Ada imam pernah doakan Lim Guan Eng waktu khutbah Jumaat

Semua pun tahu, doa ni memang rapat dengan kita semua. Kalau ada kawan post gambar kahwin, semua akan doakan dengan simple #tilljannah. Kalau ada kawan post gambar tengah sambut birthday, kita akan sama-sama doakan dia panjang umur dan dimurahkan rezeki. Tapi, nanti adalah orang marah sebab perkataan murah rezeki tu. Patutnya, doakan rezeki melimpah ruah. Itu pun nak gaduhkan.

Kalau tak malu, hafal lah doa ni untuk bulan puasa nanti. Imej dari Carigold.

Apa yang menjadi pergaduhan lagi, bila doa ni mula dibacakan oleh satu pihak untuk satu pihak yang lain dengan nada yang negatif. Hanya dengan satu ayat ungkapan doa, boleh jadi kontroversi satu negara. Kali ni, kami dari SOSCILI akan pergi satu persatu peristiwa doa yang dah menimbulkan kontroversi kat negara kita ni.

1) Doa Ustaz Dusuki untuk pakatan yang jahat

Kalau Ustaz Azhar Idrus famous dengan soal jawab feqah. Ustaz Syamsul Debat pulak famous dengan ucapan ala-ala nogoghi. Manakala, kebanyakan kita yang kenal Ustaz Dusuki Abd. Rani ni sebab ceramahnya yang berkaitan alam kematian.

Kalau ada yang bukak radio Ikim dalam kereta mungkin pernah dengar suara dia. Imej dari Ikim.

Selain berceramah, dia juga memegang jawatan AJK PAS Selangor dan pernah dilantik menjadi Ahli Majlis untuk Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sesi 2016-2017. Pada bulan Mac, dah viral satu gambar surat dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dah menggantung tauliah dia untuk mengajar.

Dalam surat penggantungan tu jugak bagitahu yang dia akan dikenakan tindakan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali kalau langgar. Penggantungan ni dikatakan terkait dengan kontroversi mendoakan kehancuran “pakatan yang jahat” waktu solat hajat menyambut 10 tahun PAS berada dalam kerajaan Selangor.

“Jemaah ini dikhianati mereka yang melarikan kerusi kami ya Allah… tidakkah kamu menyebut dalam kata-kata kamu doa mereka yang dizalimi tidak akan ditolak, kami pohon segala pakatan mereka rancang dihancur lebur.

Jadikan pakatan yang jahat itu pakatan-pakatan yang tidak mempunyai kekuatan sejauh mana kamu dah lebur tentera Ahzab demikian kami akan hadapi nanti.”- Petikan doa Ustaz Dusuki, diambil dari The Malaysian Insight.

Wajah kesungguhan waktu membacakan doa ni. Imej dari Harakahdaily.

Pihak MAIS terima aduan dan laporan pasal benda ni mengikut kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) Tahun 2008 Pindaan 2015. Bawah ni adalah 6 sebab kenapa tauliah seseorang tu boleh digantung dan ditarik:

1) Pemegang tauliah telah melanggar atau tidak mematuhi atau tidak menjalankan mana-mana terma, syarat atau sekatan yang dinyatakan dalam tauliah

2) Pemegang tauliah memberi ceramah umum atau mengajar pengajaran Agama Islam secara bertentangan dengan syariah atau aqidah Islamiah

3) Pemegang tauliah memberi ceramah umum atau memberi pengajaran Agama Islam yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan benci atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau bagi mengembangkan pesanan buruk sangka dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia

4) Pemegang tauliah memberi tafsiran yang tidak tepat, keliru atau menyeleweng dari ajaran sebenar agama dalam ceramah umum atau pengjaran Agama Islamnya

5) Pemegang tauliah tidak mematuhi apa-apa arahan, larangan atau perintah yang diberikan secara sah oleh MAIS atau Jawatankuasa; atau

6) Pemegang tauliah berkelakuan dengan cara yang mencemarkan Agama Islam

Agak-agak mana satu yang Ustaz Dusuki ni kena? Tepuk dada dan tanya kawan sebelah. Jadinya, kalau dah digantung tauliah, dia juga digantung daripada mengajar agama atau apa-apa perkara berkenaan Islam di negeri Selangor.
Ustaz Zamihan adalah antara orang yang ditarik tauliah untuk mengajar di Selangor. Imej dari Penyusakti.wordpress.

2) Doa Nik Razi supaya UMNO dan BN K.O

“Ya Allah… Hukumkanlah Umno dan BN. K.O. BN, K.O. BN, BN K.O., BN K.O. dalam pilihan raya umum ke-13 ini, ya Allah.”- Petikan doa Nik Razi, diambil dari Malaysiakini.

