Kisah kaum yang sembuh selepas minum air kencing unta

Baru-baru ni  Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Iman), minta para jemaah Malaysia yang ada kat tanah suci supaya berhenti dari minum air kencing unta. Sebabnya, virus MERS-CoV dari unta ni sangat bahaya dan kita kena hati-hati dari terjangkit. Minum air kencing unta? Biar betul?

Sebenarnya kami kat SOSCILI ni pun terkejut bila dengar. Macam mana boleh ada orang yang sanggup minum kencing unta. Tapi sebelum cerita dengan lebih panjang, kita bincang dulu pasal virus MERS-CoV ni.

Pada 1 Januari lepas, seorang lelaki berusia 55 tahun dah dikesan positif MERS-CoV lepas balik dari tunaikan umrah. MERS-CoV ni sebenarnya singkatan dari Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus. Dekat Arab Saudi je, dianggarkan 502 orang maut disebabkan virus ni. Disebabkan itu jugalah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) ada bagi nasihat supaya para jemaah haji dan umrah tak lawat mana-mana ladang unta.

Klik imej untuk tahu lebih lanjut. Imej dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut WHO, virus ni berjangkit ke manusia secara langsung atau tak langsung dari unta yang dijangkiti. Buat masa sekarang, antara negara yang terkena virus ni adalah Mesir, Oman, Qatar dan Arab Saudi.

Asal usul dari mana virus ni datang masih lagi belum dapat dikenal pasti secara tepat, tapi analisis bagitau yang ia dibawa daripada kelawar kepada unta. Walaupun begitu, apa yang pasti virus ni memang bahaya dan sesiapa yang ada simptom-simptom tu, cepat-cepatlah pergi hospital.

Minum air kencing unta, memang berkhasiat ke?

Itulah apa yang kita nak bincang sekarang ni. Kalau sesiapa yang pertama kali dengar mesti terkejut. Mana taknya, minum air kencing unta! Siapa yang sanggup?

Tapi sebenarnya amalan minum air kencing unta ni dah wujud sejak sekian lama, malah ia dikuatkan lagi dengan adanya hadis sahih. Ya, memang ada hadis sahih pasal minum kencing unta. Ia adalah;

Dari Anas bin Malik bahawa ada beberapa orang dari kabilah Urainah datang kepada Rasulullah s.a.w. di Madinah. Lalu mereka mendapati bumi Madinah tidak sesuai dengan mereka.

Rasulullah s.a.w. pun berkata kepada mereka: ‘Jika kamu mahu, keluar ke tempat unta sedekah, di situ kamu boleh minum susunya dan air kencingnya. Maka eloklah kamu melakukan begitu’. Mereka pun menurut apa yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Mereka pun sihat… – Hadis riwayat Muslim.

Foto Madinah zaman dulu-dulu. Imej dari nativepakistan.com

Berdasarkan hadis ini, jelas menunjukkan air kencing unta dan susunya boleh dijadikan sebagai ubat. Buktinya, bila kaum ni minum, sakit diorang sembuh dan jadi sihat. Walaupun macam tu, ia tetap timbulkan persoalan kat minda kita. Bukan ke air kencing tu najis dan kita diharamkan dari minum atau makan najis?

Sebenarnya pasal masalah tahi dan air kencing binatang ni, ulama ada beberapa pandangan. Menurut Mazhab Syafie dan Mazhab Hanafi, semua tahi dan air kencing binatang adalah najis. Tapi ikut Mazhab Maliki, kalau binatang tu halal dimakan macam lembu, kambing, unta dan sebagainya.,tahi dan air kencingnya tak najis.

Penat unta tu. Imej dari metro.co.uk

Jadinya, kalau kita ikut Mazhab Maliki, tak salahlah untuk kita minum air kencing unta bersandarkan kepada hadis tersebut. Tapi macam mana pulak dengan Mazhab Syafie yang kata tahi dan air kencing dari semua binatang semuanya najis? Macam mana dengan kedudukan air kencing unta?

“Dijawab hal ini oleh ulama-ulama Mazhab Syafie. Bahawa minum air kencing (unta) ini untuk berubat atas dasar darurat. Sebagaimana diharuskan memakai sutera pada ketika perang misalnya, dengan alasan darurat.” – Maulana Asri Yusoff, dipetik dari al-Ahkam.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=569&v=EokYDzJDzeM

Kita kena faham tujuan hadis ni, jangan ambil secara literal je

Itulah yang sepatutnya umat Islam buat bila dengar hadis ni atau dengar kes orang minum kencing unta. Sebabnya, kita juga ke faham konteks kenapa Rasulullah s.a.w suruh kabilah ni minum air kencing unta.

