- 2.3KShare sekarang!
- Email38
- Facebook2.3K
- Share
Melayu dalam istilah Perlembagaan Malaysia ialah orang yang lancar dalam berkomunikasi bahasa Melayu, mengamalkan kebudayaan dan adat resam Melayu dan warganegara Malaysia seperti yang dicatatkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Malaysia. Kalau maksud Melayu dalam istilah suku pula ialah bangsa Melayu yang terdapat di Semenanjung Malaysia, Thailand Selatan, Pantai Sarawak, Brunei, Pantai Sabah, Pesisir Kalimantan, dan banyak lagi.
Kaum Melayu sudah pasti lazim dalam penggunaan bahasa Melayu untuk komunikasi harian. Sebut sahaja bahasa Melayu pasti orang akan tahu betapa luasnya kosa kata serta ayat-ayat baru yang selalu diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebenarnya, bahasa Melayu ini pernah mengalami evolusi dan termasuk dalam Rumpun bahasa Austronesia. Jangan pelik, mari kami huraikan tentang evolusi dan rumpun itu.
Bahasa Melayu Proto dan Induk merupakan bahasa Melayu yang paling awal wujud
Berdasarkan kajian, bahasa Melayu tergolong dalam rumpun bahasa Austronesia dan filum bahasa Austris, yang telah wujud sejak 5000 tahun ke atas. Austronesia ialah “pulau-pulau selatan“ dan telah wujud sejak 2000-5000 tahun. Di bawah rumpun bahasa Austronesia, terdapat satu bahasa iaitu bahasa Melayu Proto.
Bahasa Melayu Proto adalah bahasa yang dituturkan oleh kelompok orang Asli yang terdapat di Malaysia. Mereka merupakan penduduk peribumi yang tergolong dalam minoriti kerana jumlah yang sedikit dan juga terdiri dari enam suku kaum antaranya orang Asli suku Temuan, suku Jakun, suku Kanaq, suku Seletar, suku Duano dan suku Semelai.
Di bawah bahasa Melayu Proto, terdapat bahasa Melayu Induk yang berasal dari bahasa Melayu Purba dan juga merupakan asal dari bahasa Melayu Kuno. Bahasa itu juga dikatakan mempunyai era selepasnya iaitu bahasa Melayu Moden.
Kita pasti akan terkejut kerana di bawah bahasa Melayu Induk mempunyai tiga pecahan bahasa Melayu iaitu bahasa Melayu Barat, bahasa Melayu Tengah, dan bahasa Melayu Timur. Mari kami huraikan ketiga-tiga bahasa ini satu per satu kerana dibawahnya juga mempunyai banyak pecahan.
Perbezaan jenis bahasa Melayu yang dikaji melalui sebutan huruf
Pertama, bahasa Melayu Barat mempunyai bahasa Melayu Riau dan dituturkan sejak berkembangnya kerajaan-kerajaan Melayu. Antaranya, Kerajaan Siak, Kerajaan Pekan Tua, Kerajaan Pelalawan, Kerajaan Indragiri, Kerajaan Kandis, Kerajaan Rokan, Kerajaan Kampar, Gunung Sahilan, dan Kuntu Darussalam.
Bahasa Melayu Riau ini sebenarnya sama seperti bahasa pasar. Kita boleh lihat dari sudut penggunaan huruf “A” diakhir perkataan ditukar kepada huruf “E”, contoh-contoh perkataan:
- Saya: “saye”.
- Mana: “mane”.
- Siapa: “siape”.
Selain itu, dua huruf dalam perkataan juga kadangkala ditukar atau dibuang hurufnya, contoh-contoh perkataan:
- Besar: “Besa”.
- Lebar: “Leba”.
- Sabar: “Saba”.
- Kerja: “Keja”
- Pergi: “Pegi”
- Berjalan: “Bejalan”
- Tidur: “Tido”
- Telur: “Telo”
Kedua, bahasa Melayu Tengah pula mempunyai satu pecahan iaitu bahasa Melayu Johor (loghat negeri Johor dan Johor Riau). Loghat Johor ini sebenarnya ramai anggap sama seperti bahasa Melayu yang biasa digunakan tetapi terdapat beberapa daerah di Johor yang mempunyai loghat tersendiri. Contohnya, ada beberapa perkataan huruf “A” ditukar kepada “O”:
- Air tawar: Air tawo.
- Bandar: Bandor.
- Belajar: Belajor.
- Besar: Besor.
- Cadar: Cador.
Di bawahnya pula mempunyai tiga pecahan lagi iaitu bahasa Malaysia, bahasa Melayu Brunei dan bahasa Melayu Singapura.
(Kami akan hanya fokus kepada dua bahasa sahaja iaitu bahasa Melayu Brunei dan Singapura).
Bahasa Melayu Brunei merupakan bahasa yang digunakan di negara Brunei dan beberapa daerah di Sabah. Bahasa ini berbeza dari bahasa pasar dan kita boleh memahaminya dengan cara sebutan sesuatu perkataan.
Bahasa Melayu Brunei mempunyai perbezaan bunyi vokal daripada Bahasa Melayu standard. Antaranya bunyi “E” pepet (boleh baca maksudnya di sini) akan ditukar menjadi bunyi “A”, contohnya:
- Besar: Basar.
- Keras: Karas.
- Beras: Baras.
Huruf ‘o’ ditukar menjadi ‘u‘, contohnya:
- Boleh: Bulih.