Inilah sebahagian petikan bacaan doa oleh Nik Razi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan sempena muktamar PAS ke-58. Bacaan doa ni dah mendapat kritikan ramai pihak sama ada pimpinan parti yang di KO kan tu mahupun Ketua Pengarah JAKIM waktu tu, Datuk Othman Mustapha.

“Jika kita meneliti sejarah baginda Rasulullah S.A.W. sendiri, beliau tidak pernah berdoa untuk kecelakaan umatnya walaupun Rasulullah pernah dicaci maki oleh orang yang membenci perjuangannya.”- Datuk Othman Mustapha, petikan dari Malaysia Kini.

Waktu sekolah dulu punya nota. Imej dari Slideshare.

Bagi Dr. Masitah (bekas Senator), PAS terlalu mempolitikkan agama dan menjadikan agama sebagai senjata politik untuk menarik undi. Dalam kritikan tu, Datuk Mahfodz Mohamed (Pesuruhjaya PAS Johor) menjawab yang doa itu bukanlah arahan dari pihak tertinggi PAS, tapi kehendak Nik Razi sendiri yang dijemput menjadi imam. Doa Nik Razi timbul berdasarakan situasi di Kelantan yang dapat tekanan daripada UMNO dan BN dengan cukup hebat.

Tuan Ibrahim Tuan Man (kini Timbalan Presiden PAS) mengingatkan yang isu doa ni ada pihak yang cuba nak hangatkan dan menunjukkan UMNO dalam ketakutan. Baginya, kalau UMNO rasa doa tu tak betul, diorang boleh je doa yang lain pulak. Pihak pemuda UMNO melalui Khairy Jamaluddin pun bagilah respon yang diorang takkan buat macam tu. Cumanya, diorang doakan agar ahli PAS selamat dan kembali ke pangkal jalan supaya tak sesat bawah ketaksuban pemimpin yang suka sebar kebencian.

Nik Razi yang merupakan adik kepada arwah Tuan Guru Nik Aziz. Imej dari Demitinta Blogspot.

Lepas beberapa tahun berlalu, pada tahun 2015, Bung Mokhtar dah gunakan isu doa ni dengan mengaitkan banjir yang menimpa Stadium Sultan Muhammad IV kerana dulu PAS doakan kehancuran orang lain. Sebab sebelum ni, stadium tu tak pernah banjir sejak beratus tahun kecuali lepas peristiwa doa tu.

3) Doa untuk Lim Guan Eng di khutbah Jumaat

Entah perasan ke tak khatib baca doa apa tu. Sumber dari Youtube Omar Khalid.

Isu doa sebelum ni adalah antara PAS dan Pakatan Harapan serta UMNO-BN. Di Pulau Pinang, ia berlaku antara khatib dengan pihak parti politik. Waktu solat Jumaat, ada seorang khatib, Zakaria Ahmad dah mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Dia kemudiannya diminta beri keterangan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Dia mengakui yang berdoa untuk orang bukan Islam tak salah, cuma cara dan tempat berdoa tu yang salah. Jadi, lepas ni, dia tetap akan doakan Ketua Menterinya tapi ditempat lain. Tujuan dia bacakan doa tu untuk menaikkan imej pemimpin tu. Sebenarnya, dia yang merupakan adik mufti negeri Pulau Pinang dah lama mendoakan Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat sejak 2 tahun lagi sebelum peristiwa yang menyebabkan dia kena jumpa MAIPP ni.

Zakaria Ahmad tersenyum ceria. Imej dari Sejarahmelayu Blogspot.

Di Pulau Pinang juga pada tahun 2012, pernah berlaku satu isu yang mana ada seorang khatib didakwa mendoakan supaya kerajaan digulingkan pada PRU akan datang. Tindakannya ini dah menyebabkan UMNO Pulau Pinang meminta supaya MAIPP menyiasat khatib tadi. Tapi, baginya…

“Saya tak sebut pun nak jatuhkan kerajaan BN (Barisan Nasional) atau PR (Pakatan Rakyat). Kenapa individu berkenaan perlu terasa hati? Saya hanya berdoa, tujukan pada pemimpin yang zalim, yang rasuah supaya dikalahkan (dalam pilihan raya).

Sepatutnya tak timbul sebarang isu, sebab saya tak sebut atau tujukan pada kerajaan pun.”- Khatib tersebut, dipetik dari Sinar Harian.

Susah nak tentukan siapa yang zalim. Semua pandai menangis. Imej dari Gop Tea Pub.

