Apa tindakan kerajaan dan pemaju yang bawa masalah pada sekolah rendah tamil ni?

Sekali pandang, Puchong cumalah bandar biasa yang tak terlintas dalam fikiran korang pun. Tapi macam kawasan lain yang berada kat pinggir Kuala Lumpur, kawasan-kawasan ni dihimpit arus pembangunan yang pantas.

Ini adalah Vierra Residence Kinrara, sebuah kompleks pangsapuri yang besar dan luas dibina bersebelahan dengan SJKT Ladang Kinrara.

Dua buah bangunan tinggi di belakang adalah Vierra Residence dan di hadapannya adalah sekolah tu.

Apa kaitan kompleks pangsapuri ni dengan sekolah tu? Bagi yang ikut berita semasa, korang mungkin pernah dengan berita pasal sekolah ni. Pihak pemaju Vierra Residence nak besarkan jalan masuk ke kompleks tu dan minta pihak sekolah untuk runtuhkan beberapa buah bangunan dalam kawasan sekolah. Sebenarnya diorang tak minta pun. Pihak pemaju terus bagi notis dan tarikh akhir pada pihak sekolah macam tu je.

Sepatutnya masalah ni tak terjadi sebab banyak pihak yang terlibat dalam membuat keputusan ni. Antaranya termasuk ahli parlimen, pihak pemaju dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Tapi walaupun gitu, pihak sekolah sendiri langsung tak terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat ni. Bila orang ramai mula protes, barulah tiba-tiba ahli parlimen terlibat cakap yang diorang tak pernah sokong keputusan tu dan menggelabah cuba cari jalan penyelesaian. 

Untuk pengetahuan korang, ramai pelajar SJKT Ladang Kinrara merupakan kanak-kanak dari keluarga B40. Jadi, ramai budak-budak ni bergantung kepada sekolah ini bukan saja untuk belajar tapi juga sebagai tempat selamat diorang. Tapi untuk pihak-pihak dan golongan berkuasa pulak, apa yang lagi penting adalah… trafik.

Disebabkan Vierra Residence ada ramai penduduk, jumlah kenderaan pon mesti akan gila babeng

Jalan yang menuju ke pintu utama Vierra Residence ni sebenarnya terletak di bahagian tepi dan belakang SJKT Ladang Kinrara. Korang boleh tengok garisan kuning dalam gambar kat bawah: 

Tangkap layar dari Google Earth

Idea untuk melebarkan jalan sebenarnya datang daripada DBKL sendiri. Mungkin daripada jangkaan peningkatan trafik daripada 1,600 buah rumah dari kompleks pangsapuri tu. Sekarang, jalan ni cuma dua lorong. Jadi diorang cadang untuk besarkan kepada empat lorong yang akan paksa diorang meruntuhkan beberapa bangunan sekolah macam kantin, bilik muzik, dan tadika.

Semua bangunan ni terletak dekat sebelah jalan. Imej tadika dari Facebook

Tapi lepas semua masalah dan konflik timbul, DBKL akhirnya berkompromi dengan jalan tersebut hanya dibesarkan kepada tiga lorong. Mula-mula, mungkin macam kurang la tanah sekolah yang diambil kan? Sebenarnya tak. Ada satu istilah yang dipanggil anjakan apabila korang bina sesuatu bersebelahan dengan jalan. 

Anjakan ni adalah zon penampan antara bangunan dan dinding kat sekeliling bangunan (Cer tengok penghadang tinggi yang mengelilingi apartment atau kawasan sekolah). Kat kawasan ini biasanya terdapat longkang dan tanah kosong. Dalam senario ni, kalau anjakan ditambah selepas bina tembok baru untuk jalan tiga lorong, kesannya hampir sama macam buat jalan empat lorong. 

Untuk korang senang faham, tak kira jalan tiga atau empat lorong, impaknya pada sekolah akan masih teruk. Tapi ada benda lain yang lagi memeningkan kepala pasal isu ni. 