“Kewujudan hadis ini tidak boleh dilihat sebagai satu arahan wajib atau dikombinasikan dengan beberapa hadis lain yang berkaitan dengan kaedah berubat. Pengesyoran Rasulullah SAW kepada suku Ukal (atau Urainah) itu adalah khusus kepada mereka yang ditimpa sakit, bukannya kepada semua orang.” – Dr Suhazeli Abdullah, dipetik dari Harakah Daily.

Unta pun minum air yang ditapis dan dinyahsejatkan tau. Imej dari The Guardian.

Jadinya, pada yang tak ada penyakit tu, jangan cuba-cuba cari penyakit. Tambah Dr Suhazeli, sesuai dengan kedudukan Nabi dan mukjizat yang diturunkan kepadanya, baginda mengatakan perkara tu adalah kaedah perubatan yang sesuai untuk zaman tu. Menurutnya lagi, kita juga boleh tengok pendapat yang dikeluarkan oleh Imam Nawawi yang mengatakan…

Harus berubat dengan najis itu hanyalah apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haramlah berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.” – Dipetik dari suhazeli.com.

Selain dari hadis berubat dengan kencing unta, kita juga mungkin pernah dengar tentang hadis-hadis lain yang bercakap soal perubatan. Antaranya pasal habatus sauda, madu lebah, berbekam dan sebagainya.

“Pada habbatus sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Dan hadis tentang madu lebah (bukan madu lain).

“Ambillah atau pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu madu dan al-Quran.” – Hadis riwayat Ibnu Majah.

Antara produk yang gunakan habbatus sauda.

Menurut Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin (Dr Maza), Ibnu Khaldun pernah kata yang Nabi datang ke dunia ini bukan untuk mengajar pasal makanan, tapi sebenarnya mengajar syariat. Sebabnya, sebelum Nabi datang pun, amalan memakan atau meminum ini semua dah pun diamalkan. 

Tapi ada satu perkara yang kita tak boleh tolak dan kufur, ia adalah tentang khasiat madu sebab ia disebut dalam al-Quran (Surah an-Nahl: 69). Bagaimanapun, dalam kes habatus sauda, ia masih boleh dibicarakan.

“Nabi sebut (tentang habatus sauda) dalam konteks orang Arab. Sebab itu al-hafiz Ibn Hajar megatakan, habatus sauda ini manfaat untuk iklim panas dan tidak untuk iklim sejuk. Bukan untuk semua keadaan. Tapi, Nabi bercakap dalam konteks itu (Arab).

Macam Nabi kata ‘sesungguhnya arak dari dua jenis pokok ini, iaitu tamar dan anggur’. Nabi bercakap kepada orang Madinah. Dalam konteks masyarakat Madinah dua jenis tu boleh jadi arak. Tapi arak boleh dibuat dari banyak lagi benda.” – Dr Maza, dipetik dari World Kuliah.

Lepas tu, walaupun Nabi cakap tentang habatus sauda, Nabi tak sebut berapa kadarnya untuk dimakan dan macam mana caranya ia kena dimakan. Jadinya, semua tu kita kena rujuk dengan pakar perubatan atau dijalankan kajian ilmiah. Sesuai dengan suruhan agama yang minta kita berfikir dan mengkaji ciptaan Allah SWT. Bukan hanya terima je secara literal.

Ibnu Sina, salah seorang saintis agung Islam. Imej dari bersamadakwah.net

Selain tu, ada juga Nabi sebut pasal berbekam. Malah banyak hadis yang cerita pasal bekam ni dan Nabi sendiri selalu berbekam. Tapi disebabkan kita dah terlanjur cerita soal najis tadi, sebenarnya ada juga kisah pasal sahabat yang minum darah bekam nabi dan air kencing nabi.

Kisah sahabat yang meminum darah bekaman Nabi

Dalam Islam memang dah ditetapkan yang tahi, air kencing dan darah manusia sebagai najis. Tapi masih ada khilaf tentang status air kencing dan darah Rasulullah SAW, sebabnya ada satu bab yang dikenali sebagai tabarruk (ambil berkat) dengan barang dari Nabi. Antaranya ada sahabat yang bertabarruk dengan sisa wuduk Rasulullah SAW (klik sini untuk baca kisahnya).

Tapi mungkin kisah tu agak biasa dan tak berapa ganjil. Walaupun begitu, ada juga kisah yang agak pelik dan ganjil macam kisah sahabat yang minum darah bekam Rasulullah SAW.

“Dalam hadis sahih, Nabi pernah berbekam. Lepas berbekam, darah yang dibekam itu diletak dalam satu bekas. Nabi melihat sahabat dan panggil seorang sahabat: ‘Aku amanahkan kepada kamu, bawa darah bekam aku ini dan pergi tanam di tempat orang tak nampak’. Sahabat ambil darah itu dan pergi menghilangkan diri.

