- 59Share sekarang!
- Email0
- Facebook59
- Share
Sebelum ini, seluruh Malaysia heboh dengan isu Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR). Ia merupakan sebuah projek penambakan laut yang akan membentuk pulau buatan berkeluasan 1,821 hektar. Jadi, ia boleh menambahkan lagi bilangan kapasiti penduduk serta meluaskan kawasan Pulau Pinang.
Namun, projek ni mendapat maklum balas negatif daripada pelbagai pihak kerana dianggap boleh mencetuskan kemusnahan kekal ekosistem daratan lumpur, kawasan tangkapan ikan dan pendaratan penyu.
Tapi jangan risau…Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) telah dibatalkan. Hal ini kerana Lembaga Rayuan mengetepikan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) untuk projek ini.
Rentetan daripada isu ini, tahu tak sebenarnya Pulau Pinang ni boleh dianggap sebagai pulau tercemar walaupun projek tambak laut itu dibatalkan.
Berdasarkan sebuah Facebook post dari Pulau Parasit, terdapat banyak pencemaran yang berlaku di Pulau Pinang:
Okay, dah tengok en FB post tu, banyak kan pencemaran alam sekitar yang berlaku sama ada yang dah berlaku atau bakal berlaku? Jadi, apa kata kami cuba terangkan bagaimana pencemaran tersebut boleh berlaku.
Kita mulakan dengan…
1. Pencemaran laut yang berlaku di Teluk Bahang
Kalau sesiapa masih tak tahu di mana Teluk Bahang, ia sebenarnya sebuah perkampungan kecil nelayan yang terletak di barat laut Pulau Mutiara itu.
Terdapat banyak tarikan termasuk taman simpanan hutan, tempat ekopelancongan, taman tema dan terkenal dengan aktiviti akuakulturnya. Pada 18 April 2019, petani ikan di Teluk Bahang mengalami kematian besar-besaran ikan kultur, seperti kerapu, barramundi, ikan kakap emas dan merah kerana perubahan kualiti air secara tiba-tiba.
Kajian kualiti air di Teluk Bahang telah dijalankan oleh Norlaila Binti Mohd. Zanuri (Pensyarah Bioteknologi) dan barisan pengkaji lain. Dalam kajian ini, mereka menggunakan empat kaedah iaitu:
- Pengumpulan dan lokasi sampel air laut.
- Analisis nutrien.
- Analisis logam berat.
- Penentuan komposisi fitoplankton.
Berdasarkan hasil kajian, pencemaran logam berlaku di perairan Teluk Bahang dan kemungkinan kawasan tersebut tidak lagi sesuai untuk tujuan akuakultur atau rekreasi.
Terdapat versi yang panjang untuk kajian ni. Boleh tekan sini untuk membacanya.
2. Kilang kitar semula plastik secara haram punca utama Pulau Pinang tercemar
Kes operasi kilang kitar semula pastik secara haram di Pulau Pinang memang sangat teruk dan berleluasa. Ramai operator kilang sedap hati dia je buka kilang tanpa kebenaran. Pihak berkuasa pernah mencatatkan lebih kurang 400 kilang kitar semula plastik di Seberang Prai sahaja.
Tahun lepas pada bulan oktober, Malaysia dikejutkan dengan 11 kilang kitar semula plastik tidak berlesen dikesan.
Sebelum ni, pelbagai pihak telah menyuarakan isu ini lebih-lebih lagi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Mereka mendesak kerajaan membentuk pasukan petugas bagi membasmi kilang kitar semula plastik haram.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh juga mengatakan Pulau Pinang dan Port Klang ialah tempat paling banyak kilang kitar semula plastik secara haram.
“Saya percaya bahawa terdapat lebih banyak kilang kitar semula plastik tidak berlesen daripada yang sah, dan sampah terutama dibawa dari negeri lain atau diimport. Sebilangan besar kilang ini berhampiran Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang…” – Phee Boon Poh, dipetik dari The Straits Times.
Hal ini juga berkait rapat dengan lambakan kontena berisi sisa buangan plastik yang kita boleh lihat di Pulau Pinang. Oh ye, kontena yang Penang dapat ni bukan dari negeri-negeri dalam Malaysia, tetapi dari luar negara!
Pada awal Januari 2019, 265 kontena sisa buangan plastik yang dibawa ke Pulau Pinang dan telah ditinggalkan di Terminal Kontena Butterworth Utara. Sebanyak 149 daripada kontena itu di ikrarkan sebagai barangan kitar semula manakala bakinya masih belum di ikrar dan tidak memiliki Lesen Import (AP).
Menjelang Jun 2019, Penang dicatatkan mempunyai 400 kontena sisa buangan plastik. Akan tetapi, 150 kontena ni telah dihantar semula ke negara asalnya dan ia merupakan usaha dari bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
3. Sungai-sungai di Pulau Pinang yang paling kotor
Agak-agak dalam fikiran korang sungai apa yang paling kotor di Pulau Penang? Ye betul, Sungai Pinang di Georgetown. Sungai ini pernah dicatatkan salah satu daripada 12 sungai kotor di Pulau Pinang dan salah satu sungai paling tercemar di Malaysia dan Asia.
Dulu-dulu, pendapatan nelayan boleh mencecah lebih dari RM1,000 sebulan tetapi sekarang pendapatan bulanan mereka telah berkurang menjadi RM600 menjadi RM700 sahaja (tapi ni masa tahun 2010 la).
