- 242Share sekarang!
- Email11
- Facebook231
- Share
Kebanyakan kita yang tengah tertunggu-tunggu tarikh pilihan raya, dah pun tahu jawapannya. Tarikh mengundi ditetapkan pada 9 Mei 2018 bersamaan hari Rabu. Walaupun tarikh mengundi baru diumumkan, jalan-jalan raya dah penuh dengan bendera-bendera parti. Kalau dah banyak sangat bendera, inilah hasilnya…
Bahang pilihan raya ni dah mula panas bila Najib Razak umumkan pembuburan Parlimen pada Sabtu lepas. Jadi, lepas ni yang bakal berfungsi hanyalah kerajaan yang ada kuasa terhad. Kalau korang perasan, sebelum parlimen dibubarkan, Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dah umumkan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Macam-macam teori yang keluar pasal isu ni. Jadi, kali ni kita akan pergi satu persatu, untuk tahu punca kenapa PPBM boleh dibubarkan sementara nak dekat-dekat dengan tarikh pilihan raya ni.
Sebelum PPBM, DAP pernah dibubarkan sementara sebab pemilihan pimpinan
Sejarah pembubaran sementara sesuatu parti politik bukanlah benda baru. Pada Januari 2013, RoS umumkan pembubaran sementara DAP kerana ada laporan mengenai keraguan dalam pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mereka.
Pihak DAP mengakui sendiri memang ada kesilapan dalam proses pengiraan undi waktu pemilihan pimpinan parti. Sementara tunggu keputusan untuk ditarik balik pembubaran, Pakatan Rakyat masa tu mengumumkan DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung dan PKR di Sabah dan Sarawak.
Kalau DAP yang dah lama berdaftar pun boleh ada masalah dengan RoS, apatah lagi parti yang baru-barukan. Mengikut sejarah, Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah menunggu 10 tahun (dari tahun 1998 hingga 2008) sebelum sah menjadi parti politik berdaftar bawah RoS. Parti baru lain macam Parti Amanah Negara (Amanah), disebabkan tahu yang nak daftar parti baru bawah RoS ni susah. Mereka menggunakan Pertubuhan Pekerja-pekerja Malaysia yang dah lama berdaftar lalu meminda undang-undang dan tukar nama pertubuhan tu jadi Amanah. Akhirnya, RoS luluskan benda ni.
Beberapa lama lepas Amanah ditubuhkan, muncul lagi satu parti baru yang diterajui oleh Tun Mahathir dan Muhyiddin Yassin macam yang kita tahu iaitu PPBM. Pada 9 September 2016, RoS mengesahkan pendaftaran parti itu yang mengambil tempoh 30 hari untuk diluluskan. Sepanjang PPBM bergerak, ada beberapa kali parti ini diberi amaran untuk mematuhi undang-undang dan perlembagaan parti.
Adakah AGM yang tak sah menjadi punca PPBM dibubarkan sementara?
Mengikut Akta Pertubuhan 1966, setiap penubuhan perlu buat mesyuarat agung tahunan (AGM) lepas setahun penubuhan. RoS mendedahkan yang PPBM pusat boleh dibatalkan penubuhan sebab gagal buat AGM. Kalau ikut peraturan, AGM pusat ni akan dihadiri wakil bahagian dan cawangan parti yang dilantik melalui AGM masing-masing. Dalam keadaan bahagian dan cawangan yang tiada AGM, PPBM peringkat pusat tetap buat AGM mereka pada 30 Disember 2017.
Sepanjang AGM diadakan, banyak isu yang dibangkitkan PPBM peringkat bahagian antaranya mempertikaikan kesahihan AGM pusat sebab peringkat bahagian dan cawangan tak ada AGM lagi. Menurut Setiausaha Agong PPBM, Dr Shahruddin cakap yang AGM ni sah mengikut perlembagaan parti. Perkara ni juga ada dijawab oleh Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin kenapa AGM peringkat pusat dibuat dulu sebelum bahagian dan cawangan.
Menurutnya, hanya PPBM pusat je yang dah cukup setahun pendaftarannya mengikut RoS, untuk 137 PPBM bahagian belum ada yang cukup setahun pendaftarannya bawah RoS untuk dibuat perhimpunan agung. Dia mengatakan yang penubuhan PPBM formatnya lebih kurang penubuhan UMNO dulu. UMNO mula dengan pendaftaran pusat yang dah cukup syarat, kemudiannya bahagian (ikut parlimen) yang dah cukup orang dan syarat. Akhir sekali, barulah cawangan boleh didaftarkan bawah RoS. Bila bahagian tak cukup setahun, cawangan tak boleh dibentuk lagi.
“Soal isu cawangan mesti ada mesyuarat dulu, lepas tu, bahagian adakan persidangan perwakilan ni tak boleh digunakan dalam tafsiran untuk status kedudukan PPBM. Saya adalah pengerusi jawatankuasa Perlembagaan UMNO dulu.”- Muhyiddin Yassin, petikan dari Youtube PPBM Melaka pada 10 Feb 2018.
Bagi Prof Dr Mohd Azizuddin, Pensyarah UUM mengatakan PPBM cuba gunakan struktur UMNO tapi tak tepat. Sebab ada faktor perpecahan pada akar umbi parti dan juga ada PPBM bahagian yang terbubar yang melambatkan lagi pembentukan bahagian dan cawangan PPBM. Masalah pembentukan cawangan dan bahagian ni dah mengheret PPBM ke satu lagi masalah baru apabila…
Pada 9 April 2018, RoS melalui sidang media mengumumkan pembubaran sementara terhadap PPBM mengikut Seksyen 14(5) Akta Pertubuhan 1966. Pembubaran sementara ni menyebabkan PPBM tak boleh guna nama, logo dan tak dibenarkan buat sebarang aktiviti parti sepanjang tempoh perintah pembubaran ni.
Pembubaran sementara kerana tiada dokumen lengkap dan aduan dari cawangan?
Sebelum pergi jauh, bagi pihak PPBM, diorang rasa dukacita sebab RoS tak bagi apa-apa notis. Mereka hanya tahu lepas sidang media RoS yang diadakan untuk membubarkan sementara PPBM. RoS bagitahu yang PPBM gagal serahkan butiran maklumat dan dokumen mengikut notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) pada 28 Februari 2018. Apa kejadahnya seksyen ni? Dalam Akta Pertubuhan 1966, seksyen tu membawa maksud:
Pendaftar boleh, pada bila-bila masa dengan jalan notis yang ditandatanganinya , memerintah mana-mana pertubuhan berdaftar supaya memberi kepadanya dengan bertulis.- Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.
Maksud mudahnya pertubuhan tu kena bagi apa-apa maklumat macam senarai ni kepada Pendaftar kalau diorang mintak:
a) Apa-apa salinan yang benar dan lengkap apa-apa pindaan yang ada dibuat pada aturan-aturan pertubuhan
b) Senarai benar dan lengkap mengenai pemegang-pemegang jawatan dan bilangan anggota-anggota pertubuhan itu yang tinggal dalam Malaysia
c) Alamat pertubuhan atau urusan pertubuhan
d) Kira-kira bagi tahun kewangan yang akhir pertubuhan itu
e) Apa-apa lain maklumat yang Pendaftar minta dari semasa ke semasa
Dari (a) sampai (e), apa yang RoS minta dari PPBM sebenarnya?
PPBM dah bagi dokumen lengkap tapi ada lebih 400 aduan dari ahli parti sendiri
Apa yang lebih tepat diminta RoS pada 28 Februari 2018 adalah supaya PPBM mengemukakan minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan. Tapi, Muhyiddin maklumkan yang Setiausaha Agung PPBM dah pun hantar semua maklumat yang RoS minta. RoS pun dah terima semua maklumat tu. Dalam tempoh 30 hari dari tarikh perintah pembubaran sementara tu (9 April 2018), PPBM akan diberi peluang untuk selesaikan benda ni, kalau ada yang ditolak, maka PPBM boleh dibubarkan terus.
Melalui page PPBM, Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa semua maklumat yang diminta RoS dah pernah dihantar oleh Setiausaha Agung mereka selepas AGM Tahunan PPBM pada 30 Disember 2017 dalam tempoh 60 hari lepas perhimpunan yang selaras dengan Akta Pertubuhan 1966.
Cumanya, permintaan RoS untuk mengemukakan minit mesyuarat agung tahunan bahagian dan cawangan macam tak berapa nak kena sebab bahagian belum cukup setahun nak buat AGM. Manakala cawangan pulak tak ada satu pun yang didaftarkan bawah RoS. Menurut Muhyiddin lagi, ini semua bertepatan dengan Perlembagaan PPBM yang dililuskan oleh RoS sendiri untuk adakan AGM setiap bahagian kalau dah cukup setahun.
Sebab lain dibubarkan sementara adalah kerana ada 428 aduan dari anggota PPBM mengenai cara parti menguruskan mesyuarat dan dokumen. Selain tu, sebab penggunaan perkataan sayap pemuda PPBM yang dinamakan ARMADA yang tak ada dalam perlembagaan parti.
Walaupun macam tu, isu pembubaran sementara PPBM ni dah dapat kritikan termasuk veteran UMNO sendiri, Rais Yatim. Baginya, ada sesuatu yang tak kena sebab RoS tak perlu umum kat sidang media dan hanya perlu panggil Setiausaha Agung PPBM sahaja berjumpa. RoS juga sepatutnya tak boleh menjadi pisau penyembelih demokrasi negara. Punca pembubaran PPBM disaat akhir ni dianggap langkah silap BN menurut Chin Huat Wong (Penganalisis Politik Penang Institute). Ianya menunjukkan BN takut Mahathir dan tsunami politk Melayu.
Pakatan Harapan guna logo PKR untuk PRU nanti
Kedua-dua pihak ada hujah masing-masing. Jadi, lepas ni apa yang pasti PPBM dalam masa 30 hari lepas tarikh pembubaran mesti serahkan butir maklumat dan dokumen. PPBM juga mesti buat rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh pembubaran sementara dibuat. Tapi, kalau rayuan ditolak, pendaftaran PPBM akan dibatalkan.
Disebabkan pembubaran sementara PPBM, Pakatan Harapan yang terdiri dari PKR, Amanah, DAP dan PPBM tak dapat didaftarkan kerana ada anggotanya merupakan parti yang tak sah. Jadinya, semua komponen parti Pakatan Harapan dah bersetuju untuk guna logo PKR dalam PRU-14 nanti.
“Menurut pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, bukan mudah untuk parti yang bergabung dalam HARAPAN menggugurkan lambang parti masing-masing bagi menggantikannya dengan logo PKR semasa menyertai PRU14 ini.”- Petikan dari Astro Awani.
Isu ni dah pun menunjukkan betapa sengitnya pilihan raya akan datang ni. Namun, SPR mengatakan yang penggunaan logo dalam proses pilihan raya perlu dapat persetujuan SPR. Adakah lepas ni ada isu logo PKR melalui SPR pulak? Kita nantikan.
- 242Share sekarang!
- Email11
- Facebook231
- Share