Diesel sektor pengangkutan masih bersubsidi, jadi harga barang tak sepatutnya naik

Macam yang kita tahu, kerajaan sekarang tengah cuba berjimat. Selain naikkan cukai perkhidmatan untuk sektor-sektor tertentu baru-baru ni, ada juga rancangan untuk merasionalisasikan (atau memperkemas) sesetengah jenis subsidi, khususnya bagi bahan bakar kenderaan macam petrol dan diesel.

Ini mungkin merisaukan sesetengah pihak, sebab selain harga minyak naik, ada kemungkinan harga barang-barang lain pun turut naik juga. Mungkin korang pernah dengar alasan harga minyak naik bila tanya pekerja kedai mamak berdekatan kenapa teh tarik makin mahal.

Logik juga sebenarnya, sebab semua benda kena diangkut dari ladang ke kilang ke kedai-kedai untuk sampai ke pengguna macam kita, dan nak angkut tu kena guna lori yang pakai minyak. Minyak makin mahal, kos pengangkutan makin mahal, jadi harga keseluruhan pun naik lah kan?

Tak semestinya, sebab…

Sektor pengangkutan darat tak terkesan pun sepatutnya

Walaupun sistem rasionalisasi subsidi diesel ni masih belum ditetapkan lagi, kerajaan sekarang dah ada projek rintis untuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0), yang dalam kata mudahnya mengekalkan subsidi diesel untuk sembilan jenis sektor pengangkutan darat (barangan).

Petikan infografik dari Jabatan Penerangan.

Disebabkan SKDS 2.0 ni, alasan kos pengangkutan naik tak sepatutnya jadi sebab harga barangan naik. Menurut Nur Asyikin Aminuddin, Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)

“Tiada alasan untuk sektor pengangkutan nak salurkan kenaikan (harga diesel) kepada pengguna kerana hampir semua sektor pengangkutan komersial tidak terkesan,”

-Nur Asyikin Aminuddin, kepada FMT.

Walaupun begitu, beliau turut menjangka yang akan ada peniaga yang mengambil kesempatan. Jadinya anggota penguatkuasa kena selalu pantau harga barangan untuk memastikan tak ada aktiviti pencatutan yang melampau, dan korang pun kena buat aduan rasmi kalau tetiba harga naik tak bersebab.

“Pengguna juga harus memainkan peranan dengan menyalurkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.”

-Nur Asyikin Aminuddin, kepada FMT.
Kitaorang bila kena caj lebih sebab kuah campur. Gif dari Giphy.

Namun, Afzanizam Abdul Rashid, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, tidak menolak kuasa beli pengguna akan terkesan susulan sentimen berhati-hati berpunca daripada jangkaan kenaikan harga barangan.

“Kenaikan harga secara tiba-tiba akan beri kesan negatif kepada ekonomi domestik malah dijangka menyebabkan masalah lain termasuk sentimen perniagaan dan pengguna melemah yang mana akan melambatkan pemulihan serta pertumbuhan sektor-sektor penting,”

-Afzanizam Abdul Rashid, kepada FMT.

Elak penyeludupan diesel di samping berjimat

Rasionalisasi subsidi diesel ni sebenarnya dah diumumkan masa pembentangan Belanjawan 2024 tempoh hari, di mana Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan untuk laksanakan perkara ni secara berfasa. Menurut beliau, tindakan ni untuk mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, sebab harga diesel terlalu murah.

Diesel boleh diseludup ke luar negara dalam tangki lori. Imej dari Utusan/KPDHEP Kelantan.
Diesel boleh diseludup ke luar negara dalam tangki lori. Imej dari Utusan/KPDHEP Kelantan.

Februari lalu, Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, mendedahkan negara mengalami kerugian RM4.5 juta akibat ketirisan tiga juta liter diesel diseludup ke luar negara setiap hari.

Barjoyai Bardai, ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak pula berkata pelarasan subsidi diesel dan petrol ni dijangka akan memberi penjimatan RM29 bilion, dan ini akan membantu struktur semula belanjawan masa depan dengan mengutamakan sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan.

“Kerana kedua-dua sektor ini (pendidikan dan kesihatan) banyak bergantung kepada kemampuan kewangan negara menguruskannya,”

-Barjoyai Bardai, kepada FMT.