Namun, disebabkan PKP, sungai tersebut kelihatan semakin pulih kerana kurangnya aktiviti manusia (jadi, kurang aktiviti manusia, maka kuranglah aktiviti pencemaran). Walaupun sungai ni semakin pulih, tetapi longgokan sampah dan warna sungai kotor masih ada.
Kedua, kita lihat Sungai Kereh/Kreh pula (ikut korang la nak sebut yang mana nama sungai tu). Baiklah, sungai ni juga tercemar akibat daripada sisa kumbahan kandang babi.
Tahun lepas, sebanyak 26 kandang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dipercayai membuang sisa kumbahan secara terus ke Sungai Kreh.
Sungai Prai juga tercemar akibat sisa buangan daripada kilang berasaskan makanan dan kandang babi. Disebabkan pencemaran inilah sektor padi dan kelapa sawit terjejas.
Pencemaran kilang turut berlaku di Sungai Kluang. Berdasarkan kajian dari Consumers’ Association of Penang (CAP) mendapati bahawa terdapat buih mengalir ke Sungai Kluang dari zon perindustrian Bayan Lepas melalui saluran yang terletak di kawasan itu dan ia juga tersebar ke kawasan laut serta kawasan perikanan yang berdekatan.
Pencemaran di Sungai Keluang berhampiran Kawasan Perindustrian Bayan Lepas di sini disyaki berpunca dari pembuangan dari kemudahan rawatan air.
4. Aktiviti penerokaan bukit secara haram yang berleluasa
Aktiviti ini juga boleh dikatakan berleluasa di Pulau Pinang. Berdasarkan laporan dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) pada 2017, sebanyak 12 aktiviti penerokaan bukit secara haram dapat dikesan dan ia mula dikesan pada awal April 2017.
Awal April tahun ni juga kita dikejutkan dengan penorakaan bukit di Bukit Ferringhi. Berdasarkan kenyataan dari Sahabat Alam Malaysia (SAM), pengadu SAM telah menghantar tangkapan skrin dari aplikasi Google Earth kepada kami yang dengan jelas menunjukkan bahawa sebidang tanah sedang dibersihkan di bukit ini.
Semasa SAM melakukan tinjauan, mereka menemui jalan masuk yang menuju ke tanah yang dibersihkan tetapi tidak dapat pergi jauh ke dalam untuk mengelakkan pencerobohan kerana mereka tidak pasti status tanah tersebut.
Tahukah korang jika perkara ini dibiarkan tanpa melakukan tindakan, kemusnahan kawasan hutan. Kalau hujan lebat turun, hakisan tanah dan tanah runtuh akan berlaku.
Kita boleh lihat tanah runtuh yang berlaku di Tanjung Bungah pada bulan lepas. Hujan lebat berterusan menyebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang.
5. Kebakaran hutan di Pulau Pinang
Kebakaran hutan sering berlaku di Pulau Pinang. Tahun ni juga kita dapat melihat kebakaran hutan yang berlaku di Tanjung Bungah. Bayangkan betapa susahnya ahli bomba nak padam api memandangkan di situ tiada sumber air yang terdekat.
Kira-kira 7.3 hektar kawasan hutan tersebut dan mereka terpaksa mengambil enam jam untuk memadamkan api. Cuaca yang panas juga menyebabkan banyak berlakunya kebakaran hutan, belukar dan lalang. Bulan februari yang lalu, pihak bomba menerima 94 laporan mengenai pembakaran belukar dan lalang.
Fenomena cuaca panas yang melampau dan perubahan iklim antara tercetusnya pembakaran hutan ini. Pembakaran secara terbuka oleh orang yang tidak bertanggungjawab antara punca kenapa berlakunya pembakaran hutan. Jangan salahkan tuhan kalau berlakunya perubahan iklim kerana ia berlaku disebabkan kegiatan tidak bertanggungjawab oleh manusia.
Jadi…
Perlembagaan alam sekitar sepatutnya digubal
Kalau nak berbincang mengenai langkah-langkah menjaga alam sekitar ni, rasanya semua orang dah tahu en? Contohnya:
- Penghutanan semula.
- Mewartakan hutan simpan.
- Tanaman tutup bumi.
- Mengamalkan konsep 3R (Reuse, Reduce dan Recycle).
Kerajaan negeri Pulau Pinang menyasarkan untuk menanam sebanyak 200,000 pokok baharu di seluruh negeri menjelang 2023. Perkara telah disebut semasa Hari Bumi pada tahun ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo.
Bukan itu saja, Peruntukan khusus penjagaan alam sekitar dalam Perlembagaan Persekutuan boleh dilaksanakan. Maksudnya, kita masukkan peruntukan menjaga alam sekitar dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita boleh ambil contoh Artikel 16 Perlembagaan Filipina:
“Negara harus melindungi dan memajukan hak rakyat kepada ekologi yang seimbang dan sihat sesuai dengan keharmonian alam.” – dipetik dari Perlembagaan Filipina.
Kita juga boleh ambil contoh dari Perlembagaan Afrika Selatan Artikel 24:
“Semua orang mempunyai hak untuk persekitaran memuaskan secara umum yang menguntungkan pembangunan mereka.” – dipetik dari Perlembagaan Afrika Selatan.
Jadi, cuba korang bayangkan, apa akan berlaku kepada Pulau Pinang jika tidak dijaga dan tak ambil tindakan, lepastu ditambah pula dengan projek PSR kalau lulus?
- 59Share sekarang!
- Email0
- Facebook59
- Share