Ni Semua Makanan Halal Yang Kitorang Cuba kat Taiwan!

Bila bulan puasa ni, semua benda terasa lebih menarik—terutamanya, bab makan! Kalau korang tengah baca ni sambil berpuasa, korang mungkin dah mula berangan nak berbuka apa best atau mungkin dah ada plan nak jalan-jalan lepas raya untuk cari makanan baru yang tak pernah dicuba sebelum ni. Tapi pernah tak korang terpikir nak jalan-jalan kat tempat yang tak ramai orang tahu sebenarnya ada banyak pilihan makanan halal, contohnya… Taiwan?!

Tanda-tanda halal restoran Taiwan
Ejaan Halal salah takpa, asalkan makanan betul-betul halal.

Baru-baru ni, kitorang dijemput oleh Pentadbiran Pelancongan Taiwan (Taiwan Tourism Administration) balik kampung diorang untuk tengok kenapa Taiwan telah digelar negara bukan OIC ketiga terbaik untuk pelancong-pelancong Muslim. Jadi sepanjang perjalanan ni, kitorang pon dapat rasa segala jenis street food dan makanan restoran halal. Dan kalau korang nak tau macam mana rasa semua benda kitorang makan, ni rankingnya…

1. Bufet Hotel Sheraton Taoyuan: 8/10 sebab banyak pilihan

Dari kiri atas ikut arah jam: pilihan cereal, sayur-sayur, yogurt-yogurt, dan hidangan-hidangan utama.

Untuk malam pertama lepas sampai di Taiwan, kitorang tido dekat Hotel Sheraton Taoyuan tak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan. Jadi esok pagi tu, kami dibelanja macam-macam. Daripada pelbagai jenis pilihan cereal pagi, kepada sayur-sayuran untuk yang nak jaga badan, yogurt-yogurt untuk yang nak jaga perut, dan hidangan-hidangan utama, bufet ni memang ada sesuatu untuk semua. Disebabkan tu, kami beri Hotel Sheraton Taoyuan 8/10. Malam tu, kitorang juga dihidang mi daging halal dari J&D Beef Noodles Restaurant, tapi malangnya sebab berminyak sangat, kitorang kena bagi 2/10.

Ni pendapat kitorang. Mungkin kalau korang ok makanan berminyak, sedap je.

 

2. Little India Muslim Restaurant: 7/10 sebab semua benda fresh

Dari kiri atas ikut arah jam: Restoran dari luar, sijil halal kat dalam, biryani kambing, dan ayam tandoori 🤤 Kenapa la kitorang tulis artikel ni time puasa?

Lepas Taoyuan, kami turun ke Taichung untuk lawat tempat-tempat menarik lain yang ada kat Taiwan. Semasa perjalanan tu, kami singgah ke Little India Muslim Restaurant di Taichung untuk makan tengah hari. Sini bes sebab kitorang dapat makan macam-macam termasuk ayam tandoori lembut, biryani kambing lazat, butter chicken meletup, dan antara roti naan paling sedap kitorang pernah rasa. Masa cakap dengan pemilik restoran ni pon, kitorang dapat tahu setiap benda memang dimasak sebaik sahaja order diterima, jadi segala benda korang rasa kat sini akan memang fresh. Jadi sebab ni, kitorang bagi 7/10.

Meh kitorang belanja gambar roti naan dia sikit.

 

3. Muzium Budaya Taro Ah-Tsung-Shih: 9/10 sebab terbuat kitorang ketagih dengan pencuci mulut Taiwan

Sebenarnya markah tinggi pon sebab layanan istimewa 🤭

Salah satu tarikan yang kitorang lawat semasa perjalanan kami adalah Muzium Budaya Taro Ah-Tsung-Shih. Muzium ni dimula oleh Tuan Ah-Tsung, yang juga dikenali sebagai “Bapa Pastri Taro Dajia“. Untuk yang tak tau, taro ni keladi dan ia biasa diguna dalam macam-macam jenis pencuci mulut kat Taiwan, termasuk pastri-pastri taro kat muzium ni. Kat muzium ni, kitorang dapat belajar tentang cara penanaman taro, penggunaannya dalam masakan Taiwan, dan faedah kesihatannya. Kitorang juga dapat belajar cara buat pastri taro pastu elok-elok, pastri yang kitorang buat tu memang sedap gila walaupun bahan-bahan dia simple je😭 Agaknya sebab dibuat dengan air tangan sendiri kot…

Gambar kelas buat pastri dan pastri-pastri yang dibuat.
Dah mula mengidam balik bila tengok gambar…

Disebabkan bukan je pastri yang sedap, tapi juga servis yang memang elok dan kelas menarik, kitorang kena bagi 9/10.

 

4. Long Yun Leisure Farm Hotel: 6/10 sebab kitorang masak lagi sedap

Atas: Jalan berkabus depan hotel 🌫️; Bawah: Restoran hotel dengan hiasan tanglung 🏮

Selepas Taichung, kitorang turun lagi ke arah Chiayi. Kat sini, kitorang tidur satu malam dekat Hotel Long Yun Leisure Farm. Selepas perjalanan sehari, kitorang memang dah letih tapi nasib baik hotel ni juga menyediakan makan malam. Nak cakap sedap gila tu, tak sangat. Tapi sekurang-kurangnya, hotelnya terletak kat kawasan bergunung-ganang, jadi dengan hiasan tanglung kat tengah cuaca sejuk dan berkabus-kabus, suasana dia memang syok la.

Hidangan makan malam kita yang termasuk ikan, ayam, sayur, dan lain-lain yang semuanya halal.

Yang bes kat sini, ada pekerja yang juga tunjuk cara diorang buat mochi pastu kitorang dapat makan fresh-fresh. Nikmat betul kerja bidang media ni 🍡

Mochi disalut kacang tumbuk, semua guna tangan je.

 

5. Hsin Hotel: 7/10 sebab makanan laut Taiwan bes gila

Yang tengah baca ni sambil berpuasa, sila bertabahlah.

Selepas sehari kitorang berjalan-jalan di Hutan Negara Alishan berdekatan dengan hotel kami pada malam sebelumnya, kitorang bergerak ke bandar Chiayi untuk makan malam di Hsin Hotel. Walaupun kami tak tidur di sini, kami masih rasa macam tetamu istimewa dengan hidangan yang termasuk sup herba, ayam panggang, dan fevrit kami… udang goreng. Kalau bagi kitorang tu je, kitorang akan boleh makan setiap hari, jadi skor untuk Hsin Hotel pon mesti 7/10.

Kami tak belanja makan, tapi korang terima je la kami belanja gambar. 🦐

 

6. Lao Chang Muslim Beef Noodle Restaurant: 7/10 sebab dumpling lagi sedap dari mi

Kalau korang tak tau, antara makanan paling popular kat Taiwan mestilah sup mi daging. Korang mungkin dah cuba kalau biasa makan mee tarik Cina halal kat Malaysia, tapi orang yang lawat Taiwan tanpa mencuba ni boleh dibandingkan dengan pelancong yang lawat Malaysia tanpa mencuba nasi lemak. Trip tu tak dikira lengkap. Nasib baik untuk pelancong-pelancong Muslim, ada berlambak restoran-restoran halal yang menghidang benda ni jadi korang tak perlu risau.

Asalkan ada sijil halal, #kitaok 👌

Kami dapat cuba hidangan ni kat Restoran Lao Chang Muslim Beef Noodle yang tak jauh sangat dari menara Taipei 101. Walaupun mi tu cukup sedap, yang betul-betul buat kitorang terkagum adalah dumplingnya. Lagi-lagi masa kitorang lawat, cuaca kat Taipei memang sejuk gila. Jadi dengan sup panas dan pencicah dumpling pedas, badan kami pon cepat rasa selesa balik. 7/10.

Takda gambar close up sebab tangan sejuk sangat. Ni pon orang lain tolong ambik.

 

7. Tahu Busuk di Pasar Malam Ximending: 7/10 sebab dapat pengalaman baru

Antara benda PALING wajib yang mana-mana pelancong ke Taipei akan kena buat bila melawat adalah mengunjungi ke salah satu pasar malam untuk cuba semua jenis makanan-makanan tepi jalan yang ada kat negara ni. Tak kira mana korang berada kat Taipei – malam tu mesti akan ada sekurang-kurangnya satu pasar malam besar berdekatan korang.

Banyak sangat nak pandang sampai rambang mata.

Masa kami di Taipei, kami dapat lawat Daerah Membeli-Belah Ximending dan kat sini korang juga boleh jumpa Pasar Malam Ximending. Pastu kalau korang tak tahu nak makan apa, cadangan kitorang adalah cuba je segala benda (asalkan halal). Tapi benda paling lejen korang akan kena cuba masa kat Taiwan mestilah… tauhu busuk.

Macam orang kata pasal durian – bau macam neraka, rasa macam syurga.

Nama dia macam tu sebab bau dia memang teruk gila. Kalau korang tak pernah bau, boleh kata dia bau macam bangkai. Tapi lepas digoreng pastu tambah serbuk cili, tiba-tiba dia jadi lebih macam ayam gunting Uncle Bob dengan kerangupan dan kepedasan yang memang padu. Jadi disebabkan benda ni pon suatu pengalaman baru untuk kitorang, skor dia pon kena la sekurang-kurangya 7/10.

 

8. Halaho Pickles Taoyuan: 9/10 sebab semua benda sedap

Pada hari terakhir kami di Taiwan, kitorang sempat makan tengah hari sebelum gerak ke lapangan terbang. Untungnya kitorang sebab ni betul-betul jamuan terakhir yang sesuai untuk pemergian kami dari Taiwan.

Kami tak rasa bersalah guna perkataan “hidden gem” untuk tempat ni.

Kali ni, kitorang telah dibawa ke restoran Sham’s Kitchen di Taoyuan. Tempatnya kat tengah-tengah pasar yang sempit, jadi kalau korang nak cuba cari kat Google Map, korang mungkin takkan jumpa, tapi korang boleh tekan je link kat sini. Makanan yang kitorang dihidangkan untuk kami di sini adalah nasi tumpeng Indonesia yang penuh warna. Kat tengah-tengah pinggan ada nasi tumpeng warna kuning yang dihias dengan bunga comel-comel. Pastu sekeliling dia ada lauk-lauk rendang, ayam goreng, kangkung, udang, ikan, dan macam-macam lagi. Yang mengagumkan, setiap benda pon sedap gila jadi kitorang terpaksa la bagi skor 9/10.

Mungkin korang syak kitorang bias sebab dah beberapa hari tak makan makanan Malaysia dan ni dah dikira dekat dengan lidah kitorang. Tapi pemilik kedai ni berasal daripada kaum Dai dari Myanmar. Dan restoran Sham’s Kitchen ni pon pernah dapat anugerah Emas daripada kerajaan bandar Taoyuan disebabkan kesedapan masakan dia. Jadi kalau korang tak percaya kitorang, boleh la percaya orang lain…

 

Taiwan memang destinasi mesra Muslim underrated!

Sepanjang perjalanan kitorang di Taiwan, kami terkejut dengan betapa mesra Muslim negara ni. Dari hotel ke restoran, banyak pilihan halal, dan makanan pun sedap gila. Selain makan, kami belajar budaya tempatan dan jumpa orang yang ramah. Walaupun ada hidangan yang tak kena selera, pengalaman makan kat sini secara keseluruhannya memang best.

Jadi kalau korang pon nak lawat tempat selamat, mesra Muslim, dan penuh makanan menarik, Taiwan wajib masuk bucket list korang. Dari street food ke restoran, semuanya ada. Jangan takut cuba benda baru—siapa tahu, mungkin korang pun akan jatuh cinta dengan Taiwan macam kami! 🥹