Penganalisis ekonomi PBB dan 15 tahun sebagai CEO Petronas? Ini dia Jomo Kwame dan Hassan Marican!

Cerita-cerita PRU14 masih lagi dibincangkan sampai saat ini. Macam tu jugak, konflik dan perang yang berlaku mengenai perebutan siapa yang nak naik jadi jadi MB macam di negeri Perak dan Sabah. Tak lupa kes-kes ADUN yang ambil sikap untuk melompat parti.

Klik gambar untuk baca artikel ini.

Dalam kehangatan tu, apa yang menjadi perhatian adalah pengumuman oleh Tun Mahathir mengenai penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Elders). Fungsi Council Of Elders ni dibentuk untuk memberi nasihat kepada kerajaan bagi 100 hari pertama bagaimana ekonomi yang terbaik boleh dibentuk. Nama yang dah biasa kita dengar adalah Tun Daim Zainuddin (bekas Menteri Kewangan), Tan Sri Zeti Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan Robert Kuok (jutawan Malaysia).

Ada dua nama yang mungkin korang tak biasa dengar iaitu Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram Tan Sri Hassan Marican. Kenapa mereka ada dalam barisan penting ni? Kami dari SOSCILI akan kongsikan kehebatan dua tokoh ni. Bermula dengan…

Orang besar dalam PBB dengan menerima anugerah tertinggi dunia ekonomi

Prof Jomo duduk sebelah Ban Ki Moon (Setiausaha Agung PBB ke-8). Imej dari Dinmerican.wordpress.

Kalau tengok CV dia yang PBB keluarkan, bukan main panjang lagi (klik CV dia sini). Tak cukup nafas nak baca kuat-kuat. Kami dari SOSCILI tak sanggup nak tulis satu-satu, kami keluarkan beberapa yang gempak dan ramai yang tak tahu pasal sumbangan Prof Jomo ni kepada dunia. Sekaligus, membuktikan betapa pakarnya beliau dalam dunia ekonomi.

Sekarang ini, Prof Jomo berusia 66 tahun. Kalau tengok umur dengan CV mesti tak boleh bayang betapa banyaknya dia dah buat untuk sumbangan peringkat negara dan dunia. Pada Januari 2005, dia dilantik menjadi Penolong Setiausaha Agung PBB Bagi Pembangunan Ekonomi (PBB-DESA). Bukan sekejap, sampai Jun 2012 kot! DESA ni kira jabatan ekonomi dan pengurusan sosial bawah PBB. Jabatan ni akan bagi sokongan kepada badan pembuat polisi, keluarkan analisis ekonomi dan sosial berkualiti serta membantu negara-negara untuk membangun.

Taraf-taraf bagi ucapan pembukaan si Prof Jomo ni. Imej dari UNPOG.

Itu baru satu jawatan dia dalam PBB. Ni ada lagi satu yang mana dia pernah jadi Ahli Lembaga bagi Institut Kajian Untuk Pembangunan Sosial PBB (UNRISD) dari tahun 2002 sampai 2004. UNRISD ni adalah institut kajian yang punyai kuasa autonomi dalam sistem PBB yang akan membuat kajian dan analisis polisi dalam bidang sosial berkaitan isu-isu pembangunan terkini.

Dekat PBB, orang biasa berucap je. Ni siap boleh bagi komen orang punya presentation. Imej dari UNRISD.

Pada tahun 2000, Global Development & Environment Institute telah memperkenalkan anugerah Leontief Prize bagi mengenang jasa Wassily Leontief seorang pakar ekonomi yang penerima Hadiah Nobel 1973. Leontief Prize adalah anugerah tahunan yang diberikan bagi…

“…mengiktiraf sumbangan luar biasa seseorang untuk teori ekonomi bagi menangani realiti semasa dan menyokong masyarakat yang adil dan mampan.”- Petikan dari GDAE.

Pada tahun 2007, nampaknya anugerah hebat ini telah dianugerahkan kepada Stephen DeCanio dari US dan juga…Jomo Kwame Sundaram dari negara kita. Rupanya kita ada pakar ekonomi dunia di tanah air sendiri.

Lama dah dia dapat rupanya. Masa kita tengah sekolah menengah lagi ni. Imej dari ASE.

Dalam banyak-banyak ni, mesti tertanya juga. Dia pernah bersuara ke di Malaysia?

Hampir disaman RM250 juta ketika mengkritik jutawan di zaman Mahathir

Interview dia je dah boleh buat jurnal. Imej dari Wiley Online Library.

