Pelaburan asing, rasionalisasi subsidi, dan cukai cara kerajaan tambah pendapatan

Baru-baru ini, pengumuman kerajaan terhadap kenaikan cukai perkhidmatan kepada 8% untuk beberapa sektor telah menarik perhatian banyak pihak. Walaupun agak membimbangkan, langkah ni mungkin hanya mukadimah kepada perkara yang lebih membimbangkan berkait ekonomi negara. 

Menurut Ketua Percukaian PwC Malaysia, Jagdev Singh, kerajaan umpama “berjalan di atas tali” sekiranya mereka tak memperkenalkan sumber pendapatan ketara yang baharu. Dalam kata lainnya…

Kalau kerajaan tak tambah cukai, kita mungkin tersepit di masa hadapan

Tersepit apa tu? Hutang negara, barangkali. Disember lepas, nisbah hutang negara mencecah 64.3% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), cuma kurang 0.2% dari rekod tertinggi pada Mac 2021. 

Untuk perbandingan, nisbah hutang paling rendah direkodkan adalah 49.3% pada September 2011, lebih 10 tahun dahulu. 

Imej asal dari The Edge Malaysia.

Dan berbalik pada komen “berjalan di atas tali” sebelum ni, hutang memang kena bayar, tapi pada masa yang sama pembangunan pun tak boleh diabaikan. Mana nak cekau duit untuk semua ni? 

Kalau kita sebagai rakyat nak cari duit lebih, boleh buat part-time. Tapi kalau kerajaan, selain cari pelabur asing, kenalah naikkan cukai

“Ia seperti bil kad kredit. Sekiranya kita akhirnya gagal (atau tidak) membayar jumlah penuh hutang dan faedah, kita boleh bankrap. Sama juga, walaupun kewangan negara kita masih kukuh dan negara jauh dari kebankrapan, kita perlu meningkatkan pendapatan melalui cukai dan pelaburan asing,”

Lim Tan Chin, pakar cukai dari Universiti Sains Malaysia, kepada FMT.

Dan nampaknya kenaikan cukai ni sepatutnya dah lama, sebab kali terakhir cukai perkhidmatan dinaikkan adalah lebih sedekad lalu.

“Di Malaysia, kali terakhir kita melihat peningkatan secara meluas dalam kadar cukai perkhidmatan adalah pada 2011 apabila dinaikkan daripada 5% kepada 6%,”

Jagdev Singh, Ketua Percukaian PwC Malaysia, kepada FMT.

Juga ada kemungkinan yang cukai bukan sekadar dinaikkan tapi juga akan diluaskan di masa hadapan, sebab…

Selama ni Malaysia terlalu bergantung kat cukai korporat

Kalau nisbah hutang negara berbanding KDNK adalah 64.3%, nisbah cukai negara berbanding KDNK pula hanyalah 12%, yang sebenarnya rendah jika dibandingkan dengan kebanyakan negara-negara lain.

Nisbah cukai ke GDP bagi beberapa ekonomi Asia dan Pasifik pada 2020. Carta dari OECD Library.

Selain tu, menurut Jagdev, kerajaan juga terlalu bergantung kepada cukai korporat, atau dalam kata lain cukai yang dikenakan pada syarikat-syarikat. Ini sebenarnya tak sihat kerana pendapatan negara bergantung kepada untung rugi syarikat-syarikat ni, atau dalam kata mudahnya tak stabil.

Jagdev mengatakan yang hasil yang dijangka dari peningkatan cukai perkhidmatan ni, di samping langkah lain seperti rasionalisasi subsidi, akan membantu negara membiayai hutang. 

“Banyak negara bergelut dengan ketidakseimbangan pendapatan ketika dunia keluar daripada pandemik Covid-19. Banyak negara, termasuk jiran kita Singapura, memberi bantuan tunai kepada pekerja berpendapatan rendah. Jumlah jangkaan RM3.45 bilion daripada peningkatan cukai perkhidmatan 2% bersama dengan pelbagai langkah lain seperti rasionalisasi subsidi akan membantu membiayai inisiatif ini,”

Jagdev Singh, Ketua Percukaian PwC Malaysia, kepada FMT.
Selain cukai, rasionalisasi subsidi juga antara perkara yang dibentangkan dalam belanjawan lepas. Imej dari FMT.

Sungguhpun begitu, Jagdev mengakui yang peningkatan cukai perkhidmatan ni bukanlah penyelesaian yang sempurna, dan akan ada isu yang perlu diselesaikan. Ini termasuk pembaikan teknikal pada skop dan kesan berturutan.

“Sehingga kita bersedia untuk mengamalkan cukai yang lebih meluas, kerajaan perlu mencari cara dalam sistem cukai sedia ada. Cukai yang luas dan pelbagai peringkat seperti GST, yang telus di setiap rangkaian bekalan, tetap menjadi alternatif yang lebih baik untuk memberikan sumber pendapatan berterusan dan menyeimbangkan kebergantungan kepada cukai pendapatan korporat,”

Jagdev Singh, Ketua Percukaian PwC Malaysia, kepada FMT.