Kesatuan Eropah nak boikot minyak sawit? Ini sebenarnya usaha kita yang mereka tak nampak

UPDATE 21/1/2018: Cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk melarang import minyak sawit boleh menjejaskan masa depan kira-kira 650,000 pekebun kecil kat Malaysia. Alasan mereka adalah perladangan kelapa sawit menyumbang kepada kemusnahan hutan.

Menjelang 2020, EU hanya akan menerima minyak sawit yang mapan (ditanam secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar dsb), contohnya yang mendapat cop RSPO. Tapi sebenarnya kat Malaysia sendiri, usaha ke arah penanaman yang bertanggungjawab ini sudah lama dimulakan, seperti yang akan kami ceritakan di bawah.


Baru-baru ni, SOSCILI kena jemput ke Sandakan untuk mengetahui lebih lanjut pasal sebuah usaha dari Sabah untuk menyelamatkan hutan mereka. Secara khususnya, macam mana nak menghentikan kemusnahan yang berpunca daripada amalan penanaman kelapa sawit yang biasa dibuat di seluruh dunia.

Macam yang korang tahu, kat Malaysia sendiri banyak hutan yang kena sapu bersih atas sebab-sebab yang berbeza, contohnya pembalakan dan pembangunan. Tapi sepanjang lawatan kami kat Sandakan, kami mula sedar akan satu perkara…

Kali ni, Sabah memang bukan main-main. Gambar asal dari Thumbs and Ammo.

Sebuah operasi sedang dijalankan di Sabah yang diketuai oleh Datuk Sam Mannan, Ketua Penjagaan Hutan dari Jabatan Perhutanan Sabah. Dia juga merupakan pemenang anugerah WWF (yang ada logo panda, bukan yang wrestling tu eh).

Kita ni boleh kata, dalam situasi yang terdesak. Kalau kita tak buat sesuatu yang praktikal dan diterima masyarakat, tekanan ke atas hutan hujan dan tanah yang kita peruntukkan untuk hutan simpan akan berkurangan dan kita akan kehilangan sebahagian besar daripadanya” – Datuk Sam Mannan, bercakap tentang penjagaan hutan di Sabah.

Dia memainkan peranan yang penting dalam menandatangani sebuah perjanjian yang akan memastikan seluruh NEGERI akan menghasilkan minyak sawit yang mapan. 

Dalam kes Sabah, ‘mapan’ ni maknanya kita dapat meneruskan perladangan kelapa sawit tapi dalam dalam masa yang sama menjaga hutan yang ada. Tapi ada sebab yang lain kenapa perkara ni sangat penting, dan antara salah satu sebabnya adalah kes boikot yang selalu disuarakan oleh negara-negara Eropah…

Apa sebenarnya sebab Kesatuan Eropah nak boikot minyak sawit?

Industri sawit memang penting buat ekonomi kita. Malaysia dan Indonesia je mengeluarkan 90% bekalan minyak sawit dunia! Kalau korang nak tahu, minyak sawit ni bukan setakat digunakan untuk memasak je, tapi jugak dalam mee segera, coklat, ais krim, syampu, dan banyak lagi! Memang minyak serba boleh.

Imej daripada memegenerator.com

Jadi bila Kesatuan Eropah (EU) bagi cadangan untuk boikot minyak sawit, ada yang kata mereka sengaja buat benda tu untuk promote minyak dorang sendiri. Antara kontroversi yang selalu dikaitkan dengan minyak sawit adalah jerebu, kemusnahan hutan dan juga kemusnahan habitat haiwan liar.

Tapi alasan ni tak berapa tepat sebab berbanding minyak sayuran lain, minyak sawit lebih tahan lama dan juga boleh membuahkan hasil terbanyak bagi setiap hektar. Jadi kalau EU nak keluarkan kuantiti yang sama dengan minyak sayuran lain, kesannya terhadap alam sekitar boleh jadi jauh lebih teruk berbanding minyak sawit!

Jadi berbalik kepada usaha yang cuba dilakukan oleh Datuk Sam Mannan dan negeri Sabah tadi, ianya sangat penting untuk ekonomi kita kerana…

Ia boleh menjadikan minyak sawit Sabah mendapat permintaan tinggi di dunia!

Kat sinilah kawan kami di Roundtable for Sustainable Palm Oil (RSPO) ingin menyelesaikan masalah ni (kami pernah tulis pasal mereka di sini).

RSPO adalah sebuah badan yang ditubuhkan pada tahun 2004 untuk menggalakkan semua pihak yang terlibat dalam industri sawit supaya lebih bertanggungjawab. Sebab itulah mereka bekerjasama dengan lebih daripada 3,500 buah organisasi yang lain.

Gambar kat bawah ni menerangkan matlamat-matlamat RSPO secara ringkas.

