4 senario mungkin berlaku kalau UMNO-PAS bekerjasama dengan Mahathir

Di Malaysia ni, boleh dikatakan hari-hari kita bincang pasal politik  – tak kiralah di media sosial, tempat kerja, kedai mamak dan sebagaiya. Dan kali ni, suhu politik Malaysia naik lagi bila terdedahnya rakaman audio Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang mencadangkan UMNO supaya bekerjasama dengan Dr Mahathir atau lebih tepatnya dengan BERSATU.

Kalau korang dah dengar rakaman tu, ada beberapa sebab kenapa Zahid buat cadangan tu, antaranya:

  1. Muafakat Nasional – disebabkan PAS nak bekerjasama dengan Dr Mahathir, UMNO pun kena ikut supaya tak ketinggalan.
  2. Masalah bossku (Najib) – kalau tak bekerjasama dengan Dr Mahathir, masalah bossku tak boleh selesai.
  3. Kuasa di tangan Dr Mahathir – Dah ada di atas meja seorang yang sangat berkuasa untuk mengharamkan UMNO, dan kalau UMNO diharamkan nanti ramai yang akan masuk PAS. Sedangkan, PAS dah pun berpihak kepada Dr Mahathir.
  4. Zahid ada kuasa veto – sebagai Presiden UMNO Zahid boleh buat keputusan sendiri, tapi dia serahkan kepada Majlis Tertinggi Parti untuk buat keputusan tentang isu ni.

 

Seruan Zahid dah dapat banyak reaksi, sampaikan Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam membidas Zahid dan anggapnya sebagai presiden parti yang lemah. Tapi, nampaknya Zahid masih tak balas apa-apa kritikan Lokman tu.

Dalam masa sama, korang ada terfikir tak apa akan jadi kalau UMNO – PAS – BERSATU bekerjasama? Jadinya, SOSCILI senaraikan beberapa senario yang MUNGKIN akan terjadi kalau dua parti ni duduk bersama. Pertamanya…

SENARIO 1: AMANAH & DAP jadi pembangkang semula

Sahabat selamanya. Imej asal dari Tenor.

Kalau kita perhatikan apa yang ada dalam Pakatan Harapan (PH) sekarang, kerjasama antara parti-parti ni tak lah kuat sangat. Hubungan antara BERSATU dan DAP sebagai contoh banyak percanggahan dalam pelbagai isu, seperti yang terbaru tentang – cadangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU supaya hubungan parti itu dengan DAP dikaji semula.

Dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula, dah terang lagi bersuluh adanya perpecahan antara kumpulan yang menyokong Presiden parti – Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden parti – Azmin Ali. Jadinya, sekiranya berlaku kerjasama antara UMNO – PAS – BERSATU, tak mustahil kumpulan Azmin Ali akan menyokong Dr Mahathir.

Azmin dan para penyokongnya. Imej dari independent.my

Dan sebab apa kitorang kata ada kemungkinan AMANAH dan DAP jadi pembangkang semula adalah, ia ada kaitan rapat dengan jumlah kerusi di Parlimen. Seperti mana yang kita maklum, dengan – 112 kerusi dari 222 kerusi di Parlimen, sesuatu pakatan politik tu dah boleh bentuk kerajaan.

Jadinya, UMNO dan BERSATU kena pastikan diorang dapat sokongan dari ahli-ahli Parlimen dan parti politik lain kalau nak bentuk kerajaan (pintu belakang) baru. Mungkin kita boleh kira macam ni (tapi ni cuma teori je tau):-

Kami yang kira. Imej latar dari NST.

Kalau UMNO dan BERSATU dapat yakinkan parti-parti dan ahli-ahli Parlimen ni – tak mustahil kerajaan PH dibubarkan dan kerajaan baru dibentuk. Bila hal tu jadi, sah-sah lah AMANAH dan DAP jadi pembangkang semula, manakala UMNO masuk balik dalam kerajaan. Tapi apa yang dinyatakan ni masih lagi teori dan kita tak tahu ia boleh berhasil ke tak.

SENARIO 2: Kementerian dan lantikan politik GLC bertukar tangan

Menteri yang mungkin hilang kuasa. Imej dari UbahTV

Penggabungan ini semestinya akan menyingkirkan kepimpinan PKR-Blok Anwar, DAP dan Amanah yang memegang kementerian. Jika melihat senarai yang mengangkat sumpah untuk menjadi menteri selepas PRU 9 Mei 2018, maka ada 26 orang menjadi menteri.

Katakanlah gabungan PAS-UMNO-BERSATU berlaku, kami senaraikan kementerian yang sedia ada dan bakal bertukar tangan kerana parti serta blok yang dipilihnya.

  1. Timbalan Perdana Menteri & Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
  2. Menteri Kewangan: Lim Guan Eng
  3. Menteri Pertahanan: Mohamad Sabu
  4. Menteri di JPM (Agama): Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa
  5. Menteri di JPM (Perpaduan Negara & Kesejahteraan Sosial): Waytha Moorthy A/L Ponnusamy
  6. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani: Salahuddin Ayub
  7. Menteri Pengangkutan: Anthony Loke Siew Fook
  8. Menteri Komunikasi dan Multimedia: Gobind Singh Deo
  9. Menteri Sumber Manusia: M. Kulasegaran A/L V. Murugeson
  10. Menteri Kesihatan: Dr. Dzulkefly Bin Ahmad
  11. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna: Saifuddin Nasution Bin Ismail
  12. Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim: Yeo Bee Yin
  13. Menteri Industri Utama: Teresa Kok Suh Sim
  14. Menteri Wilayah Persekutuan: Khalid Bin Abd Samad

Secara teorinya, 14/15 dari 26 kementerian akan bertukar tangan. Rombakan kabinet ni sebenarnya dah jadi isu beberapa kali. Ini termasuklah pendapat bahawa rombakan kabinet Pakatan Harapan mungkin berlaku selepas Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia. Nama-nama yang terpalit dengan dakwaan rombakan ini adalah Waytha Moorthy, Rina Harun, Azmin Ali dan Tok Pa.

Berita ini mungkin berulang. Imej dari TV3

Sukar nak menentukan siapa dari UMNO atau PAS yang akan jadi menteri jika benar-benar gabungan dengan BERSATU menjadi kenyataan. Namun, UMNO-BN mempunyai ramai ahli parlimennya yang berpengalaman menjadi menteri sebelum ini.

Jika berlaku rombakan kabinet secara besar-besaran, mereka yang dilantik secara politik ke dalam GLC, badan berkanun atau jawatankuasa di bawah sesuatu kementerian akan terkena tempias untuk hilang jawatan. Puncanya – lantikan politik. Ini beberapa contoh lantikan yang mungkin akan hilang jawatan:

  1. Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS: Salahuddin Ayub melakukan beberapa lantikan politik di dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang merupakan badan berkanun di bawah kementeriannya. Pengerusi AJP NAFAS yang dilantik adalah Phahrolrazi Mohd Zawawi yang merupakan Timbalan Pengerusi Amanah Kedah.
  2. Pengerusi SEDA: Yeo Bee Yin dibawah kementeriannya telah melantik Pengerusi Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) yang baru pada 2019. Pengerusi lembaga itu kini adalah Wong Kah Woh yang merupakan Ahli Parlimen DAP Ipoh Timur.
  3. Pengerusi & Timbalan Kaukus Reformasi & Tadbir Urus Parlimen: Pada Disember 2018, Parlimen telah menubuhkan kaukus ini bertujuan untuk memperkasakan parlimen. Pengerusinya adalah Anwar Ibrahim manakala timbalannya adalah Lim Kit Siang.

SENARIO 3: Kes-kes mahkamah tertentu mungkin digugurkan atau selesai luar mahkamah

Zahid sekarang berdepan dengan berpuluh pertuduhan. Imej dari ProjekMM.

Kalau korang masih ingat, masa bulan-bulan awal selepas PH jadi kerajaan – ada beberapa kes yang dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin mereka yang digugurkan. Contohnya seperti kes tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng yang digugurkan pada September 2018. Tindakan menggugurkan kes ni juga dah mengejutkan SPRM.

“SPRM ingin menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes itu telah diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara dan bukannya SPRM.” – Kenyataan SPRM, dipetik dari BH Online.

Selain tu, pihak Peguam Negara juga ada menggugurkan dua pertuduhan tambahan berkaitan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap Adun DAP. Malah, Jabatan Peguam Negara turut memutuskan tiada pendakwaan berhubung dakwaan cabul oleh seorang ahli politik ke atas pembantunya.

Walaupun tak dinamakan, ia merujuk kepada kes akuan bersumpah (SD) dan laporan polis, bekas penyelidik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan serangan seksual oleh Anwar Ibrahim.

Tergambar rasa kesyukuran di wajahnya. Imej dari FMT.

Jadinya dalam isu kerjasama UMNO-PAS-BERSATU – tak mustahil kalau mereka bentuk kerajaan nanti, ada kes-kes tertentu yang dikaitkan dengan pemimpin UMNO akan digugurkan atau selesai di luar mahkamah. Kalau kita perasan, antara sebab kenapa Zahid nak bekerjasama dengan Tun Mahathir adalah sebab nak selesaikan masalah Bossku atau lebih tepat bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Kini ramai pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes-kes mahkamah seperti, Zahid (87 pertuduhan), Tengku Adnan (tuduhan rasuah RM2 juta), Shahrir Samad (tuduhan terima dana 1MDB), Ahmad Maslan (tuduhan terima dana 1MDB) dan juga beberapa kes melucutkan harta UMNO.

SENARIO 4: Papagomo dan Syed Saddiq bekerjasama dalam gerakan pemuda

Gambar kenangan lama. Imej dari My Sir Azri

Jika berlaku gabungan UMNO-PAS-BERSATU, pastinya berlaku juga kerjasama di antara sayap wanita dan pemuda parti-parti ini. Tapi ia akan menjadi agak pelik sebabnya…

Kita mulakan dengan gabungan sayap wanita dalam gabungan UMNO-PAS-BERSATU. Sayap wanita UMNO dan muslimat PAS memang dah bergabung melalui muafakat nasional. Jadi, seterusnya wanita UMNO akan bekerjasama dengan srikandi PPBM.

Ketua Wanita UMNO sekarang adalah Datuk Noraini Ahmad manakala Ketua Srikandi PPBM pula adalah Rina Harun. Berdasarkan sejarah, Rina Harun ni memang orang kuat wanita UMNO dulu dengan beberapa jawatan besar termasuk Exco Wanita UMNO (2009-2013). Sekirannya gabungan berlaku, kiranya orang yang keluar dari wanita UMNO akan bekerjasama dengan wanita UMNO semula.

Ia pasti akan jadi lagi pelik jika Mas Ermieyati (bekas Ketua Puteri UMNO) yang masuk PPBM memegang jawatan besar dalam srikandi PPBM. Setakat ini Mas Ermieyati telah dijemput menjadi pemerhati dalam Persidangan Srikandi PPBM. Rina Harun juga pernah mengatakan kalau dia dicabar Mas, dia tak kisah demi kebaikan parti. Dan terbaru, Mas Ermieyati akan mencabar jawatan Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah yang diduduki oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Menteri kereta terbang).

Kepelikan gabungan ini tidak terhenti untuk sayap wanita sahaja, ia mungkin turut memberi kesan kepada sayap pemuda. Gabungan pemuda UMNO dan PAS sudah berlaku. Bagaimana pula gabungan Armada (sayap pemuda PPBM) dan pemuda UMNO?

Situasinya mungkin begini, Ketua Armada, Syed Saddiq akan bersalaman semula dengan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi. Ketika ini, Ketua Pemuda UMNO mengumumkan untuk saman Syed Saddiq kerana mendakwa UMNO terlibat dalam serangan sekumpulan orang terhadap dirinya di Johor. Jadi, kalau bergabung takde dah lah saman kan? Lagu ni juga akan jadi kenangan.

 

Dan hubungan Syed Saddiq dan Papagomo mungkin akan kembali tenang. Untuk yang tak tahu, Wan Muhammad Azri (Papagomo) adalah salah seorang Exco Pemuda UMNO. Dia dan Syed Saddiq pernah ada isu besar iaitu – Syed Saddiq buat laporan polis kerana mendakwa Papagomo mencekiknya di PRK Semenyih tahun 2019. Jadi mungkin lepas ni, akan duduk semeja untuk mesyuarat pemuda.

Jika berlaku gabungan ini, parlimen tetap perlu ada semak dan imbang

Teori terkahir ni mungkin akan menjadi sangat pelik kalau ia terjadi. Bayangkan, PAS-UMNO-BERSATU dan individu lain membentuk kerajaan ini. Maka, PKR Blok Anwar-DAP-Amanah perlu cepat mencari ketua pembangkang di parlimen untuk membentuk semak imbang dan memperkuatkan kembali Dewan Rakyat.

Secara teorinya, Anwar Ibrahim lah yang akan jadi ketua pembangkang ini. Mungkin ada nama lain, tapi figura Anwar lebih kuat untuk kedudukan ini. Kita akan lihat Tun Mahathir dan Anwar bertembung di dalam parlimen setelah pernah bekerjasama.

Mereka pernah duduk sebelah menyebelah dulu. Imej dari NST

Apa-apa pun, 4 senario yang kami senaraikan ini hanyalah teori. Ia mungkin berlaku atau pun ia mungkin tak berlaku langsung. Kalau korang ada teori lain, boleh kongsi di ruang komen kami!