- 497Share sekarang!
- Email2
- Facebook495
- Share
UPDATE: 7 November 2018 merupakan keputusan mahkamah di antara Musa Aman dan Shafie Apdal. Musa Aman mengakui dia adalah Ketua Menteri Sabah yang sah dan dah mengemukakan saman agar dia diisytihar sebagai Ketua Menteri yang sah. Tapi, Shafie Apdal mempunyai sokongan majoriti. Apa yang berlaku sebenarnya?
Wakyu Pilihan Raya Umum ke 14 yang lalu menyaksikan Pakatan Harapan berjaya kalahkan Barisan Nasional. Lebih kurang 60 tahun lebih Barisan Nasional memerintah Malaysia, kali ni diorang tak berjaya pertahankan kedudukan diorang. Kita ucapkan terima kasihlah kat Dato Seri Najib Razak dan geng-geng dia kerana dah tadbir Malaysia dulu.
Banyak je benda-benda yang kita tak dapat jangka masa PRU14 ni, diantaranya banyak negeri yang dulu jadi kubu kuat Barisan Nasional, tiba-tiba tumbang masa PRU14. Macam tak percaya pun ada, tapi macam itulah yang terjadi. Kalau korang ingat masa nak tunggu keputusan PRU14 hari tu, sampai subuh kita kena tunggu.
Salah satu isu yang buat satu Malaysia pening adalah krisis politik kat Sabah. Pening sebab biarpun Musa Aman dah angkat sumpah jadi Menteri Besar Sabah, tiba-tiba Parti Warisan Sabah kata dioranglah pulak yang ada majoriti DUN, mana satu yang betul ni?
Barisan Nasional dan pembangkang dapat keputusan seri
Untuk artikel ni kami akan fokus cerita tentang kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN). Kalau korang nak tahu, kat Sabah ada 60 kerusi DUN – maksudnya kalau mana-mana parti nak jadi kerajaan negeri, diorang kena dapat majoriti mudah. Sesiapa yang dapat 31 kerusi DUN Sabah, dioranglah yang akan jadi kerajaan.
Masa PRU14, persaingan sengit berlaku kat Sabah. Barisan Nasional yang jadi kerajaan sebelum PRU14 kat Sabah mendapat tentangan yang hebat daripada parti Warisan. Bagi sesiapa yang tak tahu tentang parti Warisan – Parti Warisan Sabah ni parti yang ditubuhkan pada 17 Oktober 2016 oleh Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal bersama YB Darell Leiking dan beberapa ahli politik Negeri Sabah yang lain.
Untuk PRU14 ni, Barisan Nasional menang 29 kerusi DUN, diikuti oleh Warisan yang menang 21 kerusi. Tapi korang kena ingat PKR menang 2 kerusi dan DAP menang 6 kerusi DUN Sabah. Akhirnya Warisan, PKR dan DAP bergabung sebab nak bentuk kerajaan baru – tapi kalau korang perasan, bila kerusi diorang digabungkan cuma dapat 29 kerusi, tak cukup lagi nak dapat majoriti. Eh, 29 darab dua baru dapat 58 kerusi DUN, siapa pulak yang menang 2 kerusi lagi?
Hahh…ni yang menariknya tentang Sabah – bukan setakat pembangkang yang terkenal je yang ada kat Sabah, ada jugak parti-parti lokal kat negeri tu yang bertanding. Tapi oleh kerana pada PRU14 ni diorang tak berapa nak famous, kebanyakan calon-calon daripada parti lokal Sabah tak menang apa-apa kerusi. Kalau korang masih tertanya-tanya kat mana hilangnya dua kerusi tu – jawapan dia dua DUN tu dimenangi oleh Parti Solidariti Tanah Airku.
Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sertai Barisan Nasional dan dikecam pengundi
Korang ingat tak masa kita belajar sejarah kat sekolah dulu? Kita ada belajar yang tentera Jepun guna moto Asia for Asian sebagai propaganda untuk halang penjajah-penjajah barat daripada masuk ke Asia. Rupa-rupanya masih ada parti politik kat Malaysia ni yang gunakan moto yang lebih kurang sama, tapi diorang gunakan moto Sabah for Sabahan. Korang rasa kalau ada parti politik yang guna moto macam ni, korang akan tertarik nak undi tak?
Parti yang guna singkatan STAR ni didaftarkan pada 1 Julai 2016, mengikut website rasmi parti ni – diorang ambil masa 2 tahun 7 bulan untuk daftarkan parti ni. Lama jugak diorang berusaha nak daftarkan parti ni, susahlahkan kalau kami nak buat parti SOSCILI, eh kami gurau je. Majlis Tertinggi STAR dianggotai 29 orang dan diketuai oleh Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Sejak beberapa PRU14 lepas, istilah king maker memang popular dalam kalangan pengundi. Kalau korang perasan parti PAS sering dikaitkan dengan istilah king maker dalam PRU kali ni. Hahh…pembuat raja? Siapa yang buat raja? Macam ni – kalau dalam Parlimen atau DUN ada parti politik yang tak dapat majoriti mudah, dia kena cari member yang boleh bersama untuk sokong parti jadi kerajaan.
Macam kes kat Sabah ni, oleh kerana gabungan pembangkang dapat kerusi yang sama dengan Barisan Nasional – Parti Solidariti Tanah Air ni lah yang akan jadi king maker. Bahasa mudahnya, diorang boleh tentukan siapa yang akan jadi kerajaan dengan tunjukkan diorang kat siapa. Bagi yang sesiapa ikuti perkembangan politik kat Sabah, mesti korang tahu yang parti STAR ni putuskan untuk bersama BN.
Kalau korang nak tahu tindakan parti STAR memilih Barisan Nasional untuk bina kerajaan kat Sabah dapat kecaman yang hebat daripada rakyat. Pengerusi parti Star menang DUN Tambunan dalam perlawanan empat penjuru. Paling epik dia siap lawan abang dia lagi yang wakili Barisan Nasional. Pergh, kalau korang sanggup tak lawan abang sendiri dalam pilihan raya?
“Dalam percubaan pertama Dr Jeffrey berdepan abangnya di kawasan DUN Tambunan, beliau mengalahkan Pairin dengan majoriti 1,037 undi. Dr Jeffrey memperoleh 6,136 undi berbanding Pairin 5,099 undi.” – Dipetik dari UTUSAN
Apasal pulak nak marah-marah!? Dah memang hak parti nak pilih diorang nak sokong siapakan? Hahh…macam kami dah cakap kat atas, masa Dr Jeffrey ni bertanding dia menang melawan calon BN. Kalau pengundi dia nak BN jadi kerajaan negeri, dah sah-sahlah diorang tak undi dia tapi abang dia yang merupakan calon BN. Korang boleh faham tak ni?
“Kami memutuskan bekerjasama dengan 29 ADUN BN untuk membentuk kerajaan negeri Sabah secara gabungan. Saya rasa ini perlu untuk kestabilan negeri ini dan kelancaran membentuk kerajaan negeri Sabah.” – Dr Jeffrey, dipetik dari MG
Tan Sri Musa Aman angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah
Selepas parti STAR ni bersetuju untuk bergabung dengan Barisan Nasional – kerusi DUN Sabah menjadi 31 (BN) dan 29 (Warisan, PKR, DAP). Maksudnya BN kat Sabah dah dapat majoriti mudah dan boleh tubuhkan kerajaan negeri. Apa lagi, Tan Sri Musa Aman pun cepat-cepat umumkan yang dia dah dapat kerusi majoriti DUN dan akan mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman malam ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri sekali gus menubuhkan kerajaan negeri campuran baharu dengan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).” – dipetik dari BERNAMA
Beberapa jam sebelum Tan Sri Musa Aman ni angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah, ada dakwaan 5 orang ADUN daripada BN Sabah keluar daripada BN dan sertai pihak lawan, tapi Musa Aman menafikan dakwaan itu. Kalau korang fikir drama politik kat Sabah ni berakhir kat sini je, maksudnya korang tak baca berita atau tengok TV. Duduk kat gua eh bang? Kami gurau lagi jangan marah.