SJKT Ladang Kinrara terletak di Selangor dan KL.

Ok, cuba korang tengok garisan putus-putus warna putih dalam gambar ni.

Tangkap layar dari Google Earth

Garisan ni bukanlah garisan biasa tapi adalah garisan sempadan antara negeri. Jadi dalam situasi ni, bangunan pangsapuri baru dan jalan tu terletak dalam Wilayah Persekutuan manakala, sekolah tu pula berada dalam Selangor tapi ada sikit kawasan tanah yang masuk kawasan KL.

Mesti korang tertanya-tanya macam mana boleh jadi macam ni kan?

Citernya mula pada tahun 1946, sebelum kemerdekaan negara kita dan sebelum KL jadi Wilayah Persekutuan, sekolah tu dah pun ada. Sampailah tahun 1974, KL dipisahkan dari Selangor dan garis sempadan antara keduanya dibuat dan garisan tu dibuat terlalu hampir dengan sekolah tu. Dan disebabkan tu, sekarang dah jadi masalah.

Peta dari tahun 1960. Kuala Lumpur masih lagi sebuah bandar dalam Selangor. Imej dari Curtis Wright Maps

Kalau cam ni, maksudnya setiap negeri boleh setelkan isu sendiri tanpa perlu ambik tahu kesannya kepada pihak lain ke? Sejujurnya kami pun tak pasti. Tapi kalau macam tu, pihak berwajib patut ambil perhatian. Dalam kes ni kita dapat tengok kenapa DBKL yang buat keputusan berkenaan saiz jalan, memandangkan ia terletak dalam kawasan mereka.

Yang menariknya, Puchong sendiri terbahagi kepada empat bahagian yang berbeza. Ia berada dalam pentadbiran MBSJ (Subang Jaya), DBKL (Kuala Lumpur), MPSepang (Sepang) dan MPKL (Kuala Langat). Sekolah itu terletak di Kinrara yang berada dalam kawasan pentadbiran MBSJ. Yang peliknya, laporan awal mengatakan MBSJ juga tidak dilibatkan dalam mesyuarat yang meluluskan notis perobohan bagunan sekolah itu.

Korang mesti tertanya-tanya siapa pemaju bagi projek ni…

Fajarbaru hanya tawarkan SJKT Ladang Kinrara RM50 ribu sebagai pampasan

Untuk yang tak tahu, Fajarbaru adalah tauke besar dalam industri pembinaan negara ni. Mungkin ada diantara korang yang kenal syarikat ni daripada projek macam stesen LRT, LCCT di Sepang, dan penglibatan diorang dalam bangunan Hospital Gleneagles di Ampang. 

Papan maklumat ni menunjukkan Projek Vierra Residence dah diluluskan pada tahun 2021

Apabila isu perobohan bangunan sekolah timbul, pihak sekolah mintak Fajarbaru bina semula bangunan 3 tingkat dan bangunan kantin 2 tingkat yang akan dirobohkan.

Mungkin korang rasa kantin 2 tingkat ni macam pelik tapi dengan ruang yang tinggal terlalu kecil terutamanya selepas perobohan bangunan telah dilakukan. Jadi pihak sekolah pikkir yang kantin 2 tingkat lagi sesuai disebabkan ruang yang terhad.

Walaubagaimanapun, Fajarbaru tak setuju dengan permintaan tu. Diorang cuma tawarkan RM50,000 sebagai pampasan.

Majoriti dari kita anggap yang jumlah tu adalah besar tapi sebenarnya tak. Kalau kita lihat dari sudut lain, pada 2021, sebuah sekolah di Kuching dapat RM50,000 untuk beli perabot dan alat bantu mengajar je. Pada 2023 pula, bekas Ketua Pengarah JKR menyatakan anggaran kos untuk membina sebuah bilik darjah adalah RM90,000.