Nabi tunggu dia dan dia balik. Kemudian Nabi tanya dia: ‘Apa kamu buat dengan darah aku?’ Dia kata: ‘Aku telah simpan ia dan hilangkan ia di tempat yang orang tidak nampak’. Nabi tanya dia: ‘Kamu tanam di mana?’ Dia keberatan menjawab: ‘Aku hilangkan ia dalam perut aku ya Rasulullah’.

Dia minum darah itu. Nabi kata: ‘Perut kamu tak akan kena penyakit selama-lamanya dan kamu akan selamat dari neraka selama-lamanya’.” – Allahyarham Tuan Guru Haron Din. Dipetik dari Syamil Production.

Antara contoh terapi bekam zaman sekarang. Imej dari jasabekamruqyah.com

Selain dari kisah ini, ada juga kisah sahabat yang dah minum air kencing Rasulullah SAW (kIik sini untuk baca kisahnya). Apa yang pasti, bila kita dengar dan baca kisah-kisah ni, mesti ada di antara kita yang rasa pelik ataupun macam tak berapa percaya. Tapi jangan risau sebab ulama dah pun menjawab persoalan yang macam ni.

Menurut Maulana Asri Yusoff, apa yang dilakukan oleh sahabat dalam kes minum darah dan air kencing Nabi ni tak boleh dibuat pegangan dan dijadikan contoh. Sebab, sahabat yang buat perkara ni berada dalam keadaan “di luar kawalan perasaan”. Senang kata dalam keadaan tak sedar.

“Kita juga kena tengok seramai-ramai sahabat lain itu. Mereka ada buat perkara yang sama ke? Sahabat besar semuanya sayangkan Nabi, malah isteri-isteri Rasulullah juga. Tapi mereka tak pernah buat. Sebabnya Nabi dah jelas ajar sahabat, air kencing itu najis, darah itu najis dan sebagainya.” – Maulana Asri Yusoff, pendakwah dan ahli hadis.

Bagaimanapun, Maulana Asri tak nafikan ada benda yang Nabi bagi kepada para sahabat macam rambut baginda. Tapi Nabi tak pernah bagi air kencing atau darahnya kepada sesiapa untuk disimpan atau sebagainya.

“Yang buat perkara macam ni pun hanya sahabat-sahabat biasa sahaja, bukannya sahabat-sahabat yang besar. Sahabat ini biasa ini sebabkan terlalu cinta kepada Nabi mudah hilang pertimbangan. Tapi sahabat-sahabat yang besar cukup faham hal ini dan mereka tak buat pun.” – Maulana Asri, pendakwah dan ahli hadis.

Sebelum ini, ada juga kes yang jadi kat Malaysia – menunjukkan adanya orang yang cium dan junjung barang peninggalan Nabi yang tak tahu ketulenannya. Hal ni dah ditegur oleh  Mufti Perak, Harussani Zakaria.

“Umat Islam tidak usah bertabarruk dengan peninggalan Rasulullah. Kalau ada pameran pun, pergi tengok sahaja, tidak perlu buat macam itu sekali kerana boleh membawa kepada syirik.

Lagipun kita tidak tahu sama ada sahih atau tidak barang-barang peninggalan Rasulullah itu. Jadi tidak perlu berbuat begitu, banyak lagi amalan dan sunah Rasulullah yang boleh diikuti.” – Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak. Dipetik dari Utusan Malaysia.

Gambar yang menunjukkan seorang wanita mengucup bekas yang dikatakan tapak kaki Rasulullah. Imej dari Malay Mail Online.

Makna perubatan Islam itu luas

Mungkin ada di antara umat Islam yang salah faham dengan makna sebenar perubatan Islam. Sampaikan ada di antara kita hadkan perubatan Islam ni kepada hal-hal macam rawatan halau gangguan jin, bacaan-bacaan tertentu atau bahan-bahan tertentu yang disebut dalam hadis.

Yang selain dari ni, macam perubatan moden dan ubat yang orang putih buat, semuanya dianggap tak islamik atau dibezakan dari perubatan Islam.

Perubatan Islam bukan halau jin je. Imej dari Giphy.

Sebenarnya, selagi mana perubatan tu berasaskan kaedah yang benar, tak kiralah dari bangsa mana dan apa agama orang itu, ia masih lagi dibenarkan oleh syarak. Malah ada juga hadis yang sebut ubat secara umum dan tak menghadkannya.

“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua.” – Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah.

Kalau rasa tak sedap badan tu, cepat-cepatlah jumpa doktor. Imej dari takpernahtakrindu.com

Selain itu, kita juga diajar untuk sentiasa bersederhana dalam setiap tingkah laku dan amalan kita. Jadinya, memang tak salah untuk kita bertabarruk, tetapi janganlah melampau dan taksub.

“Menurut jabatan mufti (Kedah) itu, bertabarruk dengan athar (barang peninggalan Nabi) Muhammad hukumnya harus, tetapi cukuplah dengan berdoa dan berselawat terhadap baginda.” – Dipetik dari Malay Mail Online.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.