereka pada PEMILU 2019 bagi memilih pihak mana yang akan mentadbir Indonesia untuk 5 tahun lagi. Rakyat Indonesia akan memilih:

  • 711 anggota Majelis Permusyarawatan Rakyat (MPR).
  • 575 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
  • 136 Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
  • 19,500 anggota dewan legislatif yang melibatkan lebih 2,000 daerah dan perbandaran.

Sebab tu tak heranlah bila bilangan calon-calon yang bertanding mencecah angka 245,000 orang. Sampaikan, The Lowy Institute (think-tank dari Australia) menggelarkannya sebagai “pilihan raya dalam satu hari yang paling rumit dalam sejarah dunia”.

Kalau kita celup jari telunjuk, Indonesia pula jari kelingking. Imej dari republika.co.id

Apa yang pasti, pemilihan yang paling mencuri perhatian mestilah pasal perebutan jawatan presiden – antara Joko Widodo (Jokowi) dan Prabowo Subianto (Prabowo) buat kali kedua (selepas kali pertama pada 2014).

Tapi rupa-rupanya, salah seorang calon presiden ni ada kaitan dengan Malaysia. Dan orang tu adalah…

Prabowo pernah membesar di Malaysia

Prabowo atau nama penuhnya – Prabowo Subianto Djojohadikusumo lahir pada 17 Oktober 1951. Boleh dikatakan Prabowo ni lahir dalam keluarga elit sebab datang dari keluarga yang bukan sembarangan.

Datuknya, Margono Djojohadikusumo adalah pengikut Budi Utomo, yang juga merupakan anggota Badan Penyelidik Usaha-usaha Persiapan Kemerdekaan Indonesia (BPUPKI), dan antara pendiri Bank Negara Indonesia (BNI).

Prabowo masa kanak-kanak. Imej dari Historia.

Pakciknya pula –  Subianto Djojohadikusumo adalah salah seorang perwira yang gugur dalam Pertempuran Lengkong di Tanggerang, pada Januari 1946. Manakala, bapanya, Soemitro Djojohadikusmo adalah seorang Professor dan dekan Fakultas Ekonomi Universiti Indonesia (UI).

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Tapi, masa zaman Soekarno, Soemitro lebih dikenali sebagai ahli Partai Sosialis Indonesia (PSI).

“Di tengah perjuangan politiknya, Soemitro memilih membelot bersama sejumlah panglima militer pembangkang dalam Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) dan Perjuangan Semesta (Permesta).

Bergelut dalam gerakan yang menentang pemerintah menyebabkan Soemitro terpaksa melarikan diri dari Indonesia,” – Dipetik dari Historia.

Disebabkan mahu mengelakkan diri dari buruan pihak kerajaan, Prabowo sekeluarga dah hidup secara berpindah randah ke satu negara ke satu negara lain. Dan antara negara yang bapanya pilih adalah Malaysia.

Pada tahun 1960, Prabowo sekeluarga dah berpindah ke Tanah Melayu dan tinggal di Petaling Jaya. Bapanya dah membuka sebuah kilang penyambung alat elektronik sebagai usaha untuk menyara keluarga.

Prabowo pada tahun 1965. Imej dari Historia.

Prabowo pula bersekolah di Victoria Institution yang boleh dikatakan sebagai salah satu sekolah berprestij masa tu. Tapi pada awal tahun 1960-an merupakan zaman hubungan buruk antara Tanah Melayu-Indonesia. Sebabnya, Indonesia di bawah Soekarno menentang keras gagasan Malaysia yang diperkenalkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Disebabkan hal ni, Prabowo selalu kena ejek dengan kawan-kawan kat sekolah sebab berasal dari Indonesia. Sampai kadang-kadang tu dia rasa marah dengan ayahnya, sebab pilih tinggal kat Malaysia.

“Saya tahu Papi berseberangan dengan Sukarno. Tapi saya tidak tahan, semua meledek negara kita. Kalau sampai satu tahun lagi saya di sini (Malaysia), saya akan menjadi pro Sukarno,” – Prabowo, dipetik dari Historia.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pun pernah bersekolah di Victoria Institution. Imej dari carmudi.com

Diusia remajanya pula, Prabowo sekeluarga berpindah ke Eropah dan menetap di Switzerland. Bila berinjak dewasa, akhirnya Prabowo kembali ke Indonesia dan menyertai Tentera Nasional Indonesia (TNI). Tugas terakhir Prabowo dengan TNI adalah sebagai jeneral.

Prabowo juga adalah bekas menantu Soeharto – pemimpin yang memerintah Indonesia selama lebih 30 tahun. Walaupun dibayangi latar belakangnya sebagai seorang jeneral dan bekas menantu Soeharto, tapi nampaknya Prabowo semakin menanam rentak apabila membawa semangat nasionalisme dalam kempennya.

Prabowo masa masih bersama Siti Hediati Soeharto. Imej dari ngopibareng.id

Populisme-nasionalisme dan imej Islam menjelang pemilihan

Seperti mana yang kita tahu, gelombang populisme-nasionalisme sebelum ni tak lah kuat sangat. Tapi bila Trump menang jadi Presiden AS dan United Kingdom mengundi untuk keluar dari Eropah, ia mula meningkat dan menjalar ke seluruh dunia.

“Populisme-nasionalisme ialah ideologi menolak sistem ekonomi perdagangan bebas dan proses ‘globalisasi’ yang membuka sempadan negara.

Melihat perdagangan bebas dan globalisasi sebagai sistem yang hanya menguntungkan golongan elit, populis-nasionalis mahu dasar ekonomi negara memberi keutamaan kepada rakyat melalui langkah seperti perlindungan perdagangan (protectionism).” – Ayman Rashdan Wong, dipetik dari FB-nya.

Nampaknya, Prabowo pun menyambut gelombang ni dalam kempennya. Antaranya, dia mengkritik dasar keterbukaan Jokowi terhadap perdagangan bebas dan pelaburan asing, terutamanya datang dari China.

Jokowi & PM China – Li Keqiang masa Asian Games Bogor tahun lepas. Imej dari republika.co.id

Oleh itu, Prabowo mencadangkan supaya projek-projek dengan China yang dah ada dikaji semula untuk tengok boleh tak Indonesia dapat deal yang lebih baik. Isu-isu lain yang dibangkitkan juga adalah pasal kos sara hidup dan kegagalan Jokowi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi 7% setahun seperti dijanjikan masa Pilpres 2014.

Kalau kita perhatikan, cara Prabowo ni agak sama dengan cara PH pimpinan Dr Mahathir masa kempen PRU-14 lepas. Sebab itulah, ada pemerhati politik yang kata – Prabowo mungkin dapat inspirasi sikit dengan cara PH dulu.

Merebut kerusi No-1. Imej dari geotimes.co.id

Tapi disebalik strategi ni, ada lagi isu yang lebih membawa kepada sentimen rakyat, iaitu sentimen ISLAM.

Jokowi cuba tampilkan imej Islamnya, lepas tercemar dengan isu Ahok

Prof Kiyai Hj Maaruf Amin berganding dengan Jokowi bagi merebut jawatan Presiden dan Naib Presiden. Imej dari kiblat.net

Isu Islam di Indonesia mula meruncing lepas berlakunya pilihan raya gabenor Jakarta pada 2017. Ini kerana, Gabenor Jakarta – Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) seorang Cina Kristian dah didakwa menghina Islam sehingga membuatkan berlakunya demonstrasi besar-besaran di seluruh Indonesia.

Ahok yang merupakan sekutu rapat Jokowi dah membuatkan Jokowi terima tempiasnya. Dengan itu, Prabowo gunakan strategi ni dengan gunakan sentimen Islam untuk raih sokongan kumpulan yang tak puas hati dengan Jokowi.

Prabowo dah mendekati pihak-pihak yang boleh membuatkannya muncul sebagai tokoh pembela Islam, seperti –  Rizieq Shihab ketua Front Pembela Islam dan pendakwah selebriti macam Arie Untung, Hanan Attaki dan Ustaz Abdul Somad.

Antara poster Prabowo & Ustaz Abdul Somad. Imej dari aksi.id

Tak cukup lagi, Prabowo ambil bakal Timbalan Gabenor Jakarta Sandiaga Uno sebagai calon Naib Presidennya. Sandiaga adalah seorang ahli perniagaan berjaya yang membawa imej Muslim ‘santri moden’.

“Sandiaga merupakan salah seorang ahli perniagaan bukan Cina yang paling berjaya dan menjanjikan sumbangan bernilai berjuta dolar dalam kempen Prabowo.

Kempen pilihan raya dijalankan selama lapan bulan dan merupakan paling lama dalam sejarah Indonesia.” – Dipetik dari Utusan.

Dengan strategi Prabowo ni, Jokowi nak ataupun tak terpaksa juga membawa imej Islam dalam kempennya. Dikhabarkan, Jokowi pada mulanya nak pilih bekas Ketua Hakim Mahkamah Perlembagaan, Mahfud MD sebagai calon Naib Presidennya.

Tapi, parti pakatannya suruh Jokowi pilih cendekiawan Islam konservatif, Ma’ruf Amin (Pre­siden Nadhatul Ulama dan Pengerusi Majlis Ulama Indonesia) sebagai calon Naib Presiden. Maka, mahu atau tak, naratif Islam telah mewarnai pemilihan presiden Indonesia.

Dari kiri: Maaruf Amin, Jokowi, Prabowo & Sandiaga. Imej dari The Jakarta Post.

Siapa yang akan menang?

Walaupun masa Pilpres 2014 boleh dikatakan populariti Jokowi mencanak naik dan keputusan Jokowi menang tu dah dapat dijangka, tapi nampaknya keadaan agak berbeza kali ni. Ada juga yang kata, kempen Jokowi macam kalah dengan kempen Prabowo.

Tapi dalam masa sama, sokongan terhadap Jokowi boleh dikatakan masih mendahului, jika nak dibandingkan dengan Prabowo. Walau ada isu-isu tertentu yang Jokowi dikritik, tapi Jokowi tetap dapat banyak pujian dengan pembangunan infrastrukturnya seperti jalan, airport, dan pelabuhan.

Malah, survey dari Lembaga Indikator Politik Indonesia juga mendapati Jokowi masih mampu menang dengan peratus sebanyak 55.4%, sementara Prabowo-Sandi hanya sekitar 37.4%.

“Kesimpulan, Jokowi-Amin akan menang pada Pilpres 17 April mendatang,” – tulis hasil survei itu.

“Undian kepada saya masih tinggi”. Imej dari tenor.com

Walau apa je ramalannya, kita semua hanya akan tahu keputusan finalnya pada antara 17 dan 23 September ni nanti. Majlis angkat sumpah Presiden dan Naib Presiden pula pada 20 Oktober 2019.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend