Restoran mana paling kedekut bagi ganjaran? Kami test 7 program kesetiaan

Rakyat Malaysia dan benda percuma berpisah tiada. Sebab tu lah kita ada macam-macam program kesetiaan yang akan bagi poin tiap kali korang berbelanja. Dan bila dah cukup poin, boleh tebus pelbagai ganjaran.

Tapi dalam banyak-banyak rantaian F&B yang tawarkan program macam ni, mana satu yang paling berbaloi? Untuk menjawab soalan ni, kami bagi staf kami RM1,000 untuk berbelanja sakan di:

  • KFC
  • Nando’s
  • McDonald’s
  • Tealive
  • The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL)
  • Starbucks
  • Pizza Hut

Bila perut dah kenyang dan hati senang, kami menilai semua rantaian tersebut berdasarkan:

  1. Senang atau tak nak dapat ganjaran
  2. Berbaloi tak nilai ganjaran berbanding kos perbelanjaan
  3. Adakah sistem ganjaran diorang senang difahami

Baik, dari yang paling best sampailah yang paling mengecewakan, kita mulakan dengan…

1. Nando’s: Kadar pulangan paling tinggi

  • Nama program kesetiaan: Generously Generous Reward Programme
  • Mata ganjaran: Chilli
  • Jumlah penukaran mata: RM30 = 1 Chilli
  • Anggaran % ganjaran: 24% – 25% (RM21.90 – RM22.90/RM90)

*Kami kira peratus dengan membahagikan harga ganjaran dengan jumlah wang yang perlu dibelanjakan. Untuk Nando’s, ganjaran satu set ayam adalah RM22.90, dan anda perlukan 3 Chilli (RM30 x 3) untuk dapatkannya.

Macam mana nak guna:

Program kesetiaan kat Nando’s memang simple. Belanja RM30 ke atas, dapatlah 1 Chilli. Kumpul tiga Chilli untuk dapatkan satu set makanan percuma.

Untuk kumpul Chilli, kami download app Nando’s dan daftar sebagai ahli, tapi korang juga boleh scan kod QR di meja makan di restoran untuk mendaftar. Lepas dah daftar, boleh login dan order melalui laman web Nando’s untuk kumpul Chilli.

Lepas korang kumpul 3 Chilli, boleh tebus ganjaran bila korang buat pesanan melalui laman web diorang. Ganjaran ni paling senang nak dapat berbanding restoran-restoran lain yang kami cuba, sebab korang tak perlu beli apa-apa untuk tebus ganjaran. Asal cukup Chilli, pilih je makanan mana yang korang berkenan:

Sebagai bonus, kalau korang pernah kumpul 50 Chilli, korang juga boleh dapat Full Platter (bernilai RM78.90) sebagai ganjaran tambahan. Diorang juga ada bonus untuk hari lahir, tapi malangnya hari lahir kami dah lepas.

Pengalaman kami:

Kami dapat 1 Chilli percuma bila kami daftar dan isi maklumat tambahan dalam app, dan satu lagi bila buat pembelian. Lepas tu, kami cuba mengelat dengan buat dua pesanan berasingan dalam sehari, dan dapat tahu yang korang sehari boleh dapat 1 Chilli je. Esoknya, kami kumpul Chilli ketiga dan terus tebus ganjaran, iaitu satu set 1/4 Chicken with Side.

Sebab kami asyik tanya staf Nando’s pasal Chilli, mungkin diorang ingat kami ni pelajar-pelajar yang pokai kot, dan diorang belanja kami minuman ringan. Terima kasih kak Nando’s! Minuman ringan kat sana memang bottomless, jadi boleh minum sebanyak mana yang mampu.

Pembelian hari pertama bersama staf Cilisos, Jake.

Oleh kerana set 1/4 Chicken dan minuman akan cecah RM30, memang senang untuk dapat 1 Chilli setiap kali pergi Nando’s. Selain nilai ganjaran yang paling berbaloi, kami juga bagi Nando’s tempat pertama sebab ni satu-satunya restoran di mana korang boleh terus tebus ganjaran walaupun tak buat order tambahan. Asal cukup poin, boleh masuk makan free je!

Secara keseluruhan, kami berbelanja sebanyak RM101.70 untuk menebus ganjaran, iaitu pulangan sebanyak 23%.

Kelebihan:

  • Antara kesemua restoran yang kami cuba, Nando’s ada nilai ganjaran paling tinggi berbanding wang yang dibelanjakan.
  • Sistem dia sangat simple
  • Senang je nak dapat 1 Chilli, sebab satu set biasa mencecah RM30.
  • Chilli korang tiada tarikh luput.

Kekurangan:

  • Seorang cuma boleh tebus 1 Chilli je sehari.
  • Kalau makan dengan member-member, semua orang kena bayar berasingan untuk dapatkan sebanyak mungkin Chilli.

2. Pizza Hut: Terbaik kalau makan berjemaah

  • Nama program kesetiaan: Hut Rewards
  • Mata ganjaran: Slice
  • Jumlah penukaran mata: RM30 = 1 Slice
  • Anggaran % ganjaran: 6% (RM16.50/RM270) hingga 9% (RM7.90/RM90)

Macam mana nak guna:

Korang perlu daftar sebagai ahli Hut Reward untuk mula kumpul Slice. Bagi setiap RM30 perbelanjaan, korang akan dapat 1 Slice. Ganjaran yang ditawarkan adalah berbeza-beza bagi setiap gandaan 3 Slice (3 Slice boleh tebus side dish, 6 Slice boleh tebus kepak ayam, dan seterusnya).

Selain tu, ada skrin putaran roda pada app yang boleh beri ganjaran seperti sup percuma. Benda ni tak akan guna poin Slice korang.

Saya putar Halim!

Pengalaman kami:

Pizza kan biasanya dikongsi, jadi kami buat pesanan untuk semua staf kat ofis, dan dapat 3 Slice terus. Nasib baiklah kami pesan delivery, sebab korang tak akan dapat Slice bila makan kat kedai. Esoknya, kami makan sorang-sorang dan tebus Tasty Chicken Bites percuma.

Kalau kongsi empat orang dapat la dua bijik sorang.

Kami belanja RM101.50 untuk tebus ganjaran bernilai RM7.90, iaitu pulangan sebanyak 8%. Walaupun tak banyak macam Nando’s, tapi senang nak kumpul. Nak lagi sebab pizza biasanya makan ramai-ramai kan.

Kelebihan:

  • Senang je nak dapat poin Slices, terutamanya bila korang order berjemaah.
  • Tiada had yang dinyatakan tentang berapa banyak Slice korang boleh kumpul dalam sehari.
  • Menurut laman web mereka, korang boleh tebus hingga 4 ganjaran bagi setiap pesanan.

Kekurangan:

  • Slice akan luput selepas 3 bulan. Kalau lupa tebus, rugi la.

3. McDonald’s: Paling banyak cara nak kumpul poin

  • Nama program kesetiaan: MyMcdonald’s Rewards
  • Mata kesetiaan: Poin
  • Jumlah penukaran mata: RM1 = 10 Poin
  • Anggaran % ganjaran: 3% (RM1.42/RM50) hingga 6% (RM12.17/RM200)

Macam mana nak guna:

Korang perlu kumpul poin melalui app McD, sama ada melalui McDelivery atau bila korang scan kod QR di mana-mana cawangan. Setiap RM1 perbelanjaan akan bagi 10 poin yang korang boleh tebus untuk benda-benda dalam menu. Walau bagaimanapun, korang tak boleh tebus ganjaran melalui McDelivery sebab kena scan kod QR untuk menebus. Poin ini juga boleh luput selepas setahun.

Ganjaran serta poin yang diperlukan.

Pengalaman kami:

Kami target nak tebus ais krim sundae yang memerlukan 500 poin (RM50). Tapi untuk pesanan pertama, kami dapat 500 poin one-off percuma. Jadi keesokan harinya, kami terus dapat tebus ganjaran tu.

Kami belanja RM20.50 untuk dapatkan ganjaran RM1.42, tapi ni disebabkan 500 poin percuma tu la. Memandangkan ni ganjaran one-off je, kadar pulangan sebenar biasanya adalah lebih kurang 3% – 6%, bergantung kepada apa yang korang tebus.

Kelebihan:

  • 500 poin percuma bagi pembelian pertama (pendaftaran baru, sekali sahaja).
  • Poin adalah diberi bagi setiap jenis pembelian (delivery, dine in, bungkus, pandu lalu, dsb).

Kekurangan:

  • Had maksimum 25,000 poin.
  • Korang hanya boleh dapatkan poin bagi 10 pembelian pertama setiap hari.
  • Tak boleh tebus ganjaran melalui McDelivery.
  • Poin ada tarikh luput.

4. KFC: Program paling simple tapi boring

  • Nama program kesetiaan: Finger Lickin’ Good Rewards
  • Mata ganjaran: KFC reward points
  • Jumlah penukaran mata: RM1 = 1 KFC Reward Point
  • Anggaran % ganjaran: 4% (RM7/RM175)

Macam mana nak guna:

Korang akan dapat 1 KFC Reward Point bagi setiap RM1 perbelanjaan melalui website atau app. Setiap 25 KFC Reward Point akan memberi diskaun sebanyak RM1 bagi pembelian seterusnya. Simple macam tu je.

Ganjaran yang ditawarkan.

Selain itu, laman web KFC Rewards kata korang boleh dapat diskaun RM10 serta merta bila join KFC Family, tapi kami tak dapat pun. Mungkin sebab kami bukanlah Dom Toretto :(

Pengalaman kami:

Mungkin kami orang seni yang banyak songeh, tapi bagi kami… program KFC ni agak boring. Nama mata ganjaran pun skema gila, KFC Reward Points. Cuba dia panggil Colonel Coins ke, Coleslaw Cash ke, baru menarik sikit kan?

Okey, kembali kepada topik. Korang hanya boleh kumpul poin melalui delivery atau pick-up bila pesan guna app atau website, tapi tak semua cawangan boleh buat pick-up ye. Lepas kami makan 9 dinner plate, barulah kami dapat diskaun RM7 untuk dinner plate yang seterusnya.

Kami belanja RM209.40 untuk tebus diskaun RM7, iaitu pulangan sebanyak 3%.

Kelebihan:

  • Cara nak tebus adalah sangat ringkas.

Kekurangan

  • Tak semua cawangan boleh buat self-collect.
  • Poin ada tarikh luput.

5. Starbucks: Ganjaran (dan perbelanjaan) tahap kayangan

  • Nama program kesetiaan: Starbucks® Rewards
  • Mata ganjaran: STAR
  • Jumlah penukaran mata: RM1 = 1 Star
  • Anggaran % ganjaran: 1% – 7% (RM4.46-RM19.61/RM300)

Macam mana nak guna:

Bayar guna Kad Starbucks ataupun melalui app mereka, dan korang akan dapat 1 STAR bagi setiap ringgit perbelanjaan. Kumpul 300 STAR dan korang boleh tebus minuman atau makanan yang dipaparkan dalam senarai di bawah, ataupun barang-barang terpilih.

Ganjaran-ganjaran ni nampaknya bertukar mengikut promosi.

Pengalaman kami:

Hari pertama, kami beli Kad Starbucks di kaunter dan mula buat pesanan. Mula-mula memang nampak senang nak tebus ganjaran ni kan. Tapi bila kami kira-kira, kalau kami nak tebus grande caramel macchiato yang bernilai RM19.60, kami kena dapatkan minimum 300 STAR iaitu RM300 perbelanjaan. Itu dah boleh beli vacuum cordless dah tu.

Jadi kami pun pasrah dan berhenti pada 100.7 poin.

Kelebihan:

  • Poin STAR tiada tarikh luput
  • Setiap 50 sen pun akan diberikan poin. Contohnya kalau harga air tu RM10.50, korang akan dapat 10.5 poin.

Kekurangan:

  • Jumlah minimum untuk tebus ganjaran adalah sangat tinggi iaitu RM300, paling tinggi dalam senarai ni.
  • Kena naik T20 dulu, baru mampu.

6. Coffee Bean and Tea Leaf (CBTL): Buat kami pening dan penat

  • Nama program kesetiaan: The Coffee Bean Card kot, entah cari kami tak jumpa
  • Mata ganjaran: BEAN
  • Jumlah penukaran mata: RM1 = 5 BEAN
  • Anggaran % ganjaran: 5% (RM5/RM100)

Macam mana nak guna:

Okey, kami tak rasa nak menulis panjang-panjang untuk 2 restoran terakhir ni sebab mereka agak mengecewakan. Dalam kes CBTL, maklumat di laman web tak jelas, dan kami ada sediki miscom dengan staf di sana yang buat kami rugi.

Secara ringkas, CBTL ada kad mereka sendiri yang korang boleh topup, buat bayaran, dan kumpul BEAN. Bila dah cukup 500 BEAN, korang boleh gunakannya macam duit kat CBTL dengan kadar tukaran 100 BEAN = RM1.

Design yang kami dapat.

Pengalaman kami:

Sebab maklumat di laman web tak jelas, dan staf di sana pun agak keliru, kami tak berjaya kumpul poin pada hari pertama. Esoknya pula, kami dapat staf yang lebih membantu. Rupa-rupanya, kami perlu topup kad CBTL dulu, kemudian bayar guna kad tu. Bukan bagi kad CBTL kepada juruwang je, kena cakap siap-siap nak topup 🤦🏻‍♂️

Kami belanjakan hampir dua kali ganda jumlah minimum untuk dapatkan ganjaran, iaitu RM195.50 untuk dapatkan diskaun RM5, pulangan sebanyak 3%. Nilai ini mungkin lebih tinggi kalau kami tak bazirkan RM100 pada hari pertama.

Resit terakhir kami. Kalau tengok betul-betul ada kesan air mata.

Kelebihan:

  • Sistem ini sepatutnya senang nak ikut, cuma maklumat yang ada tak berapa jelas. Mungkin kami takkan ada masalah kalau kami ahli nujum.

Kelemahan:

  • Korang kena topup kad setiap kali nak kumpul poin
  • Laman web rasmi susah nak guna, dan tiada app yang khas untuk pelanggan di Malaysia
  • BEAN ada tarikh luput

7. Tealive: Kena ada PhD baru boleh faham

  • Nama program kesetiaan: Tealive Club
  • Mata ganjaran: Tpoint
  • Jumlah penukaran mata: RM1 = 1 Tpoint
  • Anggaran % ganjaran: 5% (RM6.23/RM130)

Macam mana nak guna:

Kalau CBTL tak cukup maklumat, Tealive pula terbalik. Program kesetiaan yang ditawarkan Tealive punyalah kompleks, kami kena ulangkaji dan buat study group untuk cuba memahami.

Diorang siap ada ganjaran berbeza mengikut “pangkat” korang. Tapi korang juga boleh turun pangkat kalau tak berjaya kumpulkan Tpoin secukupnya. Pulak, dah macam kerja full-time dah.

Masuk MLM pun tak kompleks macam ni.

Tu tak kita terma & syarat lagi. Kalau nak explain satu-satu, kami kena tulis 30 juzuk kot. Tapi lepas tengok ganjaran “hebat” yang diorang tawarkan…

Kena belanja RM115 untuk dapatkan topping bercuma bernilai RM1.15??!!!

..kami target untuk dapatkan ganjaran paling simple, iaitu Buy 10 Free 1 yang ada di peringkat Elite. Maknanya kami kena kumpul 50 poin untuk naik pangkat, lepas tu beli 10 bubble tea untuk dapatkan minuman percuma. Bunyi macam senang, kan? JANGAN TERPEDAYA!

Pengalaman kami:

Walaupun kami bersabar menggunakan app diorang yang banyak masalah dan scan kod yang sepatutnya, kami langsung tak dapat poin pun.

Bila kami check betul-betul, rupanya ada banyak terma & syarat yang boleh menyebabkan korang tak dapat poin.

Tak nak bagi cakap je la.

Esoknya, kami cuba lagi dan ikut sebijik-sebijik macam diorang tulis. Tapi, sama macam semalam, habuk pun tak dapat. Selepas kami belanjakan RM118.90, kamu putus asa dah redha je. Takpe la, ganjaran yang diorang bagi cuma bubble tea tanpa boba yang bernilai RM6.60. Tak berbaloi pun.

Kelebihan:

  • Secara teknikalnya, korang terus dapat minuman percuma bila join, melalui baucar Buy 1 Free 1 kat dalam app

Kekurangan:

  • Korang kena skor 100% dalam ujian Pemahaman baru mampu nak faham panduan yang diberikan.
  • App adalah sangat tidak stabil bila digunakan.
  • Semua usaha ni demi secawan bubble tea yang tak muncul-muncul. Janji dicapati.

Kalau nak maksimakan ganjaran, kena pandai memilih

Secara keseluruhan, pilihan pertama kami adalah Nando’s, sebab kami dapat makanan yang paling mengenyangkan dengan jumlah perbelanjaan paling sikit, diikuti dengan Pizza Hut. Dua restoran ni buat sistem yang sangat senang difahami, dan app/laman web diorang pun lancar. Rasa macam mereka betul-betul fikir pasal pelanggan macam kami.

Tak macam dua restoran yang paling bawah la, sampai naik darah tinggi dibuatnya.

Apa pula pendapat korang? Apa tempat makan lain yang korang nak kami cuba? Bagi cadangan kat ruangan komen supaya kami boleh mintak bajet daripada Cilibos.