Setelah kami kaji, dia antara orang lantang mengkritik Dr. Mahathir sewaktu pemerintahannya. Termasuk berkaitan polisi-polisi ekonomi, kes penjara Anwar Ibrahim dan penswastaan entiti kerajaan. Apa yang paling mengejutkan, dia juga menulis satu artikel di dalam Wall Street Journal yang mengkritik polisi ekonomi zaman Mahathir yang mengutamakan syarikat-syarikat kroni.

Tan Sri Vincent Tan, CEO Berjaya Group kemudiannya memfailkan saman fitnah bernilai RM250 juta kepadanya dan pihak Wall Street Journal. Prof Jomo juga menolak untuk membetulkan apa-apa isi kandungan dalam artikel itu. Antara isi dalam artikel yang Vincent Tan tak puas hati apabila dia cakap yang Vincent Tan dapat kontrak dari kerajaan untuk membina monorel dan projek pembangunan Linear City sebab dia kroni kerajaan. Kemudian, kes saman ini digugurkan.

Artikel yang menggoncang dunia! Imej dari WSJ.

Bukan setakat bab ekonomi je dia kritik zaman tu, Jomo juga pernah memfailkan saman pemula di mahkamah untuk membatalkan keputusan PRU 1999. Alasannya, hak beliau dan 680,000 pengundi baru telah dinafikan kerana tidak dibenarkan mengundi. Namun, SPR membuat permohonan balas untuk mengetepikan saman itu kerana ia dianggap main-main dan menyusahkan.

Sewaktu pemerintah Najib pulak, Prof Jomo juga sentiasa muncul untuk mengkritik. Projek ECRL antaranya dikatakan akan ditanggung bayarannya oleh rakyat Malaysia sendiri.

“ECRL akan dibiaya oleh Exim Bank milik China, dengan kerajaan Malaysia iaitu pembayar cukai sebagai penjamin. Jadi, risiko dan liabiliti akan ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia,”- Petikan dari The Malaysian Insight.

Tinggi ilmu ekonomi, tinggi juga orangnya. Imej dari Dinmerican.wordpress.

Dia juga pernah menasihati pembangkang waktu zaman Najib untuk tak fokus pasal isu 1MDB sahaja. Sebabnya skandal Felda Global Ventures (FGV) lebih besar kerana melibatkan lebih ramai orang. Dia juga mengatakan, kerugian FGV ini dah menyebabkan Najib terpaksa merasuah peneroka dengan menghapuskan hutang penamaan semula sebanyak RM5,000. 

Itu antara sikap yang ditunjukkan Prof Jomo dalam kedua-dua pemeritahan yang ada. Sekarang ni, ada selain dia, ada seorang lagi ahli ‘Council of Elders’ yang mesti ramai tak pernah dengar. Nama tokoh seterusnya ni adalah Tan Sri Hassan Marican.

CEO Petronas dari tahun 1995, ditamatkan kontrak sewaktu zaman Najib

PM Cambodia sembang-sembang dengan Hassan Marican di Forum Ekonomi Dunia. Imej dari Weforum.

“Hassan adalah orang yang sangat terkenal dalam kalangan syarikat minyak dan mereka sangat mengagumi cara beliau melakukan sesuatu dan membawa Petronas terkehadapan.”- Petikan dari The Star.

Hassan Marican merupakan CEO dan Presiden Petronas dari tahun 1995 hingga Februari 2010. Dia ni juga dianggap veteran dalam sektor industri minyak dan gas. Kemudiannya, tempatnya sudah diganti oleh Datuk Shamsul Azhar Abbas selepas tamatnya kontrak pada 9 Februari 2010. Selepas mengumumkan tempat Hassan Marican diganti, PM waktu tu, Najib Razak ada sebut kehebatan Hassan.

“Kerajaan menghargai dan berterima kasih kepada Hassan kerana sumbangannya untuk negara dan industri petroleum. Ketika penggalnya, Petronas dikenali sebagai syarikat yang bereputasi dan terus menjadi satu-satunya syarikat Malaysia yang termasuk di dalam senarai fortune 500.”- Najib dalam ucapannya, petikan dari The Edge Market.

Bukan senang nak masuk Fortune 500 ni kalau tak banyak keuntungan dan hasil. Imej dari Fortune.

Najib juga mengatakan yang Hassan ni lah menjadi alat serta mengetuai Petronas dalam merebut projek dan bersaing di luar negara dengan syarikat terkemuka dunia. Menurut laporan Reuters, penggantian Hassan Marican ni juga sebenarnya ada campur tangan politik. Pada tahun 2009, Hassan pernah tak bersetuju dengan Najib dalam banyak isu dari penamaan ahli lembaga hingga penajaaan kereta Formula One. Najib kemudiannya memberi notis 6 hari yang mengatakan kontraknya takkan diperbaharui pada tahun 2010.

Dilaporkan, ramai staf yang kecewa dengan penggantian Hassan Marican ini. Walapun macam tu, dia dikatakan sudah meninggalkan legasi yang terbaik dan zaman keemasan untuk Petronas sepanjang penglibatannya. Jom kita tengok apa yang gempak sangat Hassan Marican ni.

Dan mungkin bila nanti. Kitakan bertemu lagi. Satu pintaku jangan. Imej dari Salbiahs.blogspot

Petronas antara syarikat terawal melabur di Afrika Selatan setelah hapusnya Apartheid

Nelson Mandela pejuang anti dasar Apertheid Afrika Selatan. Imej dari Rocky’s bru.

Kewujudan Petronas pada mulanya hanya mengawal urusan sumber domestik Malaysia. Hinggalah ketibaan Hassan Marican yang bergabung tenaga bersama pengerusi Petronas ketika itu, Azizan Abidin, syarikat itu secara agresif telah membuat strategi global yang lain. Dr Mahathir selaku PM ketika itu juga mahu kerajaannya membantu secara terbuka negara-negara membangun.

Petronas sudah melakukan banyak kerjasama dengan negara-negara yang tak boleh syarikat minyak antarabangsa lain untuk melabur didalamnya. Pada tahun 1997, pasukan Petronas bawah Hassan dengan rakan kongsi Cina telah mengubah Sudah menjadi pengeksport minyak yang terjadi dalam masa kurang dari dua tahun. Walaupun berlaku sekatan US terhadap Iran (US Embargo), Petronas telah bergabung dengan syarikat Perancis dan melancarkan operasi di Iran dengan berjaya.

Petronas juga sewaktu zamannya adalah antara syarikat terawal yang melabur di dalam Afrika Selatan selepas jatuhnya sistem Apartheid dalam negara tu, siap beli 30 peratus saham dalam syarikat Engen (Syarikat penapis minyak terbesar Afrika Selatan).

Imej dari Reuters.

“Selepas lebih satu dekad berkembang, Petronas sudah wujud di 35 buah negara, dengan lebih 80 peratus keuntungannya datang dari perkongsian global dan eksport.”- Petikan dari Referenceforbusiness.

Pada tahun 2003, Petronas mempunyai hasil sebanyak 21 juta US Dollar dengan keuntungan bersih hampir 4 billion. Walaupun banyak kejayaan, Hassan tak nak kejayaan dikreditkan kepadanya, sebab ianya hasil kerja pasukan yang mantap. Di saat-saat akhir sebelum habis kontraknya dan diganti, Petronas berjaya mendapatkan kontrak dari kerajaan Iraq dengan memenangi 4 dari 5 bidaan untuk membangunkan lapangan minyak.

“Keuntungan bersih ketika itu berkembang dari RM3.5 billion pada 2005 kepada RM52.5 billion pada 2009, dengan kemuncaknya mencapai RM61 billion ketika tahun kewangan 2008.”- Petikan dari The Star.

Banyak betul tempat operasi Petronas ni ye. Imej dari Reuters.

Walaupun sudah tak berkhidmat di Petronas bermula tahun 2010, setahun kemudian, dia telah dilantik oleh syarikat tenaga di Houston, US, ConocoPhilips menjadi salah seorang pengarah bermula 1 Disember 2011. Pada tahun 2014, dia juga telah dilantik menjadi Pengerusi Sembcorp Industries Ltd yang merupakan syarikat pembuat rig (rig maker) terbesar dunia pada tahun 2014. Kiranya, syarikat dunia memang betul-betul nak guna kepakaran dia.

Tidak guna ramai ahli pakar jika tidak di manfaatkan untuk negara

Dua orang pakar yang disebut dalam artikel ini rupanya bukanlah calang-calang orang. Kami tahu, pembaca SOSCILI masa dengar senarai nama ‘Council Of Elders’ mesti tak tahu siapa mereka berdua ni. Sekarang ni dah tahu kan?

Imej dari FB AIMs.

Di Malaysia ni, terbukti ramai je yang hebat dalam kepakaran tertentu dan kadang-kadang tu kita tak dengar sangat cerita mereka. Diharapkan, di masa akan datang ni, lebih ramai pakar dari Malaysia yang dimanfaatkan untuk memacu Malaysia ke arah yang lebih baik. Kalau ada kawan-kawan korang yang sebenarnya pakar tapi tak popular. Bolehlah PM di page kami untuk kita sebarkan kehebatan dia.

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT