- 5.4KShare sekarang!
- Email116
- Facebook5.2K
- Share
*Artikel ini pada asalnya disiarkan pada 27 Julai 2018
UPDATE 2/1/2020: Setiap permulaan pasti ada pengakhirannya. Siapa sangka, bekas Menteri Pendidikan Dr. Maszlee yang memulakan khidmatnya pada 22 Mei 2018, akhirnya meletakkan jawatan pada 2 Januari 2020. Baru je dua hari masuk 2020.
Perletakan jawatan ni nampaknya dah menjadi perdebatan ramai pihak. Sebelum ni pun, nama Dr. Maszlee naik kerana beberapa kenyataannya semasa menjadi Menteri Pendidikan. Tapi yang bawah ni mesti semua orang akan ingat. Ada yang sokong dan ada yang tak sokong.
Dihentam teruk pasal kenyataan mengenai kasut hitam
Pengumuman Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pasal penukaran pemakaian kasut putih kepada kasut hitam untuk semua pelajar dah pun menjadi isu panas. Ada yang memuji dan ada juga yang mempertingkaikan. Untuk tim yang pertikaikan, bagi mereka isu kasut hitam ni bukanlah perkara yang mendesak dan tukar kasut ni akan bebankan golongan miskin.
Kenyataan pasal kasut hitam ni sebenarnya dah menyebabkan orang ramai tak perasan beberapa kenyataan lain dari bekas Menteri Pendidikan yang sangat penting. Jadi, kami dari SOSCILI kali ni akan senaraikan kenyataan-kenyataan lain tu yang kurang orang bincangkan atau pun kecam berjemaah. Kita mulakan dengan…
1) Tak setuju tutup tahfiz, perkenalkan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik untuk mereka
Isu pasal institusi tahfiz di Malaysia makin hangat diperdebatkan semula selepas bekas Menteri Penerangan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin mencadangkan supaya semua institusi tahfiz ditutup. Antara sebabnya sekolah tahfiz bersendirian menjadi perdagangan ustaz-ustaz dan tak bagi harapan masa depan untuk generasi akan datang.
Dalam hal ni, mungkin ramai tak perasan apa yang dijawab oleh Dr. Maszlee Malik. Dia berpendapat yang idea penutupan sekolah tahfiz adalah terlalu radikal dan benda ni adalah hak bagi ibu bapa.
“Itu tidak menepati dengan aspirasi saya yang percaya kepada kebebasan ibu bapa untuk memilih pendidikan yang terbaik buat anak-anak mereka,”- Dr. Maszlee, petikan dari Sinar Harian.
Apa yang ingin dibuat kepada sekolah tahfiz adalah Kementerian Pendidikan (KPM) akan campur tangan untuk bantu memastikan pelajar tahfiz mampu berdaya saing. Sama ada dalam dunia akademik mahupun pasaran kerja yang semakin mencabar.
“Kita tidak mahu apa yang diajarkan di sekolah tahfiz itu akan melahirkan pelajar-pelajar yang tidak mengenal ilmu duniawi.
Ia kena ada keseimbangan di antara ilmu akhirat (ukhrawi) dan duniawi yang diperlukan terutamanya dari segi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,”- Dr. Maszlee Malik, petikan dari Sinar Harian.
Sebenarnya, usaha untuk bantu pelajar tahfiz mempunyai kemahiran lain dah ada sebelum ni. Pada tahun 2017, lebih kurang 300 sekolah tahfiz dah perkenalkan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar masing-masing. Para pensyarah dari kolej komuniti akan datang hujung minggu untuk ajar perkara berkaitan macam pengeluaran produk minuman, katering, pastri, jahitan dan membaiki motosikal.
Hasilnya, Maahad Tahfiz Aman Bistari, Selangor terlibat dalam perniagaan katering dan pastri. Manakala, Madrasah Tahfiz Al-Kayyis, Pulau Pinang ada keluarkan produk air mineral. Kalau korang perasan, kerajaan Selangor dah bina dan lancarkan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS) pada tahun 2016. Ada 4 MITS iaitu di Kuala Langat, Klang, Sabak Bernam dan Sepang.
Jadi, kalau Menteri Pendidikan akan datang nak bantu institusi tahfiz, bolehlah contohi model-model yang ada sebelum ni kan?
2) Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 diberhentikan serta-merta demi para guru
Sebenarnya, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) ada merayu kepada Dr. Maszlee untuk selesaikan isu sistem audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SPKMG2). Sebabnya NUTP banyak dapat aduan daripada para guru mengenai bebanan dan masa yang terbuang nak siapkan dokumen SKPMG2. Apa kejadahnya SKPMG2 yang menyusahkan guru ni?
Kami pun buat carian dan nak tahu apa dia SKPMG2 ni. Dah nama pun gelombang dua, mesti ada yang pertama kan. Gelombang pertama adalah dikenali sebagai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010). SKPM 2010 ni adalah sistem yang digunakan untuk ukur tahap kecemerlangan sesebuah sekolah melalui 5 standard iaitu Kepimpinan dan Hala Tuju, Pengurusan Organisasi, Pengurusan Kurikulum, Kokurikulum, Sukan dan Hal Ehwal Murid, Pembelajaran dan Pengajaran dan Kemenjadian Murid.
Jadinya, pengetua, guru besar atau pihak yang bertanggungjawab mesti berusaha untuk capai lima standard ni tadi. Setelah beberapa pihak berbincang, diperkenalkan SKPMG2 ni pulak hasil kajian semula SKPM 2010. SKPMG2 tu pulak akan ukur tahap kecemerlangan sekolah dengan 5 standard jugak. Tapi ada 5 anjakan dalam standard tu iaitu berorientasikan tindakan, menitikberatkan kualiti, berasakan evidens, penekanan kepada peranan dan penggunaan sepanjang tahun – 3 kali semakan.
Mudahnya macam ni, SKPM 2010 dan SKPMG2 ni dua-dua kena siapkan dokumen. Tapi SKPMG2 tu lagi terperinci lah. Bawah ni contoh dokumen, siap kena letak warna tertentu tau! Tak ke pening.
Dari penerangan atas ni, barulah kita faham kenapa NUTP dapat banyak aduan pasal benda ni Dan akhirnya, Dr Maszlee Malik dah umumkan pemberhatian serta-merta audit SKPMG2 ni. Harapnya para guru dapat bagi tumpuan kepada proses pengajaran dalam kelas sepenuhnya.
3) Universiti Awam tak lagi wajib untuk laksanakan iCGPA supaya pensyarah boleh fokus
Kalau siapa yang biasa main game bola Pro Evolution Soccer (PES), akan terbiasa tengok spider web ni. Dari situ kita boleh tengok kecenderungan pemain tu ke arah mana. Hebat pass bola atau pakar tackle pemain atau berlakon guling-guling macam Neymar.
Inilah yang cuba diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA). Sistem ni direka untuk atasi masalah kualiti graduan tak sepadan dengan kehendak majikan sebab sistem CGPA sedia ada hanya ukur kemampuan akademik semata-mata.
“Di samping mata pelajaran yang diambil dan keputusan yang diperolehi, laporan akhir pelajar akan juga menunjukkan sama ada ia bersifat holistik. Melalui spider-web, kita akan dapat melihat dengan jelas ruang-ruang kecemerlangan pelajar.”- Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Pendidikan Tinggi.
Melalui sistem ni juga, pelajar yang dapat semua A dalam akademik tak semestinya akan dapat 4 flat CGPA. Jadi, pelajar kena cemerlang keseluruhan kalau nak 4 flat. Pelajar kena terbabit dalam kokurikulum, aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawan, serta kemahiran dan kepemimpinan. Sejak diperkenalkan, ada 18 Universiti Awam (UA) dah guna sistem ni.
Pada 20 Jun 2018, Dr Maszlee umumkan yang sistem iCGPA tak lagi wajib dilaksanakan di UA. Setiap UA dibenarkan memilih sama ada nak teruskan atau menghentikan pelaksanaan program iCGPA. Tindakan ni diambil sebab ada dapatan menunjukkan tumpuan utama pensyarah untuk mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat untuk masyarakat terganggu. Ini juga untuk bagi semangat kebebasan dan autonomi kepada universiti.
“Bagaimanapun, jika UA mahu menghentikan iCGPA, dana lebihan daripada pemberhentian program itu akan disalurkan kepada perpustakaan supaya universiti dapat melanggan jurnal antarabangsa bermutu,
sekali gus menggalakkan usaha penyelidikan dan penulisan ilmiah yang berkualiti tinggi,”- Dr. Maszlee Malik, petikan dari Berita Harian.
4) Mahasiswa boleh anjur debat, forum tanpa dihalang oleh Naib Canselor
Dah banyak dulu kita dengar beberapa program dekat universiti ni dibatalkan sebab orang yang dibawa adalah ahli politik pembangkang. Atau pun juga ustaz-ustaz yang tak bertauliah. Kes paling kita ingat semestinya waktu Rafizi Ramli dibawa masuk ke UIA untuk berdebat isu GST yang akhirnya dirampas mic walaupun baru beberapa minit bercakap. Itu belum lagi isu Anwar Ibrahim yang nak dibawa berucap dalam UM tapi dihalang. Akhirnya, pelajar pecah pagar universiti tu.
Pada 7 Jun 2018, Dr. Maszlee mengumumkan supaya universiti awam membuka akses masuk untuk masyarakat luar. Naib-naib canselor dan timbalan-timbalan juga dikehendaki tak halang sebarang bentuk debat, forum atau wacana anjuran mahasiwa.
“Selaras dengan hasrat menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka, kita tidak boleh meletakkan ‘barrier’ (penghalang) di pintu-pintu masuk contohnya beberapa universiti yang meletakkan palang-palang…
Mulai hari ini kita mahu universiti menjadi medan untuk masyarakat menimba ilmu, bertukar idea dan dialog. Kita mahukan suasana universiti di Malaysia sama seperti di negara-negara maju.”- Dr. Maszlee, petikan dari Astro Awani.
Amalan terbuka ini juga adalah amalan institusi pengajian tinggi terkemuka macam Harvard, Cambridge dan Oxford. Macam Universiti Oxford, mereka memang ada ruang Oxford Union yang dianggap sebagai benteng terakhir ruang ‘kebebasan bersuara bagi dunia Barat’. Kat sini, pelbagai ahli politik, pemikir, penulis terkenal dan ahli akademik dijemput berdebat mahupun bercakap.
Contohnya, Oxford Union pernah bagi peluang Michael Jackson (MJ) berucap pasal isu hak kanak-kanak. Waktu ni, kisah kanak-kanak MJ yang jarang dunia dengar dapat diluahkan. Tak lupa juga pelakon terkenal Pamela Anderson diberi peluang berucap mengenai hak-hak haiwan. Bukan setakat tu je, korang ingat tak Mehdi Hasan, wartawan Al-Jazeera yang terkenal dengan soalan panas bila temu ramah sesiapa pun. Termasuklah waktu dia temu ramah Tun Mahathir dan Dr. Wan Azizah.
Dia pernah dijemput berucap di sana untuk menerangkan mengenai Islam dengan tajuk Islam Is A Peaceful Religion. Memang betul-betul terbuka lah ni. Macam tu lah barang kali yang Dr. Maszlee nak kan bila UA ni dibuka kepada semua.
Bantu OKU, pra sekolah SJKT dan ingatkan universiti jangan gila kejar ranking
Itulah antara 4 kenyataan yang sebenarnya agak besar maknanya dan kurang rakyat bagi perhatian. Kalau nak senaraikan yang lain memang banyak dan tak cukup ruang nak terangkan. Contohnya isu pengurangan peruntukan untuk 200 buah pra-sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang mana Dr Maszlee akan campur tangan untuk pastikan ia tak berlaku. Walaupun benda tu adalah tugas Jabatan Perdana Menteri.
Dr. Maszlee juga dah umumkan supaya setiap sekolah wajib menyediakan fasiliti dan prasarana untuk kanak-kanak khas. Dia juga mengarahkan supaya setiap program Kementerian Pendidikan kena ada penterjemah bahasa isyarat. Tak cukup lagi, dia ada sebut supaya universiti jangan gila sangat kejar ranking sebab yang lagi penting adalah ekosistem kesarjanaan dalam kampus.
Kiranya, dari benda seremeh-remeh kasut sampai ke universiti dia dah sentuh walaupun ada beberapa lagi janji yang masih tak nampak hasilnya macam PTPTN. Sekalipun telah meletakkan jawatan, harapnya legasi seterusnya akan ada banyak benda baik untuk para pengajar, pelajar dan semua orang yang berada dalam sistem pendidikan negara. Mana taknya, pendidikan ni senjata kot! Bak kata Nelson Mandela,
“Pendidikan adalah senjata paling berkuasa yang anda boleh manfaatkan untuk mengubah dunia.”
- 5.4KShare sekarang!
- Email116
- Facebook5.2K
- Share