“Kos keseluruhan untuk membina sebuah bilik darjah sekarang adalah sekitar RM200 per kaki persegi. Jadi, jumlah kos untuk sebuah bilik darjah adalah kira-kira RM90,00 (RM200 x 450 kaki persegi/ bilik darjah”

Diterjemah dari Newswav.

Jadi dengan tu, korang rasa RM50,000 cukup ke sebagai pampasan untuk kantin, tadika dan bilik muzik yang dirobohkan?

Disebabkan untung projek syarikat besar, anak-anak tak ada tempat untuk makan

Fajarbaru mahukan tanah sekolah tu secepat mungkin. Dalam notis yang diorang bagi pada pihak sekolah, tarikh yang diberikan adalah pada 1 April.

Benda ni menyebabkan dilema kerana sepatutnya bangunan baru dibina dulu kemudian barulah bangunan lama dirobohkan untuk bina jalan. Tapi apa yang jadi sebaliknya, jalan tu dirancang untuk dibina dulu dan barulah bangunan sekolah baru akan dibina. Ada beberapa persoalan yang timbul:

  • Ke mana pelajar nak pergi sementara tu?
  • Adakah pelajar terpaksa makan dekat kantin yang separuh dirobohkan atau dalam bilik darjah?
  • Berapa lama projek pembinaan ni akan berlangsung?
  • Berapa lama pelajar-pelajar akan hadap perkara ni?

Bila pikir balik, kenapa pemaju dan pihak berkuasa tempatan tak berikan penyelesaian alternatif, macam mengubah kedudukan pintu masuk utama kompleks pangsapuri tu? Dan macam mana projek ni boleh diluluskan oleh DBKL, terutamanya apabila diorang tau yang jalan yang akan dilebarkan tu termasuk dalam kawasan sekolah? Sekolah tu bukannya baru dibuat semalam.

Malangnya, soalan ni tak dapat dijawab walaupun oleh pihak sekolah. Dan pihak berkuasa yang dihubungi juga tak dapat bagi jawapan. 

Apa guna kerajaan kalau tak jaga kebajikan rakyat?

Kita dapat tengok yang kerajaan dan pemaju kurang empati kepada rakyat biasa bila berdepan dengan masalah pada tanah yang diorang nak majukan. Lebih teruk, undang-undang kita sering menyebelahi pihak pemaju.

Kalau tengok Akta Pengambilan Tanah 1960 (Land Acquisition Act 1960), ia mengatakan tanah korang boleh diambil untuk dimajukan walaupun korang menentang tindakan pemaju. 

Benda ni lah yang jadi dekat Kg. Sg. Baru. Kerajaan buat plan untuk bangunkan satu kawasan ni dan walaupun kebanyakan penduduk bersetuju untuk melepaskan rumah diorang… ada ramai juga yang tak. Tapi suara diorang tak penting sebab kerajaan hanya perlukan 50% daripada pemilik hartanah untuk bersetuju projek diteruskan. 

Dan ada isu dengan projek pembangunan yang tumbuh macam cendawan lepas hujan sekarang ni. Baru-baru ni berlaku protes dalam kalangan penduduk di Sierramas dan Valencia menentang pembinaan pangsapuri baru di kawasan diorang. 

Penduduk di sana bimbang adakah jalan masuk diorang boleh tampung jumlah trafik, apatah lagi pangsapuri tu dibina di kawasan lereng bukit. Kebimbangan ni dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa tempatan. Cuba teka apa respon diorang? Tak ada apa-apa.

Jadi soalan untuk kerajaan sebagai pihak yang bertanggungjawab meluluskan projek pembangunan dan perancangan bandar, adakah korang buat semua keputusan ni untuk laksanakan tanggungjawab korang kepada rakyat… atau untuk tolong syarikat swasta untung? 

Cuba korang sebagai pembaca jawab ni untuk diorang.