Bagi Timbalan Pengerusi Umno Negeri waktu tu, Datuk Musa Sheikh Fadzir mengatakan yang tindakan khatib tu disifatkan menghasut dan cuba memecah belahkan umat Islam. Kalau perhatikan baik-baik, kebanyakan isi doa yang jadi kontroversi ni sebab mendoakan sesuatu pihak lain yang dirasakan zalim. Adakah benda ni dibenarkan dalam agama? Apakah pernah berlaku pada zaman Nabi atau sahabat?

Gabenor mendoakan rakyat yang menuduhnya tak betul

Benda ni ada dibahaskan oleh Dr. MAZA (Mufti Perlis) dengan mengambil dua kisah para sahabat nabi dalam kitab hadith Sahih Muslim. Kisahnya bermula…

“Said Bin Zaid (antara 10 orang sahabat Nabi yang dijamin syurga), dia telah berdoa kepada seorang perempuan bernama Arwah Binti Aus. Kerana Arwah Binti Aus tuduh dia curi tanah. Dan kes ini diangkat kepada Marwan Bin Hakam (pemimpin waktu tu).

Said kata dalam doanya, “Ya Allah, jika dia bohong, maka, butakan mata dia dan bunuh dia di atas tanah ini.”

Diakhir hidup Arwah bin Aus, dia menjadi buta dan mati dalam lubang di tanahnya. Dan dia selalu cakap dia terkena doa Said Bin Zaid. Selain tu, ada juga kisah pemimpin yang doakan rakyat yang mendakwa dia tak betul. Kisahnya terjadi waktu Saad Bin Abi Waqas (antara 10 sahabat yang dijamin syurga) menjadi gabenor di Kufah.

Senarai penuh 10 sahabat Nabi yang dijamin syurga. Imej dari Ekonurwidianto.

“Dia telah dituduh sebagai tak betul pemerintahannya, Saidina Umar pecat dia dan gantikan dengan Ammar Bin Yasir. Saidina Umar selidik kes ini dan bawa dia (Saad Abi Waqas) dari masjid ke masjid untuk tanya rakyat, dia bagus ke tak.”

Bila diselidik, semua rakyat rupanya kata dia bagus kecuali di masjid Bani ‘Abs. Di situ ada individu bernama Usamah Bin Qatadah yang juga dikenali sebagai Abu Saadah. Dia cakap kepada semua bahawa Saad bin Abi Waqas ini tak menyertai peperangan, tak membahagikan harta secara adil dan tak berhukum dengan cara yang saksama. Waktu tu Saad tak cakap apa-apa tapi hanya berdoa untuk tiga benda.

“Ya Allah jika sekiranya dia ini, buat kenyataan ini kerana nak menunjuk-nunjuk kat orang, bohong, maka, panjangkan umurnya, panjangkan kefakirannya dan dedahkan dia kepada fitnah.”

Menurut ahli sejarah, Usamah Bin Qatadah di akhir hayatnya, dia hidup hingga tua sampai bulu mata jatuh. Dia miskin, banyak keluarga serta suka mengorat dan meraba anak gadis di jalan walaupun dah tua.

Kalau takde pangkat Datuk, ini je cara nak tunjuk yang orang tua masih berkemampuan

Memahami makna sebenar doa dan sentiasa berpada-pada

Dalam penerangan oleh Dr. Zulkifli Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) mengenai makna sebenar doa, dia dah ambil pendapat Imam al-Khattabi yang mengatakan doa ni adalah permohonan untuk pertolongan dan bantuan oleh seorang hamba kepada Tuhannya.

“Hakikat doa itu adalah menzahirkan kefakiran, kelemahan dan kehinaan diri kepada Allah yang di dalamnya terpateri pengagungan terhadap Allah SWT dan mengiktiraf sifat kemuliaan dan pemurah-Nya.”- Petikan dari laman web Mufti WP.

Berdoalah dengan penuh pengharapan. Imej dari Hiveminer.

Dalam bab mendoakan keburukan orang yang zalim, para ilmuwan Islam berpendapat lebih afdhal untuk kita memaafkan. Tapi kalau nak doa juga, ianya mesti berlapik macam sahabat Nabi buat. Tak perlu letak nama sebiji sebab takut orang yang kita sangka zalim tu, tak zalim sebenarnya. Bawah ni contoh ayat berlapik menurut Dr. MAZA.

 “Ya Allah, jika dia ini dusta, jika dia ini zalim, jika dia ini jahat dan jika dia buat aniaya aku.”

Nampaknya, benda ni dah pun ada jawapan. Cumanya, amalan doa ni jadi kurang baik bila ahli-ahli politik membacanya di khalayak ramai tanpa memikirkan orang awam yang tak terlibat dengan parti politik ni mendengar dan lihat. Semestinya akan mendatangkan fitnah yang memburukkan lagi erti sebenar doa. Semoga kita semua berpada-pada.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT