- 533Share sekarang!
- Email10
- Facebook523
- Share
Seperti mana yang kita tahu, Pakatan Harapan (PH) dah pun menang dalam PRU-14 ni dan Dr Mahathir pun dah dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali kedua. Tapi dalam kegembiraan para penyokong PH, ada sorang lagi yang menanti untuk dibebaskan. Orang tu, tak lain dan tak bukan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nampaknya pada Rabu (16 Mei) lepas, Anwar dah pun dibebaskan setelah hampir 3 tahun dipenjara. Pembebasan Anwar tu dibuat selepas dia mendapat pengampunan diraja dari YDP Agong.
Apa yang pasti, semua ni ada kaitan dengan pengampunan diraja yang dikatakan tadi. Apa tu pengampunan diraja? Siapa yang layak dapat pengampunan ni? Oleh tu, kali ni kita nak bincanglah serba sedikit tentang apa yang dimaksudkan dengan pengampunan diraja.
Hanya YDP Agong, Sultan dan Yang di-Pertua Negeri ada kuasa pengampunan ni
Bila cakap pasal undang-undang, maka rujukan utama kita mestilah Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen tertinggi kat negara ni. Jadinya, dalam kes pengampunan diraja, kita kena rujuk Perkara 42 – Perlembagaan Persekutuan.
“YDP Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya;
dan Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam Negerinya.” – Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan.
Jelaslah kat sini yang YDP Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri ada kuasa untuk bagi pengampunan kepada mana-mana banduan yang terima hukuman. Bagaimanapun, pengampunan ni selalunya diberikan kepada banduan yang terima hukuman berat macam – hukuman gantung sampai mati.
Dalam kes Anwar, disebabkan kes ni jadi kat Kuala Lumpur, maka pihak yang ada kuasa untuk bagi pengampunan diraja tu, tak lain dan tak bukan adalah YDP Agong – Sultan Muhammad V. Walaupun begitu, ada peraturan yang masih kena diikut dan tak mudah sebenarnya nak dapatkan pengampunan ni.
Ada banyak prosedur, kalau nak minta pengampunan diraja ni
Baiklah, sekarang ni kita nak cerita macam mana proses pengampunan diraja ni dijalankan. Sebenarnya, tak ada garis panduan atau peraturan tetap yang dikaitkan dengan pengampunan diraja ni. Sebabnya, hanya Agong/Sultan yang ada kuasa untuk memberikan pengampuan ni.
“Ini juga bermakna bahawa Agong tidak bertindak dalam kapasiti kehakiman (baginda bukan seorang hakim) ketika memberi pengampunan diraja. Ia hanya berdasarkan kedudukannya sebagai Agong yang memberinya kuasa semacam itu.” – Dipetik dari Akslegal.
Kuasa pengampunan ni boleh dikatakan sebagai kuasa raja macam zaman dulu, yang mana raja-raja berkuasa mutlak dalam semua perkara. Hal macam ni juga ada kat negara-negara lain macam pengampunan diraja kat Thailand.
Untuk dapatkan pengampunan diraja kat Malaysia pulak, ada peraturan yang ditetapkan dalam Peraturan Penjara 2000. Untuk banduan yang bukan dihukum mati, banduan tu boleh buat petisyen kepada YDP Agong atau Sultan secepat mungkin selepas hukuman dijatuhkan mahkamah.
Kepada banduan yang kena hukuman mati pulak…
“Seseorang banduan di bawah hukuman mati boleh membuat petisyen dengan bebas kepada Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, semasa berada di bawah hukuman itu.” – Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.
Berkenaan dengan petisyen tu pulak, ia boleh dibuat oleh banduan tersebut, keluarga, peguam atau pihak kedutaan (untuk warga asing). Prosesnya…
- Petisyen dihantar kepada Pengarah Penjara yang banduan tu jalani hukuman.
- Kemudian, petisyen tu dikemukakan kepada Ibu Pejabat Penjara Malaysia.
- Ibu Pejabat Penjara akan buat semakan dan serahkannya kepada Urusetia Lembaga Pengampunan.
- Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan YDP Agong/Sultan akan bersidang dan buat keputusan berkenaan dengan petisyen tersebut.
Bila keputusan dah dibuat, banduan tersebut mungkin akan terus jalani hukuman (maknanya permohonan ditolak), hukuman diringankan atau banduan dibebaskan. Contohnya pada November 2017, Sultan Perak berkenan memberikan pengampunan diraja kepada dua orang banduan yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati, supaya diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.
Agong atau Sultan tak boleh dipaksa untuk berikan pengampunan
Kalau korang perasan, kat atas tadi, kita ada bincang pasal Lembaga Pengampunan. Sebenarnya, setiap negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) ada Lembaga Pengampunan masing-masing. Lembaga Pengampunan ni terdiri daripada Peguam Negara Persekutuan (atau wakilnya), Ketua Menteri Negeri tu dan tiga orang anggota yang dilantik oleh Raja atau YDP Negeri.
Tanggungjawab lembaga ni adalah berbincang dan ambil nasihat dari Pendakwa Raya, sebelum buat keputusan. Pendakwa Raya pulak ada jabatan kajian sendiri yang sediakan pandangan Peguam Negara kepada Lembaga Pengampunan. Walaupun begitu, baginda YDP Agong/Sultan masih lagi tak terikat dengan keputusan lembaga tersebut.
Selain tu, permohonan pengampunan ni jugak takde had masa. Malah YDP Agong/Sultan pun takde had masa untuk membalas balik permohonan berkenaan. Sebab itulah menurut pakar undang-undang, proses pengampunan ni selalunya ambil masa yang lama dan kadang-kadang tu, banduan dah habis hukuman tapi permohonan masih lagi dalam proses.
Apa yang lagi penting, Agong/Sultan tak boleh dipaksa untuk berikan pengampunan kepada mana-mana banduan.
“…walaupun Lembaga Pengampunan dikehendaki menyembahkan nasihatnya kepada Yang di-Pertuan Agong, peruntukan Perlembagaan itu tidak mewajibkan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan bertindak selaras dengan nasihat tersebut.” – Prof Salleh Buang, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Menurut Prof Salleh lagi, antara yang kita boleh rujuk adalah bila Karpal Singh (mendiang) ada memohon kepada mahkamah untuk isytiharkan tindakan Sultan Selangor (yang bertitah sebelum tu bahawa baginda tak akan mengampunkan sesiapa sahaja yang dah disabitkan kesalahan mengedar dadah di Selangor) sebagai menyalahi Perkara 42 – Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Karpal, tindakan ni seolah-olah menafikan hak rakyat buat petisyen untuk dapatkan pengampunan. Tapi permohonan ni akhirnya ditolak, sebab Sultan memang tak boleh dipaksa untuk bagi pengampunan kepada mana-mana banduan.
Apa yang pasti, untuk dapatkan pengampunan diraja ni, ia mesti lalui beberapa prosedur dan tatacara. Dalam kes Anwar, menurut pakar undang-undang Dr Hazmi Rusli – prosedur tu penting sebab ia akan menerangkan sebab apa Anwar diampunkan dan untuk apa dia diampunkan.
“Kalau sekadar untuk memenuhi kehendak god (government of the day), saya rasa ini adalah bermotifkan politik semata-mata. Anwar telah dihukum based on what has been decided by the court.. Jadi bukankah pengampunan secara tiba-tiba ni akan undermine apa badan kehakiman dah buat…” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang. Katanya kepada SOSCILI.
Tambah Dr Hazmi lagi, dengan ikut prosedur, Lembaga Pengampunan akan bincang sama ada wajar atau tak pengampunan tu dibagi. Kalau prosedur ni tak diikut, dah sah-sah nampak macam bermotifkan politik. Dan kalau jadi macam tu, apa beza kerajaan dulu dengan yang sekarang? Tanya beliau.
Bekas Menteri Besar Selangor dan Lim Kit Siang pun pernah dapat pengampunan diraja
Seperti mana yang diceritakan tadi, bukan mudah untuk seseorang banduan tu dapat pengampunan diraja. Menurut peguam jenayah, Datuk Jagjit Singh – dari banyak anak guamnya yang mohon pengampunan diraja, hanya 10% je yang berjaya dapat.
Antaranya adalah bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Mokhtar Hashim yang dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah atas kesalahan membunuh wakil rakyat Gemencheh, Datuk Mohd Taha. Tapi kemudian, Mokhtar dapat pengampunan diraja dan dibebaskan. Selain Mokhtar, terdapat lagi beberapa orang yang pernah dapat pengampunan diraja macam:
- Lim Kit Siang – Pemimpin DAP ni pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969. Tapi kerusi tu dah dikosongkan sebab kesalahan pilihanraya. Bagaimanapun, Kit Siang lepas tu dibenarkan untuk kekal kat kerusi tu bila dapat pengampunan dari YDP Agong.
- Datuk Harun Idris – Bekas Menteri Besar Selangor ni dah dihukum penjara 6 tahun sebab kes rasuah. Tapi kemudiannya, Harun dapat pengampunan diraja dan keluar dari penjara pada tahun 1981.
“Dr Mahathir telah menyembahkan rayuan pengampunan bagi Harun kepada Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika beliau memangku jawatan Perdana Menteri. Hussein Onn ketika itu berada di London untuk menjalani pembedahan jantung pada 7 Februari 1981.” – Surat daripada Dr Mahathir, Zainuddin Maidin, m/s 70.
Selain tu, ada juga kes yang agak rare macam ni:
- Kanak-kanak 14 tahun – Karpal Singh terkenal sebagai seorang yang kuat membantah hukuman mati. Pada tahun 1977, petisyennya untuk seorang kanak-kanak berusia 14 tahun yang dihukum mati sebab memiliki senjata api dah berjaya dapat pengampunan diraja. Kanak-kanak tu terlepas dari hukuman gantung.
- Warga asing – Sorang wanita dari Filipina, Jacqueline Quiamno dah disabitkan dengan kesalahan menyeludup dadah kat KLIA. Tapi kemudian, dia dapat pengampunan dari Sultan Selangor hasil dari permohonan Kedutaaan Filipina dan keluarganya. Sorang lagi warga New Zealand dah dikenakan hukuman mati dan anaknya pulak penjara seumur hidup atas kesalahan mengedar dadah. Tapi lepas 11 tahun dipenjara, diorang dibebaskan lepas dapat pengampunan diraja.
- Banduan paling lama dalam tahanan – Salleh Rashid adalah banduan paling lama ditahan iaitu selama 31 tahun. Tapi pada tahun 2006, dia dah dapat pengampunan dari Sultan Kedah dan akhirnya dibebaskan.
Pengampunan diraja adalah nikmat tak terhingga kepada para banduan
Menurut laporan The Star, dari tahun 2010 sampai 2016, 826 banduan dah didakwa dan dijatuhi hukuman mati. Dari yang banyak tu, 95 dah terima pengampunan dari YDP Agong/Sultan/Yang di-Pertua Negeri. Walaupun begitu, bagi sesiapa yang pernah dapat pengampunan ni, ia adalah antara rahmat terindah untuk diorang.
Malah ada di antara mereka yang berjaya bina hidup baru dan bagi sumbangan dalam masyarakat. Sebagai contoh, kisah David Wang yang dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada tahun 1989, sebab mengedar dadah. Harapan David bertambah hancur bila Mahkamah Persekutuan tolak rayuannya pada tahun 1996. Tapi…
“Dua tahun kemudian, dia dibawa keluar dari sel pesalah hukuman gantung dan surat dari Lembaga Pengampunan Terengganu dibacakan untuknya. Bersempena dengan tarikh lahirnya, Sultan telah mengurangkan hukumannya kepada penjara seumur hidup (di mana 20 tahun dulu, sekarang 30 tahun).” – Dipetik dari The Star.
Kemudiannya, David dah dibebaskan lebih awal dari tarikh sebenar, kerana berkelakuan baik. Dua minggu kemudian, David dapat berita yang Sultan Terengganu mangkat. Ketika itu, David terfikir…
“Saya yang sepatutnya mati dan bukannya Sultan” – Katanya kepada The Star.
Sekarang, David dah pun ada kehidupan baru dengan jadi pastor dan berjaya dirikan pusat pemulihan dadah.
Apa yang pasti, kita dah nampak pentingnya institusi raja dalam menjadi payung kepada rakyat tanpa mengenal bangsa dan agama. Oleh tu, janganlah kita pandang ringan dan remeh dengan institusi ini.
“Tetapi kalau kita faham semangat perlembagaan dengan kekalkan kedudukan raja-raja, dalam konteks ini raja adalah payung kepada semua orang, sama ada seseorang itu bersalah, atau seorang Melayu, bukan Melayu, raja masih ada belas ihsan dan hak ini diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan.” – Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Pakar Perlembagaan. Dipetik dari mStar.
- 533Share sekarang!
- Email10
- Facebook523
- Share