- 1.2KShare sekarang!
- Email22
- Facebook1.2K
- Share
Seperti mana yang kita semua dah tahu, bekas PM – Datuk Seri Najib Razak beberapa hari lalu sekali lagi dihadapkan ke mahkamah. Kalau pada Julai lepas Najib berdepan dengan empat pertuduhan, kali ni dia berdepan pulak dengan tiga lagi pertuduhan. Untuk perbicaraan pada 4 Julai lepas, Najib dah dituduh pecah amanah dan rasuah bernilai RM42 juta. Najib bagaimanapun mengaku tak bersalah.
Untuk pertuduhan kali ni pula, Najib sekali lagi mengaku tak bersalah atas tuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram. Jadinya sekarang, bekas PM ni berdepan dengan 7 pertuduhan dan mungkin akan bertambah lagi di masa akan datang.
Tak habis dengan tu, kecoh pulak pasal RM18 bilion duit bayaran balik GST (input tax credit) yang kurang dari jumlah sepatutnya RM19.4 billion. Tapi tak lama lepas tu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng kata yang dia silap umum dan rupanya-rupanya bukan RM18 bilion, tapi RM19.24 bilion yang hilang! Bukan main banyak!
Guan Eng juga kata duit ni sebenarnya dirompak oleh kerajaan BN dulu. Tak puas hati dengan dakwaan itu, Bekas Ketua Pemuda UMNO – Khairy dengan pantas buat laporan polis untuk menyiasat perkara ni. Tapi sebelum apa-apa, korang tahu tak apa tu input tax credit?
Input tax credit…. apa dia?
Seperti mana yang kita semua tahu, GST ni adalah cukai yang dikenakan terhadap barangan dan perkhidmatan. Setiap negara kat dunia ni ada nilai GST yang tersendiri dan Malaysia pilih 6 peratus. Tapi apa yang menariknya, GST ada cukai input (input tax) dan cukai output (output tax).
Apa yang dimaksudkan dengan cukai input adalah GST yang dibayar ke atas barang atau perkhidmatan yang dibeli untuk kegunaan dalam perniagaan oleh mereka yang berdaftar dengan GST dan ia bukan untuk kegunaan peribadi. Contohnya macam ni:
“Shoez Sdn. Bhd. merupakan pengilang kasut berdaftar GST dan membeli kulit berjumlah RM50,000 daripada Kulit Sdn. Bhd, seorang yang berdaftar dan menanggung GST sebanyak RM3,000. Shoez Sdn. Bhd. berhak menuntut cukai input sebanyak RM3,000 bagi pembelian kulit tersebut.” – Dipetik dari Kastam Diraja Malaysia.
Maknanya kat sini, input tax credit adalah input cukai yang boleh dituntut oleh perniagaan kalau ia didaftarkan di bawah GST. Berkenaan dengan output tax pulak, ia adalah GST yang dikenakan atas pembekalan atau jualan barangan dan perkhidmatan. Hanya perniagaan berdaftar je yang boleh kenakan GST.
Tapi secara tiba-tiba, duit cukai input ni didakwa hilang. Apa yang pasti, orang yang mula-mula akan dituduh mestilah Najib Razak, sebab dia yang jadi Menteri Kewangan sebelum ni. Tapi… nak salahkan Najib je ke? Takkanlah orang sekelilingnya tak tahu?
1. Zahid kata – duit tu tak hilang, tapi… mungkin dah digunakan
Salah seorang yang kena tanya mestilah Zahid Hamidi (bekas Timbalan PM). Zahid dalam reaksinya kata – duit tu sebenarnya tak hilang, tapi dimasukkan dalam kumpulan wang disatukan (consolidated fund). Kalau korang nak tahu, kumpulan wang disatukan ni adalah tempat tersimpannya segala hasil dan duit yang diterima oleh kerajaan Persekutuan.
“Segala hasil dan wang tidak kira bagaimana jua pun diperdapatkan atau diterima oleh Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan, hendaklah dibayar ke dalam dan menjadi satu kumpulan wang, yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.” – Bahagian VII – Peruntukan Kewangan, Perlembagaan Persekutuan.
Tambah Zahid lagi, duit tu juga ‘mungkin’ dah digunakan untuk tujuan pembangunan. Tapi kalau duit tu dibelanjakan untuk tujuan yang tak mematuhi peraturan, ia boleh disebut sebagai ‘kecurian’. Kalau duit tu digunakan untuk pelbagai projek melalui bajet, maka peruntukan tambahan kena dibuat kat Parlimen untuk dibahaskan.
“Bagaimanapun, jangan menuduh untuk memberi persepsi semuanya kesalahan kerajaan lalu kerana kerajaan dulu juga didukung oleh pegawai Kementerian Kewangan.” – Zahid Hamidi, Ketua Pembangkang. Dipetik dari BH Online.
Selain Zahid, ada juga beberapa bekas menteri lain yang mungkin tahu pasal hal ni. Antaranya, bekas menteri yang terkenal satu Malaysia…
2. Ahmad Maslan kata – duit tu digunakan untuk pembangunan dan pengurusan negara
Ahmad Maslan (bekas Timbalan Menteri Kewangan), juga nampaknya sependapat dengan Zahid bila dia kata duit tu dah masuk dalam kumpulan wang disatukan. Tambah Ahmad, duit tu dah digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan (DE) dan pengurusan (OE) negara.
“Untuk tujuan ‘input tax credit’, pihak Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) perlu memohon kepada kerajaan jadi segala wang yang disebut RM19.4 bilion yang belum dibayar, pada saya ia tidak hilang… Ia digunakan untuk DE dan OE. Itu yang saya faham.” – Ahmad Maslan, dipetik dari Sinar Harian.
Tapi masa bercakap kat lobi Parlimen, Ahmad juga ada ulas perkara ni yang dia kaitkan dengan keputusan kerajaan PH menghapuskan GST. Menurutnya, kutipan GST ni berlaku setiap masa dan bayaran balik GST pun dibuat setiap masa. Tapi bila kerajaan PH umumkan GST dihapuskan, secara tiba-tiba kastam dapat input tax credit yang begitu banyak. Sebabnya, pihak syarikat risau yang diorang tak akan dibayar lagi.
“Tiba-tiba duit tak ada, kenapa duit boleh tak ada? Sebab kutipan dihentikan. Kenapa dihenti? Sebab tax holiday selama 3 bulan. Jumlah selama 3 bulan itu, melalui telahan saya…(berjumlah) RM11 bilion. Sepatutnya RM11 bilion yang dikutip boleh membayar 47% daripada RM19.4 bilion input tax credit 2018.” – Ahmad Maslan, katanya kepada media. Dipetik dari KiniTV.
Tapi memang takkan dapatlah RM11 bilion tu sebab kerajaan dah pun hentikan GST bermula 1 Jun 2018. Ahmad juga yakin yang duit tu sebenarnya tak hilang, tapi dah digunakan untuk DE dan OE tadi. Jadinya, dia sokong tindakan Khairy buat laporan polis dan harap kebenaran akan terbongkar nanti.
3. Johari Ghani – duit tak hilang, tapi kerajaan baru ni je yang tak tahu
Lepas Zahid dan Ahmad, tak cukup kalau kita tak cari orang lain yang pernah terlibat dalam Kementerian Kewangan. Orang tu tak lain adalah Johari Abdul Ghani iaitu bekas Menteri Kewangan II. Macam jawapan dari Zahid dan Ahmad, Johari pun kata duit tu tak hilang, tapi Johari cuit sikit kerajaan PH.
“Tiada wang yang hilang. Hanya kerajaan sekarang saja tidak tahu bagaimana keadaan berfungsi (termasuk) bagaimana tuntutan bayaran balik berfungsi.” – Johari Abdul Ghani, katanya kepada Malaysian Reserve.
Menurut Johari lagi, hal ni jadi sebab kegagalan Kastam dan kakitangan Kementerian Kewangan menerangkan proses mengutip cukai GST dan bayaran balik GST kepada Menteri Kewangan. Dalam masa sama, dia tak salahkan Lim Guan Eng yang dia anggap masih baru pegang jawatan.
Maknanya kat sini, apa yang Johari nak kata adalah takde siapa yang rompak duit tu, dan cuma kerajaan je yang tak tahu macam mana bayaran balik GST ni berfungsi. Tapi bila KJ dah buat report polis, ia boleh dikatakan sebagai tindakan bijak sebenarnya.