- Tolong: Tulung.
- Kotak: Kutak.
Bahasa Melayu Singapura muncul apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada bulan Ogos tahun 1965 dan telah berkembang melalui tiga tahap perkembangan iaitu penulisan, pembakuan dan pemodenan. Perbezaannya dengan bahasa Melayu di Negara kita boleh dikaitkan dengan perkataan-perkataan yang mereka selalu pakai, antaranya:
- “Seh”: “Kau kenapa seh?”
- “Sia”: “Apa sia?”
- “Bedek” : “Bedek ah!”
- “ye ye oh”: “Kau ni ye ye oh je”
Selain itu, ada juga beberapa perkataan yang asal dari bahasa Melayu Singapura, antaranya:
- Epok-epok: Karipap.
- Puteri salad: Kuih seri muka.
- Anu: Tolong (contoh ayat: Awak anukan ini untuk saya, boleh?)
- Matair: Kekasih hati.
- Air jarang: Air mineral.
Ketiga, bahasa Melayu Timur pula mempunyai dua pecahan iaitu bahasa Melayu Kelantan dan bahasa Melayu Patani. Bahasa Melayu Kelantan ialah bahasa Melayu yang digabungkan dengan loghat Kelantan, bahasa ini bukan sahaja dituturkan oleh kaum Melayu bahkan kaum Cina dan India juga fasih bertutur dalam bahasa Melayu Kelantan.
Kita boleh lihat beberapa contoh perkataan dari bahasa Melayu Kelantan, ada perkataan yang dibuang huruf asal dan diganti dengan huruf lain, antaranya:
- Batas: Batah.
- Habis: Habih.
- Dapur: Dapo.
- Pukul: Puko.
- Hujan: Huje.
- Makan: Make.
Bahasa Melayu Patani pula bahasa Melayu yang digabungkan dengan loghat patani dan mempunyai dua varian iaitu dialek Patani Hulu dan dialek Patani Hilir. Bahasa ini sama seperti bahasa Melayu Kelantan tetapi yang membezakannya ialah gaya pertuturan. Cuba boleh layan video ini:
Lima zaman bahasa Melayu yang orang Malaysia sendiri tidak tahu
Bahasa Melayu boleh dikategorikan kepada lima zaman iaitu:
- Bahasa Melayu Purba.
- Bahasa Melayu Kuno.
- Bahasa Melayu Klasik.
- Bahasa Melayu Pramoden.
- Bahasa Melayu Moden.
Zaman Bahasa Melayu Purba muncul pada bahasa Melayu pada zaman prasejarah atau sebelum sejarah. Bahasa Melayu Kuno muncul setelah adanya catatan sejarah, iaitu dalam bentuk tulisan sama ada dipahat pada batu atau bahan-bahan yang lain. Bahasa ini juga dikatakan muncul pada abad ke-2 masihi hingga abad ke-13 masihi. Terdapat pengaruh bahasa Sanskrit serta aksara (huruf dan simbol) india seperti aksara Pallava dan aksara Devanagari dalam bahasa Melayu Kuno.
Zaman Bahasa Melayu klasik, wujud selepas bahasa Melayu Kuno iaitu pada abad ke-14 masihi hingga abad-18 masihi. Dalam bahasa ini, terdapat pengaruh bahasa Arab dan Farsi seperti tulisan Arab yang menjadi tulisan Jawi.
Zaman Bahasa Melayu Pramoden pula wujud dalam zaman peralihan, iaitu antara bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu moden pada abad ke-19 masihi. Pada zaman ini, terdapat pengaruh Barat yang mengubah pelbagai perkara dalam bahasa Melayu seperti kosa kata, aksara, bentuk-bentuk penulisan, dan penerbitan media fizikal.
Zaman Bahasa Melayu Moden pula lahir pada abad ke-20 dan dituturkan sehingga kini. Pada zaman ini juga pengaruh barat banyak digunakan selepas Perang Dunia Kedua. Hal ini kerana kebanyakan kosa kata dari barat difokuskan dalam istilah-istilah sains dan teknologi. Bukan itu sahaja, pemikiran dan falsafah barat, teknologi barat dan sistem pentadbiran barat menguasai bahasa Melayu.
Kepelbagaian bahasa Melayu yang tidak diketahui oleh rakyat Malaysia
Kalau kita rajin melakukan penyelidikan atau carian, banyak sahaja jenis-jenis bahasa Melayu yang kita sendiri tidak tahu. Bahasa Melayu juga merupakan komponen yang melambangkan identiti negara kita dan kita juga harus memartabatkannya. Contohnya, menerapkan penggunaan bahasa bahasa baku dalam menulis mesej kepada kawan di media sosial.
Terdapat banyak inisiatif yang dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Antaranya menganjurkan pidato antarabangsa bahasa Melayu. Apa yang lebih menarik, pidato antarabangsa bahasa Melayu 2014 telah dijurai oleh orang Australia iaitu Bridget Johnson.
Kemungkinan kita rasa kagum kerana orang luar negara memenangi pidato antarabangsa bahasa Melayu tetapi dalam masa yang sama kita juga malu dengan mereka. Jadi, kita sebagai rakyat Malaysia perlu memperluaskan empayar bahasa Melayu ke seluruh dunia supaya kita dikenali oleh negara lain sebagai negara yang kaya dengan bahasa.
- 2.3KShare sekarang!
- Email38
- Facebook2.3K
- Share