Klik sini untuk baca pasal misi RSPO.

Standard RSPO memang diiktiraf oleh jenama-jenama besar dunia. Malah Uniliver (yang buat teh Lipton, aiskrim Cornetto, dan aiskrim Magnum korang) pernah berhenti mengambil minyak sawit daripada sebuah pembekal yang digantung sijil RSPO buat sementara.

Jadi macam mana nak dapatkan sijil RSPO ni? Ini caranya – mereka akan memantau pembekal minyak sawit daripada peladang kecil sampailah kilang-kilang besar untuk memastikan kriteria-kriteria tertentu dipenuhi. Produk macam Lipton pun boleh dapat cop RSPO selagi semua pihak dalam rantai pembekalnya juga diiktiraf oleh RSPO.

Tapi walaupun RSPO ni memang sangat dipercayai di peringkat dunia, ada satu komplen yang sering diperkatakan – ia susah nak dilaksanakan sebab ia melibatkan banyak pihak. Dan benda inilah yang nak diselesaikan oleh Sabah, sebab apa yang mereka nak buat adalah…

Sabah nak mengiktiraf seluruh negerinya dengan RSPO, pertama kali dilakukan di dunia!

Event yang kami pergi ni dianjurkan bersama oleh RSPO dan Jabatan Perhutanan Sabah, untuk menjelaskan kepada wartawan pasal usaha untuk mengiktiraf seluruh negeri sebagai pembekal minyak sawit mapan. Pengiktirafan peringkat negeri ni dipanggil sebagai ‘Jurisdictional Approach‘.

Datuk Sam Mannan, Ketua Penjagaan Hutan dari Jabatan Perhutanan Sabah di tengah; dan juga Cynthia Ong, Pengerusi Lembaga dan juga Ketua Eksekutif Fasilitator di Forever Sabah, di sebelah kiri beliau dalam gambar. Foto diambil daripada sidang media.

Sewaktu sidang media, Datuk Sam Mannan memang jujur habis bila bercakap tentang sebab utama mereka nak laksanakan cop RSPO ke seluruh negeri ni:

Sebab yang utama, daripada pandangan peribadi saya, adalah untuk survival. Kita ni kecil je, lebih kurang 1.6 juta hektar… Jadi kenapa datang ke Sabah?

Apa yang istimewanya? Dari segi harga kita kalah, kos pun mungkin kita kalah… Tapi kita ada benda jurisdictional ni. Mereka datang ke Sabah sebab jenamanya. Sebab kualiti yang bagus, penjagaan alam sekitar, pengurusan yang baik dan sebagainya. – Datuk Sam Mannan, dalam sidang media di Sandakan. 

Kalau benda ni berjaya, Sabah akan jadi negeri pertama di dunia yang diiktiraf RSPO menjelang 2025, dan boleh menjadi contoh kepada kerajaan atau negara lain untuk ikut! Dari 2016 hingga 2020, kerajaan Sabah dah peruntukkan US$1bilion untuk mencapai misi yang sangat-sangatlah besar – PEMBASMIAN HUTAN SIFAR.

Ini bukan benda mudah. Sedangkan pekebun kecil pun kena lalui macam-macam pantauan untuk memastikan mereka mematuhi kriteria-kriteria RSPO, inikan lagi satu negeri!

Walaupun perkara ni akan memerlukan banyak kerja dan menelan banyak belanja pada mulanya – ia akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang, sebab pekebun atau kilang-kilang tak perlu mohon cop RSPO satu-persatu – asalkan minyak sawit tu datang dari Sabah, confirm ada cop RSPO.

Jadi kalau syarikat macam Unilever dengar pasal minyak sawit dari Sabah, mereka boleh terus yakin dengan reputasi kita dan terus beli!

Unilever sendiri pun cuba promote penggunaan minyak sawit mapan di peringkat dunia.

Macam kami cakap tadi, nak laksanakan benda ni bukan senang. Mula-mula, mereka kena pastikan kawasan hutan mana yang perlu dijaga dan tak boleh dimusnahkan. Langkah-langkah seterusnya… adalah sangat kompleks jadi kami bagi gambar rajah kat bawah ni bagi siapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut:

Klik sini untuk fail PDF penuh.

Selain daripada menjaga hutan dan haiwan liar, Sabah juga ingin memastikan:

  • Hak orang asal terjaga. Bila bercakap pasal hutan, memang tak boleh lepas daripada bercakap pasal orang asal. Untuk memastikan hak-hak mereka ni terjaga, penerangan dan perjanjian yang menyeluruh dilaksanakan melalui satu polisi yang dipanggil sebagai FPIC (‘Free, Prior and Informed Consent’).
  • Pekebun kecil mengamalkan penanaman secara bertanggungjawab. Pekebun kecil biasanya tak ambil kisah pasal RSPO sebab mereka tak tahu apa manfaatnya. Jadi kerajaan akan menganjurkan sesi latihan supaya mereka dapat menjaga alam sekitar dan juga meningkatkan pendapatan!