“Tengah hari tadi, Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama PKR dan DAP dilaporkan akan menubuhkan kerajaan selepas Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengumumkan keluar BN dan membawa lima ADUN untuk menyertai pakatan berkenaan. Bagaimanapun, lima ADUN terbabit menyatakan pendirian kekal dalam BN.” – dipetik dari Berita Harian
Tapi ADUN daripada Barisan Nasional sertai Warisan untuk tubuhkan kerajaan Sabah pulak
Selalunya kalau Ketua Menteri atau Menteri Besar kat mana-mana negeri dah settle angkat sumpah, drama politik akan habis kat situ. Tapi dekat Sabah ni lain pulak ceritanya – selepas Tan Sri Musa Aman angkat sumpah ada 6 ADUN BN ambik keputusan untuk sertai Warisan. Maksudnya kedudukan kerusi ADUN kat Sabah dah jadi BN (26 kerusi) dan Warisan (35 kerusi). Macam kami kata tadi, parti politik yang ada kerusi terbanyak layak untuk buat kerajaan.
“Kita masuk Warisan tanpa syarat tetapi untuk membantu rakyat di kawasan kita. Kita bukan tinggalkan rakyat tetapi bawa bersama untuk membentuk (kerajaan dan memudahkan) pembangunan.” – Datuk Hamisa Samat dipetik dari SayangSabah
Apabila Warisan dah dapat majoriti kerusi DUN kat parlimen maka diorang ni layak buat kerajaan. Itulah yang dibuat oleh Warisan – dapat je sokongan daripada 6 ADUN BN ni, diorang cepat-cepat hantar surat kat Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah untuk pastikan Shafie Apdal dapat angkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah.
Punyalah pening rakyat Sabah ni sebab sekarang diorang dah ada dua Ketua Menteri. Selepas Datuk Seri Shafie Apdal dapat mandat daripada majoriti ADUN Sabah dan diperkenankan oleh Tuan Yang Terutama Sabah, dia pun angkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Pada kebiasaannya – kalau dalam negeri tu ada dua Ketua Menteri, orang yang tak dapat majoriti sokongan kerusi ADUN terpaksa melepaskan jawatan.
“The Star memetik seorang pegawai polis yang bertugas di Seri Gaya – kediaman rasmi ketua menteri – yang berkata kakitangan Musa sedang “mengemas barang”. Musa kemudian dilihat meninggalkan Seri Gaya dengan kenderaan rasminya bersama iringan.” – dipetik dari MalaysiaKini
Pelantikan Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri menandakan negeri Sabah ni dah tak jadi negeri pembangkang. Buat korang yang tengah bingung – sekarang ni negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional akan digelar negeri pembangkang. Kami masa awal-awal tulis pun pening jugak dengan perubahan ni.
Kita harap isu ni dapat diselesaikan dengan segera
Kalau ahli-ahli politik kat negeri tu bergaduh atau ada masalah, selalunya yang akan jadi mangsa adalah rakyat. Yalah, kalau dah ada dua Ketua Menteri tu dah sah-sah negeri tu tak akan dapat ditadbir dengan baik. Cuba fikir elok-elok, korang pernah tak tengok orang sembahyang berimamkan dua orang? Ceh dah macam ustaz lah pulak kami ambik contoh agama. Nak ambik contoh yang senang – hanya seorang je yang boleh pandu kereta pada satu-satu masa.
PRU14 ni betul-betul mencipta banyak sejarahkan? Bukan setakat Kerajaan Persekutuan je tukar, ada macam-macam lagi benda yang berlaku. Kami kat SOSCILI nak ucapkan tahniahlah kat korang, sebab kami tahu pembaca-pembaca kami banyak yang pergi mengundi atau berkhidmat sebagai PACA masa PRU14. Kalau orang yang korang pilih menang, tahniah. Kalau calon pilihan korang kalah, takpe – cuba lagi promosikan dia pada masa akan datang.
- 497Share sekarang!
- Email2
- Facebook495
- Share