Khairy Jamaluddin: Dari “Budak Tingkat Empat” ke calon PM masa depan

Jumaat lalu, Khairy Jamaluddin diumumkan telah dipecat daripada UMNO. Keputusan ini dilihat sebagai salah satu langkah Zahid Hamidi dalam menyingkirkan sebarang unsur yang boleh mengancam kedudukan presiden UMNO tersebut. Antara nama-nama besar lain yang turut dipecat atau digantung keahlian adalah Noh Omar dan Hishamuddin Hussein.

Dalam artikel ini, SOSCILI ingin mengimbas kembali perjalanan politik Khairy Jamaluddin semenjak tahun 2003 sehinggalah kini.

1. Digelar sebagai “Budak Tingkat Empat” oleh Tun M

Tatkala ramai ahli politik Malaysia mendapat jalan singkat melalui nepotisme, situasi KJ agak menarik kerana ia melibatkan bapa mertuanya, Pak Lah yang merupakan Perdana Menteri dari tahun 2003-2009.

Malah, KJ pernah dipanggil sebagai “Budak Tingkat Empat”, sebuah gelaran yang datang daripada Tun M tentang sekumpulan orang muda yang banyak mempengaruhi pentadbiran Pak Lah.

Bila ditanya oleh Malaysiakini sama ada dia menggunakan Tingkat Empat ini untuk terus memberi cadangan kepada Pak Lah, KJ sendiri tidak menafikannya:

“Saya boleh melakukannya di Parlimen, tetapi seperti yang anda sendiri tahu, memang ada batasannya (seperti) di segi masa, tetapi anda boleh tulis mengenainya dan menghantar cadangan.” – dipetik oleh Malaysiakini.

2. Skandal Kementerian Belia dan Sukan melibatkan jutaan ringgit

Imej dari eaic.gov.my

Pada tahun 2013, KJ memegang jawatan kabinet pertamanya di bawah PM Najib Razak, iaitu sebagai Menteri Belia dan Sukan. Namun tempoh ini banyak dikaitkan dengan pelbagai skandal berkaitan KBS, termasuklah:

  • Seorang pegawai KBS ditahan kerana menyalahgunakan RM100 juta dana kerajaan. SPRM merampas aset bernilai RM20 juta termasuk 12 kereta mewah, beg dan barang kemas.
  • Sebuah acara berbasikal yang sepatutnya dianjurkan di Sarawak dibatalkan pada saat-saat terakhir, di mana penganjur memberi alasan bawah mereka tidak menerima RM200 ribu dana yang dijanjikan KBS.
  • Pelbagai skandal yang melibatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Tengku Mahkota Johor pernah menggesa FIFA untuk menyiasat FAM yang dikatakan bergelumang dengan korupsi.

Selain daripada skandal KBS ini, kami terjumpa satu benda yang pelik tapi kelakar. Pada sukan SEA 2017, KJ boleh pulak join sekali dalam sukan polo berkumpulan, siap menang emas lagi. Tak semena-semena, Sultan Johor tak puas hati dan hentam KJ kat Facebook dengan status “Kalau anak jantan, lawan dengan pasukan Johor”. Hah?

3. Daripada “balaci Najib” kepada pengkritik 1MDB

Imej dari Malaysiakini

Sekitar 2016, KJ merupakan antara pemimpin UMNO yang lantang mempertahankan PM Najib Razak sewaktu kes 1MDB dan kes derma RM2.6B mendapat liputan meluas. KJ juga menyeru ahli-ahli parti untuk menyokong presiden mereka ketika itu:

“Kita kena berani, walaupun dikecam, walaupun dicemuh di media sosial, kata ini semua balaci-balaci dan macai-macai Umno dan sebagainya.

Tak apalah, kita jadi balaci, kita jadi macai tak apa. Sebab apa? Kebersamaan dengan presiden kita cuba menegakkan kebenaran dan keadilan,” – dipetik oleh Malaysiakini.

Namun dia mula bertukar nada sekitar tahun 2018 di mana pemimpin-pemimpin UMNO lain seperti Muhyiddin dan Shafie Apdal turut mengkritik Najib. Selepas kekalahan teruk BN/UMNO pada PRU14, KJ mengatakan ia adalah disebabkan 1MDB.

4. Populariti melonjak sewaktu menjadi Menteri Sains

Imej dari Malaysiakini

Dengan Najib Razak dipenjara dan Zahid Hamidi sebagai presiden, pengaruh KJ di dalam parti semakin malap.

Tapi nak dijadikan cerita… apabila Pakatan Nasional mengambil alih kerajaan dengan Langkah Sheraton, PM Muhyiddin Yassin melantik KJ sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Di sinilah populariti KJ melonjak, mungkin bukan di kalangan kepimpinan UMNO tetapi pada pandangan orang ramai.

Di tengah-tengah pandemik Covid-19, Khairy telah mengendalikan hal-hal vaksin dengan cemerlang, termasuklah memeterai perjanjian dengan China agar kita diberikan akses awal. Nak lagi bila dibandingkan dengan Menteri Kesihatan ketika itu, KJ dilihat sangat kompeten dalam mentadbir negara.

Apabila Ismail Sabri mengambil alih jawatan PM, KJ sekali lagi dilantik ke dalam kabinet sebagai Menteri Kesihatan.

5. Kalah PRU-15, disingkirkan oleh Zahid Hamidi

Dalam persediaan untuk menghadapi PRU-15, Zahid Hamidi mula melancarkan gerakan untuk menyingkirkan pengkritiknya, termasuklah KJ.

Untuk PRU-15, KJ diminta mengosongkan Rembau iaitu kawasan kuatnya, bagi memberi laluan kepada Tok Mat. KJ bertanding di Sg Buloh, dan dalam ucapannya, dia tidak lagi segan dalam menyatakan hasrat untuk menjadi PM.

“Suatu hari nanti saya nak jadi perdana menteri, untuk kita bangunkan negara ini. Tetapi saya mesti menang di sini (Sungai Buloh) dulu,” – dipetik oleh Free Malaysia Today.

KJ kalah kepada calon PH dengan perbezaan tipis, iaitu sebanyak 2,693 undi.

Ke mana perjalanan Khairy selepas ini?

Baru je kena pecat, KJ dah dapat tawaran daripada pelbagai pihak, termasuklah PAS, Gerakan, dan… TMJ?

Bagi PKR pula, Rafizi mengatakan sebarang keputusan untuk menerima KJ akan dibincangkan oleh kepimpinan parti terlebih dahulu. Namun perkara ini adalah rumit kerana UMNO yang diketuai Zahid Hamidi masih merupakan komponen dalam kerajaan gabungan.

Mungkin KJ ingin berehat dulu buat masa ini. Sebelum ini pun, ada saja ahli-ahli politik yang mengundur diri buat sementara waktu. Apa yang pasti, ini bukanlah titik terakhir perjalanan politik Khairy Jamaluddin. “Unbowed, unbent, unbroken” katanya kan.

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.