Menurut Cynthia Ong, Ketua Eksekutif Fasilitator Forever Sabah, sesetengah pekebun hanya menuai 20% daripada hasil tanaman yang sepatutnya! Kat sinilah RSPO boleh bagi nasihat macam mana nak tingkatkan kecekapan mereka.

Wild Asia, sebuah social enterprise tempatan, memainkan peranan yang penting dalam mencari pekebun-pekebun kecil ni dan mendapatkan cop RSPO secara berkumpulan. Kami sempat bersembang dengan salah sorang pekebun ni, Titi Bonsilon:

“Saya tak tahu apa-apa sangat waktu dulu. Saya biasanya sembur racun kat keseluruhan kawasan, mati semua tumbuh-tumbuhan sekeliling. Tapi selepas RSPO, saya sebenarnya boleh menjimatkan penggunaan bahan kimia.

Produktiviti pun dah meningkat. Dulu (sebelum RSPO), paling banyak pun saya boleh dapat 6 ke 7 tan. Bulan lepas, saya dapat 20 tan.” – Titi Bonsilon, dalam temuduga dengan SOSCILI

Salah satu kriteria RSPO juga adalah memastikan kebajikan pekerja terjaga. Untuk mencapai objektif ni, Wilmar (salah satu pengeluar besar minyak sawit terbesar di dunia) dah melakukan macam-macam inisiatif, termasuklah menyediakan…

Rumah dan pelajaran percuma buat keluarga pekerja

Kat Sandakan, kami sempat melawat kilang dan kebun kelapa sawit milik Wilmar. Macam organisasi lain yang terlibat dengan RSPO, Wilmar sangat komited dalam memastikan setiap aspek dalam pengeluaran minyak sawit terjaga termasuklah pekerja-pekerja mereka. Kat Wilmar je, jumlah pekerja mereka mencecah 90 ribu orang di seluruh dunia!

Selain daripada gaji yang setimpal buat para pekerja, Wilmar juga bagi rumah serta kemudahan-kemudahan lain seperti pusat penjagaan kanak-kanak, perpustakaan, dan sebagainya. Jadi bagi keluarga yang ada anak kecik, ringanlah sikit beban bila kedua-dua suami dan isteri pergi kerja.

Ramai di antara pekerja-pekerja di industri minyak sawit di Malaysia adalah pekerja asing. Dan korang mesti biasa dengar pasal majikan yang pegang passport pekerja masing-masing, sebab takut mereka lari. Tapi sebenarnya amalan ni adalah salah di sisi undang-undang.

Jadi dalam usaha untuk menjaga kebajikan pekerja, Wilmar telah memperkenalkan locker passport, di mana pekerja diberi kunci masing-masing, jadi mereka boleh ambil passport bila-bila masa.

Seorang pekerja dari Sapi Plantation berkata, bila keluarganya memerlukan bantuan di Indonesia, dia dapat balik dengan segera, tanpa perlu melalui prosedur yang panjang. – Wilmar.

Locker passport untuk para pekerja.

Usaha ni sangat besar untuk dilaksanakan… tapi sangat diperlukan demi ekonomi kita

Menurut Centre for International Forestry Research (CIFOR), industri kelapa sawit adalah sebab utama Sabah dan Sarawak hilang sehingga satu pertiga daripada hutan mereka dalam tempoh empat dekad yang lepas. Sebab itulah usaha Sabah dengan kerjasama RSPO sangat diperlukan untuk menghentikan pembasmian hutan ini daripada menjadi lebih teruk.

“…di seluruh dunia, perkara ini adalah isu yang kritikal, sebab peningkatan hasil membawa kepada pembasmian hutan. Tapi dengan menggunakan standard (RSPO) ini, peningkatan hasil membawa kepada kecekapan dan pengurusan yang lebih baik.

Sebab kalau permintaan meningkat dua kali ganda dalam 20 tahun akan datang, kita perlu duduk di mana? Takkan kita nak tingkatkan kebun kelapa sawit dua kali ganda jugak? Kita semua akan tinggal dalam kebun kelapa sawit!” – Cynthia Ong, Forever Sabah, dalam sidang media kami di Sandakan

Harapan kami adalah usaha ini akan betul-betul membuahkan hasil dalam jangka masa yang panjang. Tapi untuk betul-betul berjaya, mereka memerlukan kerjasama daripada satu lagi pihak…. iaitu daripada pengguna sendiri.

Adakah korang akan menyokong dan membeli produk berasaskan minnyak sawit yang dibuat secara bertanggungjawab ni? Bagitau kami dalam ruangan komen!