4. Irwan Serigar – duit tu tak hilang… tapi baik suruh SPRM check
Walaupun ketiga-tiga nama yang disenaraikan sebelum ni adalah ahli-ahli politik bekas kerajaan BN, nama seterusnya tidak pernah pun memegang jawatan terdipilih. Bagi yang tak kenal, Tan Sri Dr Irwan Serigar merupakan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari bulan Ogos 2012 hingga ke Jun 2018, selepas kontrak perkhidmatan dia dipendekkan oleh kerajaan baru PH.
Mengikutnya, tiada kehilangan wang yang berlaku kerana semua hasil kutipan GST telah dimasukkan ke dalam kumpulan wang disatukan yang disebutkan tadi sebelum ia disalurkan kepada tabung amanah untuk membayar balik GST. Katanya, prosedur ini adalah berdasarkan Akta Prosedur Kewangan 1957 dan hanya melibatkan Jabatan Kastam selepas pihak Kastam telah membentangkan keperluan dana untuk membuat bayaran balik.
“Berdasarkan keperluan Kastam dan kedudukan hasil kerajaan, mesyuarat bulanan pengurusan aliran tunai kerajaan pusat akan membuat keputusan berapa jumlah peruntukan kepada tabung amanah itu perlu dibuat.” – Irwan Serigar, dipetik dari Astro Awani.
Jadi, dia menafikan bahawa apa-apa kehilangan telah berlaku kerana peruntukan wang bagi bayaran balik GST telah dibuat mengikut keperluan Kastam, dan “setiap sen” telah pun dikira oleh Jabatan Akauntan Negara. Namun, atas sebab tidak puas hati dengan dakwaan Guan Eng, dia pun telah membuat laporan menggesa SPRM untuk menyiasat perkara ini yang dia menganggap “tidak berasas”.
Kesimpulannya… duit tu kemungkinan besar dah digunakan – Pakar ekonomi
Dah letih dengar orang politik bercakap, kitorang cubalah tanya isu ni dengan ahli ekonomi. Menurut Prof Dr Barjoyai Bardai, memang betul duit ni dah hilang sebab ia dimasukkan dalam kumpulan wang disatukan. Ini kerana, kalau ikut peraturan, cukai input ni sepatutnya masuk dalam tabung amanah (trust fund). Tapi bila ia masuk dalam kumpulan wang disatukan, ia mesti akan dibelanjakan.
Hal ni sebenarnya dah disuarakan oleh Kastam, bila Ketua Pengarahnya kata, semua bayaran GST dimasukkan ke dalam Akaun Kumpulan Wang Disatukan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah. Tapi dari jumlah pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion, hanya RM63.5 bilion yang disalurkan ke Tabung Amanah. Maknanya kat sini, RM19.4 bilion masih lagi tertunggak.
“Kastam ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018, tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan kepada Tabung Amanah.” – Datuk Seri T Subromaniam, Ketua Pengarah Kastam. Dipetik dari mStar.
Tambah Prof Barjoyai lagi, Kastam nampaknya cuba ikut peraturan, tapi kerajaan dulu yang rasa ianya mungkin tak perlu. Sebabnya, kerajaan dulu rasa kalau duit ni tak masuk dalam tabung amanah, ia boleh la digunakan dulu. Kerajaan dulu mungkin buat aidaian yang duit tu nanti akan diganti semula dengan kutipan GST seterusnya.
“Masalah terjadi apabila secara tiba-tiba cukai ini diberhentikan. Jadi maknanya, jumlah yang sepatutnya dikutip, tidak dikutip. Jadi ia macam naik basikal, secara tiba-tiba kita berhenti mengayuh, akan jatuhlah kita… Jadinya di sini, siapa yang salah? Salahnya adalah peraturan yang tidak dilaksanakan.” – Prof Dr Barjoyai Bardai, katanya kepada SOSCILI.
Apa yang pasti sekarang, bila duit ni dah takde, makanya kerajaanlah yang kena tampung akibatnya. Menurut Prof Barjoyai, kerajaan kenalah cari ganti dengan cara mengurangkan perbelanjaan. Sebabnya, kalau nak ditengok dari jumlah ni, maknanya kerajaan dulu dah berbelanja lebih dari RM19 bilion.
- 1.2KShare sekarang!
- Email22
- Facebook1.2K
- Share